Memaparkan catatan dengan label Fenomena. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Fenomena. Papar semua catatan

Ahad, 13 November 2022

Kejadian pelik, beribu-ribu ikan melompat naik ke atas jambatan

Kejadian pelik, beribu-ribu ikan melompat naik ke atas jambatan


Penduduk Koh Lanta, di wilayah Krabi, Thailand alami kejadian pelik apabila beribu-ribu ekor ikan melompat naik ke atas sebuah jambatan di pulau berkenaan, lapor laman berita Thaiger pada 10 November 2022.


Mereka menangkap dan membawa pulang ikan-ikan itu untuk dimakan. Kejadian aneh ikan melompat itu disedari seorang penduduk ketika berlabuh di sebuah jeti.


Baka ikan tersebut dikenali sebagai 'Ta Maew', sejenis ikan yang sering ditemui di Koh Lanta, demikian menurut pegawai di pejabat perikanan wilayah Krabi.


Pegawai tersebut berkata, ikan itu akan berenang ke Koh Lanta pada dua musim iaitu Mac dan November. Ia dikatakan pergi ke Koh Lanta untuk bertelur.


Seorang penduduk, Sunan Madsaron berkata, meskipun ia sesuatu yang normal untuk melihat kawanan ikan Ta Naew berenang di sepanjang pantai, dia tidak pernah melihat ikan-ikan itu melompat ke atas jambatan.


Kejadian tersebut masih menjadi misteri kerana tidak diketahui sebab mengapa ikan-ikan berkenaan melompat ke atas jambatan, namun apa yang pasti ikan akan sesekali melompat keluar dari air kerana paras oksigen dalam air menjadi rendah.


Kejadian itu telah memberi durian runtuh kepada penduduk kampung yang mendapat rezeki percuma. Beberapa penduduk kampung dilaporkan berjaya mengisi guni baja mereka dengan hasil tangkapan ikan tersebut. - Sumber The Thaiger.


Seorang penduduk dilaporkan terserempak dengan longgokan ikan sedang melompat ketika berlabuh di sebuah jeti. - Foto Thaiger.

Sabtu, 5 November 2022

Pada 8 November ini Malaysia dilintasi gerhana bulan 'berdarah'

Pada 8 November ini Malaysia dilintasi gerhana bulan 'berdarah'


Penduduk negara ini berpeluang melihat gerhana bulan penuh 'berdarah' pada 8 November depan. Menurut pakar falak tanah air, Datuk Dr. Azahari Mohamed, meskipun mula berlaku pukul 4.03 petang bagi sentuhan P1, gerhana tersebut hanya boleh dilihat ketara mulai 6.59 petang.


"Ketika bermula fasa gerhana penumbra, kita di Malaysia tidak dapat lihat lagi kerana bulan berada pada altitud -39.6 darjah iaitu di bawah ufuk dengan azimut ialah 66 darjah," katanya seperti dilapor Utusan Malaysia pada 3 November 2022.


Agensi Angkasa Malaysia (Mysa) menerusi hantaran dalam laman sosial rasmi memaklumkan kejadian gerhana bulan penuh itu dengan durasi keseluruhan selama 85 minit itu juga dapat disaksikan penduduk di rantau tenggara Eropah, benua Asia, Australia, Amerika, Lautan Pasifik, Lautan Hindi, Lautan Atlantik, Antartika dan Artik.


Di Malaysia, Mysa berkata, ia tidak kelihatan secara keseluruhan kerana mula terjadi ketika hari masih siang tetapi boleh disaksikan semasa fasa maksimum sehingga tempohnya habis.


Mengulas lanjut, Azahari berkata, apabila fasa bulan mula terbit ketika sentuhan ufuk pukul 6.53 petang, penampakan gerhana tersebut pada azimut 73 darjah masih lagi sukar kelihatan.


"Ia boleh disaksikan ketika fasa maksimum atau disebut sebagai sentuhan G selepas enam minit kemudian semasa azan Maghrib telah pun berkumandang di Kuala Lumpur," jelasnya.


Gerhana bulan penuh berlaku apabila orbit bulan melintasi masuk dalam bayang-bayang bumi yang disebut sebagai umbra ketika kedudukan tepat sebaris bumi antara bulan dan matahari.


Jika hanya sebahagian bulan berada dalam kawasan umbra, ia dipanggil fasa gerhana bulan separa dan sekiranya dalam kawasan penumbra, kesan gelap tidak ketara dicam mata kasar.


Untuk fenomena kali ini, Uranus akan dikesan berhampiran bulan tetapi imej planet tersebut agak kelam untuk dilihat oleh mata dan cuma boleh disaksikan dengan penggunaan teleskop.


"Fasa gerhana penuh ini diunjurkan berakhir pukul 7.41 malam ketika sentuhan U3 sebelum fasa gerhana separa berakhir pula pada pukul 8.49 malam semasa sentuhan U4," kata Azahari.


Beliau memberitahu bulan akan kembali normal dan mula menampakkan wajah purnama ketika fasa gerhana penumbra tamat atau turut disebut sebagai sentuhan P4 pada pukul 9.56 malam.


Seperti senario pada 26 Mei 2021, gerhana bulan penuh kali ini bakal tampak seperti warna kemerahan yang berdarah kerana pembiasan cahaya matahari atau serakan Rayleigh.


Penduduk Malaysia yang terlepas menyaksikan fenomena berkenaan namun boleh berpeluang untuk melihat kembali kejadian gerhana tersebut sekali lagi pada 7 September 2025 kelak.


Imej gerhana bulan penuh 'berdarah' yang dapat disaksikan di Malaysia pada petang 26 Mei 2021. - Foto Utusan Malaysia.

Sabtu, 8 Oktober 2022

Tular sekumpulan gajah liar mendaki bukit mungkin petanda bencana alam akan berlaku

Tular sekumpulan gajah liar mendaki bukit mungkin petanda bencana alam akan berlaku


Sekumpulan gajah liar ditemukan melintas jalan dan mendaki sebuah bukit di Jalan Tasik Kenyir, Hulu Terengganu, hari ini. Ada yang mempercayai kejadian gajah mendaki bukit itu memberi petanda awal bencana alam akan berlaku.


Seorang pengguna media sosial menulis di akaun Facebooknya, dia melihat 14 ekor gajah liar tersebut ketika melalui Jalan Tasik Kenyir pada pukul 1.40 petang tadi. Dia turut memuat naik empat gambar dan satu video berdurasi tiga saat kumpulan gajah tersebut mendaki kawasan berbukit.


"8 Oktober 2022. Sabtu jalan tasik Kenyir jam 1.40 ada 14 ekor gajah," tulis pemilik laman Facebook itu.


Dalam pada itu, di ruang komen pula terdapat netizen memaklumkan kemunculan kumpulan gajah di kawasan itu merupakan pemandangan biasa. Beberapa netizen pulak tidak menolak kemungkinan tindakan gajah tersebut mendaki bukit sebagai petanda akan berlaku banjir.


Sementara itu, Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Terengganu, Loo Kean Seong ketika dihubungi berkata, pihaknya ada menerima laporan berhubung kejadian tersebut. 


Menurutnya, kejadian itu biasa berlaku di laluan berkenaan memandangkan lokasi tersebut sememangnya merupakan kawasan gajah liar. 


"Sebagai pengguna jalan raya, tindakan terbaik boleh dilakukan ialah jangan bunyikan hon sekiranya terserempak dengan gajah melintas jalan atau berada berhampiran jalan. 


"Orang juga dinasihatkan tidak berada dekat dengan mamalia ini, jangan cuba ganggu dan adalah lebih baik beredar dari kawasan itu. 


"Selain itu, jangan turun daripada kenderaan untuk mengambil gambar atau video kerana tindakan sebegini boleh mengundang sebarang kemungkinan," katanya.


Pada 3 Oktober lalu, pengguna jalan raya di laluan Felda Neram I menghala ke Felda Neram II, Kemaman terkejut apabila sekumpulan lebih 30 gajah liar melintas di jalan tersebut.


Video berdurasi 25 saat dirakam seorang pemandu FGV Plantations (Malaysia) Sdn. Bhd, yang kebetulan melalui jalan itu selepas selesai menghantar pekerja ladang kira-kira pukul 8.30 pagi.


Dan semalam, tular rakaman video berdurasi 18 saat yang memaparkan sekumpulan gajah mendaki dan berada di atas bukit di Simpang Kuala Betis ke Lojing, Gua Musang.


Masyarakat Orang Asli di daerah tersebut mempercayai kejadian gajah mendaki bukit itu memberi petanda awal bencana alam akan berlaku.


Seorang penduduk Orang Asli, Pelinejon Assut, 38, mengikut kepercayaan masyarakat Orang Asli zaman dahulu, mereka menjadikan haiwan sebagai rujukan dalam menjalani kehidupan seharian.


"Selain habitat diganggu atau keluar mencari makanan, kami tidak menolak kemungkinan kumpulan gajah itu seolah-olah mahu memberi petunjuk bahawa akan berlaku musibah atau bencana alam selepas ini.


"Oleh itu, masyarakat Orang Asli menjadikan kejadian itu sebagai petanda untuk kami membuat persiapan untuk berdepan musim tengkujuh tidak lama lagi," katanya.


Sekumpulan gajah yang mendaki bukit di kawasan Simpang Kuala Betis-Lojing, Gua Musang baru-baru ini. - Foto Media Sosial.

Sekumpulan gajah mendaki kawasan berbukit di Jalan Tasik Kenyir, Hulu Terengganu, hari ini. - Foto Facebook/Danita Damia.

Ahad, 2 Oktober 2022

Lebih 2,600 lubang benam muncul secara tiba-tiba di Turki resahkan penduduk

Lebih 2,600 lubang benam muncul secara tiba-tiba di Turki resahkan penduduk


Sebanyak 16 lubang benam gergasi lagi ditemukan di sebuah wilayah di Turki dalam tempoh beberapa bulan sahaja selepas kemarau mengakibatkan runtuhan kuari batu kapur, lapor akhbar Daily Mail pada 30 September 2022.


Punca kewujudan lubang benam di wilayah Turki itu tidak dapat dipastikan namun ia dikatakan disebabkan kemarau berpanjangan yang mendorong petani menggunakan air bawah tanah sebagai sumber tanaman.


Tindakan itu difahamkan menimbulkan rekahan lubang-lubang kecil dan akhirnya menjadi semakin serius. Beberapa gambar menunjukkan lubang besar terbentuk di sebuah kawasan ladang di Lembah Konya dalam tempoh sembilan bulan pertama tahun ini.


Pakar Universiti Teknikal Konya (KTUN), Fetullah Arık berkata, ketika ini terdapat lebih 2,600 lubang benam di Dataran Konya. Beliau juga memberi amaran mengenai penggunaan air bawah tanah yang tidak terkawal. 



"Meskipun dilanda salji lebat tahun lalu namun tiada peningkatan besar dalam air bawah tanah. Struktur tanah boleh larut apabila ia terkena air dan meliputi kawasan luas di seluruh lembangan," katanya kepada Hurriyet Daily News.      


Tambah Arik, lubang benam akan tetap muncul walaupun tiada gangguan berlaku, dan bilangan lubang benam semakin meningkat hampir setiap hari di daerah Cihanbeyli, Yunak, Kulu, Sarayönü dan Kadınhanı.


Ia diperiksa oleh pakar dari Jabatan Pengurusan Bencana dan Kecemasan (AFAD) dan KTUN. Berdasarkan kajian, lubang benam kini ditemukan di tempat-tempat lain seperti kawasan perumahan, pertanian dan perindustrian yang mencetuskan lebih banyak risiko.


Lubang benam merupakan lekukan dalam tanah yang tidak mempunyai saliran permukaan luaran semula jadi. Apabila hujan, semua air kekal di dalam dan biasanya mengalir ke bawah permukaan.


Mendapan paling kerap berlaku di 'muka bumi karst' di mana batu di bawah permukaan tanah secara semula jadi dibubarkan oleh air bawah tanah yang beredar melaluinya. Batuan yang boleh larut termasuk dasar garam dan kubah, gipsum, batu kapur dan batu karbonat yang lain.


Seorang petani, Kadir Gümüşsoy berkata bahawa lubang benam itu menakutkan dan dia menjalankan pengeluaran pertanian dengan sumber air bawah tanah di rantau ini.


"Kami datang ke lapangan (ladang) dengan cemas kerana kami tidak tahu bila ia akan berlaku. Kami menarik air dari dalam perigi dengan menanam tumbuhan yang menggunakan lebih sedikit air dengan insentif," katanya. - Sumber Daily Mail.


Seorang pakar, Fetullah Arık dari Universiti Teknikal Konya (KTÜN), berkata kini terdapat lebih 2,600 lubang benam di Dataran Konya dan memberi amaran terhadap penggunaan air bawah tanah yang tidak terkawal. - Foto Agensi Anadolu.

Orang ramai menggunakan air bawah tanah dengan cara yang sengit dan tidak terkawal untuk menghasilkan tumbuhan yang menggunakan sejumlah besar air. (Gambar) pemandangan dari udara lubang benam di Lembah Konya. - Foto Agensi Anadolu.

Bilangan lubang benam semakin meningkat setiap hari di daerah Cihanbeyli, Yunak, Kulu, Sarayönü dan Kad¿nhan¿. Ini diperiksa oleh pakar dari Disaster and Emergency Management Presidency (AFAD) dan KTÜN. - Foto Agensi Anadolu.

Gambar menunjukkan lubang benam terbentuk di sebuah kawasan ladang di Lembah Konya. - Foto Agensi Anadolu.

Khamis, 22 September 2022

Planet Musytari akan berada pada kedudukan paling dekat dengan Bumi 26 September ini

Planet Musytari akan berada pada kedudukan paling dekat dengan Bumi 26 September ini


Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Lepas Kebangsaan (NASA) menyatakan bahawa Planet Musytari akan berada pada kedudukan paling hampir dengan Bumi pada 26 September ini, lapor akhbar Daily Mail pada 20 September 2022.


Ini bermaksud orang ramai berpeluang melihat planet terbesar dalam sistem suria itu dalam keadaan paling jelas ketika ia menghampiri Bumi pada jarak paling dekat bagi tempoh 59 tahun.


"Orang ramai berpeluang melihat pemandangan indah Planet Musytari sepanjang malam 26 September ini apabila ia mencapai kedudukan tersebut," kata NASA dalam satu hantaran blog.


Fenomena 'pertentangan' itu berlaku dari sudut pandangan Bumi apabila planet itu berada di bahagian timur dan Matahari terbenam di Barat. Ia akan meletakkan Matahari dan Musytari pada kedudukan yang benar-benar bertentangan antara satu sama lain.


Pertentangan Musytari berlaku dalam tempoh setiap 13 bulan, namun pada 26 September ini, planet tersebut akan kelihatan lebih terang dan besar berbanding biasa.


"Bukan itu sahaja, Musytari akan berada paling hampir dengan Bumi dalam tempoh 59 tahun. Kali terakhir ia mencapai pendekatan paling dekat dengan Bumi sejak 1963," kata NASA.


Musytari dikatakan akan berada pada jarak 587 juta kilometer dari Bumi ketika ia dalam kedudukan paling hampir dengan planet kita. Planet besar itu terletak kira-kira 965 juta kilometer dari Bumi pada titik paling jauh. 


Menurut NASA, Bumi dan Musytari tidak mengorbit Matahari dalam bulatan sempurna, ini bermakna mereka melepasi satu sama lain pada jarak yang berbeza sepanjang tahun.


"Pendekatan Musytari yang paling dekat dengan Bumi hampir tidak pernah bertepatan, yang bermaksud pandangan tahun ini akan menjadi 'luar biasa'," kata NASA.


Walaupun Musytari adalah salah satu daripada beberapa planet yang boleh dilihat dengan mata kasar, NASA masih mengesyorkan menggunakan beberapa jenis instrumen.


"Dengan teropong yang baik, pita (sekurang-kurangnya jalur tengah) dan tiga atau empat satelit Galilea (bulan) seharusnya dapat dilihat," kata Adam Kobelski, ahli astrofizik penyelidikan di Pusat Penerbangan Angkasa Marshall NASA di Huntsville, Alabama, dalam satu kenyataan.


Kobelski berkata, tempat 'menonton' yang ideal adalah pada ketinggian yang tinggi di kawasan yang gelap dan kering.


"Teleskop 4-inci atau lebih besar akan membolehkan pemerhati melihat Bintik Merah Besar Musytari dan jalur dengan lebih terperinci," katanya. - Sumber Daily Mail.


Musytari akan berada paling hampir dengan Bumi dalam tempoh 59 tahun. - Foto NASA.

Jumaat, 9 September 2022

Cahaya misteri muncul di langit Texas bukan kapal makhluk asing, kata pakar

Cahaya misteri muncul di langit Texas bukan kapal makhluk asing, kata pakar


Satu kumpulan cahaya misteri telah dikesan pada malam Khamis, 1 September 2002 lalu di utara Austin Texas, Amerika Syarikat. Rakaman tentang cahaya misteri itu dihantar ke laman berita FOX 7 oleh seorang penduduk, Gus McGiven.


Dia keluar berjalan dengan rakannya, Kyle Gomez berhampiran Cat Hallow di Round Rock ketika mereka menyaksikan kumpulan cahaya misteri tersebut.


"Dalam kehidupan sebenar apabila anda melihatnya, ia jauh lebih cerah daripada yang sebenarnya," kata Kyle Gomez seperti dilaporkan Fox 7.


Seorang lagi penduduk, Emily White berkata, dia dan seorang rakan berada berhampiran Brushy Creek, berhampiran dengan Taman Cedar juga merakamkan kumpulan cahaya tersebut.


"Ia memukau, secara jujur. Ia sangat senyap kerana jika ia adalah satu (kumpulan) cahaya, maka saya mungkin akan berfikir (ia) adalah helikopter, kapal terbang atau sesuatu seperti itu," kata White, yang bercakap dengan Rudy Koski dari FOX 7.


Bagaimanapun, kumpulan cahaya misteri itu kemungkinan sejenis pesawat tanpa pemandu atau UAV.


"Saya tidak pernah percaya pada UFO atau apa-apa seperti itu. UFO sebenarnya mungkin adalah UAV.


"Saya perlu mengatakan bahawa tiada makhluk luar angkasa yang terlibat dengan kejadian ini, tetapi saya tidak mengatakan bahawa itu tidak mungkin," kata seorang pakar dron, Gene Robinson.


Robinson yang tinggal di Wimberley, melatih juruterbang dron dan menerbangkan beberapa jenis platform UAV telah meneliti video yang dihantar kepada Fox 7.


"Pandangan awal saya mengenai perkara ini ialah kemungkinan besar ia adalah fenomena berasaskan dron," kata Robinson. - Sumber Fox 7 Austin.


Kumpulan cahaya misteri dilihat di utara Texas pada Khamis lalu. - Foto Twitter.

Ahad, 28 Ogos 2022

Fenomena pusaran angin di Pantai Paka gemparkan penduduk sekitar

Fenomena pusaran angin di Pantai Paka gemparkan penduduk sekitar


Pengunjung dan penduduk di sekitar Pantai Paka di Dungun, gempar menyaksikan fenomena pusaran angin atau belalai air yang berlaku di kawasan laut tidak jauh dari pantai tersebut, petang semalam.


Fenomena pada pukul 5.40 petang di kawasan laut tersebut sempat dirakam beberapa penduduk dan pengunjung pantai tersebut.


Ia dapat dilihat sejauh beberapa meter sehingga ke pekan Paka sebelum ia semakin mengecil dan hilang kira-kira lebih lima minit kemudian.


Salah seorang penduduk, Zunazri Zulkifli, 42, berkata, dia terkejut melihat kewujudan awan tebal dan pusaran angin sewaktu memandu kereta di kawasan pantai berkenaan.



"Fenomena pusaran angin itu jelas kelihatan walaupun jaraknya agak jauh di tengah laut.


"Sewaktu kejadian, angin tiba-tiba bertiup kuat di pesisir pantai namun hujan tidak turun. Saya juga sempat merakam beberapa keping gambar," katanya ketika dihubungi.


Seorang lagi pengunjung pantai, Roszini Ramli, 43, berkata dia yang bersama dua anaknya terkejut melihat fenomena tersebut.


"Saya belum pernah melihat kejadian ini. Memang agak takut dan terkejut. Bimbang berlaku kejadian buruk, kami cepat-cepat pulang," katanya.


Terdahulu, beberapa keping gambar dan video mengenai kejadian tersebut tular di dalam laman sosial Facebook dan aplikasi WhatsApp. - Sumber Kosmo.


Fenomena pusaran angin atau belalai air yang berlaku di perairan Paka dirakam pengunjung Pantai Paka, Dungun,Terengganu, semalam. - Foto tular.