Memaparkan catatan dengan label Angkasa. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Angkasa. Papar semua catatan

Selasa, 8 Mac 2022

NASA lelong 74 gambar langkah pertama manusia di Bulan semasa misi Apollo 1968

NASA lelong 74 gambar langkah pertama manusia di Bulan semasa misi Apollo 1968


Sebanyak 74 gambar misi Apollo milik NASA yang mendokumentasikan penerokaan angkasa lepas akan dilelong. Ia termasuk gambar pertama earthrise yang disaksikan manusia dan gambar langkah pertama manusia di Bulan, lapor laman berita Wion News pada 7 Mac 2022.


Earthrise adalah gambar Bumi dan bahagian permukaan Bulan yang diambil oleh angkasawan William Anders pada 1968 semasa misi Apollo 8. Beberapa koleksi gambar itu adalah milik arkib NASA sendiri dan tidak diketahui umum.


Salinan terpilih adalah yang pernah muncul di muka depan majalah-majalah di Amerika Syarikat (AS) untuk memberitahu mengenai kejayaan negara itu dalam penerokaan di Bulan.


Lelongan koleksi peribadi milik seorang warga asing yang dirahsiakan identitinya itu dijadualkan berlangsung pada 9 Mac 2022, dan akan menyaksikan 74 gambar itu dilelong secara individu.


NASA memutuskan untuk melelong gambar-gambar itu sempena ulang tahun ke-60 ucapan terkenal bekas Presiden AS, John F. Kennedy mengenai Bulan pada tahun ini.


"Kata-katanya yang berinspirasi pada 1962 bukan hanya mengenai misi untuk meletakkan manusia di Bulan, malah untuk merangsang semangat di mana segala-galanya mampu dicapai oleh manusia dengan peredaran zaman," kata NASA.


Lelongan itu juga termasuk gambar lawatan terakhir Kennedy ke NASA di Cape Canaveral pada 16 November 1963, hanya enam hari sebelum kematiannya yang tragis.


Rumah lelong Denmark, Bruun Rasmussen yang bertanggungjawab untuk acara itu berkata, koleks itu itu dijangka dapat menjana perolehan lebih daripada AS$2 juta (RM8.36 juta).


Gambar yang dikeluarkan oleh NASA menunjukkan seorang angkasawan memberi hormat kepada bendera AS di permukaan Bulan semasa misi bulan Apollo 11 pada 20 Julai 1969. - Foto Space Center Houston.

Isnin, 28 Februari 2022

Saintis temukan tiga planet baharu yang mempunyai tanda-tanda kehidupan berhampiran Bumi

Saintis temukan tiga planet baharu yang mempunyai tanda-tanda kehidupan berhampiran Bumi


Pemburuan eksoplanet atau planet luar suria yang boleh menampung kehidupan seperti Bumi, masih diteruskan. Kali ini, kumpulan astronomi dari Pemantau Angkasa Lepas Eropah (ESO) mendakwa menemukan tiga planet baharu yang mempunyai tanda-tanda kehidupan.


Memetik lapor Forbes pada 5 Ogos 2021, ketiga-tiga planet itu dikatakan mempunyai sumber air menyerupai planet Zuhrah, Utarid dan Marikh. Ia dikesan dengan menggunakan Very Large Telescope (VLT) milik ESO, selain diketahui mempunyai jarak 35 tahun cahaya dari Bumi.


Maria Osorio dari Pusat Atrobiologi berkata, planet yang terletak dalam zon boleh dihuni mungkin memiliki atmosfera yang dapat melindungi dan menyokong kehidupan.


Berdasarkan pemerhatian, ketiga-tiga planet baharu tersebut mempunyai air di dasar dan atmosferanya. Planet paling dekat dengan bintang (matahari) dikenali sebagai L- 98-59a yang mempunyai separuh daripada jisim Zuhrah, manakala dua lagi planet yang ditemukan adalah L 98-59b dan L 98-59c.


"Kami akhirnya semakin hampir dengan pengesanan planet terestrial di zon boleh dihuni, yang mana kami boleh mengkaji atmosfera," kata Olivier Demangeon pengarang utama kajian yang diterbitkan dalam Astronomi & Astrofizik.


Ilustrasi artis menunjukkan planet L 98-59b. - Foto ESO.

Katanya, kajian tentang atmosfera eksoplanet boleh mendedahkan kehadiran biosignature, seperti oksigen dan metana yang mungkin dianggap sebagai bukti saintifik tentang kehidupan dahulu atau sekarang. Namun, teleskop semasa tidak mempunyai resolusi untuk mengkajinya.


Walau bagaimanapun, kerana sistem L 98-59 agak hampir dengan Bumi, para penyelidik dapat mengesan eksoplanet itu menggunakan teleskop VLT di Chile. Katanya, pada masa hadapan mungkin dapat kembali kepada penemuan mereka dengan menggunakan teleskop lebih besar.


"Apa yang penyelidik telah temukan setakat ini pasti meletakkan L 98-59 pada senarai 'untuk dilakukan'. Ia pasti akan dikaji oleh Teleskop Angkasa James Webb (JWST), yang telah dilancarkan ke angkasa pada 25 Disember 2021 lalu," katanya.


Infografik ini menunjukkan perbandingan antara sistem eksoplanet L 98-59 (atas) dengan sebahagian daripada Sistem Suria dalam (Utarid, Zuhrah dan Bumi), menonjolkan persamaan antara keduanya. L 98-59 mengandungi empat planet berbatu yang disahkan (ditandakan dengan warna pada panel atas), mengorbit bintang kerdil merah.

Planet yang paling hampir dengan bintang itu adalah sekitar separuh jisim Zuhrah, menjadikannya eksoplanet paling ringan yang pernah dikesan menggunakan teknik halaju jejarian. 30 peratus daripada jisim planet ketiga didakwa adalah air. Kewujudan planet keempat telah disahkan, tetapi saintis masih belum mengetahui jisim dan jejarinya (kemungkinan saiznya ditunjukkan oleh garis putus-putus).

Pasukan itu juga menemui petunjuk tentang planet kelima yang berpotensi, yang paling jauh dari bintang itu, walaupun pasukan itu mengetahui sedikit tentangnya. Jika disahkan, ia akan berada di zon boleh didiami sistem di mana air cecair boleh wujud di permukaannya. - Foto ESO.

Ahad, 20 Februari 2022

Saintis temui varian genetik bakteria baharu dalam kapal angkasa bantu manusia hidup di Marikh

Saintis temui varian genetik bakteria baharu dalam kapal angkasa bantu manusia hidup di Marikh


Sepasukan saintis telah mengenal pasti tiga varian genetik baharu bakteria yang belum ditemui sebelum ini, di dalam sebuah kapal angkasa yang mengorbit Bumi 15 kali sehari, lapor akhbar Daily Star pada 17 Februari 2022.


Mikroorganisma tersebut ditemui di lokasi berasingan termasuk ruang pertumbuhan khas tumbuh-tumbuhan, di mana penyelidik telah cuba untuk menanam tanaman dalam keadaan sifar graviti.


"Tiga varian Methylobacteriaceae yang berbentuk batang dan mampu bergerak, tidak pernah ditemui sebelum ini," demikian menurut kajian oleh NASA yang diterbitkan di dalam jurnal Frontiers In Microbiology.


Para penyelidik berpendapat bahawa penemuan itu dapat membantu dalam misi penerokaan planet Marikh kerana ciri-ciri bakteria tersebut yang mampu membantu tumbuh-tumbuhan untuk bertumbuh.


Disebabkan kepentingan kajian tersebut, para saintis kini ingin mengembangkan Stesen Angkasa Lepas Antarabangsa (ISS) dengan menempatkan sebuah makmal biologi baharu untuk mengumpul, memproses dan menganalisis mikrob di angkasa tanpa menghantar semula ke Bumi.


Dua saintis NASA, Dr. Nitin Kumar Singh dan Dr. Kasthuri Venkateswaran berkata, adalah amat penting untuk mencari bakteria baharu yang dapat membantu tumbuhan hidup dalam keadaan sukar serta lokasi ekstrem berserta sumber terhad.


"Berbanding mengembalikan sampel ke Bumi untuk pemeriksaan, sistem pemantauan mikrob bersepadu yang mengumpul, memproses dan menganalisis sampel di lokasi iaitu angkasa, menggunakan teknologi molekul, akan mempercepatkan proses tersebut.


"Apabila kita sudah menakluki Marikh, adalah menjadi satu cabaran untuk menanam tumbuh-tumbuhan, namun bakteria ini mungkin akan memudahkan semua itu," kata mereka.


Mikroorganisma tersebut ditemui di lokasi berasingan termasuk ruang pertumbuhan khas tumbuh-tumbuhan. - Foto NASA.

Rabu, 16 Februari 2022

Bukan roket Elon Musk, rupanya roket China akan langgar Bulan

Bukan roket Elon Musk, rupanya roket China akan langgar Bulan


Sebuah roket yang dijangka merempuh Bulan pada bulan hadapan dikenal pasti sebagai roket dari China yang dilancarkan pada 2014, lapor akhbar Metro News UK pada 14 Februari 2022.


Roket tersebut pada mulanya dikatakan milik Elon Musk daripada syarikat aeroangkasa Space X. Namun, pakar astronomi menjelaskan bahawa mereka tersalah memberi ramalan mengenai roket tersebut.


Ia dikenali 2014-065B iaitu bahagian teras bagi roket Chang’e 5-T1 yang dilancarkan sejak 2014 sebagai sebahagian daripada program penerokaan Bulan agensi angkasa lepas China.


Pengumuman mengejut itu dibuat oleh ahli astronomi amatur, Bill Gray yang pertama kali mengenal pasti kesan masa depan dan mengaku kesilapannya hujung minggu lalu.


Pada bulan lalu, Gray, mengatakan kemungkinan roket milik SpaceX, Falcon 9 daripada pelancaran 2015 akan bertembung dengan Bulan pada 4 Mac ini.


Namun begitu, Gray kini mengubah kenyataannya dan percaya objek itu bukanlah serpihan SpaceX Falcon 9, seperti yang digembar-gemburkan sebelum ini, sebaliknya roket lama milik China.


Objek itu mula dikesan oleh Catalina Sky Survey iaitu sebuah program yang menggunakan teleskop berhampiran Tucson, Arizona untuk mengimbas langit bagi mencari asteroid yang berpotensi menimbulkan ancaman kepada Bumi.


Tidak seperti asteroid biasa, ahli-ahli astronomi menyedari bahawa objek tersebut tidak mengorbit Matahari sebaliknya mengelilingi Bumi, menunjukkan bahawa ia adalah sampah angkasa lepas buatan manusia.


"Saya mempunyai bukti keadaan yang cukup baik untuk pengenalpastian tetapi tidak ada yang konklusif," tulis Gray dalam catatan blog baharunya. - Sumber Metro UK.


Objek misteri yang bakal merempuh Bulan adalah sampah buatan manusia dan dipercayai serpihan roket yang dilancarkan China pada 2014. - Foto Autoevalution (Animasi komputer).

Sabtu, 5 Februari 2022

Berlian Hitam Terbesar Dari Angkasa Lepas Berusia Berbilion Tahun Akan Dilelong

Berlian Hitam Terbesar Dari Angkasa Lepas Berusia Berbilion Tahun Akan Dilelong


Berlian hitam berusia bilion tahun yang dipercayai berasal dari angkasa lepas kini ditawarkan kepada orang ramai oleh Sotheby's Auctions yang berpangkalan di London, England, lapor BBC News pada 3 Februari 2022.


Berlian itu, yang dinamakan 'Enigma', dikatakan sebagai berlian potong terbesar di dunia, menurut versi 2006 Rekod Dunia Guinness. Dengan berat 555.55 karat, Enigma melebihi berlian Great Star of Africa 530.2 karat dan berlian Golden Jubilee 545.67 karat.


Lelongan Enigma akan diadakan sehingga 9 Februari dengan anggaran nilai jualan AS$6 juta (RM25,183,863).


Tetapi, apakah sebenarnya berlian hitam?


Berlian hitam pertama kali ditemui pada tahun 1841 oleh sekumpulan penjelajah Portugis di Brazil. Mereka memanggil objek itu 'carbonado' kerana ia menyerupai ketulan arang batu.


Kewujudan berlian hitam sangat jarang berlaku di dunia. Seperti namanya, berlian itu kelihatan gelap dan tidak lutsinar. Berlian biasanya ditemui bercantum dengan kimberlit jauh di dalam permukaan tanah.


Namun, berlian hitam atau 'carbonado' terdapat dalam lapisan sedimen berhampiran dengan permukaan tanah. Sebab itu berlian hitam dianggap berasal dari angkasa lepas.


Berlian hitam seperti Enigma dipercayai tercipta akibat hentaman meteorit atau akibat letupan supernova yang membentuk asteroid dan kemudiannya mengenai Bumi pada kedalaman yang rendah.



Apakah keunikan Enigma?


Berlian hitam seperti Enigma hanya boleh ditemui di Brazil atau Republik Afrika Tengah, yang menguatkan tanggapan bahawa ia berasal dari luar angkasa.


Kedua-dua wilayah itu, seperti yang dijelaskan oleh Sotheby's, telah bersambung lebih daripada satu bilion tahun yang lalu dan membentuk sebuah benua besar yang dipanggil Rodinia. Dalam tempoh inilah kawasan itu dipercayai dilanda meteorit sehingga pengedaran berlian carbonado ada di situ.


Enigma dianggarkan berusia 2.6 bilion hingga 3.8 bilion tahun dahulu. Tukang emas Sotheby, Nikita Binani berkata Enigma adalah berlian 'unik dan berharga'.


"Berlian ini telah disayangi oleh pemiliknya selama dua dekad dan ia tidak pernah dipertontonkan kepada umum atau ditawarkan ke pasaran terbuka. Jadi kami berbesar hati berpeluang menceritakan kisahnya kepada dunia.


"Penjualan (berlian) ini adalah peluang seumur hidup untuk memperoleh salah satu keajaiban berbilion tahun yang paling jarang diketahui manusia," jelasnya.  


Berlian hitam bernama Enigma sedang ditunjukkan kepada umum di Dubai, Emiriah Arab Bersatu. - Foto EPA.

Jumaat, 4 Februari 2022

Sotong mungkin makhluk dari angkasa lepas, jatuh di Bumi ratusan juta tahun dahulu

Sotong mungkin makhluk dari angkasa lepas, jatuh di Bumi ratusan juta tahun dahulu


Bentuk sotong memang nampak pelik. Makhluk ini kelihatan seperti ketulan jeli berlendir dengan dua mata dan tentakel yang menonjol. Mungkin kerana rupa sotong seperti itu, ada yang mengesyaki ia adalah makhluk asing.


Dipetik dari laman berita WioNews pada 29 Januari 2022 melaporkan, satu kajian mengatakan bahawa sotong mungkin telah jatuh ke Bumi dari angkasa dalam bolides ais atau komet yang mengandungi ais ratusan juta tahun dahulu.


Kita tahu pandangan saintifik yang diterima tentang asal usul kehidupan di Bumi. Tetapi Panspermia, hujah bahawa kehidupan 'dibawa' ke Bumi oleh badan angkasa seperti komet, juga telah menarik minat yang kuat di kalangan komuniti saintifik.


Dalam pencarian kehidupan di angkasa lepas, kita sering mencari kehadiran air atau komet yang mengandungi ais. Oleh itu, sekurang-kurangnya boleh difahami secara teori jika seseorang mencadangkan bahawa bentuk kehidupan, seperti mikrob, dibawa melalui ruang dalam komet dan dibawa ke Bumi.


Kajian tentang sotong menunjukkan bahawa telur yang diawetkan, sama ada sotong atau sotong yang diawet dengan ais, mungkin telah tiba di Bumi ratusan juta tahun yang lalu.


Cryopreservation ialah pengawetan kriogenik, iaitu proses di mana organel, sel, tisu, matriks ekstraselular, organ, atau struktur biologi lain yang terdedah kepada kerosakan akibat kinetik kimia yang tidak teratur dikekalkan dengan penyejukan kepada suhu yang sangat rendah.


Kertas kajian tentang sotong ini diterbitkan dalam jurnal Progress in Biophysics and Molecular Biology pada 2018. Penyelidikan ini sebenarnya memberi penerangan tentang asal-usul kehidupan di Bumi. Dalam salah satu perbincangan, kajian ini turut mengkaji kewujudan sotong di Bumi yang didakwa berasal dari angkasa lepas.


Adalah penting untuk ambil perhatian bahawa komuniti saintifik masih belum menemui bukti kukuh bahawa sotong datang dari angkasa lepas. Kajian itu juga diterbitkan dalam jurnal peer-reviewed, yang bermaksud ia belum disemak oleh rakan sejawat. - Sumber WioNews.


Satu kajian mengatakan bahawa sotong mungkin telah jatuh ke Bumi dari angkasa dalam bolides ais ratusan juta tahun dahulu. - Foto Reuters.

Rabu, 2 Februari 2022

NASA naik taraf perisian kesan asteroid 'Hari Kiamat' yang boleh memusnahkan Bumi

NASA naik taraf perisian kesan asteroid 'Hari Kiamat' yang boleh memusnahkan Bumi


Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Kebangsaan (NASA) mendakwa bahawa agensi berkenaan berupaya mengesan lebih banyak 'asteroid kiamat' yang boleh memusnahkan Bumi, lapor akhbar Daily Star pada 29 Januari 2022.


Agensi angkasa lepas Amerika Syarikat (AS) itu telah menaik taraf perisiannya bagi mengesan asteroid kepada algoritma Sentry-II baharu buat kali pertama dalam tempoh 20 tahun.


Penambah baikan itu akan membantu Makmal Jet Propulsion (JPL) NASA untuk meningkatkan pengesanan batu angkasa berbahaya yang menghampiri Bumi, serta menganalisis kemungkinan asteroid berkenaan boleh melanggar Bumi.


Ia berfungsi dengan mengimbas senarai asteroid dan orbit serta status bahaya dan mengira jika mana-mana asteroid yang diketahui atau baharu berpotensi melanggar Bumi.


Sistem yang digunakan dikenali sebagai kesan Yarkovsky, merujuk kepada bagaimana asteroid menyerap cahaya matahari dan memancarkannya sebagai haba. Haba ini memberi kesan kepada laluan asteroid dan boleh menjelaskan kemungkinan ia jatuh ke Bumi.


Sebelum ini dengan menggunakan Sentry (perisian asal), para saintis terpaksa melakukan pengiraan manual untuk mengetahui kesan Yarkovsky. Penambah baikan perisian ini akan membuat perbezaan yang besar.


Pada masa ini, NASA memerhati hampir 28,000 asteroid berdekatan dengan Bumi, dan diharapkan peningkatan perisian akan membantu mereka mengesan lebih banyak lagi.


Penambah baikan perisian JPL membantu mengesan dengan lebih tepat asteroid yang berpotensi melanggar Bumi. - Foto Future Publishing.