Negeri di Pantai Timur mencatat kadar penagihan dadah sintetik tertinggi di negara ini, khususnya pil kuda, selari peningkatan ketara penggunaan dadah sintetik yang kini menguasai sebahagian besar kes penagihan dadah di Malaysia.
Ketua Pengarah Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK), Datuk Ruslin Jusoh, berkata kebanyakan kes penagihan dadah sintetik membabitkan amphetamine-type stimulants (ATS) seperti syabu, pil kuda dan ekstasi yang semakin mendapat tempat dalam kalangan pengguna.
"Kalau kita tengok, sudah tentu negeri-negeri Pantai Timur juga antara merekodkan kadar tertinggi, khususnya pengambilan pil kuda, tetapi kita tidak nafikan negeri-negeri Pantai Barat pun kadar tinggi.
"Di Pantai Timur, antara dadah menjadi keutamaan penagih adalah pil kuda dan syabu berbanding dadah-dadah lain seperti heroin atau ganja," katanya ketika ditemui pada Majlis Sambutan Peringatan Hari Antidadah Kebangsaan 2026 di Dataran Sungai Muda, Kepala Batas hari ini.
Katanya, belia berusia antara 15 hingga 39 tahun menjadi kumpulan paling ramai terbabit dalam penyalahgunaan dadah sintetik apabila mewakili 84 peratus daripada keseluruhan penagih bahan terbabit.
"Kita melihat dadah sintetik ini semakin diterima sebagai sebahagian daripada gaya hidup segelintir golongan muda kerana ia mudah diperoleh dan memberi kesan yang lebih cepat berbanding dadah tradisional," katanya.
Beliau menjelaskan, pengaruh rakan sebaya dikenal pasti sebagai faktor utama yang mendorong golongan belia terjebak dengan penyalahgunaan dadah sintetik.
Selain itu, katanya, masalah keluarga, konflik rumah tangga, tekanan emosi serta masalah dalam hubungan sosial turut menjadi antara punca yang menyebabkan seseorang mengambil dadah bagi melepaskan tekanan yang dihadapi.
Ruslin berkata, peningkatan mendadak penggunaan dadah sintetik turut menjadi cabaran baharu kepada AADK kerana pendekatan rawatan dan pemulihan sebelum ini lebih tertumpu kepada penagih dadah tradisional seperti heroin, morfin dan ganja.
"Dadah sintetik adalah satu ancaman baharu dan juga cabaran baharu kepada AADK. Sebab itu modul rawatan dan pemulihan yang sedia ada sentiasa ditambah baik dari semasa ke semasa bagi memastikan ia kekal relevan dan berkesan.
"Ini termasuk usaha menangani penyalahgunaan dadah sintetik yang kini turut dikaitkan dengan penggunaan vape dalam kalangan belia," katanya.
AADK juga, katanya, berdepan cabaran baharu lebih kompleks dengan peningkatan ketara kes dual diagnosis iaitu keadaan apabila seseorang individu mengalami masalah ketagihan dadah dan gangguan mental secara serentak.
Tambahnya, perkembangan itu menjadi cabaran baharu kepada agensi berkenaan kerana rawatan yang diberikan bukan sahaja tertumpu kepada masalah ketagihan, malah turut membabitkan aspek kesihatan mental.
Setakat Mac lalu, 1,346 individu atau 27 peratus daripada 5,030 penagih dan penyalah guna dadah yang sedang mengikuti Program Rawatan dan Pemulihan Dalam Institusi (RPDI) di Pusat Pemulihan Penagihan Narkotik (PUSPEN) dikesan mengalami isu terbabit.
"Angka ini menunjukkan peningkatan membimbangkan berbanding tempoh sama tahun lalu apabila hanya 548 individu atau enam peratus daripada 9,361 penagih kes salah guna dadah yang menerima rawatan di PUSPEN dikenal pasti mengalami masalah sama.
"Peningkatan ini bukan sahaja menunjukkan pertambahan pengambilan dadah sintetik, malah turut memberi kesan kepada peningkatan gangguan mental dalam kalangan penagih," katanya.
Katanya, isu itu berkait rapat dengan penggunaan dadah sintetik yang semakin meluas termasuk taktik licik pengedar yang mencampurkan bahan terlarang tersebut ke dalam cecair rokok elektronik atau vape bagi pasaran terbuka.
Beliau berkata, gangguan mental yang dialami merangkumi pelbagai bentuk klinikal, termasuk kemurungan melampau, ketidakstabilan emosi dan halusinasi teruk selain turut dikhuatiri mengancam keselamatan diri penagih dan individu di sekeliling mereka.
Tambahnya, keadaan itu menyebabkan AADK perlu menambah baik modul rawatan dari semasa ke semasa supaya sesuai dengan pola penyalahgunaan dadah yang semakin berubah.
"Modul sebelum ini lebih tertumpu kepada ketagihan dadah tradisional seperti heroin, morfin dan ganja. Ini cabaran kita untuk tangani sebab kita tahu peranan kita memberi rawatan pada masalah penagihan dadah.
"Jadi kita bekerjasama dengan Kementerian Kesihatan (KKM) khususnya dalam meneruskan proses rawatan kepada mereka. Aspek rawatan mental perlu diberi perhatian serius kerana ia beri kesan langsung terhadap keberkesanan proses pemulihan," katanya.

EmoticonEmoticon