Memaparkan catatan dengan label Bencana. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Bencana. Papar semua catatan

Khamis, 4 Ogos 2022

Lubang benam bersaiz 'gergasi' secara misteri muncul di Chile gemparkan penduduk

Lubang benam bersaiz 'gergasi' secara misteri muncul di Chile gemparkan penduduk


Sebuah lubang benam gergasi berdiameter kira-kira 25 meter muncul di kawasan perlombongan di Chile. Penduduk tempatan mendakwa lubang tersebut semakin membesar, sekali gus mendesak pihak berkuasa untuk menyiasatnya dengan lebih terperinci, lapor akhbar Daily Mail.


Menurut laporan media, pekerja sebuah syarikat Kanada, Lundin Mining yang mengawal tapak perlombongan berhampiran Santiago menemui lubang benam itu apabila kembali bekerja selepas hujung minggu.


Datuk Bandar, Cristobal Zuniga berkata bahawa pasukannya telah menerima aduan mengenai kemunculan lubang itu pada Ahad, 30 Julai lalu di wilayah Atacama, berhampiran lombong tembaga Alcaparros.


"Ia masih aktif dan saiznya makin membesar. Itu adalah penemuan yang tidak pernah terjadi dalam komuniti kami sebelum ini," katanya.


Tapak itu pada ketika ini sedang disiasat oleh perkhidmatan geologi dan perlombongan negara, Sernageomin dan beberapa pihak berkuasa berkaitan.


"Terdapat jarak yang agak jauh pada kedalaman kira-kira 200 meter ke bawah. Kami tidak mengesan sebarang bahan di bawah sana tetapi melihat kehadiran air yang banyak," kata pengarah Sernageomin, David Montenegro.


Tapak itu ditutup untuk siasatan lanjut dan dalam kenyataan mereka, Lundin Mining berkata, tiada pekerja yang hadir cedera atau terjejas oleh lubang itu.


"Setelah dikesan, kawasan itu segera dikosongkan dan pihak berkuasa kawal selia yang berkaitan telah pun diberitahu mengenai perkara itu. Tiada sebarang kecederaan melibatkan kakitangan, peralatan atau infrastruktur telah dilaporkan.


"Rumah terdekat adalah lebih 600 meter dari lokasi lubang tersebut, manakala mana-mana kawasan berpenduduk atau perkhidmatan awam berada hampir satu kilometer dari zon terjejas," kata kenyataan rasmi syarikat itu. - Sumber Daily Mail.


Datuk Bandar tempatan, Cristobal Zuniga pada hari Ahad, 30 Julai 2022 mengesahkan kemunculan lubang benam itu, dan bercakap mengenai kebimbangan penduduk berhampiran bahawa perlombongan yang berlebihan di kawasan itu boleh membawa akibat bencana. - Foto Reuters.

"Terdapat jarak yang agak jauh pada kedalaman kira-kira 200 meter ke bawah. Kami tidak mengesan sebarang bahan di bawah sana tetapi melihat kehadiran air yang banyak," kata seorang pegawai Chile. - Foto News Flash.

Lubang selebar 25 meter itu secara misteri muncul pada hari Sabtu di komune Tierra Amarilla di Wilayah Atacama, berhampiran dengan lombong gergasi Alcaparros, dan dianggap sedalam lebih daripada 200 meter. - Foto Reuters.

Media Chile mengeluarkan imej udara tentang fenomena aneh yang berlaku di tanah yang dikendalikan oleh Canadian Lundin Mining copper mine, kira-kira 413 batu di utara ibu kota Santiago. - Foto News Flash.

Ahad, 24 Julai 2022

Nelayan tangkap makhluk laut ganjil, cetus kepercayaan petanda gempa bumi dahsyat bakal menyusul

Nelayan tangkap makhluk laut ganjil, cetus kepercayaan petanda gempa bumi dahsyat bakal menyusul


Sekumpulan nelayan di Chile berjaya menangkap seekor makhluk laut yang kelihatan ganjil sepanjang 4.8 meter (16 kaki), mencetuskan kebimbangan masyarakat setempat apabila mereka percaya kemunculan ikan gergasi itu mungkin petanda bencana dahsyat akan berlaku.


Ini berikutan kepercayaan tahyul masyarakat tempatan bahawa gempa bumi akan berlaku selepas kemunculan ikan gergasi itu yang dikenali sebagai ikan Oarfish, lapor akhbar Daily Star UK pada 13 Julai 2022 lalu.


Ikan itu yang juga digelar 'King of the Herrings' ditangkap di luar pantai Chile, dan orang awam yang tinggal di bandar Arica berpusu-pusu ke jeti untuk melihat haiwan ganjil tersebut.


Rakaman yang dikongsi di laman TikTok menunjukkan ikan yang panjang dan bertulang itu dicangkuk di kepala ketika pekerja-pekerja memindahkannya ke darat.



Rakaman video itu mendapat 10 juta tanda suka. Namun ia turut menimbulkan kebimbangan penduduk tempatan yang khuatir penemuannya adalah petanda gempa bumi dahsyat akan berlaku.


"Isunya sekarang ke mana kita akan melarikan diri jika bencana ini berlaku," komen seorang pengguna media sosial.


"Oarfish hidup di laut dalam. Dikatakan bahawa apabila mereka kembali ke permukaan ia adalah kerana plat tektonik sedang bergerak," komen seorang lagi pengguna.


Sesetengah orang juga percaya bahawa sesiapa yang menemui ikan tersebut akan disumpah, manakala kemunculannya di dunia manusia adalah petanda buruk.


Ikan Oarfish hidup di laut dalam dan hanya kembali ke permukaan apabila sakit, hampir mati atau mahu membiak. - Sumber Daily Star.


Ikan spesies Oar diangkat dari laut ke darat oleh sekumpulan nelayan di bandar Arica, Chile. - Foto Jam Press.

Isnin, 11 Julai 2022

Saintis temui lubang baharu di lapisan ozon, 50 peratus populasi dunia berada dalam bahaya

Saintis temui lubang baharu di lapisan ozon, 50 peratus populasi dunia berada dalam bahaya

Gambar hiasan.

Saintis mendakwa terdapat lubang baharu di lapisan ozon Bumi dikesan sekali gus meletakkan kira-kira separuh penduduk planet ini berada dalam bahaya, kerana berisiko menghidap penyakit kanser kulit, lapor akhbar Daily Mail pada 6 Julai 2022.


Qing-Bin Lu, seorang saintis dari Universiti Waterloo di Ontario, Kanada, mendedahkan lubang itu mengejutkan saintis lain kerana ia tidak ditunjukkan pada pemodelan yang digunakan oleh kebanyakan penyelidik.


Katanya, lubang itu tujuh kali lebih besar daripada sebuah lagi lubang ozon yang ditemui di Antartika sebelum ini. Ia wujud sepanjang tahun dan telah berkembang sejak 1980-an lagi.


"Kewujudannya boleh memudaratkan alam sekitar kita kerana ia boleh menyebabkan peningkatan tahap sinaran ultra ungu (UV) paras tanah dan menjejaskan 50 peratus kawasan permukaan Bumi," jelasnya.


Kewujudan lubang ozon mungkin menimbulkan kebimbangan global yang besar, kerana penipisan lapisan ozon boleh menyebabkan peningkatan sinaran UV yang boleh meningkatkan risiko kanser kulit dan katarak pada manusia.


Selain itu, sinaran UV yang lebih tinggi juga melemahkan sistem imun manusia, mengurangkan produktiviti pertanian, memberi kesan negatif kepada organisma akuatik serta ekosistem yang sensitif.


Bagaimanapun, kajian yang diterbitkan dalam jurnal AIP Advances itu mendapat bantahan daripada pakar-pakar lain mengatakan penemuan itu tidak tepat, dan mereka mempersoal mengapa kajian itu diterbitkan dalam jurnal.


Dr Paul Young, dari Universiti Lancaster dan pengarang utama Penilaian Saintifik WMO/UNEP 2022 tentang Penipisan Ozon, berkata tidak ada 'lubang ozon tropika', didorong oleh elektron yang dicadangkan oleh pengarang daripada sinar kosmik atau sebaliknya.


"Pengenalan pengarang tentang 'lubang ozon tropika' bergantung padanya melihat peratusan perubahan dalam ozon, bukannya perubahan mutlak, dengan yang terakhir adalah lebih relevan untuk merosakkan UV yang sampai ke permukaan.


"Menariknya, artikelnya juga tidak mengambil daripada kesusasteraan luas yang meneroka dan mendokumenkan trend ozon di semua kawasan atmosfera," katanya.


Sementara itu, Profesor Martyn Chipperfield, Profesor Kimia Atmosfera dari Universiti Leeds, berkata dia terkejut apabila kajian itu diterbitkan.


"Hasil kerja ini akan menjadi sangat kontroversi dan saya tidak yakin ia betul. Kami sudah mempunyai pemahaman yang baik tentang penipisan ozon kutub daripada mekanisme kimia yang berbeza dan mantap yang boleh menjelaskan penutupan Lubang Ozon Antartika yang perlahan dan berubah-ubah, dan penyelidikan baharu ini tidak meyakinkan saya.


"Tuntutan dalam penyelidikan ini tentang perubahan ozon yang besar di kawasan tropika tidak kelihatan dalam kajian lain yang membuatkan saya sangat curiga.


"Sains tidak boleh bergantung kepada hanya satu kajian dan kerja baharu ini memerlukan pengesahan teliti sebelum ia boleh diterima sebagai fakta," kata Profesor Martyn Chipperfield.


Lapisan ozon ialah lapisan semula jadi gas yang terletak di stratosfera - lapisan kedua dalam atmosfera bumi. - Sumber Daily Mail.


Kewujudannya, menurut Lu, boleh memudaratkan alam sekitar kita kerana ia boleh menyebabkan peningkatan sinaran UV paras tanah dan menjejaskan 50 peratus kawasan permukaan Bumi. Bagaimanapun, pakar lain mengatakan tiada lubang berdasarkan data yang digunakan oleh Lu. - Foto Daily Mail.

Rabu, 6 Julai 2022

Saintis sahkan Asteroid paling bahaya tidak langgar Bumi pada tahun 2052

Saintis sahkan Asteroid paling bahaya tidak langgar Bumi pada tahun 2052


Kumpulan saintis Agensi Angkasa Eropah (ESA) menyatakan bahawa orang ramai tidak perlu bimbang berhubung ramalan sebuah asteroid berbahaya akan melanggar Bumi pada tahun 2052, kerana perkara itu tidak akan berlaku, lapor akhbar Mirror UK pada 4 Julai 2022.


Batu angkasa gergasi itu mendahului senarai risiko di seluruh dunia selama berbulan-bulan dan dianggap paling berpotensi melanggar Bumi pada 2 April 2052.


Namun, pakar-pakar pasukan asteroid ESA di Balai Cerap Selatan Eropah akhirnya secara rasmi telah mengeluarkan '2021 QM1' daripada senarai asteroid berisiko mereka.


Pengumuman itu dibuat selepas pemerhatian dan analisis terperinci ke atas asteroid yang hampir tidak kelihatan itu menggunakan teleskop paling sensitif di dunia.


"Kami boleh mengatakan dengan selamat bahawa asteroid paling berbahaya yang diketahui oleh umat manusia pada tahun lepas tidak akan melanggar Bumi sekurang-kurangnya untuk abad yang akan datang," kata ESA dalam satu kenyataan.


Asteroid itu pertama kali ditemui pada 28 Ogos tahun lalu oleh balai cerap Mount Lemmon di Arizona, Amerika Syarikat. Pada mulanya, ia tidak dianggap luar biasa kerana sekitar 12 asteroid baharu yang mengorbit berdekatan Bumi ditemui setiap malam.


Namun, kajian lanjut menggunakan pemerhatian daripada teleskop di seluruh dunia mula membongkar kenyataan lebih membimbangkan. Kajian lebih terperinci kemudian menyatakan perkara sebaliknya.


"Pemerhatian awal memberi kami lebih banyak maklumat tentang laluan asteroid ini bagi melakukan unjuran masa hadapan.


"Kami dapat melihat laluan masa depannya mengelilingi matahari dan pada tahun 2052, ia boleh mendekati Bumi secara berbahaya namun risiko itu telah berkurangan," kata Ketua Pertahanan Planet ESA, Richard Moissl.


Pengiraan orbit adalah berdasarkan pemerhatian beberapa malam dan mungkin tidak pasti. Sebab itu, asteroid sering ditambahkan pada senarai risiko ESA apabila ia ditemui, dan kemudian dialih keluar apabila lebih banyak maklumat tentangnya tersedia. - Sumber Mirror UK.


Asteroid itu mendahului senarai risiko di seluruh dunia selama berbulan-bulan dan dianggap paling berpotensi melanggar Bumi pada 2 April 2052. - Foto Getty Images/Science Photo Library RF.

Isnin, 6 Jun 2022

Dunia semakin panas, paras karbon dioksida di atmosfera cecah rekod tertinggi dalam sejarah manusia

Dunia semakin panas, paras karbon dioksida di atmosfera cecah rekod tertinggi dalam sejarah manusia


Jumlah karbon dioksida (CO2) yang memanaskan planet di atmosfera memecahkan lagi rekod pada bulan Mei, meneruskan 'pendakian' tanpa henti, kata saintis pada hari Jumaat lalu.


Ia kini 50 peratus lebih tinggi daripada purata pra-industri, sebelum manusia memulakan pembakaran minyak, gas dan arang batu secara meluas pada akhir abad ke-19, lapor The New York Times pada 3 Jun 2022.


Terdapat lebih banyak CO2 di atmosfera sekarang berbanding bila-bila masa dalam tempoh sekurang-kurangnya 4 juta tahun, kata Pentadbiran Lautan dan Atmosfera Kebangsaan (NOAA).


Kepekatan gas mencecah hampir 421 bahagian sejuta pada bulan Mei, puncak untuk tahun ini kerana loji kuasa, kenderaan, ladang dan sumber lain di seluruh dunia terus mengepam sejumlah besar CO2 ke atmosfera. Pelepasan berjumlah 36.3 bilion tan pada 2021, tahap tertinggi dalam sejarah.


Apabila jumlah CO2 meningkat, planet ini terus panas, dengan kesan seperti peningkatan banjir, haba yang lebih melampau, kemarau dan kebakaran hutan yang semakin teruk, yang kini dialami oleh berjuta-juta orang di seluruh dunia.


Purata suhu global kini kira-kira 1.1 darjah Celcius, lebih tinggi berbanding zaman pra-industri. Tahap CO2 yang semakin meningkat adalah bukti kebanyakan negara mencapai sedikit kemajuan ke arah matlamat yang ditetapkan di Paris pada tahun 2015 untuk mengehadkan pemanasan kepada 1.5 darjah Celcius.


"Kesan bencana perubahan iklim meningkat dengan ketara. Ia peringatan yang jelas bahawa kita perlu mengambil langkah segera dan serius untuk menjadi negara yang lebih bersedia dengan iklim," kata Rick Spinrad, pentadbir NOAA, dalam satu kenyataan.


"Walaupun paras CO2 turun sedikit sekitar 2020 semasa kelembapan ekonomi yang disebabkan oleh pandemik koronavirus, tidak ada kesan ke atas trend jangka panjang.


"Kadar peningkatan kepekatan CO2 'naik berterusan' dan ia terus meningkat pada kadar yang sama seperti yang berlaku pada dekad yang lalu," kata Pieter Tans, seorang saintis kanan dengan Makmal Pemantauan Global NOAA.


Paras karbon dioksida berbeza-beza sepanjang tahun, meningkat apabila tumbuh-tumbuhan mati dan mereput pada musim luruh dan musim sejuk, dan berkurangan pada musim bunga dan musim panas apabila tumbuh-tumbuhan menyerap gas melalui fotosintesis.


Puncaknya dicapai setiap bulan Mei, sejurus sebelum pertumbuhan tumbuhan mempercepatkan di Hemisfera Utara. (Utara mempunyai kesan yang lebih besar daripada Hemisfera Selatan kerana terdapat lebih banyak permukaan tanah dan tumbuh-tumbuhan di Utara.) - Sumber NY Times.


Balai Cerap Baseline Atmosfera Mauna Loa di Hawaii mula mengukur jumlah karbon di atmosfera pada tahun 1958. - Foto Susan Cobb/NOAA.

Ahad, 15 Mei 2022

Dua tompok gelap besar baharu muncul di matahari boleh menelan bumi

Dua tompok gelap besar baharu muncul di matahari boleh menelan bumi


Dua gugusan tompok besar telah muncul di permukaan matahari dan menandakan peningkatan ribut yang berpotensi merosakkan satelit, komunikasi radio dan juga grid kuasa di bumi dalam beberapa bulan akan datang. Beberapa tompok matahari ini sangat besar sehingga boleh menelan seluruh bumi.


Dikenali sebagai 'kawasan aktif' AR2993 dan AR2994, kumpulan tompok matahari baharu ini nampaknya diikuti oleh kumpulan ketiga tompok matahari yang telah menyebabkan suar suria yang kuat ke bumi pada April lalu.


Tompok matahari adalah kawasan matahari di mana medan magnet buat sementara waktu jauh lebih kuat daripada kawasan sekitarnya. Daya magnet ini menghalang aliran gas panas dari bahagian dalam matahari, menjadikan tompok matahari lebih sejuk daripada persekitarannya.


Nyalaan suria berlaku apabila garisan medan magnet berhampiran tompok matahari menyusun semula secara meletup. Kadangkala, letusan sinaran ini juga mencetuskan lentingan jisim korona (CME), yang merupakan letupan plasma matahari.


Menerusi lapor Live Science pada 20 April 2022 lalu, kumpulan tompok matahari ini meliputi kawasan seluas ratusan juta batu persegi, ini bermakna ia jauh lebih besar daripada diameter bumi.


"Saya pasti kita akan melihat 'rantau aktif' yang lebih besar dalam beberapa tahun akan datang," kata ahli fizik, Dean Pesnell dari Pusat Penerbangan Angkasa Goddard NASA.


Pesnell berkata, kitaran semasa dijangka mencapai aktiviti maksimum pada penghujung 2024 atau awal 2025. Tenaga dari kawasan aktif boleh dilepaskan sebagai sinaran (suar suria) dan CME, yang merupakan bola plasma yang panas melampau.


Suar suria dan CME sedemikian boleh mencipta aurora yang indah, tetapi ia juga boleh mendatangkan bahaya kepada grid kuasa, satelit, rangkaian komunikasi, dan mungkin juga peneroka angkasa lepas di luar perlindungan medan magnet bumi.


Pesnell, yang juga merupakan saintis projek untuk Balai Cerap Solar Dynamics Observatory NASA, berkata bahawa suar kelas X1.1 yang kuat dikesan pada 17 April 2022 nampaknya berpunca daripada kumpulan ketiga tompok matahari, yang berputar di belakang AR2993 dan AR2994 ke cakera yang kelihatan dari matahari.


Para saintis membahagikan suar suria kepada lima kelas, setiap satu 10 kali lebih berkuasa daripada yang terakhir - A, B, C, M dan X, menurut NASA. Setiap kategori mempunyai sembilan bahagian dan suar kelas X yang paling berkuasa lebih 10 kali ganda kuasa suar X1.


Pusat Ramalan Cuaca Angkasa Pentadbiran Lautan dan Atmosfera Kebangsaan (NOAA) melaporkan bahawa kesan sinar-X daripada suar X1 pada 17 April lalu menyebabkan gangguan frekuensi radio di bawah 30 MHz di seluruh Asia Tenggara dan Australia.


"Suar korona dan letupan besar-besaran akan menjadi lebih kerap dalam beberapa tahun akan datang, meningkatkan tahap bahaya aktiviti suria," kata Pesnell.


Setakat ini, teknologi telah berjaya mengelakkan kesan terburuk ribut suria dan pengendali kuasa telah mengukuhkan peralatan mereka terhadap gangguan tersebut.


Menurut rekod, suar suria paling teruk dikenali sebagai 'ribut Halloween' berlaku pada tahun 2003. Ribut suria mematikan kuasa di bahagian Eropah dan di Afrika Selatan selama beberapa jam. - Sumber Live Science.


Dua kumpulan tompok matahari yang besar, dikenali sebagai AR 2993 dan AR 2994, mula kelihatan beberapa sejak pertengahan bulan April lalu di bahagian timur matahari selepas menjadi aktif semasa masih tersembunyi oleh cakera matahari. - Foto MYSA/MOSTI.

Rabu, 30 Mac 2022

Bongkah ais sebesar Rom di Antartika runtuh sepenuhnya

Bongkah ais sebesar Rom di Antartika runtuh sepenuhnya


Bongkah ais yang dianggarkan bersaiz keluasan sebesar Rom didapati runtuh dan pecah sepenuhnya di Antartika Timur, dalam tempoh beberapa hari selepas peningkatan suhu.


Menerusi lapor The Guardian pada 24 Mac 2022, yang merujuk data satelit mendapati bongkah ais Conger mempunyai permukaan 1,200 kilometer persegi, pecah 15 Mac lalu.


Saintis berkata, Antartika Timur merekodkan suhu tinggi luar biasa minggu lalu, dengan stesen Concordia merekodkan suhu meningkat kepada -12 darjah Celcius, bersamaan lebih daripada 40 darjah Celcius iaitu lebih panas daripada biasa.


Rekod suhu tinggi adaalah hasil daripada sungai atmosfera yang memerangkap haba di atas benua itu. Bongkah ais ialah sambungan kepingan ais yang terapung di lautan memainkan peranan penting dalam mengukuhkan ais di daratan.


Tanpa bongkah tersebut, ais di daratan mengalir lebih cepat ke lautan yang mengakibatkan kenaikan paras laut.


Saintis Bumi dan Planet di Institut Oseanografi Woods Hole, Dr. Catherine Colello Walker berkata, insiden itu merupakan salah satu peristiwa bongkah ais pecah paling ketara sejak awal 2000, walaupun paras ais Conger agak kecil.


"Ia tidak akan mempunyai kesan yang besar, namun, kemungkinan ia adalah petanda mengenai kemungkinan yang akan berlaku," kata Walker.



Walker berkata, bongkah ais Conger mencair sejak pertengahan 2000, tetapi hanya secara beransur-ansur cair sehingga awal 2020.


Jelasnya, menjelang 4 Mac tahun ini, bongkah ais kelihatan kehilangan lebih daripada separuh luas permukaannya berbanding ukuran pada Januari iaitu sekitar 1,200km persegi.


Dalam pada itu, Ahli Glasiologi di Universiti Minnesota, Peter Naff berkata, insiden itu adalah satu kejutan walaupun bongkah ais yang kecil pecah.


"Kami masih menganggap Antartika Timur seperti kiub ais yang besar, tinggi, kering, sejuk dan tidak beralih.


"Pemahaman semasa mencadangkan sebahagian besar tidak akan kehilangan ais dengan cepat disebabkan oleh geometri ais dan batuan dasar di sana," katanya.


Data satelit dari misi Copernicus Sentinel-1 menunjukkan pergerakan bongkah ais bermula antara 5 hingga 7 Mac lalu.


Rakaman imej satelit menunjukkan kepingan bongkah ais Conger yang pecah di Antartika. - Foto NASA.

Imej satelit menunjukkan ais Conger runtuh. - Foto USNIC.