Selasa, 1 Februari 2022

Aktiviti pembalakan haram tumpas, 717 batang balak dirampas


SIBU - Jabatan Hutan Sarawak (JHS) mematahkan kegiatan pembalakan haram apabila merampas 717 batang balak pelbagai spesies dan saiz di kawasan Batu 36, Jalan Oya, Tamin, Selangau, pada Isnin 31 Januari 2022.


Pengarahnya, Datuk Hamden Mohammad, berkata rampasan dilakukan sepasukan pegawai penguat kuasa Pejabat Hutan Wilayah Sibu setelah mengesan kegiatan itu semasa melakukan rondaan penguatkuasaan dekat sini, semalam.


"Pasukan penguatkuasaan yang terdiri daripada lapan orang bergegas ke lokasi pembalakan haram itu dikesan. Apabila sampai, mereka menjumpai tujuh longgokan balak, iaitu 717 batang kayu balak pelbagai spesies dan saiz yang dipercayai telah ditebang secara haram.


"Kayu balak berkenaan tidak mempunyai tanda Tukul Jabatan Hutan (JH), Tukul Hak Milik dan Tag LPI (Log Production Identity) pada kedua-dua hujungnya. Nilai rampasan belum dapat dipastikan sehingga siasatan lanjut selesai dijalankan," katanya dalam kenyataan pada Selasa, hari ini.


Hamden berkata, laporan polis sudah dibuat di Balai Polis Selangau mengenai rampasan kayu balak itu bagi membolehkan tindakan selanjutnya dijalankan, dan pihaknya akan membuka kertas siasatan agar pihak yang terlibat tidak terlepas begitu sahaja.


Beliau juga menegaskan pihaknya akan terus melakukan rondaan penguatkuasaan tanpa mengira cuti umum, atau hujung minggu bagi mematahkan cubaan kegiatan haram ini.


Longgokan kayu balak pelbagai spesies dan saiz yang ditemui di kawasan Batu 36, Jalan Oya, Tamin, Selangau, dipercayai daripada kegiatan pembalakan haram.


EmoticonEmoticon