Isnin, 22 Ogos 2022

ESA ramal Matahari akan membesar lebih 2 kali ganda sebelum 'mati' 5 bilion tahun akan datang


Agensi Angkasa Eropah (ESA) menerusi kajian kapal angkasa miliknya, Gaia, meramalkan bahawa Matahari bakal 'mati' tidak lama lagi, lapor akhbar Daily Mail pada 20 Ogos 2022.


Menurut ramalan tersebut, Matahari kini sudah menghampiri separuh daripada jangka hayatnya dan apabila ia mencapai penghujung, cahayanya akan terpadam lalu menjadikan Bumi kesejukan.


Bagaimanapun, data daripada Gaia mencadangkan keadaan tersebut tidak akan berlaku selama sekurang-kurangnya lima bilion tahun lagi.


Kehancurannya akan bermula bila mencapai usia sekitar 10 hingga 11 bilion tahun apabila ia menjadi gergasi merah dan membesar dengan pesat. Dari sini, Matahari mula mati dan berakhir sebagai kerdil putih malap yang sejuk.


Gaia menganggarkan Matahari kini berusia sekitar 4.57 bilion tahun. Dengan mengenal pasti jisim dan komposisinya, peranti itu mampu menganggarkan bagaimana Matahari akan berkembang pada masa hadapan.


Pada masa ini, Matahari dianggap berusia 'pertengahan umur' dan stabil kerana ia menggabungkan hidrogen menjadi helium.


Sekurang-kurangnya dua bilion tahun kemudian, matahari akan mula menyejuk dan membesar menjadi lebih daripada dua kali ganda daripada hari ini.


Gaia terletak kira-kira 1.4 juta kilometer dari Bumi dan membawa dua teleskop untuk mendokumentasikan galaksi dan mengkaji bintang bagi meramalkan masa depan mereka. - Sumber Daily Mail.


Jalan kehancurannya bermula sekitar 10 hingga 11 bilion tahun apabila ia menjadi gergasi merah yang membesar 2 kali ganda dari saiz sekarang. Dari sini, Matahari perlahan-lahan akan mati dan berakhir sebagai kerdil putih malap yang sejuk. - Foto ESA.


EmoticonEmoticon