Khamis, 27 Ogos 2026

Rebut kawasan kongsi gelap punca serangan maut di Shah Alam, setakat ini 11 individu ditahan


Dua kumpulan kongsi gelap berebut kawasan perniagaan dipercayai motif kes pergaduhan dan tetakan hingga seorang maut di Jalan Mandolin 33/5 Taman Alam Megah di Shah Alam.


Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar berkata, setakat ini seramai 11 individu berusia lingkungan awal 20 hingga 30-an membabitkan dua kumpulan terbabit ditahan.


Menurutnya, lima daripada suspek telah direman tujuh hari, manakala enam lagi dalam proses permohonan reman di mahkamah.


"Kita juga telah merakam keterangan saksi-saksi kejadian serta pihak berkaitan untuk membantu siasatan.


"Berdasarkan siasatan, motif berkaitan perebutan kawasan membabitkan beberapa aktiviti perniagaan antara dua kumpulan kongsi gelap yang beroperasi di sekitar Shah Alam. Kita sedang lihat apa aspek perniagaan terbabit," katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor, hari ini.



Beliau berkata, terdapat beberapa lagi individu yang masih diburu dan telah dikenal pasti butirannya.


Tambahnya, pihak polis juga sedang menyiasat latar belakang kumpulan terbabit di mana salah satu kumpulan itu baru ditubuhkan.


"Kes pergaduhan ini menyebabkan seorang maut dan tiga masih lagi menerima rawatan di hospital," katanya.


Sebelum itu, media melaporkan kejadian gaduh dan tetak itu berlaku kira-kira jam 2 petang, Selasa lalu di atas jalan raya.


Kejadian yang tular di media sosial itu turut memaparkan sebuah kenderaan jenis Perodua Alza berwarna biru telah melanggar salah seorang daripada suspek sehingga menyebabkan kematian ditempat kejadian.


Kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.


EmoticonEmoticon