Sabtu, 22 Januari 2022

Satelit Elon Musk yang semakin banyak ganggu kerja pengawasan asteroid berhampiran Bumi


Satu kajian mendapati rangkaian satelit milik Elon Musk, Starlink yang semakin banyak menyebabkan kerja pemantauan asteroid terganggu kerana imej satelit-satelit berkenaan muncul pada teleskop pemerhatian, lapor akhbar Daily Star 20 Januari 2022.


Satelit-satelit tersebut menghalang saintis daripada mengesan asteroid berhampiran Bumi, menurut satu kajian yang diterbitkan dalam jurnal The Astrophysical Letters.


"Terdapat kebimbangan yang semakin meningkat tentang kesan buruj satelit orbit Bumi rendah (LEO) pada pemerhatian astronomi berasaskan tanah, khususnya, pada tinjauan lapangan luas dalam optik dan inframerah," tulis dalam kajian itu.


Ketika ini, sebanyak 1,800 satelit Starlink dicatatkan mengorbit Bumi pada jarak kira-kira 550 kilometer untuk memberikan capaian internet kepada 24 buah negara.



Bilionair terkaya di dunia itu dikatakan menghantar semakin banyak satelit pengorbit Bumi sejak 2019 menerusi syarikatnya, SpaceX. Beliau malah merancang untuk mempunyai 10,000 satelit Starlink di orbit Bumi menjelang tahun 2027.


Dalam pada itu, kajian baharu itu secara khusus dijalankan untuk menyiasat kesan satelit-satelit ke atas imej pada kamera milik satu pusat kajian ruang angkasa, Zwicky Transient Facility (ZTF).


"Satelit-satelit Starlink bertanggungjawab ke atas 5,301 coretan pada imej teleskop antara November 2019 hingga September 2021," jelas ahli astronomi dari Universiti Warsaw, Przemek Mroz yang merupakan pengarang utama kajian.


Beliau turut menjelaskan bagaimana bilangan 'imej senja' yang terjejas telah meningkat daripada 0.5 peratus kepada 20 peratus antara 2019 hingga 2021.


Memandangkan hasrat SpaceX untuk terus mengembangkan Starlink mereka, ahli astronomi meramalkan bahawa tidak lama lagi setiap 'imej senja' akan dirakam pada kamera milik ZTF yang mempunyai sekurang-kurangnya satu coretan.


Ahli-ahli astronomi menjangkakan bahawa sekurang-kurangnya satu coretan 'imej senja' akan dirakam pada kamera milik Zwicky Transient Facility (ZTF) akan datang. - Foto Getty /Science Photo Library RF.


EmoticonEmoticon