Memaparkan catatan dengan label Aneh. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Aneh. Papar semua catatan

Rabu, 6 Disember 2023

Penyepit makanan ditemukan dalam kepala hanya selepas lima bulan tersekat di situ

Penyepit makanan ditemukan dalam kepala hanya selepas lima bulan tersekat di situ


Seorang lelaki di Vietnam terkejut selepas doktor menemukan penyepit makanan yang patah di kepalanya, hanya selepas lima bulan alat itu tersekat di situ, lapor akhbar Metro UK, minggu lepas.


Lelaki yang tidak disebutkan namanya dari Vietnam itu dikejarkan ke bilik kecemasan di hospital selepas mengalami sakit kepala yang teruk, keluar cecair dan hilang penglihatan.


Lelaki berusia 35 tahun itu ditanya oleh doktor jika dia mempunyai sebarang petunjuk mengenai apa yang mungkin menyebabkan gejalanya itu, tetapi dia buntu.


Kakitangan di Hospital Persahabatan Cuba di bandar Dong Hoi, wilayah Quang Binh, menjalankan ujian imbasan tomografi berkomputer (CT Scan) untuk mengetahui punca masalah itu.


Mereka mendapati dia mengalami ketegangan pneumocephalus - keadaan yang tidak mengancam nyawa, biasanya disebabkan oleh trauma pada kepala.


Bagaimanapun, pakar perubatan juga menemukan penyepit patah yang menembusi tengkoraknya dari hidung, ketika pemeriksaan pada 24 November lalu.


Keluarga percaya penyepit itu pasti masuk ke hidung lelaki terbabit ketika dia terbabit dalam pergaduhan kira-kira lima bulan lalu.


Dia cedera dan dibawa ke hospital ketika itu tetapi penyepit tidak ditemukan dan tiada keabnormalan pada hidungnya dilaporkan.


Pesakit itu mengatakan dia tidak ingat dengan tepat apa yang berlaku dalam pergaduhan walaupun ada sesuatu 'menikam' wajahnya.


Kini, dia percaya lelaki yang menyerangnya pasti memasukkan penyepit ke dalam hidungnya.


Selepas konsultasi, doktor melakukan pembedahan endoskopik melalui hidung untuk mengeluarkan penyepit makanan itu.


Dia dilaporkan masih berada di hospital, namun dalam keadaan stabil ketika menjalani rawatan pemulihan.


Ketua Jabatan Pembedahan Saraf, Dr Nguyen Van Man berkata, ia adalah kes yang 'sangat jarang berlaku'. - Sumber Metro UK.


Doktor menemukan penyepit makanan yang patah di kepala seorang lelaki di Hanoi. - Foto Vietnam Cuba Hospital.

Rabu, 29 November 2023

Penyewa wanita pengotor, bilik penuh longgokan sampah mencecah siling

Penyewa wanita pengotor, bilik penuh longgokan sampah mencecah siling


Seorang pemilik rumah di Thailand terkejut apabila mendapati sebuah bilik yang disewakan kepada seorang wanita dipenuhi sampah dan menjadi tempat pembiakan serangga, lapor laman berita Thaiger pada 28 November 2023.


Namwan Panadda yang berpengalaman dalam pengurusan asrama selama tiga dekad dan merupakan pemilik rumah tersebut berkata, bilik yang disewakan kepada wanita berusia 42 tahun itu menjadi sarang pembiakan ular, cacing dan tikus.


Walaupun wanita itu bekerja sebagai seorang penjawat awam, bilik itu telah diabaikan selama dua tahun. Anehnya, kos sewa sebanyak 1,500 baht (RM201) masih dibayar pada setiap bulan. Difahamkan, wanita tersebut sudah menyewa bilik itu selama lebih sepuluh tahun.


"Empat bulan lalu, penyewa bilik lain yang bersebelahan melaporkan ular dan tikus muncul dari bilik itu serta bau busuk berterusan," kata Namwan.


Sampah di dalam bilik itu didapati disumbat ke setiap sudut dan celah hingga longgokan mencecah siling dan dipenuhi serangga.


Namwan dan suaminya kemudian menghabiskan lebih 3,000 baht (RM402) untuk membersihkan bilik itu selain mengisi sampah tersebut di dalam 250 beg dan membuangnya.


Di sebalik usaha mereka, bau busuk masih berterusan walaupun selepas dua kali pembersihankannya secara menyeluruh.


Bagaimanapun, Namwan dihubungi penyewa tersebut dan dia dituduh menceroboh bilik yang dipenuhi barang berharga. Disebabkan keadaan bilik yang menjejaskan penyewa lain, dia membuat laporan di Balai Polis Hua Mak. - Sumber The Thaiger.


Namwan menunjukkan bilik dipenuhi sampah yang disewa wanita tersebut. - Foto KhaoSod.

Selasa, 14 November 2023

Seorang lelaki p€nggl k€pala jiran dalam ritual ilmu hitam k©rban manusia

Seorang lelaki p€nggl k€pala jiran dalam ritual ilmu hitam k©rban manusia


Polis menahan seorang lelaki di wilayah Surat Thani, Thailand kerana didakwa memenggal kepala jirannya dalam satu ritual korban manusia, lapor laman berita Thaiger pada 13 November 2023.


Mayat tanpa kepala lelaki bernama Sangiam Penrum, 53, ditemui di sebuah rumah di kawasan ladang getah di daerah Kanchanadit, wilayah Surat Thani. Mangsa ditemui melutut di hadapan rumah dalam keadaan badan tersandar ke lantai.


Pegawai Balai Polis Kanchanadit turut menemui sebilah pisau 12 inci yang digunakan dalam pembunuhan tersebut berhampiran mayat mangsa. Bagaimanapun, mereka tidak dapat mengesan keberadaan kepala Sangiam.


Rumah itu dimiliki oleh ibu mertua Sangiam yang tidak berada di lokasi kejadian selama beberapa hari sebelum pembunuhan berlaku kerana dirawat di hospital.


Sangiam telah bercerai dan hanya tinggal bersama ibu mertuanya. Akibatnya, tiada sesiapa yang menyaksikan pembunuhan itu atau sebarang aktiviti mencurigakan.


Bekas isteri Sangiam, Panthip Onprom, 51, memaklumkan bahawa dia mempunyai seorang anak lelaki kini berusia 18 tahun dengan mangsa. Mereka bercerai tiga tahun lalu kerana mangsa seorang pemabuk dan didakwa menyebabkan dia didera secara fizikal.


Menurut Panthip, Sangiam kerap mengambil alkohol, tetapi dia tidak pernah menimbulkan gangguan di khalayak ramai, dan dia tidak menyedari sebarang konflik dengan ahli masyarakat.


Panthip mendedahkan bahawa baldi hitam yang digunakan untuk menyimpan air telah hilang dari rumah ibunya, dan dia mengesyaki bahawa pembunuh itu mungkin menggunakannya untuk menyimpan kepala Sangiam.


Polis menyoal sebilangan penduduk di kawasan itu. Beberapa penduduk percaya bahawa pembunuhan Sangiam adalah sebahagian daripada ritual korban manusia.


Penduduk tempatan menggesa polis untuk menyiasat seorang lelaki bernama Kung yang telah melakukan penggalian di beberapa kawasan untuk mencari harta karun selepas melakukan ritual aneh.


Polis menahan Kung semalam dan menyoal siasat suspek mengenai kes itu dan kepercayaan karutnya.


Polis juga menyiasat sebuah rumah terbiar di mana Kung melakukan ritualnya tetapi tidak menemui kepala Sangiam. Siasatan kes pembunuhan itu masih diteruskan. - Sumber The Thaiger.


Polis menjalankan siasatan di lokasi kejadian namun tidak menemui kepala mangsa. - Foto Facebook.

Isnin, 13 November 2023

NASA siar imej mengerikan gunung berapi seperti tengkorak gergasi mengintai ke langit

NASA siar imej mengerikan gunung berapi seperti tengkorak gergasi mengintai ke langit


Seorang angkasawan di Stesen Angkasa Lepas Antarabangsa (ISS) mengesan sebuah lubang gunung berapi yang kelihatan seperti wajah hantu di Gurun Sahara, Afrika apabila dilihat dari angkasa, lapor laman berita Fox News, Sabtu lepas.


Lubang gunung berapi itu sedalam kira-kira 1,000 meter (3,300 kaki) dan kelihatan seperti tengkorak yang mengerikan berdasarkan gambar dikongsikan Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Lepas Kebangsaan (NASA).


Ia dirakam selepas seorang angkasawan di ISS melihat formasi ganjil itu di Pergunungan Tibesti, Republik Chad.


Gambar itu pada asalnya dirakamkan pada bulan Februari lalu tetapi kemudian dikongsi semula oleh pihak NASA.


"Lubang gunung berapi sedalam 1,000 meter dan Tasik Trou au Natron di utara Chad kelihatan seperti wajah hantu yang merenung kembali ke arah anda," kata Balai Cerap Bumi NASA dalam catatannya pada minggu lalu.



Gambar itu menunjukkan apa yang kelihatan seperti pembentukan tengkorak besar dengan dua soket mata dan hidung dikelilingi oleh bahan putih.


NASA berkata, soket mata dan hidung itu sebenarnya adalah bukit kon curam yang dibina di sekeliling lubang gunung berapi, manakala bahan putih ialah kerak mineral yang terhasil daripada garam dikenali sebagai natron.


Pergunungan Tibesti dianggap sebagai salah satu kawasan paling terpencil di dunia, yang telah menyukarkan para saintis melakukan penyelidikan di Tasik Trou au Natron pada 2015 lalu.


NASA mengatakan bahawa penyelidikan menunjukkan kawasan itu dipenuhi dengan tasik glasier kira-kira 14,000 tahun yang lalu, dan sampel alga akuatik fosil yang dikumpulkan dianggarkan bermula sejak 120,000 tahun. - Sumber Fox News.

 

Wajah mirip tengkorak di Republik Chad yang dirakam dari ISS, Februari lalu. - Foto NASA

Penduduk terkejut kolam tiba-tiba bertukar warna merah jambu

Penduduk terkejut kolam tiba-tiba bertukar warna merah jambu


Sebuah kolam di Perlindungan Hidupan Liar Kebangsaan Kolam Kealia, salah satu daripada beberapa paya garam pantai di pulau Maui, Hawaii kelihatan aneh selepas warna airnya berubah menjadi merah jambu.


Menerusi lapor stesen penyiaran CNN pada 10 November 2023, Air Kolam Kealia itu bertukar merah jambu sejak 30 Oktober lalu selepas kandungan garamnya melonjak di tengah-tengah fenomena kemarau yang melampau.


Sampel air yang dihantar ke Universiti Hawaii menunjukkan bahawa halobakteria menyebabkan warna air kolam itu berubah, demikian menurut Perkhidmatan Ikan dan Hidupan Liar Amerika Syarikat (AS).


Halobakteria ialah organisma bersel tunggal yang hidup subur dalam air yang sangat masin seperti Great Salt Lake dan Laut Mati.



Kolam Kealia berada dalam kawasan dianggap sebagai kemarau melampau iaitu kedua terburuk pada skala Monitor Kemarau.


Situasi itu mendorong kepekatan garam meningkat dan menjadi lokasi pembiakan halobakteria yang berwarna terang.


Kira-kira 90 peratus daripada daerah Maui mengalami kemarau dan menjadi lebih teruk sejak kebakaran hutan yang melanda Lahaina pada Ogos lalu.


Para saintis masih mengkaji bagaimana krisis iklim akan menjejaskan Hawaii, tetapi secara keseluruhan terdapat keyakinan bahawa kemarau akan menjadi lebih teruk apabila suhu global meningkat walaupun di kawasan tropika seperti ini. - Sumber CNN


Kawasan Perlindungan Hidupan Liar Kebangsaan Kolam Kelia bertukar merah jambu. - Foto @Traviskeahi_photo/Instagram.

Sabtu, 11 November 2023

Lelaki mati ditembusi peluru ketika menguji kekebalan tangkal dipakai

Lelaki mati ditembusi peluru ketika menguji kekebalan tangkal dipakai


Seorang lelaki di negeri Bauchi, Nigeria mati ditembak oleh seorang pawang ketika menguji kekebalan tangkal yang didakwa dapat menjadikan si pemakai kalis peluru, lapor Badan Penyiaran Britain (BBC) pada 9 November 2023.


Pawang tersebut, yang menembak mangsa menggunakan sepucuk pistol buatan tempatan, telah diberkas bersama dua suspek lain. Seorang lagi suspek masih diburu polis.


Menurut Superintendan polis tempatan, Ahmed Wakil, ujian kekebalan objek digelar 'tangkal pistol' itu dilakukan ke atas mangsa, Muhammadu Ali, 43.


Sejurus terdengar bunyi tembakan, polis yang bertugas di kawasan itu bergegas ke lokasi kejadian sebelum membawa mangsa ke hospital.


"Dia bagaimanapun disahkan meninggal dunia sejurus tiba di hospital," kata Wakil sambil memberi amaran kepada orang ramai agar tidak menggunakan tangkal seperti itu.


Tangkal sering digunakan oleh penduduk Nigeria di mana orang ramai menggunakan khidmat dukun dan pawang untuk mengatasi pelbagai masalah. - Sumber BBC News.


Ahmed Wakil memberi kenyataan mengenai kes itu. - Foto BBC.

Jumaat, 10 November 2023

Penyelidik sahkan mumia makhluk tiga jari bukan manusia

Penyelidik sahkan mumia makhluk tiga jari bukan manusia


Sekumpulan penyelidik mengesahkan kesahihan beberapa mumia yang mempunyai tiga jari bahawa makhluk tersebut bukan manusia, lapor akhbar The Sun pada 8 November 2023.


Mereka berkata demikian dalam satu sidang di Kongres Mexico pada hari Selesa (7/11/2023). Menurut mereka, mumia yang sebelum ini dikatakan bukan berasal dari Bumi itu asli dan pernah hidup.


Beberapa makhluk berbadan kecil tersebut diklasifikasikan sebagai 'spesies baharu bukan manusia' kerana ia tidak mempunyai paru-paru atau tulang rusuk.


Ahli antropologi Universiti Kebangsaan San Luis Gonzaga Ica di Peru, Roger Zuniqa berkata, pasukan penyelidik telah menemui lima spesimen serupa dalam tempoh empat tahun.


"Ia adalah asli. Tiada campur tangan manusia terhadap pembentukan fizikal dan biologi makhluk ini," katanya.


Sepucuk surat yang ditandatangani oleh 11 penyelidik universiti tersebut mengisytiharkan bahawa mereka semua bersetuju bahawa mumia itu adalah nyata tetapi enggan mengesahkan sama ada ia berasal dari angkasa lepas.


Seorang wartawan dan peminat objek terbang tidak dikenali (UFO), Jaime Maussan mula membawa mumia mempunyai tiga jari dan tengkorak memanjang itu kepada perhatian Kongres Mexico pada September lalu.


Mumia yang dikatakan ditemui di sebuah lombong di Cuzco, Peru itu didakwa oleh Maussan sebagai bukan manusia. - Sumber The Sun.


Wartawan Mexico Jaime Maussan dan penggubal undang-undang membentangkan 'mayat bukan manusia' pada hari Selasa. - Foto AP.

Penggubal undang-undang Mexico mengadakan satu lagi pendengaran khusus untuk potensi bentuk kehidupan luar angkasa dan UFO pada hari Selasa lepas. - Foto AP.

Wartawan Mexico Jaime Maussan pertama kali membentangkan spesimen itu pada bulan September lalu. - Foto Getty.

Salah satu daripada dua makhluk 'bukan manusia' yang dibentangkan oleh Maussan pada bulan September lalu. - Foto Getty.