Sabtu, 8 Oktober 2022

Tular sekumpulan gajah liar mendaki bukit mungkin petanda bencana alam akan berlaku


Sekumpulan gajah liar ditemukan melintas jalan dan mendaki sebuah bukit di Jalan Tasik Kenyir, Hulu Terengganu, hari ini. Ada yang mempercayai kejadian gajah mendaki bukit itu memberi petanda awal bencana alam akan berlaku.


Seorang pengguna media sosial menulis di akaun Facebooknya, dia melihat 14 ekor gajah liar tersebut ketika melalui Jalan Tasik Kenyir pada pukul 1.40 petang tadi. Dia turut memuat naik empat gambar dan satu video berdurasi tiga saat kumpulan gajah tersebut mendaki kawasan berbukit.


"8 Oktober 2022. Sabtu jalan tasik Kenyir jam 1.40 ada 14 ekor gajah," tulis pemilik laman Facebook itu.


Dalam pada itu, di ruang komen pula terdapat netizen memaklumkan kemunculan kumpulan gajah di kawasan itu merupakan pemandangan biasa. Beberapa netizen pulak tidak menolak kemungkinan tindakan gajah tersebut mendaki bukit sebagai petanda akan berlaku banjir.


Sementara itu, Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Terengganu, Loo Kean Seong ketika dihubungi berkata, pihaknya ada menerima laporan berhubung kejadian tersebut. 


Menurutnya, kejadian itu biasa berlaku di laluan berkenaan memandangkan lokasi tersebut sememangnya merupakan kawasan gajah liar. 


"Sebagai pengguna jalan raya, tindakan terbaik boleh dilakukan ialah jangan bunyikan hon sekiranya terserempak dengan gajah melintas jalan atau berada berhampiran jalan. 


"Orang juga dinasihatkan tidak berada dekat dengan mamalia ini, jangan cuba ganggu dan adalah lebih baik beredar dari kawasan itu. 


"Selain itu, jangan turun daripada kenderaan untuk mengambil gambar atau video kerana tindakan sebegini boleh mengundang sebarang kemungkinan," katanya.


Pada 3 Oktober lalu, pengguna jalan raya di laluan Felda Neram I menghala ke Felda Neram II, Kemaman terkejut apabila sekumpulan lebih 30 gajah liar melintas di jalan tersebut.


Video berdurasi 25 saat dirakam seorang pemandu FGV Plantations (Malaysia) Sdn. Bhd, yang kebetulan melalui jalan itu selepas selesai menghantar pekerja ladang kira-kira pukul 8.30 pagi.


Dan semalam, tular rakaman video berdurasi 18 saat yang memaparkan sekumpulan gajah mendaki dan berada di atas bukit di Simpang Kuala Betis ke Lojing, Gua Musang.


Masyarakat Orang Asli di daerah tersebut mempercayai kejadian gajah mendaki bukit itu memberi petanda awal bencana alam akan berlaku.


Seorang penduduk Orang Asli, Pelinejon Assut, 38, mengikut kepercayaan masyarakat Orang Asli zaman dahulu, mereka menjadikan haiwan sebagai rujukan dalam menjalani kehidupan seharian.


"Selain habitat diganggu atau keluar mencari makanan, kami tidak menolak kemungkinan kumpulan gajah itu seolah-olah mahu memberi petunjuk bahawa akan berlaku musibah atau bencana alam selepas ini.


"Oleh itu, masyarakat Orang Asli menjadikan kejadian itu sebagai petanda untuk kami membuat persiapan untuk berdepan musim tengkujuh tidak lama lagi," katanya.


Sekumpulan gajah yang mendaki bukit di kawasan Simpang Kuala Betis-Lojing, Gua Musang baru-baru ini. - Foto Media Sosial.

Sekumpulan gajah mendaki kawasan berbukit di Jalan Tasik Kenyir, Hulu Terengganu, hari ini. - Foto Facebook/Danita Damia.


EmoticonEmoticon