Sabtu, 5 Februari 2022

Berlian Hitam Terbesar Dari Angkasa Lepas Berusia Berbilion Tahun Akan Dilelong


Berlian hitam berusia bilion tahun yang dipercayai berasal dari angkasa lepas kini ditawarkan kepada orang ramai oleh Sotheby's Auctions yang berpangkalan di London, England, lapor BBC News pada 3 Februari 2022.


Berlian itu, yang dinamakan 'Enigma', dikatakan sebagai berlian potong terbesar di dunia, menurut versi 2006 Rekod Dunia Guinness. Dengan berat 555.55 karat, Enigma melebihi berlian Great Star of Africa 530.2 karat dan berlian Golden Jubilee 545.67 karat.


Lelongan Enigma akan diadakan sehingga 9 Februari dengan anggaran nilai jualan AS$6 juta (RM25,183,863).


Tetapi, apakah sebenarnya berlian hitam?


Berlian hitam pertama kali ditemui pada tahun 1841 oleh sekumpulan penjelajah Portugis di Brazil. Mereka memanggil objek itu 'carbonado' kerana ia menyerupai ketulan arang batu.


Kewujudan berlian hitam sangat jarang berlaku di dunia. Seperti namanya, berlian itu kelihatan gelap dan tidak lutsinar. Berlian biasanya ditemui bercantum dengan kimberlit jauh di dalam permukaan tanah.


Namun, berlian hitam atau 'carbonado' terdapat dalam lapisan sedimen berhampiran dengan permukaan tanah. Sebab itu berlian hitam dianggap berasal dari angkasa lepas.


Berlian hitam seperti Enigma dipercayai tercipta akibat hentaman meteorit atau akibat letupan supernova yang membentuk asteroid dan kemudiannya mengenai Bumi pada kedalaman yang rendah.



Apakah keunikan Enigma?


Berlian hitam seperti Enigma hanya boleh ditemui di Brazil atau Republik Afrika Tengah, yang menguatkan tanggapan bahawa ia berasal dari luar angkasa.


Kedua-dua wilayah itu, seperti yang dijelaskan oleh Sotheby's, telah bersambung lebih daripada satu bilion tahun yang lalu dan membentuk sebuah benua besar yang dipanggil Rodinia. Dalam tempoh inilah kawasan itu dipercayai dilanda meteorit sehingga pengedaran berlian carbonado ada di situ.


Enigma dianggarkan berusia 2.6 bilion hingga 3.8 bilion tahun dahulu. Tukang emas Sotheby, Nikita Binani berkata Enigma adalah berlian 'unik dan berharga'.


"Berlian ini telah disayangi oleh pemiliknya selama dua dekad dan ia tidak pernah dipertontonkan kepada umum atau ditawarkan ke pasaran terbuka. Jadi kami berbesar hati berpeluang menceritakan kisahnya kepada dunia.


"Penjualan (berlian) ini adalah peluang seumur hidup untuk memperoleh salah satu keajaiban berbilion tahun yang paling jarang diketahui manusia," jelasnya.  


Berlian hitam bernama Enigma sedang ditunjukkan kepada umum di Dubai, Emiriah Arab Bersatu. - Foto EPA.


EmoticonEmoticon