Ahad, 5 Disember 2021

NASA dalam misi mengumpul batuan Bulan, dipercayai mampu bekal oksigen selama 100,000 tahun di Bumi


NASA percaya bahawa batuan di permukaan Bulan berpotensi menyimpan bekalan oksigen, yang mencukupi untuk menampung populasi sedia ada berjumlah 8 bilion penduduk Bumi bagi tempoh 100,000 tahun akan datang, lapor akhbar Daily Star pada 29 November 2021.


Meskipun batuan itu dikatakan mempunyai simpanan oksigen, tiada satu pun daripadanya berada dalam bentuk gas yang boleh digunakan untuk bernafas. Sebaliknya, ia terperangkap di dalam lapisan batuan dan habuk halus yang meliputi permukaan Bulan digelar regolith.


Namun, NASA percaya bahawa sekiranya oksigen dapat diekstrak daripada batuan yang terdapat di permukaan bulan, terdapat kemungkinan ia berpotensi menyokong kehidupan manusia.


Kajian dijalankan NASA mendapati bahawa permukaan Bulan mempunyai banyak oksigen yang terperangkap dalam bentuk oksida silika, aluminium, besi serta magnesium, manakala regolith terdiri daripada 45 peratus kandungan oksigen.


Disebabkan itu, NASA menjangkakan bahawa Bulan dapat menyalurkan gas oksigen kepada hidupan di Bumi selama 100,000 tahun sekiranya oksigen tersebut dapat diekstrak.


Menurut laporan The Sun, NASA telah bekerjasama dengan Agensi Angkasa Australia untuk menghantar rover kecil buatan Australia ke Bulan pada Oktober lalu, dan dijangka akan mendarat di Bulan awal tahun 2026.


"Ini adalah langkah penting ke arah mewujudkan kehadiran manusia yang mampan di Bulan, serta menyokong misi masa depan ke Marikh," kata kerajaan Australia dalam satu kenyataan Oktober lalu.


Buat masa ini, NASA akan mengumpul batuan tersebut menerusi misi Artemis NASA dan ia digunakan dalam kajian lanjut sehingga organisasi itu menemui cara untuk mengekstraknya dengan berkesan.


NASA menjangkakan bahawa Bulan dapat menyalurkan gas oksigen kepada hidupan di Bumi untuk 100,000 tahun akan datang sekiranya oksigen tersebut dapat diekstrak. - Foto Getty.


EmoticonEmoticon