Rabu, 27 Julai 2022

42 orang cedera, monyet liar 'mengamuk' di Jepun rosakkan tanaman dan serang manusia

Gambar hiasan. - Foto News Flare.

Pihak berkuasa tempatan di bandar Jepun, Yamaguchi memaklumkan mereka menggunakan pistol penenang untuk menangani monyet liar yang setakat ini sudah mencederakan 42 orang dalam beberapa minggu kebelakangan ini.


Monyet liar lazimnya dilihat di sebahagian besar Jepun dan dianggap sebagai binatang perosak di beberapa kawasan. Haiwan itu memakan tanaman dan juga memasuki rumah.


Serangan monyet liar di bandar barat Jepun adalah sesuatu yang luar biasa. Orang dewasa dan kanak-kanak mengalami kecederaan akibat dicakar dan gigitan haiwan terbabit.


Kecederaan yang dialami mangsa setakat ini sederhana, namun pihak berkuasa kini menggunakan pistol penenang selepas perangkap yang dipasang gagal memerangkap monyet terbabit.


"Pada mulanya, hanya kanak-kanak diserang. Baru-baru ini, warga emas dan lelaki dewasa juga menjadi sasaran haiwan itu," menurut pegawai.


Bandar terbabit tidak pasti jika serangan itu dilakukan oleh sekumpulan monyet ataupun seekor monyet yang agresif. Dalam beberapa kes, monyet itu masuk melalui pintu ataupun tingkap yang terbuka.


Kisah itu menjadi tajuk utama di Jepun dalam beberapa minggu kebelakangan ini selepas penduduk awam melaporkan serangan haiwan terbabit dengan lebih kerap.


"Saya mendengar tangisan datang dari tingkat bawah, jadi saya bergegas turun, kemudian saya nampak seekor monyet membongkok anak saya," kata seorang lelaki tempatan kepada Harian Mainichi Shimbun.


Serangan monyet terbabit pertama dilaporkan berlaku pada 8 Julai lalu apabila haiwan itu memanjat sebuah flat di daerah Ogori di bandar Yamaguchi, dan cuba menyeret seorang bayi keluar dari tingkap, menyebabkan beberapa kecederaan.


"Monyet itu telah mencengkam kaki anak saya semasa dia bermain di atas lantai, dan kelihatan seperti cuba mengheretnya ke luar," kata ibu bayi itu kepada media tempatan.


Menurut laporan, monyet itu menyerang lima orang lagi di daerah yang sama sebelum memasuki sebuah sekolah rendah pada 11 Julai, di mana ia mencalarkan seorang murid, dan kemudian menyerang seorang kanak-kanak perempuan berusia empat tahun tiga hari kemudian di taska berdekatan. - Sumber Daily Mail UK.



Pegawai berkata serangan monyet di bandar Yamaguchi Jepun (gambar) di barat Jepun adalah luar biasa, dengan orang dewasa dan kanak-kanak mengalami luka termasuk calar dan gigitan. - Foto Yangxiong.


EmoticonEmoticon