Memaparkan catatan dengan label Angkasa. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Angkasa. Papar semua catatan

Isnin, 31 Januari 2022

Jeff Bezos meramalkan manusia bakal dilahirkan di ruang angkasa, Bumi hanya 'planet percutian'

Jeff Bezos meramalkan manusia bakal dilahirkan di ruang angkasa, Bumi hanya 'planet percutian'


Percaya atau tidak, banyak ramalan saintis Barat yang mengatakan bahawa pada suatu hari nanti manusia tidak lagi menetap di Bumi. Planet ketiga dalam sistem suria ini dikatakan tidak selamat untuk didiami. Justeru, ruang angkasa dipilih sebagai tempat tinggal baharu.


Memang kita berpendapat bahawa ramalan itu tidak masuk akal, tetapi tahukah anda, ramai pelabur sanggup membelanjakan dana yang besar untuk membina silinder gergasi di angkasa sebagai penempatan baharu.


Bukan hanya lengkap dengan bekalan oksigen dan memiliki alam semula jadi persis Bumi yang mempunyai sungai, hutan dan hidupan liar, teknologi tersebut dikatakan mampu mencipta semula graviti.



Memetik lapor Daily Mail pada 12 November 2021, pendedahan tersebut dibuat oleh pengasas firma Amazon dan Blue Origin, Jeff Bezos yang turut meramalkan manusia akan tinggal di angkasa lepas dan menjadikan Bumi sebagai 'planet percutian'.


Bezos berkata, ciptaan silinder terapung itu dilengkapi sungai, hutan dan hidupan liar, malah tiada lagi ancaman gempa bumi atau cuaca buruk.


"Dalam tempoh beberapa ratus tahun dari sekarang, tidak mustahil angkasa akan menjadi rumah manusia dan hidup dalam koloni tertentu.


"Jika mahu mengubah Marikh sebagai penempatan baharu, ia cukup sukar. Ditambah planet itu hanya mampu menampung hingga 20 bilion penduduk sahaja," katanya.



Teori ekstrem atau ramalan masa depan yang kononnya Bumi satu hari nanti tidak akan menjadi planet yang selamat, mungkin banyak dipengaruhi dengan lambakan filem antarabangsa yang menjadikan kehidupan di angkasa lepas adalah perkara biasa.


Pun begitu, ramai yang menganggap andaian tersebut mungkin benar kerana kemajuan teknologi masa kini memungkinkan segala-galanya. Sedangkan sistem kecerdasan buatan (AI) mampu mengatasi kemampuan manusia, inikan pula rencana besar penciptaan 'planet' baharu.


Apatah lagi, penemuan planet persis Bumi oleh NASA baru-baru ini juga membuatkan ramai tertanya sejauhmana kebenaran tersebut. Penemuan planet baharu pada jarak 4.2 tahun cahaya dari Bumi itu dikatakan memiliki sumber air mencukupi, jumlah pencahayaan dan keadaan geografi sempurna.


Para penyelidik Barat juga mengesahkan planet tersebut memiliki iklim yang sesuai untuk dihuni manusia, namun timbul pula persoalan kebarangkalian wujudnya makhluk asing di sana.


Persoalan demi persoalan timbul membuatkan ramai berfikir panjang. Adakah manusia mampu menolak takdir? Dan meninggalkan Bumi yang semakin tenat dengan pencemaran yang tidak terkawal dan penerokaan hutan berluasa. - Sumber Daily Mail.


Kota-kota di dalamnya akan dibangunkan seperti di Bumi, namun tiada lagi ancaman gempa bumi atau cuaca buruk. - Foto Blue Origin.

Ilustrasi artis mengenai kehidupan koloni di angkasa lepas. - Foto Blue Origin.

Lengkap dengan bekalan oksigen dan memiliki alam semula jadi persis bumi. - Foto NASA/Blue Origin.

Konsep gambar ilustrasi tentang koloni angkasa lepas O'Neill Bezos, dengan pertanian dan pengangkutan berkelajuan tinggi. - Foto Blue Origin.

Sabtu, 29 Januari 2022

Roket 'penggalak' SpaceX bakal terhempas di Bulan pada Mac depan

Roket 'penggalak' SpaceX bakal terhempas di Bulan pada Mac depan


Sebahagian besar serpihan roket milik SpaceX yang dilancarkan tujuh tahun lalu, dan ditinggalkan di angkasa lepas selepas tamat misinya, bakal terhempas ke Bulan pada Mac depan, lapor akhbar The Guardian pada 25 Januari 2022.


Menurut ahli astronomi, Bill Gray, roket itu dilancarkan ke orbit dari Florida pada 2015 untuk menempatkan sebuah satelit cuaca Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Lepas Kebangsaan (NASA), yang dikenali sebagai Deep Space Climate Observatory (DSCOVR).


Sejak itu, katanya, bahagian kedua roket atau penggalak dikesan terapung di ruang orbit yang berada dalam keadaan tidak menentu. Gray membuat pengiraan arah pandu pelanggaran baharu serpihan roket itu dengan Bulan.


Katanya, roket penggalak atau 'sampah angkasa lepas' itu melepasi berhampiran dengan Bulan pada Januari lalu dalam pertemuan yang mengubah orbitnya.


Gray merupakan individu disebalik Projek Pluto, sebuah perisian yang membolehkan pengiraan trajektori asteroid dan objek lain di angkasa lepas, serta digunakan dalam program pemantauan angkasa lepas dibiayai NASA.


Seminggu selepas bahagian roket itu bergerak menghampiri Bulan, Gary memerhati semula dan memutuskan ia akan terhempas ke kawasan gelap Bulan, berhampiran khatulistiwa, pada 4 Mac depan.


Serpihan roket itu akan terhempas pada kelajuan lebih 9,000 kilometer sejam. Masa dan lokasi terhempas mungkin berubah berbanding ramalan asal namun terdapat persetujuan akan berlaku pelanggaran di Bulan pada hari dinyatakan.


Menurut ahli meteorologi Eric Berger menjelaskan dalam catatan terbaru di Ars Technica, roket penggalak itu berkemungkinan tidak mempunyai bahan api yang mencukupi untuk kembali ke atmosfera Bumi - kekurangan tenaga untuk melepaskan 'diri' daripada graviti sistem Bumi-Bulan.


Roket milik SpaceX yang membawa satelit cuaca NASA dilancarkan dari stesen Cape Canaveral, Florida pada 11 Februari 2015. - Foto AFP.
Objek 'misteri dan menakutkan' ditemui berputar melalui cakerawala membebaskan tenaga radio setiap 18 minit

Objek 'misteri dan menakutkan' ditemui berputar melalui cakerawala membebaskan tenaga radio setiap 18 minit


Satu pasukan saintis dari Universiti Curtin, Perth, Australia berjaya mengesan sebuah objek misteri yang belum pernah dilihat sebelum ini, berada pada jarak kira-kira 4,000 tahun cahaya dari Bumi, lapor akhbar Daily Mail pada 26 Januari 2022.


Objek misteri itu berputar melalui cakerawala dan mengeluarkan pancaran sinaran atau letupan besar tenaga radio selama satu minit setiap 18 minit, ia menjadi salah satu objek paling terang di langit malam.


Berdasarkan pemerhatian, ia melepaskan letupan tenaga gergasi sebanyak tiga kali sejam. Menurut saintis, fenomena melepaskan tenaga tiga kali setiap jam tidak sepatutnya berlaku, dan sesuatu yang menyala selama satu minit adalah sangat luar biasa.


Ahli Astrofizik, Dr Natasha Hurley-Walker dari Universiti Curtin, Pusat Penyelidikan Astronomi Radio Antarabangsa (ICRAR) di Australia, mengetuai pasukan yang membuat penemuan itu.


Pelajar Curtin University menemui objek itu menggunakan teleskop Murchison Widefield Array (gambar) di pedalaman Australia Barat.

Pasukannya sedang memetakan gelombang radio di alam semesta dengan menggunakan teleskop dan teknik baharu yang dibangunkan, mereka kemudian menemui potensi magnetar.


"Objek ini muncul dan hilang selama beberapa jam semasa pemerhatian kami. Ia agak menyeramkan bagi seorang ahli astronomi kerana setakat yang diketahui, tidak ada yang seperti itu di langit.


"Ia sangat dekat dengan kita, hanya kira-kira 4,000 tahun cahaya seolah-olah Ia berada di halaman belakang galaksi kita," jelas Hurley-Walker.


Objek itu berkemungkinan bintang neutron hasil gabungan beberapa teras bintang galaksi lain dan mempunyai medan magnetik kuasa ultra atau dikenali sebagai magnetar. Bintang neutron istilah yang digunakan untuk tinggalan bintang mati.


Pasukan yang mengkaji objek ini percaya ciri yang sangat luar biasa ini disebabkan oleh keadaan putaran objek. Maksudnya, isyarat tenaga radio bukan datang dari tamadun asing yang mempunyai teknologi canggih.


Imej ini menunjukkan Bima Sakti seperti yang dilihat dari Bumi. Ikon bintang menunjukkan kedudukan objek misteri yang ditemui oleh ahli astronomi. - Foto ICRAR.

Bintang misteri yang dikesan wujud dalam galaksi Bima Sakti dengan kejauhan kira-kira 4,000 tahun cahaya dari Bumi. - Foto ICRAR.

Jumaat, 28 Januari 2022

Teleskop 'membongkar misteri Alam Semesta' tiba di destinasi yang berjarak 1.6 juta kilometer dari Bumi

Teleskop 'membongkar misteri Alam Semesta' tiba di destinasi yang berjarak 1.6 juta kilometer dari Bumi


Teleskop Angkasa Lepas James Webb dilaporkan tiba di destinasinya yang terletak kira-kira 1.6 juta kilometer (km) dari Bumi. Kejayaan itu dilihat sebagai satu peristiwa penting dalam misinya untuk mengkaji sejarah kosmik.


Perkara itu dimaklumkan oleh Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Lepas Amerika Syarikat (NASA) pada 24 Januari 2022 lalu. Bill Nelson, pentadbir NASA menerusi satu kenyataan berbangga dengan pencapaian tersebut.


"Kami kini selangkah lebih dekat untuk membongkar misteri alam semesta. Malah, saya juga tidak sabar untuk melihat pemandangan pertama Webb mengenai alam semesta pada musim panas ini," katanya.


Pada pukul 2 petang (Waktu Timur), teleskop itu melancarkan pendorongnya selama lima minit untuk sampai ke titik Lagrange L2, yang mana ia akan mempunyai akses kepada hampir separuh langit pada bila-bila masa.


Webb akan memulakan misi sainsnya menjelang musim panas, yang termasuk menggunakan instrumen inframerah resolusi tinggi untuk melihat kembali pada masa 13.5 bilion tahun ke generasi pertama galaksi yang terbentuk selepas Big Bang.


Di ruang angkasa tersebut, ia akan kekal sejajar dengan Bumi ketika bergerak mengelilingi Matahari. Ini sekali gus membolehkan perisai Webb melindungi peralatan sensitifnya daripada sinaran cahaya dan haba.


Teleskop yang dinamakan sempena nama bekas pengarah NASA itu dilancarkan ke angkasa lepas dengan menggunakan roket Ariane 5, dari Guiana Perancis pada 25 Disember 2021.


Webb, yang dijangka menelan belanja hampir AS$10 bilion (RM56.43 bilion), merupakan salah satu platform saintifik paling mahal yang pernah dibina, setanding dengan Large Hadron Collider di CERN, dan teleskop sebelum ini, Hubble. - Sumber PHYS. 


BACA: Roket Bawa Teleskop Paling Berkuasa Di Dunia Melintasi Malaysia Menuju Ke Ruang Angkasa.


Teleskop Angkasa James Webb telah tiba di destinasi terakhir dalam misi untuk membongkar misteri Alam Semesta. - Foto NASA.

Ahad, 23 Januari 2022

Elon Musk memberi amaran Matahari semakin berkembang, manusia akan pupus melainkan berpindah ke planet lain

Elon Musk memberi amaran Matahari semakin berkembang, manusia akan pupus melainkan berpindah ke planet lain


Elon Musk membuat kenyataan penuh kontroversi apabila mendakwa 'semua spesies di muka bumi akan pupus 100 peratus' melainkan manusia berhijrah ke planet lain, lapor Daily Star pada 16 Januari 2022.


Ketua Pegawai Eksekutif Tesla itu sentiasa menanam cita-cita tinggi untuk menjadikan kehidupan manusia 'berbilang planet' dengan membuktikan perkara itu menerusi projek angkasa lepasnya, SpaceX.


"Wujud peluang 100 peratus semua spesies akan mengalami kepupusan akibat matahari semakin berkembang, melainkan manusia menjalani kehidupan di planet lain," ciapnya dalam Twitter.


Musk telah menjawab tweet mengenai kajian baru-baru ini yang mendakwa terdapat bukti peristiwa kepupusan besar-besaran keenam biodiversiti global, akan berlaku disebabkan oleh aktiviti manusia sepenuhnya.


Musk yang diiktiraf sebagai individu paling kaya di dunia memberitahu rancangan membina kapal angkasa Starship, menerusi projek SpaceX bertujuan meneroka kehidupan baharu di planet Marikh. Starship adalah sebuah roket berteknologi tinggi dan lebih berkuasa daripada kapal angkasa sedia ada.


Kapal angkasa itu adalah paling kompleks dan canggih pernah dihasilkan, dan bertujuan membawa muatan yang lebih berat dengan kos lebih murah daripada roket konvensional sedia ada.


Apabila ditanya oleh hos podcast Lex Fridman tentang berapa lama SpaceX akan mengambil masa untuk mendaratkan manusia di Marikh, Musk akhirnya memberikan anggaran garis masa tertentu.


"Paling cepat adalah lima tahun, paling lambat boleh jadi 10 tahun," katanya semasa diwawancara oleh Lex Fridman. - Sumber Daily Star.


Musk sentiasa mempunyai cita-cita untuk menjadikan kehidupan manusia 'berbilang planet' dan menjadikan ini sebagai cita-cita utama SpaceX. - Foto Future Publishing via Getty Images.

Sabtu, 22 Januari 2022

Lelaki dakwa NASA sembunyikan kewujudan pangkalan makhluk asing di planet Marikh

Lelaki dakwa NASA sembunyikan kewujudan pangkalan makhluk asing di planet Marikh


Seorang peminat kajian mengenai makhluk asing mendakwa bahawa dia mengesan sebuah pangkalan makhluk asing sepanjang 25 kilometer (km) di permukaan Planet Marikh, lapor akhbar Daily Star pada 17 Januari 2022.


Scott C. Waring yang terkenal dengan teori anehnya tentang 'alien' dan UFO serta menggelar dirinya sebagai pakar makhluk asing berkata, NASA cuba menyembunyikan penemuan itu daripada orang ramai.


Dia menerusi akaun Twitter miliknya berkata, terdapat beberapa imej berwarna kelabu yang menonjolkan sebuah objek berbentuk segi empat tepat di permukaan planet tersebut.


"Saya menemui pangkalan sepanjang 25 km ini di Marikh yang terletak pada bahagian kanan Sulci Gordii. Namun, NASA tidak mahu perkara itu diketahui ramai," katanya.


Menurut Waring, pangkalan itu terletak berhampiran Sulci Gordii yang merupakan alur subparallel dan rabung batuan di Planet Marikh. Ia memberikan penjelasan munasabah bagi bentuk yang dikesan itu.


Lelaki itu sudah berulang kali mendakwa mengesan pelbagai fenomena atau objek luar biasa di angkasa lepas, termasuk ukiran wajah makhluk asing pada batuan di permukaan Marikh.


"Saya menjumpai wajah makhluk asing purba yang diukir di bahagian atas gunung. Ia menunjukkan profil sisi spesies makhluk asing yang hampir seperti manusia.


"Wajah itu dibina di sepanjang bukit dengan cara yang hampir menyerupai Gunung Rushmore di Amerika. Saya fikir ini sudah berusia lebih 100,000 tahun!


"Wajah ini memberi kita gambaran tentang rupa makhluk asing di Marikh. Bukti yang tidak dapat dinafikan bahawa kehidupan pintar pernah wujud di permukaan Marikh," dakwanya.


Waring mengesan beberapa imej berwarna kelabu yang menonjolkan sebuah objek berbentuk segi empat tepat di permukaan Marikh. - Foto Twitter @ScottCWaring.
Satelit Elon Musk yang semakin banyak ganggu kerja pengawasan asteroid berhampiran Bumi

Satelit Elon Musk yang semakin banyak ganggu kerja pengawasan asteroid berhampiran Bumi


Satu kajian mendapati rangkaian satelit milik Elon Musk, Starlink yang semakin banyak menyebabkan kerja pemantauan asteroid terganggu kerana imej satelit-satelit berkenaan muncul pada teleskop pemerhatian, lapor akhbar Daily Star 20 Januari 2022.


Satelit-satelit tersebut menghalang saintis daripada mengesan asteroid berhampiran Bumi, menurut satu kajian yang diterbitkan dalam jurnal The Astrophysical Letters.


"Terdapat kebimbangan yang semakin meningkat tentang kesan buruj satelit orbit Bumi rendah (LEO) pada pemerhatian astronomi berasaskan tanah, khususnya, pada tinjauan lapangan luas dalam optik dan inframerah," tulis dalam kajian itu.


Ketika ini, sebanyak 1,800 satelit Starlink dicatatkan mengorbit Bumi pada jarak kira-kira 550 kilometer untuk memberikan capaian internet kepada 24 buah negara.



Bilionair terkaya di dunia itu dikatakan menghantar semakin banyak satelit pengorbit Bumi sejak 2019 menerusi syarikatnya, SpaceX. Beliau malah merancang untuk mempunyai 10,000 satelit Starlink di orbit Bumi menjelang tahun 2027.


Dalam pada itu, kajian baharu itu secara khusus dijalankan untuk menyiasat kesan satelit-satelit ke atas imej pada kamera milik satu pusat kajian ruang angkasa, Zwicky Transient Facility (ZTF).


"Satelit-satelit Starlink bertanggungjawab ke atas 5,301 coretan pada imej teleskop antara November 2019 hingga September 2021," jelas ahli astronomi dari Universiti Warsaw, Przemek Mroz yang merupakan pengarang utama kajian.


Beliau turut menjelaskan bagaimana bilangan 'imej senja' yang terjejas telah meningkat daripada 0.5 peratus kepada 20 peratus antara 2019 hingga 2021.


Memandangkan hasrat SpaceX untuk terus mengembangkan Starlink mereka, ahli astronomi meramalkan bahawa tidak lama lagi setiap 'imej senja' akan dirakam pada kamera milik ZTF yang mempunyai sekurang-kurangnya satu coretan.


Ahli-ahli astronomi menjangkakan bahawa sekurang-kurangnya satu coretan 'imej senja' akan dirakam pada kamera milik Zwicky Transient Facility (ZTF) akan datang. - Foto Getty /Science Photo Library RF.