Memaparkan catatan dengan label Bencana. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Bencana. Papar semua catatan

Selasa, 22 Ogos 2023

Sebuah rumah tidak terjejas walaupun kawasan kejiranan di sekelilingnya musnah akibat kebakaran

Sebuah rumah tidak terjejas walaupun kawasan kejiranan di sekelilingnya musnah akibat kebakaran


Tular gambar di laman sosial menunjukkan 'keajaiban' apabila sebuah rumah tidak terjejas walaupun kawasan kejiranan di sekelilingnya musnah akibat kebakaran di Maui dekat Hawaii, Amerika Syarikat.


BBC News melaporkan, rumah kayu berusia 100 tahun di Front Street itu masih utuh berdiri biarpun bandar Lahaina musnah, hingga pemiliknya sendiri hairan bagaimana ia boleh berlaku.


Difahamkan, pemilik rumah berbumbung merah itu dalam perjalanan ke Massachusetts ketika mendapat tahu berita kebakaran itu.


Lelaki dikenali sebagai Milikan dan isterinya itu juga menyangka keseluruhan kawasan kejiranan musnah dalam kebakaran. Ajaibnya, rakaman udara keesokan hari menunjukkan rumah mereka masih utuh.


Berdasarkan laporan BBC, dua tahun lalu, pasangan itu membeli kediaman berusia 100 tahun itu yang pernah menjadi penempatan kakitangan sebuah ladang gula.



Millikin dan isterinya berkata rumah itu rosak, jadi mereka berusaha untuk memulihkannya. Mungkin pengubahsuaian inilah yang menyelamatkan rumah itu, kata pasangan itu kepada media tempatan.


Antara inisiatif dilakukan adalah menukar bumbung asfalt dengan bahan diperbuat daripada sejenis logam, meletakkan batu sungai di sekeliling rumah dan membuang tumbuhan di sekitar kediaman itu.


Bagaimanapun, tiada satu pun daripada tindakan itu bertujuan untuk menghalang kebakaran.


Menurut laporan media, kira-kira 850 individu masih hilang. Usaha pencarian dan pemulihan masih diteruskan di Maui, dengan 114 kematian disahkan setakat ini.


Kebakaran itu memusnahkan sebahagian besar bandar Maui yang bersejarah iaitu Lahaina dan dianggap sebagai bencana alam terburuk dalam sejarah Hawaii. - Sumber BBC News.


Rumah berbumbung merah di bandar Lahaina, yang terselamat daripada kebakaran itu. - Foto AFP.

Isnin, 26 Jun 2023

Bumi makin condong ke arah timur kerana pengambilan air bawah tanah

Bumi makin condong ke arah timur kerana pengambilan air bawah tanah


Satu kajian mendapati Bumi semakin condong ke arah timur kerana pengambilan air bawah tanah antara tahun 1993 hingga 2010, lapor portal berita Daily Mail pada 19 Jun 2023.


Penyelidik-penyelidik di Korea Selatan berkata, pengambilan air bawah tanah di seluruh dunia untuk diminum dan tujuan pengairan mengubah jisim Bumi dan seterusnya menjadikan paksinya bergoyang.


Menurut pasukan itu, pengambilan air dalam jumlah yang besar telah mengakibatkan Bumi mengalami condong 78.5 sentimeter ke arah timur antara 1993 hingga 2010.


Kajian baru itu melibatkan penyelidik di Universiti Kebangsaan Seoul dan diterbitkan dalam jurnal Geophysical Research Letters.


"Kutub putaran Bumi sebenarnya banyak berubah," kata ahli geofizik di Universiti Kebangsaan Seoul, Ki Weon-seo.


"Namun, pengagihan air di planet ini mempengaruhi cara jisim diagihkan menyebabkan apabila air diambil dari satu bahagian planet Bumi, paksinya mula bergerak dan bergoyang," tambahnya.


Bagi melakukan kajian itu, pasukan penyelidik tersebut bergantung pada anggaran tentang berapa banyak air bawah tanah yang telah dikeluarkan oleh manusia menerusi data oleh sekumpulan pakar Belanda pada tahun 2010.


Pasukan saintis Korea Selatan mendapati manusia mengepam keluar 2,150 gigaton air bawah tanah bersamaan dengan lebih 6 milimeter kenaikan paras laut dari 1993 hingga 2010. - Sumber Daily Mail.


Tidak seperti utara dan selatan geografi, yang kekal dalam kedudukan tetap, kutub putaran Bumi berbeza-beza berbanding kerak - satu proses yang dipanggil gerakan kutub. Penyelidik Korea membandingkan gerakan kutub (anak panah merah, 'OBS') dengan hasil pemodelan tanpa (anak panah biru putus-putus) dan dengan (anak panah biru pepejal) pengagihan semula jisim air bawah tanah. Model dengan pengagihan semula jisim air bawah tanah adalah padanan yang lebih baik untuk gerakan kutub yang diperhatikan, memberitahu penyelidik magnitud dan arah pengaruh air bawah tanah pada putaran Bumi.

Isnin, 6 Mac 2023

Korea Utara tuntut PBB halang latihan ketenteraan Amerika Syarikat dan Korea Selatan

Korea Utara tuntut PBB halang latihan ketenteraan Amerika Syarikat dan Korea Selatan


Kementerian Luar Korea Utara semalam menggesa Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menuntut Amerika Syarikat (AS) dan Korea Selatan menghentikan segera latihan ketenteraan yang keterlaluan.


Timbalan menterinya, Kim Son-gyong, berkata latihan bersama AS-Korea Selatan sejak kebelakangan ini dilihat sengaja mahu meningkatkan ketegangan yang mengancam sehingga tidak terkawal.


Korea Utara semalam mendakwa AS bertanggungjawab dalam keruntuhan sistem kawalan senjata antarabangsa dan berkata, senjata nuklear Pyongyang adalah tindak balas yang adil untuk memastikan keseimbangan kuasa di rantau itu.


Pihak sekutu dua negara juga dijangka akan melakukan latihan gabungan udara dengan pengebom jarak jauh AS dan pesawat pejuang Korea Selatan pada Jumaat ini, dan sudah mengadakan latihan selama berminggu-minggu untuk pasukan khas.


"PBB serta masyarakat antarabangsa perlu mendesak AS dan Korea Selatan untuk segera menghentikan kenyataan bersifat provokasi dan latihan ketenteraan bersama mereka," kata Son-gyong.


Tambah beliau, amat dikesali bahawa PBB secara konsisten berdiam diri mengenai latihan itu, yang mempunyai 'sifat agresif yang jelas'.


Bulan lalu Son-gyong mengeluarkan kenyataan mengatakan Setiausaha Agung PBB Antonio Guterres 'sangat tidak adil dan tidak seimbang' terhadap ujian peluru berpandu Korea Utara. - Sumber Reuters.


Ujian peluru berpandu strategik 'Hwasal-2' oleh Korea Utara di bandar Kim Chaek, wilayah Hamgyong Utara. - Foto EPA.

Khamis, 2 Mac 2023

Saintis temui dua isyarat 'degupan' misteri dikesan dari Matahari

Saintis temui dua isyarat 'degupan' misteri dikesan dari Matahari


Saintis-saintis kebingungan setelah menemui dua isyarat misteri seperti bunyi 'degupan' yang dikesan berasal dari Matahari, lapor akhbar Daily Mail pada 27 Februari 2023.


Isyarat itu berulang-ulang dalam beberapa saat. Pasukan itu, yang diketuai oleh Institut Teknologi New Jersey (NJIT) berpendapat ia boleh membantu manusia untuk memahami dengan lebih baik mengenai letupan paling kuat sistem suria.


Isyarat yang direkodkan di atmosfera Matahari itu dilaporkan berulang setiap 10 dan 20 saat. Saintis percaya ia datang dari suar suria kelas C yang meletus lebih 5,000 kilometer di atas permukaan Matahari.


Suar suria merupakan letupan tenaga yang paling kuat. Letupan besar suar suria didakwa cukup untuk mengecilkan saiz Bumi.


Sijie Yu, ahli astronomi yang bergabung dengan NJIT, berkata dalam satu kenyataan menyifatkan penemuan itu sebagai 'tidak dijangka'.


"Corak degupan ini penting untuk memahami bagaimana tenaga dibebaskan dan dihamburkan dalam atmosfera Matahari semasa letupan yang sangat kuat.


"Bagaimanapun, asal usul isyarat berulang yang juga dipanggil denyutan kuasi-berkala ini telah lama menjadi misteri dan menjadi sumber perdebatan dalam kalangan ahli fizik," jelasnya.


Dengan menggunakan Expanded Owens Valley Solar Array (EOVSA) iaitu kemudahan Amerika Syarikat yang menjejaki frekuensi radio gelombang mikro, saintis dapat mengesan lokasi sebenar isyarat pertama.


Kajian mengenai dua isyarat itu masih diteruskan. - Sumber Daily Mail.


Saintis menemui dua denyutan berbeza yang terpancar dari Matahari. - Foto Daily Mail.

Ahad, 19 Februari 2023

Asteroid halimunan 'boleh menyerang Bumi bila-bila masa'

Asteroid halimunan 'boleh menyerang Bumi bila-bila masa'


Bumi boleh dihentam oleh bilangan asteroid yang tidak dapat dikesan lebih awal pada bila-bila masa sahaja, kata seorang pakar dalam satu amaran seperti yang dilaporkan oleh portal berita Daily Star pada 16 Februari 2023.


Insiden itu pernah berlaku apabila meteor Chelyabinsk selebar 19 meter meletup di ruang udara Russia pada 2013 dan tiada siapa tahu bagaimana batu angkasa tersebut memasuki ruang udara di selatan negara itu.


Dalam kejadian itu, seramai 1,600 orang cedera akibat gelombang kejut besar-besaran dan letupannya adalah sama dengan 35 bom di Hiroshima di Jepun pada tahun 1940-an.


Saintis-saintis menganggap bahaya yang akan timbul daripada asteroid yang tidak dapat dikesan atau asteroid halimunan pada masa hadapan berpunca daripada silauan matahari.


Berikutan begitu ramai yang cedera disebabkan letupan meteor Chelyabinsk, sistem baharu dinamakan Near Earth Object Mission (NEOMIR) sedang diusahakan untuk memberi amaran awal kepada orang ramai supaya mereka selamat sekiranya kejadian serupa berulang.


NEOMIR akan dilaksanakan lewat dekad ini bagi mengawasi objek yang menuju ke Bumi dari arah Matahari.


Ketua Pertahanan Planet Agensi Angkasa Eropah, Richard Moissl berkata: "Asteroid sebesar meteor Chelyabinsk 'menyerang' sekitar selang 50 hingga 100 tahun."


"Kecederaan yang disebabkan oleh letupan di udara atau kejadian serupa boleh dicegah jika orang ramai dimaklumkan tentang kesan yang akan berlaku dan ia boleh diramal. Dengan amaran awal, pihak berkuasa tempatan akan dapat menasihati orang ramai supaya menjauhkan diri dari tingkap dan kaca," tambahnya.


NEOMIR akan berada di antara Bumi dan Matahari jauh dari atmosfera Bumi. - Sumber Daily Star.


Bumi boleh dihentam asteroid yang tidak dapat dikesan terlebih dahulu pada bila-bila seperti yang pernah berlaku di Russia pada 2013. - Foto GettyImages/SciencePhotoLibrary RF.

Rabu, 15 Februari 2023

ESA berjaya ramal lebih awal, asteroid meletup di langit Selat Inggeris

ESA berjaya ramal lebih awal, asteroid meletup di langit Selat Inggeris


Sebuah asteroid kecil dinamakan sebagai 2023 CX1 meletup dan menerangi langit malam di Selat Inggeris kira-kira pukul 3 pagi (waktu tempatan) pada hari Isnin 13 Februari lalu, lapor akhbar Daily Mail.


Cahaya akibat letusan asteroid 0.91 meter itu dilaporkan dapat dilihat di seluruh selatan England, Wales termasuk di beberapa bahagian di Perancis.


Ia adalah kali ketujuh serpihan batu angkasa berjaya diramalkan lebih awal akan meletus. Pakar-pakar di Pertubuhan Meteor Antarabangsa menjangkakan kejadian itu yang akan mewujudkan kesan bebola api.


Agensi Angkasa Eropah (ESA) menerusi Twitter menyatakan, pengesanan lebih awal itu adalah tanda kemajuan pesat dalam pengesanan asteroid global. ESA sebelum ini menyatakan objek tersebut dijangka memasuki atmosfera Bumi di utara Perancis.



2023 CX1 berjaya dikesan oleh seorang ahli astronomi Hungary, Krisztián Sárneczky, di Balai Cerap Konkoly di Pergunungan Mátra, Hungary.


Maklum Sárneczky, pada awalnya dia mendakwa batu itu dikesan berada sekitar 233,000 Kilometer dari orbit bumi dan bulan pada jam 8.18 malam waktu tempatan.


"Ia mula memasuki atmosfera pada awal pagi Isnin pada jam 3 pagi merentasi pantai Normandy, Perancis di sepanjang Selat Inggeris.


"Ketika membelah ruang udara, ia terbakar sehingga dapat dilihat dengan terang dari Utara Perancis, Belgium, Belanda dan United Kingdom," katanya.


Pakar fizik, Mark Boslough dari Makmal Kebangsaan Los Alamos, New Mexico, Amerika Syarikat memberitahu portal berita Wales Online bahawa walaupun letusan udara sebesar itu berlaku beberapa kali dalam setahun namun kejadian tersebut jarang ditemui lebih awal. - Sumber Daily Mail.


Sebuah asteroid kecil meletus di Selat Inggeris pada awal pagi Isnin. - Austin Huffmaster/Twitter.

Ahad, 15 Januari 2023

UFO berbentuk cakera terbang berhampiran gunung berapi aktif di Mexico

UFO berbentuk cakera terbang berhampiran gunung berapi aktif di Mexico


Sepasang kekasih peminat hobi fotografi terkejut melihat kehadiran objek terbang tidak dikenali (UFO) ketika merakam gambar sebuah gunung berapi aktif di tengah Mexico, lapor portal berita Mirror UK pada 11 Januari 2023 lalu.


Karla Garcia memberitahu portal berita itu bahawa teman lelakinya, Luis Guerra bangun awal pagi pada Ahad, 8 Januari di rumah mereka di Atlixco, Puebla untuk menyediakan sarapan apabila mereka terdengar bunyi letusan gunung berapi Popocatepetl.


Kata Karla, Guerra mengambil telefon bimbitnya dan mula merakamkan gambar dan video dan menumpukan perhatian pada bulan purnama yang kelihatan di tepi gunung itu.


"Dia kemudian menghantar foto itu kepada saya menerusi WhatsApp dan apabila saya bangun, saya melihatnya dan berkongsi (gambar itu) di status WhatsApp saya," kata Karla.



Namun, Karla yang kekal berada di katil mula menerima mesej daripada rakan-rakan memberitahunya tentang objek yang kelihatan seperti sebuah UFO sedang terbang berhampiran gunung berapi itu.


"Ekoran teman lelaki saya bukan peminat rangkaian sosial, saya bertanya kepadanya sama ada saya boleh memuat naik fotonya ke Twitter dan dia berkata, ya," tambah García.


Dia kemudian melampirkan gambar tersebut kepada seorang wartawan tempatan yang terus berkongsi imej itu di rangkaian tempatannya sebelum ia menjadi tular di media sosial. - Sumber Mirror UK.


Foto menunjukkan gunung berapi setinggi 10,000 kaki dengan kepulan asap yang melayang dari kawahnya, dan di sebelah kanan kelihatan objek berbentuk cakera yang jelas, seperti yang dilaporkan oleh Daily Star. - Foto Facebook/Karla GC.