Memaparkan catatan dengan label Aneh. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Aneh. Papar semua catatan

Selasa, 15 November 2022

Penduduk di New Delhi gempar lihat objek aneh didakwa UFO berlegar-legar di langit ketika jerebu

Penduduk di New Delhi gempar lihat objek aneh didakwa UFO berlegar-legar di langit ketika jerebu


Netizen di India gempar apabila sebuah hantaran tular di media sosial memaparkan gambar yang didakwa mereka sebagai objek terbang tidak dikenali (UFO), lapor laman berita India Today pada 8 November 2022.


Berdasarkan rakaman yang dikongsikan di laman Twitter, seorang netizen berkata, dia menerima hantaran imej tersebut daripada seorang rakannya di New Delhi yang menyangka ia adalah sebuah piring terbang.


Bagaimanapun, jika diperhatikan secara teliti, imej sama ternyata sebuah tangki air yang tidak dapat dilihat dengan jelas disebabkan jerebu teruk melanda ibu negara India itu.


Bahagian atas tangki tersebut berbentuk seperti piring terbang yang sering dikaitkan dengan UFO meskipun ia sedikit kabur akibat jerebu tebal.


Bahagian bawahnya pula bagaimanapun hampir tidak kelihatan sehingga menyebabkan sebilangan netizen menyangka ia adalah UFO besar yang berlegar-legar di kaki langit.


Imej yang dimuat naik pada minggu lepas itu menjadi tular dan mendapat pelbagai reaksi pengguna media sosial.


"Pembenci akan menyatakan ia adalah imej photoshop," kata seorang netizen yang menyangka ia imej UFO sebenar.


"Kini, UFO boleh terbang di sekitar New Delhi ketika hari siang dan menyamar menjadi tangki air apabila imejnya dikesan," kata seorang lagi pengguna secara sinis.


Sekali pandang, imej ini kelihatan seperti UFO kerana bahagian bawahnya yang kurang jelas kelihatan akibat jerebu. - Foto Twitter.

Ahad, 13 November 2022

Kejadian pelik, beribu-ribu ikan melompat naik ke atas jambatan

Kejadian pelik, beribu-ribu ikan melompat naik ke atas jambatan


Penduduk Koh Lanta, di wilayah Krabi, Thailand alami kejadian pelik apabila beribu-ribu ekor ikan melompat naik ke atas sebuah jambatan di pulau berkenaan, lapor laman berita Thaiger pada 10 November 2022.


Mereka menangkap dan membawa pulang ikan-ikan itu untuk dimakan. Kejadian aneh ikan melompat itu disedari seorang penduduk ketika berlabuh di sebuah jeti.


Baka ikan tersebut dikenali sebagai 'Ta Maew', sejenis ikan yang sering ditemui di Koh Lanta, demikian menurut pegawai di pejabat perikanan wilayah Krabi.


Pegawai tersebut berkata, ikan itu akan berenang ke Koh Lanta pada dua musim iaitu Mac dan November. Ia dikatakan pergi ke Koh Lanta untuk bertelur.


Seorang penduduk, Sunan Madsaron berkata, meskipun ia sesuatu yang normal untuk melihat kawanan ikan Ta Naew berenang di sepanjang pantai, dia tidak pernah melihat ikan-ikan itu melompat ke atas jambatan.


Kejadian tersebut masih menjadi misteri kerana tidak diketahui sebab mengapa ikan-ikan berkenaan melompat ke atas jambatan, namun apa yang pasti ikan akan sesekali melompat keluar dari air kerana paras oksigen dalam air menjadi rendah.


Kejadian itu telah memberi durian runtuh kepada penduduk kampung yang mendapat rezeki percuma. Beberapa penduduk kampung dilaporkan berjaya mengisi guni baja mereka dengan hasil tangkapan ikan tersebut. - Sumber The Thaiger.


Seorang penduduk dilaporkan terserempak dengan longgokan ikan sedang melompat ketika berlabuh di sebuah jeti. - Foto Thaiger.
Disebabkan tekanan pergi kerja, wanita 'bertukar' jadi kuda

Disebabkan tekanan pergi kerja, wanita 'bertukar' jadi kuda


Pelik tapi benar, hobi seorang wanita dari Gold Coast Australia ini bukan menunggang kuda, sebaliknya menjadi replika menyerupai seekor kuda dengan badannya turut dilengkapi pelana, kekang dan bit.


Leanne, menggelarkan dirinya sebagai Shyanne apabila bertukar menjadi seekor kuda. Lebih memeranjatkan lagi apabila dia menyuruh rakan baiknya sendiri, Grace untuk menungganginya di belakang.


Mengakui pelik, namun Leanne bertegas bahawa menjadi seekor kuda bukan sahaja menjadikan dirinya seronok, bahkan membawa dia ke 'tempat indah' bagi membolehkannya berehat dan benar-benar menjadi diri sendiri.


"Apabila menjadi seekor kuda dan badan dilengkapi dengan peralatan, saya berasa lebih bebas. Saya menjadi diri saya yang sebenar," katanya.


Leanne yang merupakan seorang pencinta haiwan memiliki beberapa ekor kuda serta seekor kucing bernama Ember. Katanya, setiap kali melihat kuda-kuda peliharaannya, dia membayangkan haiwan tersebut adalah dirinya.


Berkongsi lanjut, apabila dia bertukar menjadi seekor kuda, rakannya Grace akan memainkan peranan sebagai individu yang mengambil tampuk, memimpin dan 'memandu' dirinya seperti dilakukan terhadap kuda poni sebenar.


Sudah tentu, muncul di depan khalayak ramai dan berpakaian seperti kuda memang akan mendapat beberapa reaksi yang melampau. Namun, Leanne mengatakan bahawa kebanyakan orang yang ditemui bersikap positif dengan apa yang dilakukannya.



"Apabila dunia melihat saya sebagai kuda, ia akan membuatkan mereka berfikir bahawa ini merupakan satu perkara menakjubkan.


"Bagi saya, ia melibatkan unsur kerohanian. Saya berada di alam yang berbeza kerana tidak perlu bimbang tentang bil mahupun pergi bekerja. Saya seorang yang introvert (penyendiri) dan meluahkannya dengan menjadi gadis kuda.


"Setiap hari ketika bangun untuk ke tempat kerja, saya sering rasa mahu melarikan diri. Tetapi selepas menjadi gadis kuda, hasrat tersebut diluahkan menerusi penyamaran sebagai seekor kuda. Keadaan tersebut begitu menggembirakan saya. Saya rasa, semua individu perlu merasainya," tambahnya.


Katanya, dia tidak berpuas hati dengan hanya berdandan, sebaliknya mahu merasai semua yang dilakukan oleh seekor kuda. Justeru, dia mengubah taman di belakang rumahnya, menambah set kandang bersaiz manusia dan sebuah kandang berpasir.


Katanya, dia membelanjakan antara £5,000 (RM23,802) dan £10,000 (RM47,605)untuk memenuhi minatnya itu. Pun begitu, dia langsung tidak merasakan ia membazir sebaliknya berpuas hati dengan setiap wang yang telah dibelanjakan.


Sementara itu, rakan baiknya, Grace mempunyai pandangan sama dengan Leanne yang beranggapan menjadi seekor kuda adalah sebahagian daripada cara untuk mengatasi rasa malunya.


"Saya mengemudi dan memberi arahan kepadanya dengan menarik tali. Itu kaedah yang baik dan dia boleh bertindak balas terhadap tekanan pada kedua-dua belah mulutnya, sama seperti menunggang kuda sebenar.


"Saya fikir ini merupakan salah satu cara bagi meluahkan sebahagian besar keperibadiannya. Itulah identiti dirinya yang sebenar," ujarnya. - Sumber Daily Mail.


Leanne akan berubah menjadi replika kuda, manakala rakannya, Grace menunggang di belakang. - Foto DMAX.

Ahad, 6 November 2022

Sofa dipercayai dilempar dari balkoni hempap kereta tepi jalan hingga 'hancur'

Sofa dipercayai dilempar dari balkoni hempap kereta tepi jalan hingga 'hancur'


Seorang lelaki di Australia yang meletakkan kenderaannya di tepi sebatang jalan berdekatan daerah Ultimo di Sydney, terkejut apabila mendapati kereta tersebut rosak teruk akibat dihempap sebuah sofa, lapor akhbar Metro UK.


Herbert Xia, meletakkan kereta yang disewanya di sebatang jalan dekat sebuah kawasan kediaman kurang daripada 15 minit sebelum kembali semula ke lokasi itu.


Setibanya Herbert di jalan tersebut, dia terkejut apabila mendapati sebuah sofa menghempap dan memecahkan cermin hadapan kereta Toyota Yaris itu.


Polis kini sedang menyiasat insiden berkenaan dan mencadangkan bahawa sofa itu telah dicampak dari balkoni sebuah unit berhampiran yang mengadakan parti.


"Kejadian itu sungguh pelik, jika saya berada dalam kereta tersebut sewaktu sofa itu menghempap, saya mungkin telah dimasukkan ke hospital," kata Herbert kepada agensi berita 9News.



Sofa itu dilaporkan menghempap beberapa pokok sebelum mengenai kereta Herbert. Kereta tersebut dilaporkan telah ditinggalkan di Jalan Jones di Ultimo pada jam 7.30 malam Khamis lalu.


Gambar kejadian itu menunjukkan kereta tersebut mengalami kerosakan yang teruk dengan sofa berkenaan masih berada di atasnya. Daun juga kelihatan berguguran di atas bonet kereta tersebut.


"Sofa itu dicampak dari tempat tinggi dan ia berlaku ketika orang ramai pulang dari kerja," kata Ketua Inspektor Polis Sydney, Gary Coffey. - Sumber Metro UK.


Gambar menunjukkan kereta itu remuk sepenuhnya dengan sofa masih di atasnya, dengan daun bertaburan di atas bonet. - Foto Metro UK.

Gambar menunjukkan keadaan kereta itu selepas dihempap sebuah sofa. - Foto Metro UK.

Rabu, 2 November 2022

Lelaki terkejut temui bangkai makhluk gergasi terdampar di tepi pantai

Lelaki terkejut temui bangkai makhluk gergasi terdampar di tepi pantai


Sejenis hidupan laut gergasi misteri ditemui terdampar di pesisir pantai negeri Oregon, Amerika Syarikat. Ia ditemui oleh oleh penduduk tempatan, Adoni Tegner semasa dia memandu di tepi pantai dekat Florence, lapor akhbar New York Post.


Makhluk besar itu digambarkan oleh Tegner seperti raksasa, ditutupi rambut putih panjang dan berbau seperti mamalia mereput.


"Saya tidak pernah melihat haiwan seperti itu sebelum ini. Ia seperti bertali dan hampir kelihatan seperti seekor sotong besar atau sesuatu," katanya.


Dia turut memanggil teman wanitanya untuk melihat mahkluk tersebut namun kedua-duanya buntu. Tegner kemudian menyiarkan gambar haiwan itu di laman Facebook untuk bertanya jika sesiapa dapat mengenalinya.


Netizen memberi pendapat bahawa ia mungkin 'globster', iaitu nama yang diberikan kepada haiwan marin misteri terdampar di tepi pantai.


Namun, menurut pengurus program Pusat Sains Marin Hatfield di Universiti Negeri Oregon, Jim Rice berkata bahawa mahluk itu kelihatan seperti bangkai seekor ikan paus.


"Apa yang kelihatan seperti rambut adalah penguraian tisu badan seperti otot dan tendon. Saya menganggarkan bangkai ini berasal daripada paus yang mati selama beberapa bulan," katanya. - Sumber New York Post.


Tegner bersama teman wanitanya terserempak dengan makhluk aneh itu sewaktu memandu sepanjang pantai pada Rabu, 12 Oktober 2022 lalu. - Foto Facebook / mericalynn503.

Haiwan itu dipercayai bangkai paus yang sedang mereput dan sudah mati sejak beberapa bulan lepas. - Foto Facebook / mericalynn503.

Ahad, 30 Oktober 2022

Saintis dapati lebah boleh bermain bola sepak selepas dilatih

Saintis dapati lebah boleh bermain bola sepak selepas dilatih


Satu kajian mendapati lebah boleh bermain 'bola sepak' sama seperti manusia, selepas sekumpulan penyelidik menjalankan eksperimen terhadap beberapa ekor lebah dengan memberinya bola kecil, lapor akhbar The Sun.


Dalam kajian tersebut, beberapa ekor lebah dilihat berulang kali menolak sebiji bola kecil walaupun tidak mempunyai tujuan untuk berbuat demikian.


Sama seperti permainan bola sepak antara manusia, lebah muda dilihat lebih sibuk 'bermain bola' berbanding serangga yang lebih tua dengan mengerumuninya sebanyak 117 kali.


Ujian selanjutnya mendapati ia pergi ke arah bola dan tidak memilih makanan. Kajian itu menunjukkan lebah juga bermain permainan itu untuk keseronokan.



"Sudah tentu mengejutkan, kadang-kadang lucu untuk menonton lebah bermain. Ia mendekati dan memanipulasi 'mainan' itu berulang kali," kata seorang penyelidik dari Queen Mary University of London, Samadi Galpayage.


Kajian itu menunjukkan bahawa walaupun lebah memiliki saiz dan otak yang kecil, ia lebih bijak daripada makhluk robot yang kecil.


Prof Lars Chittka, yang mengetuai kajian itu, berkata lebah akan dapat menyesuaikan diri dengan perubahan dalam persekitaran semula jadi mereka.


"Lebah-lebah itu kelihatan seronok bermain dengan bola dan belajar bagaimana untuk menjaringkan gol dengan sangat cepat, tetapi saya tidak fikir kita akan melihat mana-mana daripada mereka bermain di Wembley tidak lama lagi," katanya.


Bagaimanapun, kumpulan kebajikan haiwan mengecam kajian itu selepas didedahkan lima daripada 49 lebah mati akibat 'sebab semula jadi' semasanya.


"Lebah adalah serangga yang bijak dan kompleks dan harus ditinggalkan sendirian untuk menjalani kehidupan mereka," kata Elisa Allen, dari People for the Ethical Treatment of Animals.


Lebah dilatih menolak bola kuning dari platform ke tengah. - Foto The Sun.

Ahad, 16 Oktober 2022

Wanita kena rasuk berdiri atas bumbung rumah penduduk kemudian ketawa terbahak-bahak

Wanita kena rasuk berdiri atas bumbung rumah penduduk kemudian ketawa terbahak-bahak


Sebuah video tular di media sosial Indonesia memaparkan kejadian seram seorang wanita sedang berdiri di atas bumbung rumah didakwa dirasuk oleh makhluk halus, lapor laman berita Detik News.


Wanita bernama Ismaiyatun Hasanah atau lebih dikenali sebagai Iis itu merupakan penduduk kampung Sukaoneng, Daerah Tambak, Pulau Bawean, Gresik, Jawa Timur, tiba-tiba berdiri di atas bumbung rumah penduduk pada pagi Ahad sambil ketawa mengilai.


Wanita tersebut sebelum itu dilaporkan hilang dari rumahnya sejak Sabtu lepas, 8 Oktober lalu ketika azan maghrib berkumandang.


"Wanita ini memanjat pokok mangga sehingga sampai ke bumbung rumah. Dia sebelum ini pernah dirasuk beberapa kali," kata seorang penduduk setempat, Munawir.


Lokasi Iis ditemui adalah sekitar 200 meter dari rumahnya. Lebih menghairankan, ranting pokok yang dipanjat wanita itu adalah kecil, namun tidak patah ketika dipijak.


Menurut Munawir, Iis sebelum ini pernah hilang ketika dirasuk makhluk halus.


"Dia pernah ditemui di kampung lain sebelum dibawa pulang oleh keluarganya. Suaminya juga cemas ketika dia hilang ketika waktu maghrib dalam kejadian kali ini," katanya.


Lis akhirnya berjaya dibawa turun dari bumbung rumah oleh seorang ketua penduduk. Dia berada dalam keadaan tidak sedarkan diri sehingga awal pagi. - Sumber News Detik.


Wanita itu dirakam berdiri di atas bumbung rumah sambil ketawa mengilai. - Foto: tangkapan layar/detikJatim.