Khamis, 27 Ogos 2026

Rogol anak kandung, bapa durjana dipenjara 15 tahun, 10 sebatan


Seorang bekas pekerja kilang dihukum penjara 15 tahun dan 10 sebatan oleh Mahkamah Sesyen Lahad Datu, hari ini, selepas mengaku bersalah merogol anak perempuannya yang ketika kejadian berusia 12 tahun tiga bulan, Februari tahun lalu.


Tertuduh berusia 61 tahun membuat pengakuan bersalah pada prosiding perbicaraan hari kedua hari ini, selepas pihak pendakwaan memanggil enam saksi untuk memberi keterangan pada hari pertama perbicaraan semalam.


Hakim Suhailla Selag kemudian mensabitkan tertuduh atas pertuduhan sebelum menjatuhkan hukuman penjara 15 tahun berkuat kuasa dari tarikh sabitan hari ini serta 10 kali sebatan rotan.


Mengikut pertuduhan, lelaki berkenaan didakwa melakukan perbuatan itu terhadap anaknya di sebuah rumah di Kunak, kira-kira jam 11 malam pada Februari tahun lalu.


Atas kesalahan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 376(3) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang lapan tahun dan tidak melebihi 30 tahun serta boleh dikenakan tidak kurang 10 sebatan, jika sabit kesalahan.


Selain hukuman itu, mahkamah turut memerintahkan tertuduh menjalani kaunseling pemulihan mengikut Seksyen 26 Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 sepanjang tempoh tahanannya.


Tertuduh juga diperintahkan berada di bawah pengawasan polis selama dua tahun selepas selesai menjalani hukuman penjara, mengikut Seksyen 27 akta sama.


Terdahulu, tertuduh yang tidak diwakili peguam memohon hukuman ringan dengan alasan sudah mengaku salah atas perbuatan dan kesalahan dilakukannya.


Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya, Shearil Aizad Murnizam memohon mahkamah menjatuhkan hukuman berat dengan mengambil kira tertuduh melakukan kesalahan itu terhadap anak kandungnya sendiri.


Beliau berkata, sebagai seorang bapa, tertuduh sepatutnya menjadi pelindung kepada anaknya daripada sebarang ancaman pihak lain, namun sebaliknya telah melakukan kesalahan terhadap mangsa.


Mengikut fakta kes, mangsa memaklumkan kejadian itu kepada ibunya pada kira-kira jam 9 pagi, 7 Februari 2025.


Mangsa yang ketika itu berusia 12 tahun tiga bulan tinggal bersama tertuduh selepas lelaki berkenaan bercerai.


EmoticonEmoticon