Ahad, 4 Disember 2022

Lapan aktivis lancar protes dalam restoran Salt Bae diheret keluar


Sekumpulan aktivis diheret keluar dari restoran stik mewah milik Salt Bae di tengah London selepas melancarkan protes di restoran berkenaan petang semalam, lapor akhbar Metro UK pada 3 Disember 2022.


Kejadian tersebut berlaku di restoran Nusr-Et, di Knightsbridge milik chef terkenal Turkiye, Nusret Gokce atau lebih dikenali sebagai Salt Bae yang tular kerana gaya istimewanya menabur garam pada stik.


Kemahirannya membawa kejayaan berbilang restoran di seluruh dunia termasuk di London. Restoran itu menarik perhatian ramai dengan menunya yang mahal termasuk stik 'tomahawk emas' yang dibalut kertas emas 24 karat.


Kumpulan Animal Rebellion menghantar lapan aktivisnya untuk mengadakan protes 'duduk' di restoran stik tersebut tanpa membuat sebarang pesanan makanan.



Aktivis berkenaan dilihat duduk di meja yang ditempah pelanggan lain sambil memegang replika 'menu olok-olok' yang menggariskan permintaan kumpulan tersebut.


Video yang disiarkan oleh kumpulan aktivis haiwan itu menunjukkan seorang ahli kumpulannya sedang dibawa keluar oleh kakitangan premis itu.


Bunyi sorakan kuat didengari di dalam restoran berkenaan ketika kakitangan mengucapkan 'selamat tinggal' kepada aktivis itu.


Polis Metropolitan dilaporkan tiba di tempat kejadian tetapi mengesahkan penunjuk perasaan sudah meninggalkan restoran berkenaan. - Sumber Metro UK.


Pekerja mengheret aktivis yang mengadakan protes keluar dari restoran. - Foto Twitter.


EmoticonEmoticon