Selasa, 15 November 2022

Penduduk di New Delhi gempar lihat objek aneh didakwa UFO berlegar-legar di langit ketika jerebu


Netizen di India gempar apabila sebuah hantaran tular di media sosial memaparkan gambar yang didakwa mereka sebagai objek terbang tidak dikenali (UFO), lapor laman berita India Today pada 8 November 2022.


Berdasarkan rakaman yang dikongsikan di laman Twitter, seorang netizen berkata, dia menerima hantaran imej tersebut daripada seorang rakannya di New Delhi yang menyangka ia adalah sebuah piring terbang.


Bagaimanapun, jika diperhatikan secara teliti, imej sama ternyata sebuah tangki air yang tidak dapat dilihat dengan jelas disebabkan jerebu teruk melanda ibu negara India itu.


Bahagian atas tangki tersebut berbentuk seperti piring terbang yang sering dikaitkan dengan UFO meskipun ia sedikit kabur akibat jerebu tebal.


Bahagian bawahnya pula bagaimanapun hampir tidak kelihatan sehingga menyebabkan sebilangan netizen menyangka ia adalah UFO besar yang berlegar-legar di kaki langit.


Imej yang dimuat naik pada minggu lepas itu menjadi tular dan mendapat pelbagai reaksi pengguna media sosial.


"Pembenci akan menyatakan ia adalah imej photoshop," kata seorang netizen yang menyangka ia imej UFO sebenar.


"Kini, UFO boleh terbang di sekitar New Delhi ketika hari siang dan menyamar menjadi tangki air apabila imejnya dikesan," kata seorang lagi pengguna secara sinis.


Sekali pandang, imej ini kelihatan seperti UFO kerana bahagian bawahnya yang kurang jelas kelihatan akibat jerebu. - Foto Twitter.


EmoticonEmoticon