Rabu, 2 Februari 2022

NASA naik taraf perisian kesan asteroid 'Hari Kiamat' yang boleh memusnahkan Bumi


Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Kebangsaan (NASA) mendakwa bahawa agensi berkenaan berupaya mengesan lebih banyak 'asteroid kiamat' yang boleh memusnahkan Bumi, lapor akhbar Daily Star pada 29 Januari 2022.


Agensi angkasa lepas Amerika Syarikat (AS) itu telah menaik taraf perisiannya bagi mengesan asteroid kepada algoritma Sentry-II baharu buat kali pertama dalam tempoh 20 tahun.


Penambah baikan itu akan membantu Makmal Jet Propulsion (JPL) NASA untuk meningkatkan pengesanan batu angkasa berbahaya yang menghampiri Bumi, serta menganalisis kemungkinan asteroid berkenaan boleh melanggar Bumi.


Ia berfungsi dengan mengimbas senarai asteroid dan orbit serta status bahaya dan mengira jika mana-mana asteroid yang diketahui atau baharu berpotensi melanggar Bumi.


Sistem yang digunakan dikenali sebagai kesan Yarkovsky, merujuk kepada bagaimana asteroid menyerap cahaya matahari dan memancarkannya sebagai haba. Haba ini memberi kesan kepada laluan asteroid dan boleh menjelaskan kemungkinan ia jatuh ke Bumi.


Sebelum ini dengan menggunakan Sentry (perisian asal), para saintis terpaksa melakukan pengiraan manual untuk mengetahui kesan Yarkovsky. Penambah baikan perisian ini akan membuat perbezaan yang besar.


Pada masa ini, NASA memerhati hampir 28,000 asteroid berdekatan dengan Bumi, dan diharapkan peningkatan perisian akan membantu mereka mengesan lebih banyak lagi.


Penambah baikan perisian JPL membantu mengesan dengan lebih tepat asteroid yang berpotensi melanggar Bumi. - Foto Future Publishing.


EmoticonEmoticon