Seorang kanak-kanak lelaki berusia tujuh tahun dipercayai diculik dan dibunuh oleh kekasih ibunya di daerah Meerut, Uttar Pradesh, lapor India Today pada 18 Jun 2026.
Polis memaklumkan suspek bertindak demikian kerana mangsa dianggap menjadi penghalang kepada hubungan cinta mereka. Mangsa yang dikenali sebagai Angad dilaporkan hilang pada pagi 16 Jun ketika sedang bermain di luar rumahnya.
Menurut polis, suspek, Arpit Parashar, dipercayai memancing mangsa masuk ke dalam keretanya dengan alasan mahu memberikan coklat sebelum membawa kanak-kanak itu pergi. Suspek kemudian didakwa membunuh mangsa dan membuang mayatnya di kawasan padang berhampiran sebuah terusan.
Selepas keluarga mangsa membuat laporan kehilangan, polis melancarkan siasatan dengan meneliti rakaman kamera litar tertutup (CCTV) serta data pengawasan.
Rakaman berkenaan menunjukkan mangsa dibawa pergi menggunakan sebuah kereta sekali gus membantu pihak penyiasat mengecilkan skop siasatan kepada suspek.
Superintendan Polis Luar Bandar Meerut, Abhijeet Kumar Singh berkata, pasukan khas polis berjaya menahan suspek dalam tempoh 24 jam selepas menerima laporan penculikan berkenaan.
Katanya, suspek pada mulanya cuba mengelirukan pihak berkuasa dengan memberikan kenyataan bercanggah termasuk mendakwa mencampakkan mangsa ke dalam terusan sebelum dia akhirnya mengaku melakukan jenayah itu selepas disoal siasat secara intensif.
Polis turut menyoal siasat ibu mangsa bagi memastikan sama ada wanita berkenaan mempunyai sebarang kaitan dalam kes berkenaan manakala bapa mangsa dilaporkan sedang bekerja di Dubai.
Siasatan lanjut mendapati mangsa sebelum ini tinggal dan bersekolah bersama neneknya di Punjab serta baru saja tiba di Meerut kira-kira seminggu sebelum kejadian. Suspek yang berasal dari daerah Muzaffarnagar bekerja sebagai kakitangan bank.

EmoticonEmoticon