Isnin, 25 Julai 2022

Penduduk Australia terkejut melihat langit bertukar warna merah jambu yang menakutkan


Penduduk sebuah bandar di Australia dikejutkan dengan kejadian aneh apabila cahaya merah jambu menerangi langit pada waktu malam, lapor akhbar The Guardian pada 21 Julai 2022.


Penduduk di bandar Mildura di utara Victoria tercengang-cengang kehairanan apabila melihat cahaya itu yang muncul pada Selasa lalu.


Seorang penduduk tempatan, Tammy Szumowski memberitahu, dia begitu tertarik dengan cahaya merah jambu itu dan segera memandu kereta untuk mencari puncanya.


Dia mendapat tahu tentang fenomena itu apabila dihubungi oleh ibunya untuk bertanya sama ada dia juga melihat cahaya merah jambu di langit.



"Ia sangat pelik, saya sedang menelefon ibu saya, dan ayah saya berkata dunia akan kiamat," kata Szumowski.


Imej menunjukkan langit waktu malam kelihatan berwarna merah jambu dalam formasi bulat. Szumowski berkongsi imej itu di laman Facebook untuk mengetahui puncanya.


"Baru sahaja merakam gambar-gambar ini di Merbein selatan! Ada idea apakah ia? Makhluk asing? Fenomena yang tidak diketahui?" demikian kapsyen pada hantaran berkenaan.


Difahamkan, cahaya itu dikatakan berasal dari sebuah ladang ganja perubatan. Tirai salah satu bangsal di ladang milik syarikat Cann Pharmaceutical dibiarkan terbuka sementara lampu LED masih menyala.


Lampu merah jambu di bangsal penuaian komersial itu memancarkan cahaya pada celah tirai dan mencipta paparan di langit.


Cann Group Ltd ialah syarikat Australia pertama yang mendapatkan lesen untuk penanaman ganja untuk tujuan perubatan dan penyelidikan. - Sumber The Guardian.


Cahaya merah jambu itu mengejutkan penduduk tempatan di Mildura, Victoria. - Foto Alexandra Talent.

Cahaya itu dikatakan berasal dari sebuah ladang ganja perubatan. - Foto Tim_Green78.


EmoticonEmoticon