Ahad, 9 Januari 2022

Manusia akan cepat buta jika mengembara ke planet lain

Para saintis telah memberi amaran tentang potensi kerosakan pada mata jika manusia menghabiskan lebih banyak masa di angkasa lepas, berikutan aduan daripada angkasawan tentang masalah penglihatan yang kabur sekembalinya ke Bumi.



Sekumpulan penyelidik yang melakukan kajian mendapati manusia boleh menjadi buta dengan cepat sekiranya mereka mengembara ke angkasa lepas atau tinggal di planet lain, lapor akhbar Daily Star pada 6 Januari 2022.


Kajian itu dicapai selepas penyelidik melakukan kajian terhadap bahagian otak dan kesan graviti terhadap penglihatan kepada angkasawan yang pernah mengembara ke sana.


Kajian itu dilakukan selepas angkasawan memaklumkan mereka perlu memakai cermin mata untuk melihat selepas pulang ke Bumi.


Saintis melihat Sindrom Neuro-Okular (SANS) berkaitan penerbangan angkasa dan membandingkan imbasan otak sebelum dan selepas pelayaran angkasa lepas.


Kajian mendapati semakin lama angkasawan berada di angkasa, penglihatan mereka menjadi semakin kabur dan mereka mempunyai masalah penglihatan.


Pakar dari Universiti Perubatan Carolina Selatan, Amerika Syarikat berkata, angkasawan terpaksa membawa sepasang cermin mata tambahan apabila mereka mengembara ke angkasa.


"Hal ini kerana mereka tahu bahawa penglihatan mereka akan merosot ketika berada di angkasa lepas dan memanggilnya sebagai 'cermin mata jangkaan angkasa'," katanya.


Sebelum ini, seorang bekas ketua Agensi Angkasa Lepas dan Aeronautik Kebangsaan (NASA) berkata, planet Marikh boleh didiami manusia dengan syarat memasang medan magnet di sekeliling planet merah itu.


Manusia akan buta jika mengembara ke planet lain. - Foto Getty Images/iStockphoto.


EmoticonEmoticon