Memaparkan catatan dengan label Bencana. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Bencana. Papar semua catatan

Ahad, 4 Disember 2022

Saintis menjumpai 'virus zombi' berusia 50,000 tahun 'hidup semula' pada tasik beku yang mencair di Siberia

Saintis menjumpai 'virus zombi' berusia 50,000 tahun 'hidup semula' pada tasik beku yang mencair di Siberia


Para saintis di Perancis menzahirkan kebimbangan selepas 'virus zombi' yang membeku dalam sebuah tasik di Hemisfera Utara Bumi, di Siberia, Rusia selama 50,000 tahun telah mula mencair, lapor akhbar New York Post pada 28 November 2022.


Menurut kajian oleh ahli mikrobiologi, Jean-Marie Alempic dari Pusat Penyelidikan Saintifik Kebangsaan Perancis (CNRS), perubahan iklim dan suhu dunia telah menyebabkan permafros (lapisan ais bawah permukaan tanah tebal yang kekal di bawah takat beku sepanjang tahun) telah mula mencair dan tidak dapat dibekukan semula.


Perkara ini telah menyebabkan pembebasan bahan organik beku yang berusia jutaan tahun termasuk patogen (mikroorganisma yang menyebabkan penyakit) berbahaya. Bahan ini kebanyakannya terurai menjadi karbon dioksida dan metana yang meningkatkan lagi kesan rumah hijau.


"Sebahagian daripada bahan organik ini juga terdiri daripada mikrob selular (bakteria, kulat, alga dan protozoa) yang dihidupkan semula serta virus yang tidak aktif sejak zaman prasejarah.


"Keadaan ini akan menjadi lebih buruk jika penyakit tumbuhan, haiwan atau manusia muncul disebabkan kebangkitan semula virus purba yang tidak diketahui," tulis para penyelidik.


Sebanyak 13 'virus zombi' beku telah ditemui dalam tujuh sampel berbeza dari permafros Siberia dan salah satu daripadanya berusia hampir 50,000 tahun. Sepasukan saintis dari CNRS menghidupkan semula beberapa virus yang ditemui untuk mengenalinya dengan lebih baik.


"Kajian ini mengesahkan kapasiti besar virus asid deoksiribonukleik (DNA) yang menjangkiti Acanthamoeba (sejenis amoeba) untuk kekal berjangkit selepas lebih daripada 48,500 tahun berada di dalam permafros," demikian menurut kajian yang diketuai oleh ahli mikrobiologi, Jean-Marie Alempic.


Kebanyakan virus yang ditemui dalam kajian itu dicadangkan adalah sebahagian daripada keluarga Pandoraviridae virus yang mempunyai DNA dua rantaian dan menjangkiti amoeba.


"Berapa lama virus ini boleh kekal berjangkit sebaik sahaja terdedah kepada keadaan luar (cahaya UV, oksigen, haba) dan kemungkinan besar ia akan menjangkiti perumah yang sesuai dalam selang waktu itu, masih mustahil untuk dianggarkan," kata kajian itu.


Bagaimanapun, selepas mengkaji mikroorganisma tersebut, saintis mendapati bahawa semua yang dikatakan sebagai 'virus zombi' itu mempunyai potensi untuk berjangkit dan memberi ancaman kepada kesihatan semua hidupan.


Mereka menjangkakan virus ini akan menyebabkan pandemik seakan pandemik Covid-19 pada masa hadapan. Hal ini kerana permafros yang sentiasa mencair akibat pemanasan suhu global akan terus mengeluarkan virus yang telah lama tidak aktif.


Virus ini mungkin hanya salah satu daripada jutaan virus lain yang sedang berhibernasi dan belum ditemui. Bagaimanapun, analisis yang lebih mendalam diperlukan untuk menentukan lebih banyak maklumat tentang virus. - Sumber New York Post.


13 'virus zombi' beku ditemui dalam tujuh sampel berbeza dari permafros Siberia dan satu daripadanya berusia hampir 50,000 tahun. - Foto Unsplash.

Selasa, 1 November 2022

NASA rakam imej matahari 'tersenyum' petanda ribut solar dahsyat bakal melanda Bumi

NASA rakam imej matahari 'tersenyum' petanda ribut solar dahsyat bakal melanda Bumi


Satelit NASA merakam gambar corak pergerakan di angkasa awal minggu lalu yang memperlihatkan seakan 'matahari sedang tersenyum', lapor portal berita The Guardian pada 28 Oktober 2022.


NASA berkata, imej yang di rakam Rabu lalu itu menunjukkan keadaan lubang koronal pada matahari berbentuk seperti mata dan mulut dengan 'wajah yang gembira'.


"Hari ini, Balai Cerap Dinamik Solar NASA merakam matahari tersenyum. Dilihat dalam cahaya ultraungu, tompok-tompok gelap pada matahari ini dikenali sebagai lubang koronal dan merupakan kawasan di mana angin solar kencang memancar ke angkasa lepas," jelas NASA di laman Twitter.


Balai cerap yang dilancarkan pada Februari 2010 itu menjalankan misi menyiasat bagaimana aktiviti solar dicipta dan caranya memacu cuaca di angkasa dengan kapal angkasanya berfungsi mengukur kedalaman matahari, atmosfera, medan magnet dan jumlah pengeluaran tenaga.


Menurut The Guardian, gambar tersebut menerima pelbagai reaksi dalam talian apabila ramai membandingkan imej itu dengan ukiran labu Halloween, singa dan matahari yang dipaparkan dalam rancangan kanak-kanak Teletubbies.


Walaupun kelihatan mesra, pakar memberi amaran bahawa lubang korona matahari itu mungkin membawa makna ribut solar bakal melanda bumi minggu ini.


"Matahari yang ceria memuntahkan aliran tiga kali ganda angin solar ke arah bumi," jelas laman Spaceweather.com.


Ribut solar adalah pelbagai letusan jisim dan tenaga dari permukaan suria yang seterusnya mengubah bentuk medan magnet bumi. Akibatnya, ribut ini meningkatkan keterlihatan cahaya kutub, juga dikenali sebagai aurora, di hemisfera utara dan selatan. - Sumber The Guardian.


Gambar yang dirakam NASA rabu lalu menunjukkan keadaan matahari seakan tersenyum. - Foto Twitter NASA.

Ahad, 30 Oktober 2022

Asteroid gergasi 'berpotensi berbahaya' lintas Bumi minggu depan

Asteroid gergasi 'berpotensi berbahaya' lintas Bumi minggu depan


Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Lepas Kebangsaan (NASA) menyatakan bahawa sebuah asteroid gergasi akan melintas Bumi pada minggu hadapan, lapor akhbar New York Post pada 29 Oktober 2022.


Asteroid 'berpotensi berbahaya' itu dinamakan 2022 RM4 dan mempunyai anggaran diameter 740 meter. Ukuran itu dua kali ganda saiz The Shard iaitu bangunan pencakar langit di London yang merupakan bangunan tertinggi di Britain setinggi 310 meter.


Menurut NASA, asteroid sedemikian mempunyai orbit yang lebih besar daripada orbit Bumi mengelilingi Matahari. 2002 RM4 mengorbit Matahari setiap 1,397 hari dan laluannya kadangkala melintasi laluan orbit Bumi mengelilingi Matahari.


Menurut LiveScience.com, asteroid itu akan bergerak melepasi Bumi pada kelajuan sekitar 84,500 kilometer sejam. Dijangka akan melintas Bumi pada 1 November ini pada jarak sekitar 2.4 juta kilometer pada titik terdekatnya sekaligus risiko pelanggaran dengan Bumi adalah tipis.


Pengarah Institut Teknologi dan Industri Angkasa, Profesor Alan Duffy pula menggesa orang ramai supaya tidak berharap untuk melihat fenomena sesebuah asteroid memasuki atmosfera Bumi.


"Saya akan katakan nasihat terbaik ialah tidak menyaksikan kejadian seperti ini. Banyak kecederaan dilaporkan di Chelyabinsk (kejadian meteor terhempas di Russia pada 2013).


"Orang ramai melihat bola api yang terbakar di langit sebelum meletus dan memancar kecerahan yang sama seperti Matahari. Ini menyebabkan berlakunya kerosakan retina pada mata mereka yang tidak melihat dengan cara yang betul," katanya. - Sumber New York Post.


Asteroid itu akan melepasi Bumi pada minggu hadapan. - Foto Getty Images/iStockphoto.

Khamis, 27 Oktober 2022

Saintis ramal ribut angkasa besar mencetuskan 'kiamat internet' matikan talian internet bertahun-tahun

Saintis ramal ribut angkasa besar mencetuskan 'kiamat internet' matikan talian internet bertahun-tahun


Sekumpulan saintis memberi amaran mengenai kejadian ribut besar di angkasa lepas yang mampu mencetuskan keadaan digelar 'kiamat internet' dalam dekad akan datang, lapor akhbar Daily Star pada 25 Oktober 2022.


Kejadian itu diramal akan menyebabkan gangguan talian selama berbulan-bulan atau bahkan bertahun-tahun dengan merosakkan satelit dan talian kuasa, kata saintis.


"Berdasarkan data yang tersedia, terdapat kira-kira satu peratus peluang untuk melihat ribut lain dalam dekad akan datang.


"Namun, kami tidak tahu bagaimana untuk meramalkannya atau apa kemudaratan yang mungkin berlaku disebabkannya. Kemungkinan ini agak membimbangkan, dan meletakkan asas untuk penyelidikan lanjut," kata Dr. Benjamin Pope dari Universiti Queensland di Australia.


Pasukan saintis itu menggunakan lapisan pada batang kayu untuk meramalkan fenomena sedemikian.


"Letusan besar sinaran kosmik yang dikenali sebagai Peristiwa Miyake ini berlaku kira-kira sekali setiap 1,000 tahun tetapi puncanya tidak jelas.


"Teori utama adalah letusan suria yang besar. Kita perlu mengetahui lebih lanjut kerana jika salah satu daripadanya berlaku hari ini, ia akan memusnahkan teknologi termasuk satelit, kabel internet, talian kuasa jarak jauh dan transformer.


"Kesan ke atas infrastruktur global juga tidak dapat dibayangkan," tambah Pope.


Pakar bimbang ribut itu akan melanda manusia menjelang akhir abad ini. Penyelidikan itu diterbitkan dalam jurnal Proceedings of the Royal Society A Mathematical Physical and Engineering Sciences. - Sumber Daily Star.


Ribut itu boleh memusnahkan teknologi di angkasa lepas. - Foto Getty Images/Science Photo Libra.

Ahad, 23 Oktober 2022

Gunung berapi terbesar dunia kini dalam keadaan 'pergolakan yang semakin meningkat' jika meletus 'kiamat kecil' akan berlaku

Gunung berapi terbesar dunia kini dalam keadaan 'pergolakan yang semakin meningkat' jika meletus 'kiamat kecil' akan berlaku


Gempa bumi berukuran 5.0 skala Richter melanda gunung berapi aktif terbesar dunia yang berlaku baru-baru ini dikhuatiri boleh mencetus 'kiamat kecil' sekiranya meletus, sekali gus menyebabkan kemusnahan mega. Gunung berapi itu dikesan dalam 'keadaan pergolakan yang semakin meningkat'.


Menerusi portal berita Metro UK pada 15 Oktober 2022 melaporkan, gunung berapi Mauna Loa yang meliputi separuh Hawaii, mengalami satu siri gegaran, dengan gempa bumi berukuran 4.6 magnitud direkodkan hanya beberapa saat sebelum gempa yang lebih besar berlaku.


Gegaran susulan yang masih dirasai itu diramal berterusan selama beberapa minggu lagi dan para saintis kini memantau dengan teliti sebarang peningkatan aktiviti di sekitar kawasan gunung berapi tersebut.


Menurut Balai Cerap Gunung Berapi Hawaii, gegaran akibat gempa bumi yang lebih besar dibimbangi sudah cukup kuat untuk mendatangkan kerosakan terutamanya kepada bangunan lama.


"Kedua-dua gempa bumi yang berlaku dalam tempoh 24 saat itu mewujudkan gegaran susulan dalam tempoh yang lebih lama dan berkemungkinan dengan kekuatan yang lebih besar," jelasnya.


Menurut Pusat Kajian Geologi Amerika Syarikat (USGS), jumlah gempa meningkat kepada 40 hingga 50 kali sehari sejak dua minggu lalu berbanding hanya lima hingga 10 aktiviti sehari yang direkodkan dari Jun lalu.


Jumlah tertinggi lebih 100 gempa bumi sehari dicatatkan pada 23 dan 29 September lalu. Peningkatan aktiviti seismik menyebabkan Taman Negara Gunung Berapi Hawaii menutup sementara kawasan pedalaman puncak Mauna Loa. - Sumber Metro UK.


Gempa bumi yang berlaku di Gunung Berapi Mauna Loa di Hawaii mencetus kebimbangan para saintis. - Foto AF.

Isnin, 10 Oktober 2022

Pengembara masa ramal meteor membawa makhluk asing terhempas di Bumi hujung tahun ini

Pengembara masa ramal meteor membawa makhluk asing terhempas di Bumi hujung tahun ini


Seorang individu yang mendakwa dirinya sebagai 'pengembara masa dari tahun 2671' memberi amaran kepada orang ramai mengenai beberapa 'peristiwa besar' yang bakal berlaku di Bumi menerusi beberapa hantaran klip video di media sosial.


Menerusi lapor akhbar The Sun pada 8 Oktober 2022, individu itu telah memberi amaran kepada orang ramai bahawa meteor besar akan terhempas ke Bumi yang membawa makhluk asing antara November 2022 hingga Mei 2023.


Pengguna TikTok, Eno Alric, yang lebih dikenali dengan julukan 'theradianttimetraveler' antaranya mendakwa manusia akan menemui planet baharu, dan Bumi dilanda ombak besar.


"Perhatian! Ya, saya pengembara masa sebenar dari tahun 2671, ingat tarikh-tarikh ini. 30 November 2022, Teleskop James Webb menemui planet yang amat menyerupai Bumi.


"8 Disember 2022, meteor besar terhempas di Bumi yang mengandungi jenis logam dan membawa makhluk asing," kata Alric.


Tambahnya, pada 6 Februari 2023, sekumpulan empat remaja akan menemui tinggalan purba dan peranti yang membuka lubang laluan ke galaksi lain.


"23 Mac 2023, sekumpulan saintis yang meneroka Jurang Mariana menemui spesies purba," demikian menurut dakwaannya.


Rata-rata netizen bagaimanapun menunjukkan reaksi tidak percaya mengenai dakwaan tersebut. Salah seorang netizen turut mengatakan bahawa pengembara masa tidak wujud. - Sumber The Sun.


Sebuah meteor besar diramal terhempas di Bumi pada 8 Disember 2022. - Foto radianttimetraveler/TikTok.

Ahad, 9 Oktober 2022

Ribuan ikan salmon liar mati akibat kemarau, sungai di British Columbia kering

Ribuan ikan salmon liar mati akibat kemarau, sungai di British Columbia kering


Spesies salmon liar menjadi mangsa terbaharu akibat kemarau yang melanda wilayah British Columbia di Kanada selama sebulan dengan beribu-ribu bangkai ikan itu bertaburan di sepanjang tebing sungai, lapor laman berita Wion News pada 8 Oktober 2022.


Dalam sebuah klip video yang dikongsikan secara online minggu lalu, bangkai-bangkai ikan salmon spesies merah jambu dan chum didapati terapung dan hanyut ke tebing sungai. Ahli biologi berkata lebih 70 peratus daripada ikan mati di dasar anak sungai sebelum sempat membiak.


Salmon liar sering menunggu hujan sebagai petunjuk untuk 'menongkah' arus sungai kerana paras air yang meningkat akan memudahkan ia berenang ke lokasi kelahiran asal.


"Sungguh menyedihkan untuk melihat perkara ini berlaku. Paras air sungai adalah rendah di kebanyakan kawasan sekarang dan bukan hanya di rantau Heiltsuk, British Columbia. 


"Kami menyaksikan kematian ikan salmon sebelum ia sempat bertelur secara tahunan. Tetapi belum pernah sampai ke tahap ini," kata pengurus pertubuhan pemuliharaan Heiltsuk Nation, William Housty kepada akhbar The Guardian.



Housty mendakwa, kira-kira 10 hari yang lalu, hujan rintik pada waktu petang dan air pasang memberi isyarat palsu kepada ikan-ikan salmon untuk 'berpindah'. Anak sungai yang menjadi kering kerana ketiadaan air kemudian menyebabkan ia terkandas.


Salmon Pasifik liar sering kali mati selepas menggembara melalui anak-anak sungai yang berliku. Bangkainya kemudian diagihkan atau dimakan oleh beruang, burung, serigala atau mana-mana haiwan lain yang memberi manfaat kepada hutan.


Populasi salmon liar sejak beberapa tahun kebelakangan ini menyaksikan penurunan yang lebih besar.


Memandangkan hujan tidak turun di sepanjang pantai barat wilayah British Columbia sejak kebelakangan ini, banyak kawasan dilaporkan mengalami kemarau tahap empat yang dipercayai memberi kesan kepada penduduk setempat dan alam sekitar. - Sumber Wion News.


Salmon Pasifik liar sering kali mati selepas menggembara melalui anak-anak sungai yang berliku, tetapi belum pernah sampai ke tahap ini. - Foto Twitter/William Housty.

Seorang ahli biologi menganggarkan 65,000 salmon mati berada di dasar sungai. - Foto Twitter/William Housty.

Pantai barat British Columbia mengalami sedikit hujan sejak lima minggu lalu dan beberapa kawasan mengalami kemarau tahap empat. - Foto Twitter/William Housty.