Memaparkan catatan dengan label Fakta. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Fakta. Papar semua catatan

Jumaat, 8 Oktober 2021

Saintis Ramal Bumi Tidak Stabil Kerana Bulan Semakin Jauh Meninggalkan Bumi

Saintis Ramal Bumi Tidak Stabil Kerana Bulan Semakin Jauh Meninggalkan Bumi


Bumi dan Bulan, dua planet yang wujud saling berhubungan sejak jutaan tahun lalu, dan kita tidak dapat menafikan bahawa Bulan mempunyai kesan tersendiri di Bumi. Fakta yang cukup menarik untuk kita ketahui adalah bahawa Bulan sebagai satelit semula jadi Bumi.


Baru-baru ini, para saintis menyuarakan kebimbangan bahawa Bumi bakal menjadi tidak stabil disebabkan jarak Bulan yang kini berada semakin jauh dari planet ini, lapor akhbar Daily Star pada 5 Oktober 2021.


Sepanjang kewujudannya, saintis mendapati bahawa Bulan telah bergerak menjauhi Bumi. Biarpun perkara tersebut merupakan sesuatu yang normal, para saintis percaya bahawa Bulan kelak akan meninggalkan Bumi buat selama-lamanya.


Menurut jurnal Earth, Planets and Space, keadaan itu akan menyebabkan kekacauan dalam setiap aspek kehidupan manusia kerana putaran graviti Bumi dan Bulan memberi kesan kepada laut, matahari, mamalia, tumbuh-tumbuhan dan banyak lagi.


Sementara itu, beberapa pakar lain turut memberi amaran bahawa Bulan boleh berada pada jarak yang semakin hampir dengan Bumi yang boleh menyebabkan ia dimusnahkan oleh graviti.


Amaran itu serupa yang dilaporkan oleh jurnal yang sama tahun lalu, yang menghitung 50 tahun data untuk menunjukkan 'trend yang mungkin tidak kita lihat'. Namun, sehingga kini, tiada sesiapa yang boleh menjangkakan bila perkara itu akan berlaku.


Jadi apa kesannya jika Bumi tidak mempunyai Bulan? Dan pernahkah kita membayangkan kehidupan kita di Bumi tanpa Bulan? Menurut pakar, satu hari penuh yang biasanya terdiri dari 24 jam hanya dapat dilalui dengan hanya 6 jam dalam sehari.


Jika ditukar dalam setahun, ia adalah sekitar 1,100 hingga 1,400 hari. Cuba bandingkan dengan masa yang sedang berlaku di mana dalam setahun masa yang kita lalui bersamaan dengan kira-kira 8,760 jam. Sebaliknya, sehari 24 jam di Bumi mungkin kelihatan seperti tidak berubah dari satu tahun ke tahun berikutnya.


Perubahannya kelihatan sangat kecil sehingga memerlukan berabad-abad untuk dirasakan. Putaran Bumi juga melambat sedikit demi sedikit kerana tidak ada geseran pasang surut yang dilakukan oleh Bulan di Bumi dalam keadaan ideal ketika kedua-dua keadaan berinteraksi.


Bulan kini bergerak semakin menjauhi Bumi. - Foto Getty Images.

Khamis, 23 September 2021

Ahli Arkeologi Menemukan Batu Pemberat Berusia 2,700 Tahun

Ahli Arkeologi Menemukan Batu Pemberat Berusia 2,700 Tahun


Sekumpulan ahli arkeologi menemukan batu pemberat berusia 2,700 tahun yang dipercayai digunakan untuk menipu timbangan dan sukatan dalam perniagaan pada era Baitulmuqaddis purba.


Menurut laporan Kompas.com pada 23 September 2021, batu pemberat itu ditemukan apabila pasukan ahli arkeologi melakukan kerja-kerja penggalian di bahagian utara Silwan, yang terletak di kawasan Kota Lama Yerusalem.


Terdapat dua calar pada batu pemberat yang bersaiz 14 milimeter (mm) diameter dan 12 mm panjang manakala beratnya kira-kira 0.944 gram.


Namun selepas dikaji, didapati berat batu itu 3.61 gram atau tiga kali ganda lebih berat berbanding simbol dua calar pada permukaan batu.


Dua ahli arkeologi, Eli Shukron dan Hagai Cohen Kolonimus dari Hebrew University of Jerusalem meneliti batu pemberat tersebut.


Mereka memutuskan bahawa batu pemberat itu digunakan untuk menipu atau menipu orang ketika berniaga. Pasukan ahli arkeologi juga menyifatkan batu pemberat itu sebagai penemuan yang sangat jarang berlaku.


Media Israel melaporkan setakat ini ahli arkeologi hanya pernah menemukan dua batu pemberat dari era Baitulmuqaddis purba.


Batu pemberat berusia 2,700 tahun ditemukan oleh ahli arkeologi. - Foto BBC Indonesia.

Khamis, 16 September 2021

Lebih 1,400 Ikan Lumba-Lumba Dibunuh, Tradisi Tahunan Di Kepulauan Faroe

Lebih 1,400 Ikan Lumba-Lumba Dibunuh, Tradisi Tahunan Di Kepulauan Faroe


Sekumpulan pemburu di sebuah kepulauan terpencil di Denmark dikatakan telah membunuh 1,428 ekor ikan lumba-lumba pada minggu ini, merupakan pembunuhan terbesar pernah direkodkan dalam perburuan tahunan tradisional negara itu.


Beberapa keping imej mengerikan menunjukkan beribu-ribu bangkai ikan lumba-lumba yang dipenuhi darah dibiarkan terdampar di tepi pantai di kepulauan Faroe. Darah dari mamalia itu turut 'mengubah' warna air laut menjadi merah.


Menurut laporan akhbar Mirror UK pada 14 September 2021, Festival tahunan itu dipanggil 'grindadrap' atau 'grind' dan telah bermula semenjak zaman Viking. Menurut data yang disimpan oleh kepulauan Faroe, lebih 1,000 ekor mamalia laut dibunuh setiap tahun dalam acara tersebut.



Sebagai sebahagian daripada tradisi itu, kapal-kapal akan membawa ikan lumba-lumba 'Atlantic White Sided' ke pelabuhan di pulau Skalafjorour. Di situ, pemburu-pemburu akan membunuh haiwan-haiwan tersebut dengan menggunakan cangkuk, pisau dan tombak.


Amalan tersebut dikecam oleh kumpulan hak asasi haiwan dengan menyifatkannya sebagai 'tidak berperikemanusiaan' namun penduduk tempatan mendakwa ia adalah bahagian penting dalam tradisi tempatan.


Amalan tersebut berlaku semenjak zaman ketika penduduk tempatan bergantung kepada daging ikan lumba-lumba sebagai sumber makanan. Pun begitu, satu kajian baru-baru ini mendapati daging mengandungi merkuri dan tidak digalakkan untuk dimakan secara berkala.


Imej mengerikan menunjukkan ikan lumba-lumba yang ditangkap dan dibunuh di kepulauan Faroe. - Foto SWNS.

Sabtu, 4 September 2021

Penduduk Dikejutkan Penemuan 'Kuali Raksasa Zaman Purba' Ketika Melakukan Kerja Penggalian

Penduduk Dikejutkan Penemuan 'Kuali Raksasa Zaman Purba' Ketika Melakukan Kerja Penggalian


Penduduk dikejutkan dengan penemuan objek yang menyerupai kuali berukuran 'raksasa' tertanam dalam tanah pada kedalaman tiga meter, ketika seorang pekerja melakukan kerja penggalian, lapor DetikNews pada 1 September 2021.


Penemuan itu bermula ketika penduduk Kretek, Desa Jambidan, Kapanewon Banguntapan, Bantul, Yogyakarta, ingin membina padang permainan untuk kanak-kanak pada selasa 31 Ogos lalu. Namun, ketika menggali tanah menggunakan backhoe, mereka menjumpai objek seperti kuali.


Pada awalnya, penduduk memberitahu penemuan objek tersebut sebagai kuali raksasa zaman purba. Ramai yang mendakwa 'kuali' itu digunakan oleh makhluk gergasi. Bagaimanpun, andaian itu tidak benar, objek itu bukan kuali seperti yang mereka katakan.


Memetik laporan DetikNews, Supardi, 57, penyewa tanah di kawasan itu menjelaskan objek berkenaan ditemukan ketika salah seorang pekerja projek melakukan penggalian, dan objek disangka kuali itu merupakan pangkalan pam air yang telah digunakan sejak zaman penjajahan Belanda.



"Orang tua pernah beritahu kawasan ini merupakan tempat pam air oleh Belanda. Ini (objek) bukan untuk memasak tetapi sebahagian daripada mesin pam air," katanya.


Menurut Supardi, wilayah Jambidan termasuk Kretek pernah dikenali sebagai ladang tebu. Jelasnya, pemerintah Belanda membina pam air di kawasan itu untuk mengairi kawasan ladang.


Katanya, kerajaan dan penduduk tempatan pada tahun 1980 telah merancang untuk mengaktifkan semula sistem pengepaman ini dengan mengambil air dari sungai Opak untuk tujuan pengairan. Namun rancangan itu gagal diteruskan kerana air tidak dapat mengalir ke semua kawasan.


Sementara itu, ketua kampung, Riyan Hidayat juga mengesyaki bahawa objek itu merupakan peninggalan zaman Belanda berdasarkan catatan sejarah. Katanya, warisan budaya telah memeriksa lokasi dan mengatakan bahawa objek itu bukan dari zaman purba.



Sabtu, 21 Ogos 2021

Yanjin Bandar Paling Sempit Di Dunia Seakan Kota Dalam Filem Fantasi

Yanjin Bandar Paling Sempit Di Dunia Seakan Kota Dalam Filem Fantasi


Dibina di sepanjang Sungai Nanxi antara pergunungan curam di wilayah Yunnan, bandar Yanjin dianggap sebagai bandar paling sempit di dunia, lapor Oddity Central pada 6 Ogos 2021 lalu.


Jika melihat bandar Yanjin dari udara, sukar untuk membayangkan penempatan itu sebenarnya wujud dalam kehidupan sebenar. Namun, itulah yang membuat bandar Yanjin unik, ia kelihatan seperti dalam filem fantasi atau dalam permainan simulasi dengan bangunan daripada kota moden.


Walaupun mempunyai kawasan yang terhad, bandar ini dihuni kira-kira 450,000 penduduk dengan titik paling sempit di bandar Yanjin adalah seluas 30 meter. Ruang paling luas di bandar ini pula diukur kira-kira 300 meter.



Bandar Yanjin mempunyai satu jalan utama di setiap sisi dan walaupun terdapat deretan bangunan serta rumah di sepanjang sungai, bandar ini tidak mempunyai banyak jambatan.


Selain itu, kebanyakan kediaman penduduk terletak di bahagian kanan tebing sungai dan struktur pembinaannya disokong dengan tiang tinggi bagi mengelakkan banjir sekiranya paras sungai meningkat.


Bandar ini sudah dihuni sejak ratusan tahun lalu, malah penduduknya juga enggan berhijrah ke bandar besar. Namun, ekonomi di bandar ini tidak 'semewah' di bandar utama yang lain kerana kedudukannya yang sukar diakses oleh para pelabur.






Khamis, 19 Ogos 2021

Mahu Rasa Tinggal Di Planet 'Marikh', NASA Kini Buka Permohonan

Mahu Rasa Tinggal Di Planet 'Marikh', NASA Kini Buka Permohonan


Sebagai persiapan untuk menghantar angkasawan ke planet Marikh, Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Kebangsaan Amerika (NASA), baru-baru ini telah memaklumkan bahawa mereka kini mencari beberapa individu untuk menyertai simulasi 3D 'Marikh'.


Menurut Daily Mail, NASA membuka permohonan untuk empat individu untuk tinggal selama setahun di Mars Dune Alpha, sebuah fasiliti seluas 1,700 kaki persegi, yang dibina menggunakan teknologi percetakan 3D, terletak dalam bangunan Johnson Space Center di Houston.


Kumpulan sukarelawan berbayar itu akan menjalankan misi eksplorasi Marikh yang disimulasikan, lengkap dengan space walk, komunikasi terhad, kekurangan makanan dan sumber serta masalah kelengkapan.



NASA merancang tiga eksperimen, dengan yang pertama bermula pada musim luruh tahun hadapan pada 2022, dan berhasrat untuk menghantar manusia ke planet Marikh menjelang tahun 2037.


"Kami ingin memahami bagaimana manusia berfungsi di dalamnya. Kami mahu melihat keadaan sebenar di Marikh, " kata Ketua Saintis, Grace Douglas.


Proses permohonan dibuka sejak seminggu lalu dan akan berakhir pada 12 September 2021, namun ada kelayakan tertentu yang dicari pihak NASA. Syarat pemilihan sangat ketat, termasuk memiliki ijazah sarjana dalam bidang sains, kejuruteraan atau matematik atau pengalaman sebagai juruterbang.


Hanya warganegara Amerika Syarikat atau penduduk tetap sahaja yang layak, dan pemohon mestilah berumur antara 30 hingga 55 tahun, mempunyai kesihatan fizikal yang baik tanpa masalah diet dan tidak mempunyai masalah mabuk perjalanan.



"Ini bermakna NASA sedang mencari mereka yang hampir sama dengan angkasawan. Lebih baik mencari individu yang menyamai angkasawan sebenar untuk ke Marikh.


"Usaha Rusia dalam misi olok-olok ke Marikh yang disebut sebagai Mars 500, gagal kerana individu yang dipilih adalah mereka dalam kalangan orang biasa," kata bekas angkasawan Kanada, Chris Hadfield.


Malah Hadfield, yang menghabiskan lima bulan di orbit pada tahun 2013 di Stesen Angkasa Antarabangsa, yakin jika individu yang tepat dipilih untuk menyertai program ini, ia akan menjadi pengalaman yang luar biasa untuk mereka.


Mars Dune Alpha, sebuah fasiliti seluas 1,700 kaki persegi, yang dibina menggunakan teknologi percetakan 3D, terletak dalam bangunan Johnson Space Center di Houston.

Habitat Mars Dune Alpha yang dibangunkan di Johnson Space Centre, Houston ini menjadi tapak untuk menilai keserasian manusia dalam persekitaran seumpama Marikh.

Rabu, 4 Ogos 2021

Disangka Bau Mayat, Rupanya Kulat 'Rare' Tumbuh Di Halaman Rumah Berbau Seperti Bangkai

Disangka Bau Mayat, Rupanya Kulat 'Rare' Tumbuh Di Halaman Rumah Berbau Seperti Bangkai


Sepasang suami isteri menemukan sejenis kulat 'rare' yang berbau seperti bangkai di halaman rumah mereka di Berkshire. Penemuan kulat yang diberi nama Clathrus Ruber itu merupakan yang keenam kali dilaporkan di United Kingdom (UK).


Pada mulanya, Terry Driscoll dan Stephanie Slann terhidu bau busuk seperti bangkai sebelum menemukan kulat berwarna merah, yang tumbuh di halaman rumah mereka pada bulan Julai lalu, lapor BerkshireLive pada 3 Ogos 2021, semalam.


Mereka mencabut kulat tersebut dan membuangnya, kemudian Terry memotong rumput di kawasan itu. Bagaimanapun selepas melakukan pemotongan rumput, ia malah menyebabkan lebih banyak kulat itu tumbuh.


Pasangan itu telah mengira dan memaklumkan bahawa ada 13 kulat berwarna merah tumbuh di halaman rumah mereka. Pada mulanya mereka risau anjing mereka mungkin jatuh sakit jika dia memakan salah satu daripada kulat itu.



Kemudian, pasangan itu melaporkan penemuan tersebut kepada Buckinghamshire and Oxfordshire Wildlife Trust (BBOWT) dan mereka mengesahkan kulat itu adalah clathrus ruber.


Setelah mengetahui kulat tersebut dianggap tidak beracun atau berbahaya, pasangan tersebut telah memutuskan untuk membiarkannya terus tumbuh.


"Ketika mula-mula saya melihat kulat itu, saya sangkakan ia adalah permainan anjing dan pada masa yang sama mengeluarkan bau sangat busuk. Kami dimaklumkan kulat itu merupakan tumbuhan yang jarang ditemukan dan kiranya, kami bertuah kerana dapat melihatnya depan mata," kata Terry.


Bau kulat tersebut disamakan seperti bau bangkai haiwan dan keadaan itu menarik perhatian lalat untuk mengerumuninya, kemudian menyebarkan spora.


Secara umumnya, kulat itu boleh dimakan walaupun baunya busuk. Kulat itu banyak tumbuh di selatan Eropah, namun jarang ditemukan di Britain.