Selasa, 28 Disember 2021

Roket Bawa Teleskop Paling Berkuasa Di Dunia Melintasi Malaysia Menuju Ke Ruang Angkasa


Teleskop angkasa lepas paling berkuasa di dunia dilancarkan ke orbit, untuk menuju ke ruang angkasa sejauh 1.5 juta kilometer dari Bumi yang memerlukan kira-kira tiga dekad untuk sampai. Roket membawa Teleskop Angkasa James Webb (JWST) itu turut melintasi ruang angkasa Malaysia malam Sabtu tadi.


Rakaman video insiden tidak dijangka itu berjaya dimuat naik warganet ke media sosial, dan diperkatakan ramai netizen di Malaysia yang berkongsi pengalaman sama dapat menyaksikan roket terbang sayup di langit, dengan ramai mulanya menyangka ia sebagai komet.


Berdasarkan laporan media antarabangsa, satelit milik Pentadbiran Angkasa dan Aeronautik Kebangsaan (NASA) itu diangkut dengan roket khas yang dikenali Ariane 5, berlepas dari tapak pelancaran Agensi Angkasa Eropah (ESA) di Korou, Guiana, sebuah negara kecil yang ditadbir Perancis di rantau Amerika Selatan pada pukul 7.20 petang waktu Malaysia.



JWST dengan berat kasarnya lebih 6.1 tan dan bernilai lebih RM2 bilion itu dikatakan bakal mengambil alih tugas Teleskop Angkasa Hubble yang telah lama dilancarkan NASA pada 1990.


Teleskop itu dicipta bersama NASA dengan Agensi Angkasa Eropah (ESA) dan Agensi Angkasa Kanada (ACS), dengan cermin berbentuk segmen heksagon berukur lilit 6.5 meter, lebih besar daripada Hubble cuma diameter 2.4 meter, ia direka ribuan saintis dan jurutera dari 14 buah negara.


Ketua ESA, Josef Aschbacher, berkata beliau begitu gembira apabila pihaknya berjaya melancarkan kapal angkasa ke ruang orbit secara tepat dan prestasi roket Ariane 5 juga dalam keadaan paling baik. Sebelum ini beberapa kali tertangguh kerana isu teknikal.


Keadaan itu penting kerana meletakkan kapal angkasa di orbit membantu menjimatkan bahan api yang diperlukan teleskop untuk sampai ke destinasi terakhirnya selain berfungsi dengan baik selepas itu. Ia dijangka memerlukan sebulan untuk tiba di destinasi terakhir.


Teleskop itu mengikut jejak langkah teleskop Hubble, yang membantu manusia memberi gambaran 'rupa' alam semesta berusia hampir 14 bilion tahun, serta berperanan untuk memantulkan petunjuk baharu yang akan dapat membantu saintis lebih memahami mengenai asal usul alam semesta dan planet seperti Bumi dalam sistem solar.


Teleskop dibawa roket tersebut dinamakan bersempena dengan tokoh mendiang James Edwin Webb, pentadbir kedua NASA yang amat berjasa ketika berkhidmat dari 1961 sehingga 1968.


Menerusi hantaran di media sosial, pengasas bersama projek Webb, John Mather menyifatkan sensitiviti teleskop itu sebagai tidak pernah wujud sebelum ini. Katanya, teleskop itu boleh melihat kesan haba badan seekor lebah pada jarak di Bulan.


Kesemua kuasa itu diperlukan untuk mengesan pancaran lemah dihasilkan berbilion tahun lalu oleh galaksi pertama yang wujud dan bintang pertama yang terbentuk.


Sementara itu, Presiden Amerika Syarikat (AS), Joe Biden, mengucapkan tahniah kepada NASA dan pasukan Webb kerana berjaya melancarkan teleskop itu.


"Ia (teleskop) adalah contoh gemilang tentang kuasa yang boleh kita capai apabila kita mempunyai impian yang besar," katanya menerusi hantaran di Twitter.


Roket yang membawa JWST dirakamkan melintasi ruang angkasa Malaysia pada malam Sabtu tadi. - Foto Falak Online.


Roket Arianespace, Ariane 5, yang membawa Teleskop Angkasa James Webb buatan NASA berlepas dari Pusat Angkasa Kourou di French Guiana. - Foto AFP.


EmoticonEmoticon