Memaparkan catatan dengan label Fakta. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Fakta. Papar semua catatan

Isnin, 24 Oktober 2022

Wanita miliki kuku terpanjang dunia dedah kematian anak punca tidak potong

Wanita miliki kuku terpanjang dunia dedah kematian anak punca tidak potong


Wanita dengan kuku tangan paling panjang di dunia, Diana Armstrong, 64, mendedahkan punca dia berhenti memotong kuku disebabkan kematian anak perempuannya, lapor akhbar Daily Mail pada 6 Oktober 2022.


Menurut Armstrong, anaknya, Latisha meninggal dunia semasa tidur akibat serangan asma semasa berusia 16 tahun.


Mendiang ialah individu yang bertanggungjawab merias kuku Armstrong setiap hujung minggu dan selepas kematiannya, wanita itu bersumpah tidak akan memotong kuku tangan lagi.


Kali terakhir Armstrong memotong kuku tangannya adalah pada tahun 1997. Kukunya kini berukuran 13 meter yang bersamaan panjang sebuah bas sekolah.


"Ini adalah cara bagaimana saya mengenang Latisha selepas dia meninggalkan saya secara tiba-tiba.


"Hanya dia sahaja yang tahu bagaimana mahu merias kuku saya dengan baik dan saya mahu sentuhan kali terakhirnya pada kuku saya tidak hilang," katanya.



Menurut Armstrong, sejak memiliki kuku panjang, dia terpaksa melupakan hasrat memandu kenderaan, pergi ke tandas awam dan sering bergelut untuk menarik zip pakaian.


Dia memberitahu Guinness bahawa ia mengambil masa antara empat hingga lima jam untuk mengecatnya, dan menggunakan sekitar 15 hingga 20 botol pengilat kuku.


"Kerana proses yang panjang, saya tidak pernah pergi ke salon kuku selama kira-kira 22 tahun. Jadi cucu-cucu saya akan datang membantu," jelasnya.


Sebelum ini, wanita Texas, Ayanna Williams pernah memegang rekod dunia, tetapi memutuskan untuk memotong kukunya tahun lalu selepas 'membesarkannya' selama tiga dekad.


Diana Armstrong memiliki kuku terpanjanga di dunia. - Foto Guinness Book of World Records.

Kali terakhir dia memotong kuku adalah pada 1997. - Foto Guinness Book of World Records.

Rabu, 19 Oktober 2022

Lelaki pecah rekod dunia nyalakan 150 lilin dalam mulut selama 30 saat

Lelaki pecah rekod dunia nyalakan 150 lilin dalam mulut selama 30 saat


Seorang lelaki di negeri Idaho, Amerika Syarikat memecahkan Guinness World Records dengan menyalakan 150 batang lilin di dalam mulutnya selama 30 saat, lapor agensi berita United Press International (UPI) pada 17 Oktober 2022.


Lelaki berkenaan, David Rush telah memecahkan hampir 250 rekod dunia bagi mempromosikan pendidikan sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (STEM).


Menurutnya, dia sebelum ini cuba mencipta rekod tersebut pada Disember tahun lalu, namun gagal kerana beberapa lilin terkeluar daripada mulutnya.


"Berat kesemua lilin ini amat menekan diri saya. Saya juga mengeluarkan air liur selama lebih 10 minit yang membuatkan lilin-lilin tersebut menjadi licin di dalam mulut.


"Hanya selepas 5 saat, saya sudah boleh merasa lilin-lilin tersebut mula tergelincir, jadi saya terpaksa mencengkam dan menggigit dengan lebih kuat bagi mengelakkannya daripada terjatuh," kata Rush.


Tambah lelaki tersebut, dia turut memakai alat perlindungan mata ketika melakukan cubaan rekod itu, namun tetap bergelut dengan asap yang terhasil serta keadaan lilin yang menjadi licin.


Menerusi percubaan tersebut, Rush berjaya memecah rekod yang dipegang seorang lelaki dari negeri Carolina Utara, Garrett James, yang menyalakan 105 batang lilin di dalam mulutnya pada tahun lalu. - Sumber UPI.


Rush terpaksa mencengkam dan menggigit lilin dengan lebih kuat bagi mengelakkannya daripada terjatuh. - Foto Guinness World Records.

Sabtu, 15 Oktober 2022

Jeans Levi's berusia lebih 140 tahun ditemui dalam lombong terbiar dilelong RM410,000

Jeans Levi's berusia lebih 140 tahun ditemui dalam lombong terbiar dilelong RM410,000


Sepasang seluar jeans Levi's dari 1880-an yang ditemui di dalam lombong terbiar dilelong pada harga US$87,400 (RM410,000) pada lelongan di New Mexico, lapor United Press International (UPI).


Seluar jeans itu dijumpai di sebuah lombong terbiar di barat Amerika oleh 'ahli arkeologi denim' Michael Harris dan dijual di Durango Vintage Festivus iaitu sambutan denim empat hari di pinggir Aztec.


Jeans itu mempunyai butang buckleback dan dibeli oleh peniaga pakaian vintaj iaitu Kyle Hautner dan Zip Stevenson. Hautner membayar 90 peratus daripada harga itu, manakala Stevenson menyumbang baki 10 peratus.


Stevenson yang memiliki dan mengendalikan kedai pembaikan Denim Doctors di Los Angeles berkata, seluar itu adalah penemuan yang jarang berlaku.


"Seluar jeans ini sangat jarang dijumpai terutamanya saiz dan keadaannya masih elok. Ia mempunyai kotoran lilin yang digunakan oleh pelombong untuk menyalakan terowong," kata Stevenson kepada CNN.



Stevenson berkata, Harris telah meneliti sekurang-kurangnya 50 lombong terbiar selama lima tahun lalu dan tidak menemui sesuatu yang mempunyai kualiti sama.


Beberapa jeans Levi dari tahun yang sama diketahui masih wujud, tetapi kebanyakan dipamerkan di muzium dan dianggap tidak lagi boleh dipakai. Seluar yang dilelong itu sebaliknya, boleh dipakai dengan melakukan sedikit pembaikan kecil.


Beliau berkata, seluar jeans itu kini disimpan di dalam peti deposit keselamatan berhampiran Denim Doctors dan boleh dilihat melalui janji temu.


Pemiliknya berharap dapat menjual seluar itu ke muzium untuk paparan umum. - Sumber United Press International (UPI).


Jeans Levi's yang dilelong RM410,000. - Foto Instagram Denim Doctors.

Isnin, 19 September 2022

Pendapatan tahun lepas mencecah RM28.5 bilion, Mesir naikkan lagi kadar tol Terusan Suez

Pendapatan tahun lepas mencecah RM28.5 bilion, Mesir naikkan lagi kadar tol Terusan Suez


Kerajaan Mesir mengumumkan kenaikan yuran transit bagi semua jenis kapal termasuk pengangkut minyak yang melalui Terusan Suez. Perkara itu diumumkan oleh Pihak Berkuasa Terusan Suez (SCA) dalam kenyataan, kelmarin.


Menurut kenyataan itu, sebanyak 15 peratus kenaikan bayaran akan dikenakan kepada kapal tangki yang membawa minyak dan produk petroleum, di samping 10 peratus peningkatan untuk pengangkut pukal kering serta kapal persiaran.


Pengerusi SCA, Osama Rabie, seperti yang dilaporkan agensi berita Xinhua berkata, kenaikan yang akan berkuat kuasa pada 1 Januari 2023 itu adalah tidak dapat dielakkan dan merupakan satu keperluan.


Menurut beliau, faktor yang mencetus kepada kenaikan tersebut adalah kadar inflasi global yang semakin melonjak, sekali gus meningkatkan kos operasi, penyelenggaraan dan perkhidmatan maritim laluan air paling penting di dunia itu.


Kira-kira 10 peratus daripada kapal dagangan global termasuk tujuh peratus daripada kapal minyak di dunia menggunakan Terusan Suez yang menghubungkan Laut Mediterranean ke Laut Merah.


Pihak berkuasa berkata, terdapat 20,649 kapal melalui terusan itu pada tahun lepas, peningkatan 10 peratus berbanding 18,830 kapal pada 2020. 


Ia sekali gus menjadikan pendapatan yang diperoleh daripada laluan di situ sebagai sumber utama penyaluran mata wang asing ke Mesir.


Pendapatan tahunan Terusan Suez pada 2021 mencecah AS$6.3 bilion (RM28.5 bilion), jumlah tertinggi dalam sejarah negara.


Negara itu bagaimanapun kini berdepan cabaran ekonomi yang serius dan semakin kehabisan mata wang asing yang diperlukan untuk membeli keperluan komoditi seperti bijirin serta bahan api.


BACA: Dunia rugi RM1.6 bilion sejam, disebabkan kapal kontena besar tersadai di Terusan Suez.


Rakaman trafik yang boleh dilihat di Terusan Suez. - Foto Pusat Media Terusan Suez.

Isnin, 22 Ogos 2022

ESA ramal Matahari akan membesar lebih 2 kali ganda sebelum 'mati' 5 bilion tahun akan datang

ESA ramal Matahari akan membesar lebih 2 kali ganda sebelum 'mati' 5 bilion tahun akan datang


Agensi Angkasa Eropah (ESA) menerusi kajian kapal angkasa miliknya, Gaia, meramalkan bahawa Matahari bakal 'mati' tidak lama lagi, lapor akhbar Daily Mail pada 20 Ogos 2022.


Menurut ramalan tersebut, Matahari kini sudah menghampiri separuh daripada jangka hayatnya dan apabila ia mencapai penghujung, cahayanya akan terpadam lalu menjadikan Bumi kesejukan.


Bagaimanapun, data daripada Gaia mencadangkan keadaan tersebut tidak akan berlaku selama sekurang-kurangnya lima bilion tahun lagi.


Kehancurannya akan bermula bila mencapai usia sekitar 10 hingga 11 bilion tahun apabila ia menjadi gergasi merah dan membesar dengan pesat. Dari sini, Matahari mula mati dan berakhir sebagai kerdil putih malap yang sejuk.


Gaia menganggarkan Matahari kini berusia sekitar 4.57 bilion tahun. Dengan mengenal pasti jisim dan komposisinya, peranti itu mampu menganggarkan bagaimana Matahari akan berkembang pada masa hadapan.


Pada masa ini, Matahari dianggap berusia 'pertengahan umur' dan stabil kerana ia menggabungkan hidrogen menjadi helium.


Sekurang-kurangnya dua bilion tahun kemudian, matahari akan mula menyejuk dan membesar menjadi lebih daripada dua kali ganda daripada hari ini.


Gaia terletak kira-kira 1.4 juta kilometer dari Bumi dan membawa dua teleskop untuk mendokumentasikan galaksi dan mengkaji bintang bagi meramalkan masa depan mereka. - Sumber Daily Mail.


Jalan kehancurannya bermula sekitar 10 hingga 11 bilion tahun apabila ia menjadi gergasi merah yang membesar 2 kali ganda dari saiz sekarang. Dari sini, Matahari perlahan-lahan akan mati dan berakhir sebagai kerdil putih malap yang sejuk. - Foto ESA.

Sabtu, 20 Ogos 2022

Pakar dakwa Bumi menuju ke arah 'peristiwa kepupusan besar-besaran' disebabkan perubahan iklim

Pakar dakwa Bumi menuju ke arah 'peristiwa kepupusan besar-besaran' disebabkan perubahan iklim


Pakar-pakar mendakwa bahawa Bumi sedang menuju ke arah bencana kepupusan besar-besaran buat kali keenam, lapor akhbar Daily Star pada 13 Ogos 2022.


Sepanjang sejarah sekitar 4.5 bilion tahun kewujudan planet ini, pakar berkata, terdapat lima peristiwa kepupusan berskala besar yang berlaku setakat ini.


Perubahan iklim kini diramalkan membawa kepada peristiwa kepupusan seterusnya. Keadaan itu dijangka berlaku apabila Bumi mengalami perubahan iklim yang memusnahkannya dengan lebih cepat berbanding dipulihkan.


David Storch, seorang profesor di Jabatan Ekologi Universiti Charles di Prague memberitahu Live Science, berkata kadar kepupusan semasa adalah kira-kira dua urutan magnitud lebih tinggi daripada kadar kepupusan biasa.


"Perubahan iklim yang dikesan semasa kepupusan besar-besaran dan terakhir ini bukanlah satu-satunya punca. Kesan perubahan global lain turut memainkan peranan," katanya.


Sementara itu, Kunio Kaiho, seorang profesor emeritus di Jabatan Sains Bumi di Universiti Tohoku di Jepun, menjelaskan bahawa cara Bumi memanas menyebabkan ia hanya memerlukan beberapa darjah suhu untuk dimusnahkan dengan lebih cepat berbanding dipulihkan.


"Peningkatan purata suhu global sebanyak 9 darjah Celsius menjadi elemen penting kepada kepupusan besar-besaran, sejajar dengan pemanasan global," katanya.


Menurut laman web Kerajaan UK, gabungan suhu darat dan lautan telah meningkat pada kadar purata 0.14F atau 0.08C setiap dekad sejak 1880, peningkatan hampir 2 darjah Celsius antara 1880 dan 2022. - Sumber Daily Star UK.


Perubahan iklim boleh menjadi peristiwa kepupusan besar-besaran kali keenam di Bumi. - Foto Getty Images.

Ahad, 14 Ogos 2022

Kajian mendapati labah-labah tidur berdengkur dan mungkin bermimpi sama seperti manusia

Kajian mendapati labah-labah tidur berdengkur dan mungkin bermimpi sama seperti manusia


Satu kajian baharu mendedahkan bahawa labah-labah mampu bermimpi semasa tidur dan boleh mengalami situasi berdengkur seperti manusia, lapor portal berita MailOnline.


Para saintis tidak boleh mengimbas otak labah-labah, dan jelas sekali tidak boleh menyoal mereka. Jadi, perkara terbaik seterusnya ialah memerhati mereka pada waktu malam.


Penyelidik di Jerman merakam lebih 30 anak labah-labah semasa tidur menggunakan kamera inframerah.


Semasa berehat, serangga itu mempamerkan 'pergerakan retina berkala' yang ditambah dengan 'kedutan anggota badan dan lentik kaki'.


Ia serupa dengan pergerakan pantas mata semasa tidur atau REM pada manusia, iaitu apabila mata bergerak dengan pantas dari sisi ke sisi di belakang kelopak mata yang tertutup semasa mengalami mimpi yang jelas.


Justeru, hasil kajian mencadangkan bahawa labah-labah juga mengalami tidur REM dan mungkin turut mengalami mimpi.


Kajian itu diketuai oleh ahli biologi evolusi di Universiti Konstanz di Jerman, Daniela Roessler dan diterbitkan dalam jurnal Proceedings of the National Academy of Sciences.


"Saya secara peribadi berpendapat bahawa mereka mengalami mimpi visual, tetapi ia akan menjadi sangat sukar untuk membuktikannya secara saintifik," kata Daniela Roessler.


Para penyelidik berkata ia adalah kali pertama saintis memerhatikan tidur REM pada haiwan yang tidak mempunyai tulang belakang.


"Pergerakan retina yang diperhatikan adalah konsisten termasuk tempoh dan selang masa yang tetap dengan kedua-duanya meningkat sepanjang malam," tulis jurnal tersebut.


Kajian mendapati labah-labah mengalami REM sama seperti manusia ketika sedang bermimpi. - Foto Scorpo Hunter.