Memaparkan catatan dengan label Fakta. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Fakta. Papar semua catatan

Sabtu, 5 Februari 2022

Berlian Hitam Terbesar Dari Angkasa Lepas Berusia Berbilion Tahun Akan Dilelong

Berlian Hitam Terbesar Dari Angkasa Lepas Berusia Berbilion Tahun Akan Dilelong


Berlian hitam berusia bilion tahun yang dipercayai berasal dari angkasa lepas kini ditawarkan kepada orang ramai oleh Sotheby's Auctions yang berpangkalan di London, England, lapor BBC News pada 3 Februari 2022.


Berlian itu, yang dinamakan 'Enigma', dikatakan sebagai berlian potong terbesar di dunia, menurut versi 2006 Rekod Dunia Guinness. Dengan berat 555.55 karat, Enigma melebihi berlian Great Star of Africa 530.2 karat dan berlian Golden Jubilee 545.67 karat.


Lelongan Enigma akan diadakan sehingga 9 Februari dengan anggaran nilai jualan AS$6 juta (RM25,183,863).


Tetapi, apakah sebenarnya berlian hitam?


Berlian hitam pertama kali ditemui pada tahun 1841 oleh sekumpulan penjelajah Portugis di Brazil. Mereka memanggil objek itu 'carbonado' kerana ia menyerupai ketulan arang batu.


Kewujudan berlian hitam sangat jarang berlaku di dunia. Seperti namanya, berlian itu kelihatan gelap dan tidak lutsinar. Berlian biasanya ditemui bercantum dengan kimberlit jauh di dalam permukaan tanah.


Namun, berlian hitam atau 'carbonado' terdapat dalam lapisan sedimen berhampiran dengan permukaan tanah. Sebab itu berlian hitam dianggap berasal dari angkasa lepas.


Berlian hitam seperti Enigma dipercayai tercipta akibat hentaman meteorit atau akibat letupan supernova yang membentuk asteroid dan kemudiannya mengenai Bumi pada kedalaman yang rendah.



Apakah keunikan Enigma?


Berlian hitam seperti Enigma hanya boleh ditemui di Brazil atau Republik Afrika Tengah, yang menguatkan tanggapan bahawa ia berasal dari luar angkasa.


Kedua-dua wilayah itu, seperti yang dijelaskan oleh Sotheby's, telah bersambung lebih daripada satu bilion tahun yang lalu dan membentuk sebuah benua besar yang dipanggil Rodinia. Dalam tempoh inilah kawasan itu dipercayai dilanda meteorit sehingga pengedaran berlian carbonado ada di situ.


Enigma dianggarkan berusia 2.6 bilion hingga 3.8 bilion tahun dahulu. Tukang emas Sotheby, Nikita Binani berkata Enigma adalah berlian 'unik dan berharga'.


"Berlian ini telah disayangi oleh pemiliknya selama dua dekad dan ia tidak pernah dipertontonkan kepada umum atau ditawarkan ke pasaran terbuka. Jadi kami berbesar hati berpeluang menceritakan kisahnya kepada dunia.


"Penjualan (berlian) ini adalah peluang seumur hidup untuk memperoleh salah satu keajaiban berbilion tahun yang paling jarang diketahui manusia," jelasnya.  


Berlian hitam bernama Enigma sedang ditunjukkan kepada umum di Dubai, Emiriah Arab Bersatu. - Foto EPA.

Jumaat, 28 Januari 2022

Saintis terkejut zarah berasal dari tayar dan plastik ada di kutub

Saintis terkejut zarah berasal dari tayar dan plastik ada di kutub


Pencemaran nanoplastik telah dikesan di kawasan kutub buat kali pertama, dan situasi itu menunjukkan bahawa zarah-zarah kecil itu kini telah berada di seluruh dunia, lapor akhbar The Guardian pada 21 Januari 2022.


Analisis teras daripada kawasan ais di Greenland menunjukkan, pencemaran nanoplastik telah mencemarkan kawasan terpencil itu selama lebih 50 tahun.


Para penyelidik juga terkejut apabila mendapati, satu perempat daripada zarah itu berasal daripada tayar kenderaan. Zarah yang sangat ringan itu dikatakan bertiup ke Greenland melalui angin dari bandar-bandar di Amerika Utara dan Asia.


Nanoplastik yang ditemui pada ais di MaMurdo Sound di Antartika berkemungkinan telah dibawa oleh arus laut ke benua terpencil itu.


Plastik adalah sebahagian daripada pencemaran kimia yang melanda planet ini dan melepasi had selamat untuk manusia. Pencemaran plastik turut ditemui dari puncak Everest hingga ke lautan.


Orang ramai dikhuatiri secara tidak sengaja telah menyedut mikroplastik dan kajian mendapati, zarah tersebut boleh menyebabkan kerosakan pada sel manusia.


Ketua penyelidik dari Universiti Utrech di Belanda, Dusan Materic berkata, pihaknya mengesan zarah nanoplastik di sudut paling jauh di Bumi iaitu di kedua-dua kawasan kutub selatan dan utara.


"Nanoplastik sangat aktif secara toksik berbanding mikroplastik. Kejutan bagi kami bukanlah hanya baru dapat mengesan nanoplastik di sini, tetapi kami mengesannya sehingga ke bawah teras ais," jelasnya.


Kajian terbaru yang diterbitkan dalam jurnal Penyelidikan Alam Sekitar, mendapati terdapat 13 nanoplastik bagi setiap mililiter ais cair di Greenland, empat kali lebih banyak di dalam ais Antartika.


Di Greenland, separuh daripada nanoplastik adalah polietilena (PE), digunakan dalam beg plastik sekali pakai dan pembungkusan. Satu perempat adalah zarah tayar dan satu perlima adalah polietilena tereftalat (PET), yang digunakan dalam botol minuman dan pakaian.


Zarah nanoplastik dikesan sehingga ke bawah teras ais di kawasan kutub (gambar hiasan). - Foto The Guardian.

Jumaat, 21 Januari 2022

Saintis 'boleh' ramal jangka hayat manusia menerusi imbasan retina

Saintis 'boleh' ramal jangka hayat manusia menerusi imbasan retina


Penyelidik di Australia telah mencipta program berteknologi kepintaran buatan (AI) baharu, bertujuan untuk meramalkan jangka hayat manusia dengan hanya mengimbas retina pada mata mereka - tisu di bahagian belakang mata, lapor laman berita Wion News pada 19 Januari 2022.


Penemuan yang diterbitkan pada hari Rabu (19 Januari) dalam British Journal of Ophthalmology, adalah berdasarkan kajian retina - didakwa oleh saintis bertindak sebagai 'jendela' yang membenarkan mereka untuk melihat dengan lebih mendalam tentang keadaan kesihatan seseorang.


Kumpulan penyelidik dari Pusat Penyelidikan Mata Melbourne mendakwa bahawa algoritma AI boleh meramalkan usia retina dengan tepat. Mereka menganalisis hampir 19,000 imbasan fundus iaitu kawasan belakang mata dimana terletaknya retina.


"Retina menjadi 'jendela' yang unik dan boleh diakses untuk menilai punca serta kesan sesuatu penyakit yang berkaitan dengan saluran darah dan saraf yang dikaitkan dengan peningkatan risiko kematian," tulis pengarang kajian, Dr. Mingguang He yang merupakan profesor epidemiologi oftalmik di Universiti Melbourne dan Pusat Penyelidikan Mata di Australia.


Kajian itu menganalisis lebih 130,000 imej retina daripada sampel yang diambil daripada lebih 500,000 responden,  berusia antara 40 tahun hingga 69 tahun yang menyertai kajian jangka panjang tajaan kerajaan Britain itu, UK BioBank.


Kajian sama turut mendapati berlakunya peningkatan risiko punca kematian sebanyak 2 peratus pada setiap satu tahun perbezaan usia sebenar dengan usia yang dikenal pasti menerusi retina mata. - Sumber Wion News.


Jangka hayat manusia kini boleh diketahui menerusi imbasan retina pada mata. - Foto Getty.

Selasa, 11 Januari 2022

Pengikut ajaran 'flat Earth' percaya Bumi berbentuk donat dengan lubang 'gergasi' di tengahnya

Pengikut ajaran 'flat Earth' percaya Bumi berbentuk donat dengan lubang 'gergasi' di tengahnya


Sebilangan pengamal ideologi 'Bumi mendatar' percaya bahawa planet ini berbentuk seperti donat yang mempunyai sebuah lubang besar pada bahagian tengahnya, lapor akhbar Daily Star pada 9 Januari 2022.


Menurut 'Teori Bumi Donat' yang dipercayai mereka, Bumi ini berbentuk seperti cincin atau dalam bahasa saintifik berbentuk 'torus', dan teori konspirasi ini semakin popular di kalangan pengikut tersebut.


Teori tersebut mula dikeluarkan oleh seorang pengamal ideologi itu, Dr. Rosenpenis dalam sebuah forum pada 2008, dan ia asalnya dikeluarkan sebagai satu bentuk gurauan.


"Saya menggunakan perisian akademik astrofizikal profesional bagi membina sebuah model Bumi berbentuk donat dengan ruang angkasa yang 'enak' dan Bumi yang disaluti dengan 'gula'," katanya.


Gurauan itu bagaimanapun berkembang menjadi satu idea yang dipercayai dengan sebilangan pengikut mendakwa, bahawa manusia tidak dapat melihat lubang pada bahagian tengah Bumi disebabkan cara cahaya membengkok.


Sementara itu, dalam forum yang sama pada 2012, seorang lagi pengamal ideologi tersebut yang dikenali sebagai Varaug berkata, dia percaya bahawa Bumi berbentuk seperti donat (torus), namun disebabkan cahaya berada dalam bentuk melengkung, keadaan itu sukar dijelaskan.


Varaug mengembangkan ideanya, dengan alasan bahawa cahaya mengikuti lengkung torus, menjadikan lubang itu 'tidak dapat dilihat'. Ketika ditanya mengapa tiada siapa yang pernah jatuh ke dalam lubang Bumi, Varaug meminta ahli forum lain untuk menganggap Bumi sebagai 'donat jem', dengan graviti bekerja ke arah jem.


Varaug juga berpendapat bahawa siang dan malam masih berlaku kerana Bumi berbentuk donat melengkapkan revolusi setiap 24 jam, dengan lubang pada sudut 90 darjah terhadap Matahari.


Pengikut 'flat Earth' lain juga membuat spekulasi bahawa bentuk torus terbentuk oleh tarikan graviti batu dan habuk serta cebisan bahan angkasa bersama-sama ke orbit tanpa titik fokus pusat, dengan berkesan mencipta planet berbentuk cincin berputar di sekeliling tiada - lubang.


Para saintis telah menyelar teori itu, menjelaskan bahawa Matahari tidak boleh terbit atau terbenam seperti yang berlaku jika Bumi mempunyai lubang ternganga di tengah, dan kita juga tidak akan mengalami siang dan malam seperti yang kita alami sekarang.


Pengikut ajaran 'Bumi mendatar' menolak fakta yang menyatakan bahawa Bumi berbentuk sfera. - Foto Getty.

Ahad, 9 Januari 2022

Manusia akan cepat buta jika mengembara ke planet lain

Manusia akan cepat buta jika mengembara ke planet lain

Para saintis telah memberi amaran tentang potensi kerosakan pada mata jika manusia menghabiskan lebih banyak masa di angkasa lepas, berikutan aduan daripada angkasawan tentang masalah penglihatan yang kabur sekembalinya ke Bumi.



Sekumpulan penyelidik yang melakukan kajian mendapati manusia boleh menjadi buta dengan cepat sekiranya mereka mengembara ke angkasa lepas atau tinggal di planet lain, lapor akhbar Daily Star pada 6 Januari 2022.


Kajian itu dicapai selepas penyelidik melakukan kajian terhadap bahagian otak dan kesan graviti terhadap penglihatan kepada angkasawan yang pernah mengembara ke sana.


Kajian itu dilakukan selepas angkasawan memaklumkan mereka perlu memakai cermin mata untuk melihat selepas pulang ke Bumi.


Saintis melihat Sindrom Neuro-Okular (SANS) berkaitan penerbangan angkasa dan membandingkan imbasan otak sebelum dan selepas pelayaran angkasa lepas.


Kajian mendapati semakin lama angkasawan berada di angkasa, penglihatan mereka menjadi semakin kabur dan mereka mempunyai masalah penglihatan.


Pakar dari Universiti Perubatan Carolina Selatan, Amerika Syarikat berkata, angkasawan terpaksa membawa sepasang cermin mata tambahan apabila mereka mengembara ke angkasa.


"Hal ini kerana mereka tahu bahawa penglihatan mereka akan merosot ketika berada di angkasa lepas dan memanggilnya sebagai 'cermin mata jangkaan angkasa'," katanya.


Sebelum ini, seorang bekas ketua Agensi Angkasa Lepas dan Aeronautik Kebangsaan (NASA) berkata, planet Marikh boleh didiami manusia dengan syarat memasang medan magnet di sekeliling planet merah itu.


Manusia akan buta jika mengembara ke planet lain. - Foto Getty Images/iStockphoto.

Khamis, 6 Januari 2022

Blackberry tamatkan sokongan perisian, semua peranti versi klasik tidak berfungsi dengan baik lagi

Blackberry tamatkan sokongan perisian, semua peranti versi klasik tidak berfungsi dengan baik lagi


Syarikat BlackBerry secara rasmi menamatkan sokongan perisian bagi semua model telefon pintar keluaran terdahulu, lapor laman berita Independent pada 4 Januari 2022.


Ini bermakna semua model peranti klasik syarikat itu yang menggunakan sistem operasi BlackBerry OS atau BB10 OS tidak akan mempunyai sokongan perisian lagi.


BlackBerry memaklumkan perkhidmatan bagi telefon pintar itu telah ditamatkan pada 4 Januari lalu. Jelas syarikat itu, semua peranti versi klasik kini tidak dapat berfungsi dengan baik lagi.


Ia termasuk kehilangan fungsi untuk membuat panggilan, menghantar pesanan teks, menerima data mahupun panggilan perkhidmatan kecemasan. Penamatan tawaran perkhidmatan dan infrastruktur ini juga akan menjejaskan beberapa fungsi lain. 


"Bagaimanapun, ia tidak memberi kesan kepada BlackBerry Protect baharu yang mana merupakan penyelesaian keselamatan berasaskan teknologi AI," jelas syarikat itu dalam kenyataan.


BlackBerry adalah telefon pintar yang digemari ramai satu masa lalu, yang membantu memacu revolusi mudah alih dan berada di barisan hadapan perniagaan dan teknologi. Versi terakhir BlackBerry OS dikeluarkan pada tahun 2013.


Pada tahun 2016, selepas telefonnya digantikan sebahagian besarnya oleh telefon pintar daripada Apple dan lain-lain. BlackBerry mengumumkan bahawa ia telah beralih daripada telefon kepada pembuatan perisian.


Bermakna, mereka akan menumpukan pada menyediakan alat keselamatan kepada syarikat dan kerajaan. Ia telah menjual jenama BlackBerry kepada syarikat lain yang kemudian mencipta peranti dengan nama itu.


Pada tahun 2020, BlackBerry berkata, ia akan mula menggunakan perkhidmatan legasi luar yang membolehkan peranti lama terus berfungsi. Telefon yang menjalankan mana-mana sistem pengendalian BlackBerry 7.1 OS dan lebih awal, perisian BlackBerry 10 telah diberi 'tarikh tamat hayat atau penamatan' pada awal tahun 2022.


Tarikh itu akhirnya tiba dan sokongan telah berakhir. Walaupun telefon masih boleh melaksanakan beberapa fungsi mereka tanpa perkhidmatan BlackBerry, banyak ciri utamanya akan dialih keluar dan telefon tidak akan berfungsi dengan baik.


BlackBerry berkata sokongan itu telah dialih keluar sebagai mengiktiraf hakikat bahawa mereka kini berfungsi dalam pembuatan perisian keselamatan, dan produk lama tidak menggambarkan perniagaannya.


"Ia mempunyai sokongan yang berpanjangan pada tahun-tahun sejak peralihan itu, sebagai ungkapan terima kasih kepada rakan kongsi dan pelanggan setia kami," jelas syarikat tersebut.

Ahad, 5 Disember 2021

NASA dalam misi mengumpul batuan Bulan, dipercayai mampu bekal oksigen selama 100,000 tahun di Bumi

NASA dalam misi mengumpul batuan Bulan, dipercayai mampu bekal oksigen selama 100,000 tahun di Bumi


NASA percaya bahawa batuan di permukaan Bulan berpotensi menyimpan bekalan oksigen, yang mencukupi untuk menampung populasi sedia ada berjumlah 8 bilion penduduk Bumi bagi tempoh 100,000 tahun akan datang, lapor akhbar Daily Star pada 29 November 2021.


Meskipun batuan itu dikatakan mempunyai simpanan oksigen, tiada satu pun daripadanya berada dalam bentuk gas yang boleh digunakan untuk bernafas. Sebaliknya, ia terperangkap di dalam lapisan batuan dan habuk halus yang meliputi permukaan Bulan digelar regolith.


Namun, NASA percaya bahawa sekiranya oksigen dapat diekstrak daripada batuan yang terdapat di permukaan bulan, terdapat kemungkinan ia berpotensi menyokong kehidupan manusia.


Kajian dijalankan NASA mendapati bahawa permukaan Bulan mempunyai banyak oksigen yang terperangkap dalam bentuk oksida silika, aluminium, besi serta magnesium, manakala regolith terdiri daripada 45 peratus kandungan oksigen.


Disebabkan itu, NASA menjangkakan bahawa Bulan dapat menyalurkan gas oksigen kepada hidupan di Bumi selama 100,000 tahun sekiranya oksigen tersebut dapat diekstrak.


Menurut laporan The Sun, NASA telah bekerjasama dengan Agensi Angkasa Australia untuk menghantar rover kecil buatan Australia ke Bulan pada Oktober lalu, dan dijangka akan mendarat di Bulan awal tahun 2026.


"Ini adalah langkah penting ke arah mewujudkan kehadiran manusia yang mampan di Bulan, serta menyokong misi masa depan ke Marikh," kata kerajaan Australia dalam satu kenyataan Oktober lalu.


Buat masa ini, NASA akan mengumpul batuan tersebut menerusi misi Artemis NASA dan ia digunakan dalam kajian lanjut sehingga organisasi itu menemui cara untuk mengekstraknya dengan berkesan.


NASA menjangkakan bahawa Bulan dapat menyalurkan gas oksigen kepada hidupan di Bumi untuk 100,000 tahun akan datang sekiranya oksigen tersebut dapat diekstrak. - Foto Getty.