Rabu, 27 Julai 2022

Ular sepanjang 18 kaki belit tuan sendiri sehingga menemui ajal


Seorang lelaki di negeri Pennsylvania, Amerika Syarikat meninggal dunia selepas dibelit ular peliharaannya sepanjang 5.48 meter (18 kaki) di bahagian leher minggu lalu, lapor majalah People pada 26 Julai 2022.


Elliot Senseman, 27, mati ketika dirawat di Hospital Lehigh Valley kira-kira pukul 8.11 pagi (waktu tempatan) pada hari Ahad, 24 Julai 2022, kata Koroner Daerah Lehigh, Daniel A. Buglio dalam satu kenyataan.


"Punca kematian adalah kecederaan pada otak akibat kurang oksigen semasa dibelit.


"Seekor ular sawa boa constrictor dengan saiz kira-kira 5.48 meter melilit leher mangsa, yang mengakibatkan kecederaan otak ," kata kenyataan tersebut sambil menambah, kejadian itu disifatkan sebagai kemalangan.


Dalam insiden pada minggu lalu itu, anggota polis Perbandaran Upper Macungie dikejarkan ke perkampungan Fogelsville sejurus menerima panggilan kecemasan. Setibanya di lokasi kejadian, anggota-anggota polis menemui seorang lelaki terbaring di lantai, manakala seekor ular melilit lehernya.


"Disebabkan saiz reptilia itu amat besar, salah seorang anggota kami terpaksa menembak kepala ular tersebut tanpa mengakibatkan kecederaan kepada mangsa," demikian menurut laporan polis.


Dalam pada itu, seorang ahli keluarga mangsa memberitahu laman berita The Daily Beast bahawa mangsa mula membela ular sejak berusia 10 tahun selain mempunyai pengalaman luas dalam mengendalikan reptilia itu.


Dia juga telah menyelamatkan banyak ular dalam tempoh enam tahun lalu dan amat berminat dalam mencari tempat tinggal baharu bagi haiwan tersebut.


Bersama-sama dengan ular yang membunuhnya, Senseman mempunyai dua lagi ular peliharaan di rumahnya. Sebelum ini, ular sawa boa constrictor yang membunuhnya telah didera dan kekurangan zat makanan, menurut The Daily Beast.


"Ular tertentu ini agresif, dan itu adalah salah satu isu, dengan cara ular ini menyerangnya dan bagaimana ia menjadi agresif, ia tidak bertindak balas secara normal," kata ahli keluarga mangsa memberitahu outlet itu. - Sumber People.


EmoticonEmoticon