Ahad, 4 Disember 2022

Saintis menjumpai 'virus zombi' berusia 50,000 tahun 'hidup semula' pada tasik beku yang mencair di Siberia


Para saintis di Perancis menzahirkan kebimbangan selepas 'virus zombi' yang membeku dalam sebuah tasik di Hemisfera Utara Bumi, di Siberia, Rusia selama 50,000 tahun telah mula mencair, lapor akhbar New York Post pada 28 November 2022.


Menurut kajian oleh ahli mikrobiologi, Jean-Marie Alempic dari Pusat Penyelidikan Saintifik Kebangsaan Perancis (CNRS), perubahan iklim dan suhu dunia telah menyebabkan permafros (lapisan ais bawah permukaan tanah tebal yang kekal di bawah takat beku sepanjang tahun) telah mula mencair dan tidak dapat dibekukan semula.


Perkara ini telah menyebabkan pembebasan bahan organik beku yang berusia jutaan tahun termasuk patogen (mikroorganisma yang menyebabkan penyakit) berbahaya. Bahan ini kebanyakannya terurai menjadi karbon dioksida dan metana yang meningkatkan lagi kesan rumah hijau.


"Sebahagian daripada bahan organik ini juga terdiri daripada mikrob selular (bakteria, kulat, alga dan protozoa) yang dihidupkan semula serta virus yang tidak aktif sejak zaman prasejarah.


"Keadaan ini akan menjadi lebih buruk jika penyakit tumbuhan, haiwan atau manusia muncul disebabkan kebangkitan semula virus purba yang tidak diketahui," tulis para penyelidik.


Sebanyak 13 'virus zombi' beku telah ditemui dalam tujuh sampel berbeza dari permafros Siberia dan salah satu daripadanya berusia hampir 50,000 tahun. Sepasukan saintis dari CNRS menghidupkan semula beberapa virus yang ditemui untuk mengenalinya dengan lebih baik.


"Kajian ini mengesahkan kapasiti besar virus asid deoksiribonukleik (DNA) yang menjangkiti Acanthamoeba (sejenis amoeba) untuk kekal berjangkit selepas lebih daripada 48,500 tahun berada di dalam permafros," demikian menurut kajian yang diketuai oleh ahli mikrobiologi, Jean-Marie Alempic.


Kebanyakan virus yang ditemui dalam kajian itu dicadangkan adalah sebahagian daripada keluarga Pandoraviridae virus yang mempunyai DNA dua rantaian dan menjangkiti amoeba.


"Berapa lama virus ini boleh kekal berjangkit sebaik sahaja terdedah kepada keadaan luar (cahaya UV, oksigen, haba) dan kemungkinan besar ia akan menjangkiti perumah yang sesuai dalam selang waktu itu, masih mustahil untuk dianggarkan," kata kajian itu.


Bagaimanapun, selepas mengkaji mikroorganisma tersebut, saintis mendapati bahawa semua yang dikatakan sebagai 'virus zombi' itu mempunyai potensi untuk berjangkit dan memberi ancaman kepada kesihatan semua hidupan.


Mereka menjangkakan virus ini akan menyebabkan pandemik seakan pandemik Covid-19 pada masa hadapan. Hal ini kerana permafros yang sentiasa mencair akibat pemanasan suhu global akan terus mengeluarkan virus yang telah lama tidak aktif.


Virus ini mungkin hanya salah satu daripada jutaan virus lain yang sedang berhibernasi dan belum ditemui. Bagaimanapun, analisis yang lebih mendalam diperlukan untuk menentukan lebih banyak maklumat tentang virus. - Sumber New York Post.


13 'virus zombi' beku ditemui dalam tujuh sampel berbeza dari permafros Siberia dan satu daripadanya berusia hampir 50,000 tahun. - Foto Unsplash.


EmoticonEmoticon