Memaparkan catatan dengan label Aneh. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Aneh. Papar semua catatan

Jumaat, 7 Oktober 2022

Seorang YouTuber bertukar menjadi manusia paling hitam di dunia

Seorang YouTuber bertukar menjadi manusia paling hitam di dunia


Seorang YouTuber terkenal Jepun, Hajime mengejutkan berjuta-juta pengikutnya baru-baru ini apabila dia mengecat keseluruhan badan menggunakan cat paling hitam di dunia yang dijual secara komersial, lapor laman berita Oddity Central pada 5 Oktober 2022.


Musou Black merupakan sejenis cat khas yang dibangunkan dan dijual oleh syarikat Koyo Orient Japan, namun secara teknikal, ia bukan cat paling hitam di dunia. 


Gelaran tersebut sebenarnya milik cat Vantablack, sejenis salutan hitam luar biasa yang mampu menyerap sehingga 99.965 peratus cahaya yang boleh dilihat.


Ia menjadikan semua bahan dicat kelihatan seperti lubang hitam, namun cat tersebut amat mahal dan tidak dijual di pasaran terbuka.



Musou Black sebaliknya mampu menyerap 99.4 peratus cahaya yang boleh dilihat, menjadikannya cat kedua paling hitam di dunia dan dijual di laman peruncitan Amazon pada harga AS$17 (RM78.70) bagi setiap 100 mililiter.


Berdasarkan ciri unik tersebut, Hajime yang dikenali kerana sering tampil dengan pelbagai idea 'gila' baru-baru ini menggunakan cat Musou Black untuk menghasilkan bilik paling hitam di dunia.


Sebuah video yang dimuat naik di saluran YouTube miliknya menunjukkan lelaki berkenaan mengecat dinding bilik dengan warna hitam, sebelum menyalut badannya menggunakan cat yang amat hitam itu untuk menguji sama ada dia boleh dilihat di dalam bilik tersebut.


Selain video itu, Hajime turut berkongsikan beberapa gambar menunjukkan dia berada di tepi pantai dengan keadaan badannya dicat dengan warna hitam, yang membuatkannya kelihatan seperti bayang-bayang.


Hajime turut menggunakan cat tersebut untuk mewarnakan pelbagai objek lain termasuk kereta dan buah-buahan, tetapi, Hajime mungkin menjadi orang pertama yang menggunakannya pada badan manusia. - Sumber Oddity Central.


Hajime kelihatan seperti bayang-bayang. - Foto Twitter Hajime.

Ahad, 28 Ogos 2022

Fenomena pusaran angin di Pantai Paka gemparkan penduduk sekitar

Fenomena pusaran angin di Pantai Paka gemparkan penduduk sekitar


Pengunjung dan penduduk di sekitar Pantai Paka di Dungun, gempar menyaksikan fenomena pusaran angin atau belalai air yang berlaku di kawasan laut tidak jauh dari pantai tersebut, petang semalam.


Fenomena pada pukul 5.40 petang di kawasan laut tersebut sempat dirakam beberapa penduduk dan pengunjung pantai tersebut.


Ia dapat dilihat sejauh beberapa meter sehingga ke pekan Paka sebelum ia semakin mengecil dan hilang kira-kira lebih lima minit kemudian.


Salah seorang penduduk, Zunazri Zulkifli, 42, berkata, dia terkejut melihat kewujudan awan tebal dan pusaran angin sewaktu memandu kereta di kawasan pantai berkenaan.



"Fenomena pusaran angin itu jelas kelihatan walaupun jaraknya agak jauh di tengah laut.


"Sewaktu kejadian, angin tiba-tiba bertiup kuat di pesisir pantai namun hujan tidak turun. Saya juga sempat merakam beberapa keping gambar," katanya ketika dihubungi.


Seorang lagi pengunjung pantai, Roszini Ramli, 43, berkata dia yang bersama dua anaknya terkejut melihat fenomena tersebut.


"Saya belum pernah melihat kejadian ini. Memang agak takut dan terkejut. Bimbang berlaku kejadian buruk, kami cepat-cepat pulang," katanya.


Terdahulu, beberapa keping gambar dan video mengenai kejadian tersebut tular di dalam laman sosial Facebook dan aplikasi WhatsApp. - Sumber Kosmo.


Fenomena pusaran angin atau belalai air yang berlaku di perairan Paka dirakam pengunjung Pantai Paka, Dungun,Terengganu, semalam. - Foto tular.

Khamis, 25 Ogos 2022

Ikan 'zombi' hilang sebahagian besar badan masih hidup serta mempunyai kecederaan yang mengerikan

Ikan 'zombi' hilang sebahagian besar badan masih hidup serta mempunyai kecederaan yang mengerikan


Satu rakaman video memaparkan detik luar biasa seekor ikan 'zombi' terus berenang di dalam air walaupun sebahagian besar badannya hilang, lapor akhbar The Sun pada 24 Ogos 2022.


Haiwan marin itu dirakam mempunyai kecederaan yang mengerikan sehingga mengejutkan penonton.


Video yang dikongsi di laman Reddit itu membuatkan pengguna bingung dengan mereka mempersoalkan bagaimana ikan itu masih terselamat daripada kecederaan tersebut.


"Saya tertanya-tanya berapa lama dia boleh bertahan? Maksud saya, semua organnya masih utuh," kata seorang pengguna.


"Bayangkan kesakitan yang ditanggung semasa membuat pergerakan untuk berenang. Saya berasa sangat sedih terhadapnya," komen pengguna lain.


Seorang lagi pengguna menulis dalam komen, yang mendakwa sebagai saintis berkata, saraf tunjang tidak berjalan di sepanjang permukaan perut seperti salmon atau yang serupa, tetapi di tengah.


"Jisim simetri tisu lemak dan otot yang tidak mengawal sebarang pergerakan sebenar dan bervaskular minimum wujud pada satah ventral, memberikan penampan untuk gigitan ventral untuk tidak membawa maut.


"Dan sementara mereka mempunyai banyak kapasiti untuk merasakan dan mengenali kesakitan, pengedaran saraf dalam jisim perut adalah minimum," katanya.


Menurut sebuah organisasi hak asasi binatang yang berpusat di Amerika Syarikat, People for the Ethical Treatment of Animals (PETA), pakar neurobiologi telah lama menyedari bahawa ikan mempunyai sistem saraf yang memahami dan bertindak balas terhadap kesakitan.


"Sesetengah makhluk laut juga mempunyai keupayaan untuk menumbuhkan kembali bahagian badan, manakala bukti menunjukkan prospek kelangsungan hidup ikan tersebut adalah tipis," kata PETA. - Sumber The Sun.


Pengguna Reddit bingung bagaimana ikan itu terselamat. - Foto Reddit.

Isnin, 25 Julai 2022

Penduduk Australia terkejut melihat langit bertukar warna merah jambu yang menakutkan

Penduduk Australia terkejut melihat langit bertukar warna merah jambu yang menakutkan


Penduduk sebuah bandar di Australia dikejutkan dengan kejadian aneh apabila cahaya merah jambu menerangi langit pada waktu malam, lapor akhbar The Guardian pada 21 Julai 2022.


Penduduk di bandar Mildura di utara Victoria tercengang-cengang kehairanan apabila melihat cahaya itu yang muncul pada Selasa lalu.


Seorang penduduk tempatan, Tammy Szumowski memberitahu, dia begitu tertarik dengan cahaya merah jambu itu dan segera memandu kereta untuk mencari puncanya.


Dia mendapat tahu tentang fenomena itu apabila dihubungi oleh ibunya untuk bertanya sama ada dia juga melihat cahaya merah jambu di langit.



"Ia sangat pelik, saya sedang menelefon ibu saya, dan ayah saya berkata dunia akan kiamat," kata Szumowski.


Imej menunjukkan langit waktu malam kelihatan berwarna merah jambu dalam formasi bulat. Szumowski berkongsi imej itu di laman Facebook untuk mengetahui puncanya.


"Baru sahaja merakam gambar-gambar ini di Merbein selatan! Ada idea apakah ia? Makhluk asing? Fenomena yang tidak diketahui?" demikian kapsyen pada hantaran berkenaan.


Difahamkan, cahaya itu dikatakan berasal dari sebuah ladang ganja perubatan. Tirai salah satu bangsal di ladang milik syarikat Cann Pharmaceutical dibiarkan terbuka sementara lampu LED masih menyala.


Lampu merah jambu di bangsal penuaian komersial itu memancarkan cahaya pada celah tirai dan mencipta paparan di langit.


Cann Group Ltd ialah syarikat Australia pertama yang mendapatkan lesen untuk penanaman ganja untuk tujuan perubatan dan penyelidikan. - Sumber The Guardian.


Cahaya merah jambu itu mengejutkan penduduk tempatan di Mildura, Victoria. - Foto Alexandra Talent.

Cahaya itu dikatakan berasal dari sebuah ladang ganja perubatan. - Foto Tim_Green78.

Jumaat, 15 Julai 2022

Nelayan kongsi gambar ketam miliki gigi seperti manusia, gemparkan warganet

Nelayan kongsi gambar ketam miliki gigi seperti manusia, gemparkan warganet


Seorang jurugambar dan nelayan laut dalam di Rusia, mendapat perhatian netizen selepas memuat naik hasil tangkapan terbarunya berupa seekor ketam yang memiliki gigi seperti manusia, lapor laman berita Wionews pada 13 Julai 2022.


Roman Fedortsov menyiarkan imej beberapa penemuan laut dalam yang paling luar biasa di laman Instagramnya.


Gambar paling mendapat perhatian adalah seekor ketam yang memiliki set gigi sempurna seperti manusia dewasa.


"Foto tersebut menerima tanda like dan komen paling banyak pada minggu lalu.


"Ada yang meluahkan rasa kagum dengan keunikan haiwan akuatik ini dan ada juga berasakan rupa fizikal binatang ini melucukan," kata Fedortsov.


Lelaki itu terkenal sebagai pesohor media sosial dan kini mempunyai lebih 652,000 pengikut di laman Instagramnya. Dia sering berkongsi foto hidupan laut pelik di platform tersebut.


Antaranya, ikan yang menyerupai labah-labah, ikan yang menyerupai cacing tanah, dan makhluk yang menyerupai gumpalan.


BACA: Koleksi Ikan Pelik Dengan Wajah Mengerikan Seakan 'Makhluk Asing' Ditangkap Di Laut Barents.


Ketam laut dalam yang mempunyai set gigi seperti manusia dewasa. - Foto fedortsov_official_account.

Ahad, 3 Julai 2022

Penemuan ular berkepala dua di Afrika Selatan, mendapat perhatian dunia

Penemuan ular berkepala dua di Afrika Selatan, mendapat perhatian dunia

Penemuan spesies ular jarang jumpa berkepala dua yang ditemui di Afrika Selatan, meraih perhatian dunia.



Pakar penyelamat ular, Nick Evans mengesahkan penemuan ular itu yang berasal dari spesies tidak berbahaya, lapor laman berita NDTV pada 30 Jun 2022.


Evans memaklumkan bahawa dia mendapatkan reptilia yang jarang ditemui itu, apabila dia diminta untuk mengambil ular itu daripada seorang lelaki yang telah menemui haiwan merayap itu di tamannya.


"Ular itu kini dalam jagaan pakar selepas seorang lelaki menyerahkan haiwan yang ditemuinya di taman rumahnya di Ndwedwe, utara Durban.


"Lelaki berkenaan tidak mahu haiwan terbabit dicederakan sesiapa sebelum memasukkannya dalam botol dan meminta saya membawanya pergi. Ia adalah penemuan aneh. Haiwan itu dianggarkan sepanjang 30 sentimeter dan masih muda.


"Apa yang menjadi perhatian saya adalah apabila melihat cara haiwan berkenaan bergerak antara satu sama lain, dan ada-kalanya akan bertindih antara satu sama lain bagi memastikannya boleh bergerak," katanya yang berkongsi penemuan aneh berkenaan di media sosial.


Sejak dikongsikan, posting tersebut menjadi tular di internet. Netizen di Facebook gembira mendengar bahawa reptilia itu telah dibawa ke tempat yang selamat.


Tambah Evans, dia terkejut dengan penemuan reptilia itu yang masih hidup ketika ditemuinya. Dia berkata bahawa 'tiada gunanya' melepaskan ular itu sekarang.


"Setahu saya, mereka pada umumnya tidak hidup lama. Haiwan ini tidak akan bertahan lama hidup di alam liar. Ia hampir tidak boleh bergerak, dan apabila ia bergerak, ia bergerak dengan sangat perlahan. Pemilihan yang sangat mudah untuk pemangsa," jelas Evans.


Menurut Newsweek, haiwan yang dilahirkan dengan dua atau lebih kepala mempunyai keadaan dipanggil polycephaly, yang lebih biasa ditemui pada reptilia berbanding mamalia.


Malah, kebiasaannya haiwan dengan keadaan seperti ini tidak selalunya dapat hidup lama dan bergantung kepada tahap di mana kedua-dua kepala terbabit terbelah. - Sumber NDTV.


Ular berkepala dua yang ditemui di Afrika Selatan. - Foto Facebook Nick Evans- Snake Rescuer.

Ahad, 26 Jun 2022

Sebuah hotel menawarkan pengalaman bermalam berbumbungkan langit, tanpa dinding dan pintu

Sebuah hotel menawarkan pengalaman bermalam berbumbungkan langit, tanpa dinding dan pintu


Sebuah hotel di kampung Saillon, selatan Switzerland menawarkan pengalaman bermalam berkonsepkan terbuka tanpa dinding, bumbung dan pintu, lapor Reuters pada 23 Jun 2022.


Hotel 'Zero Star Hotel' yang diilhamkan pasangan adik beradik, Frank Riklin dan Patrik Riklin menawarkan harga 275 pound (RM1,400), bagi satu malam dengan kemudahan seperti katil di atas platform, dengan dua meja sisi katil dan lampu.


Konsep itu bertujuan membiarkan tetamu memikirkan masalah di dunia seperti perubahan iklim, peperangan serta kerosakan yang ditimbulkan akibat tangan manusia di bumi.


"Tidur bukan tujuan utama kami menyediakan penginapan ini. Apa yang penting adalah bagaimana kita memberikan maklum balas terhadap situasi dunia sekarang.


"Bermalam di sini adalah satu kenyataan tentang keperluan melakukan perubahan segera dalam masyarakat.


"Sekarang bukan masa untuk tidur dengan nyenyak, kita perlu memikirkan masalah dunia. Jika kita meneruskan arah yang sama seperti hari ini, mungkin terdapat lebih banyak tempat yang sudah tidak indah lagi," kata Patrik Riklin.


Projek tersebut dibangunkan bersama pengusaha hotel, Daniel Charbonnier yang menawarkan tempat tidur di tepi jalan bersebelahan stesen minyak, lereng bukit dan ladang anggur dengan pemandangan yang mempesonakan.


Pakej turut dilengkapi perkhidmatan penyedia makanan bagi sarapan dan minuman yang akan tersedia dari 1 Julai hingga 18 September depan. - Sumber Reuters.


Foto adik-beradik Frank Riklin dan Patrik Riklin. Gambar diambil 14 Jun 2022 oleh Reuters/Denis Balibouse.

Tempat tidur dengan pemandangan mempesonakan di lereng bukit di kampung Saillon, selatan Switzerland. - Foto Agensi.

Gambar diambil 15 Jun 2022 oleh Reuters/Denis Balibouse.

Gambar diambil 15 Jun 2022 oleh Reuters/Denis Balibouse.