Isnin, 19 Oktober 2026

'Saya tahu SPM minggu depan…' Remaja tetap melepak hingga awal pagi

'Saya tahu SPM minggu depan…' Remaja tetap melepak hingga awal pagi


KUALA LUMPUR - Peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang bakal berlangsung minggu depan tidak menghalang segelintir remaja berusia 17 tahun daripada melepak bersama rakan hingga awal pagi.


Lebih membimbangkan, ada yang menunggang motosikal tanpa lesen sah, sekali gus mendedahkan diri dan pengguna jalan raya lain kepada risiko kemalangan.


Menerusi operasi samseng jalanan di Jalan Ampang, awal pagi Ahad, mendapati sebahagian remaja bawah umur masih berkeliaran walaupun peperiksaan penting itu semakin hampir.


Seorang remaja perempuan berusia 17 tahun dari Pantai Dalam berkata, dia keluar kira-kira pukul 2 pagi untuk mencari makanan bersama rakan di Kampung Baru.


"Saya tahu SPM bulan ini, tapi hari ini saja keluar nak pergi makan dengan kawan-kawan. Lagipun, keluarga tahu saya keluar," katanya.


Pelajar itu turut mengakui menunggang motosikal milik rakannya walaupun tidak mempunyai lesen memandu.


Seorang lagi remaja perempuan berkata, dia sudah beberapa kali keluar rumah hingga lewat malam selepas memaklumkan perkara itu kepada ibu bapanya.


"Saya tahu SPM minggu depan. Mula-mula saya tak nak pergi, tetapi kawan pujuk untuk keluar juga," katanya.


Dalam operasi bermula kira-kira pukul 3 pagi itu, seramai 800 penunggang motosikal diperiksa, manakala 300 saman dikeluarkan dan 60 motosikal disita atas pelbagai kesalahan.


Timbalan Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Kuala Lumpur, Superintendan Suffian Abdullah berkata, kesalahan paling banyak dikesan ialah menunggang tanpa lesen sah, melibatkan individu berusia antara 16 hingga 30 tahun.


"Daripada pemerhatian kita, mereka bukannya tidak tahu, tetapi mengambil mudah perkara yang boleh mengancam nyawa sendiri serta membahayakan pengguna jalan raya lain," katanya.


Beliau menasihatkan ibu bapa supaya meningkatkan pemantauan terhadap pergerakan anak-anak, khususnya pada waktu malam.


Remaja turut diingatkan agar tidak mengabaikan keselamatan diri dan persediaan akademik ketika SPM semakin hampir.

Suami orang maut gara-gara berebut janda, pergaduhan berakhir tragedi

Suami orang maut gara-gara berebut janda, pergaduhan berakhir tragedi


Perselisihan yang dipercayai berpunca daripada rasa cemburu terhadap seorang wanita berstatus janda berakhir dengan tragedi apabila seorang lelaki maut selepas terlibat dalam pergaduhan.


Mangsa, T, 54, meninggal dunia selepas bergaduh dengan seorang lelaki berusia 50 tahun dikenali sebagai R, di rumah teman wanitanya, H, 49, di Dusun Gecos, Desa Gentinggunung, Kecamatan Sukorejo, Kabupaten Kendal di Jawa Tengah pada Rabu lalu.


Hasil bedah siasat mendapati mangsa mengalami lebam pada bahagian kepala akibat hentaman objek tumpul yang menyebabkan pendarahan dalaman.


Ketua Polis Kendal, AKBP Ratna Quratul Ainy berkata, siasatan awal mendapati pertengkaran itu dipercayai kerana rasa iri hati antara mangsa dan suspek terhadap wanita berkenaan.


"R dan H merupakan pasangan kekasih. Mangsa dipercayai bertindak menyerang terlebih dahulu dan turut membawa sebilah gunting," ujarnya.


H sempat keluar untuk meminta pertolongan jiran tetangga, namun sebaik kembali masuk ke rumah dia mendapati T sudah terbaring.


R kemudiannya meminta bantuan jiran untuk menghubungi isteri mangsa supaya datang menjemput suaminya.


Namun, sebaik tiba di lokasi, isteri T mendapati suaminya sudah tidak sedarkan diri dan disahkan sudah meninggal dunia.


Menurut Ratna, suspek telah ditahan di Ibu Pejabat Polis Daerah Kendal bagi membantu siasatan lanjut dan beberapa saksi turut dipanggil untuk memberi keterangan.

Warga asing tidak sepatutnya sewa rumah kos rendah dan perumahan awam - KPKT

Warga asing tidak sepatutnya sewa rumah kos rendah dan perumahan awam - KPKT


KUALA LUMPUR - Penduduk yang tidak selesa dengan kehadiran warga asing, termasuk etnik Rohingya yang menyewa di residensi awam dan rumah kos rendah boleh melaporkan perkara itu kepada pihak berkuasa tempatan (PBT) dan Jabatan Perumahan Negara.


Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Aiman Athirah Sabu berkata, pihaknya akan turun padang untuk memantau laporan berkenaan terlebih dahulu sebelum mengambil sebarang tindakan.


"Mereka boleh laporkan kepada PBT dan Jabatan Perumahan Negara untuk kita turun dan pantau," katanya selepas melawat Tapak Projek Residensi Hektar Gombak di Jalan Gombak di sini, hari ini.


Ditanya sama ada terdapat sebarang prosedur operasi standard (SOP) yang tidak membenarkan warga asing menyewa di residensi, beliau berkata, warga asing memang tidak sepatutnya menyewa kediaman terutama perumahan awam atau rumah kos rendah.


"Ini mungkin berlaku (apabila) pembeli rumah menyewakan kepada warga asing.


"Itu di luar kawalan kita secara langsung, tetapi kalau ada apa-apa aduan, boleh laporkan sahaja supaya kita boleh buat pemantauan.


"Adukan sahaja dulu kepada kita, kita akan tengok macam mana kita nak salurkan dan ambil tindakan sebab ia perlu disiasat terlebih dahulu," katanya.


Terdahulu, Aiman Athirah ketika melawat tapak projek berkenaan berkata, residensi itu mencatatkan kemajuan fizikal sebanyak 92.67 peratus dan dijangka siap pada suku pertama 2027.


Katanya, ia disusuli penyerahan milikan kosong (VP) kepada pembeli pada suku kedua tahun hadapan.


"Residensi itu mencapai perkembangan baik seperti mana yang kita janjikan kepada pembeli. Kita tahu Residensi Hektar Gombak ini projek yang sudah pun terhenti pada Disember 2022 iaitu pada waktu ketika saya angkat sumpah sebagai Timbalan Menteri dan juga sebagai Ahli Parlimen.


"Maka dari situ kita cuba cari jalan bagaimana untuk meneruskan projek ini dan Alhamdulillah selepas mendapat bantuan, kita teruskan bermula 21 September 2023 dan dari situ kita kata akan cuba bantu dengan memastikan di peringkat pemaju dapat siapkan, mendapat Sijil Perakuan Siap dan Pematuhan (CCC) pada suku pertama tahun 2025 serta serahan VP kepada pembeli," katanya.


Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) pada masa kini terus mencatat pencapaian memberangsangkan dalam usaha menangani projek perumahan swasta bermasalah apabila 1,726 projek berjaya dipulihkan sejak 2023 hingga Ogos 2026 membabitkan 199,643 unit rumah dengan Nilai Pembangunan Kasar (GDV) keseluruhan berjumlah RM158.16 bilion.

Ladang sireh Rohingya di Kelantan sudah disita, tanah disewa RM2,000 setahun

Ladang sireh Rohingya di Kelantan sudah disita, tanah disewa RM2,000 setahun


KOTA BHARU - Kerajaan Negeri Kelantan menyita ladang sireh yang dipercayai diusahakan komuniti Rohingya di Kampung Padang Guchil, Khamis lalu, susulan siasatan terhadap aktiviti pertanian dan pembinaan di kawasan berkenaan.


Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar, Hilmi Abdullah berkata, tindakan turut diambil terhadap sebuah kediaman yang sedang dibina di atas tanah berkenaan.


Menurutnya, siasatan mendapati tanah itu disewa daripada penduduk tempatan pada kadar RM2,000 setahun, manakala kediaman berkenaan disewa pada harga RM300 sebulan.


Pemeriksaan mendapati syarat penggunaan tanah terbabit adalah untuk tanaman getah dan dusun. Justeru, kerja pembersihan tanah serta pembinaan bangunan yang dipercayai untuk dijadikan stor diarahkan dihentikan kerana tiada kebenaran merancang.


Hilmi berkata, empat individu Rohingya berada di lokasi ketika pemeriksaan dijalankan, namun hanya seorang mengemukakan kad UNHCR, manakala tiga lagi tidak menunjukkan sebarang dokumen.


Beliau turut memaklumkan pihaknya sudah merekodkan keterangan pemilik tanah dan kediaman, yang kedua-duanya merupakan pesara guru dan tidak menetap di kampung berkenaan.


Sebelum ini, ladang sireh seluas lebih dua hektar itu mencetuskan keresahan penduduk setempat yang mendakwa jumlah komuniti Rohingya di kawasan berkenaan meningkat daripada kira-kira 15 orang lebih 10 tahun lalu kepada hampir 100 orang.


Hilmi menjelaskan, urusan keberadaan warga asing bukan di bawah bidang kuasa pihak berkuasa tempatan atau Pejabat Tanah, justeru tindakan yang diambil tertumpu kepada pelanggaran berkaitan penggunaan tanah dan pembinaan.

Ahad, 18 Oktober 2026

Seksa, bunuh, tanam: Polis buru 5 suspek dikenali Dedek, Jimmy Boy, Amen, Yeye dan Apak

Seksa, bunuh, tanam: Polis buru 5 suspek dikenali Dedek, Jimmy Boy, Amen, Yeye dan Apak


SHAH ALAM - Polis sedang memburu lima lelaki tempatan yang disyaki terbabit dalam kes pembunuhan kejam seorang lelaki berusia 42 tahun yang dipercayai diculik, dikurung, diseksa sebelum dibunuh dan ditanam di Semenyih, Kajang, pada hujung September lalu.


Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar, berkata 15 suspek termasuk dua warga asing sudah ditahan setakat ini, dengan sebahagiannya telah didakwa di mahkamah.


Lima suspek yang masih bebas dikenali sebagai Dedek, Jimmy Boy, Amen, Yeye dan Apak, berusia antara 35 hingga 48 tahun. Polis percaya mereka masih berada di Selangor dan mempunyai kaitan dengan kegiatan gangsterisme serta rekod jenayah dan dadah.


Menurutnya, mangsa dipercayai dilarikan sekumpulan individu menggunakan kereta dari kawasan Ampang Waterfront antara jam 4 pagi hingga 4.30 pagi pada 24 September lalu, selepas isterinya membuat laporan kehilangan.


Mayat mangsa ditemukan pada 27 September selepas polis dibawa ke lokasi pembunuhan dan tempat mangsa ditanam di sekitar Semenyih. Hasil bedah siasat mendapati kematian berpunca daripada beberapa luka hirisan pada leher.


Siasatan awal mendapati pembunuhan itu dipercayai bermotifkan perselisihan faham antara mangsa dengan suspek.


Polis turut merampas dua laras senapang, sebuah kereta Proton Wira dan sebilah cangkul yang dipercayai digunakan untuk menanam mangsa.


Shazeli berkata, sebahagian suspek telah didakwa di Mahkamah Ampang dan Bangi atas pelbagai pertuduhan, termasuk menculik, membunuh, bersubahat dalam pembunuhan serta kesalahan berkaitan senjata api dan imigresen.


Siasatan dan usaha mengesan lima suspek yang masih bebas diteruskan.


Anggota polis antara 4 maut dalam insiden berbalas tembakan di Narathiwat

Anggota polis antara 4 maut dalam insiden berbalas tembakan di Narathiwat


NARATHIWAT - Insiden berbalas tembakan antara pasukan keselamatan Thailand dengan sekumpulan lelaki disyaki anggota Barisan Revolusi Nasional (BRN) di daerah Si Sakhon, pagi semalam, mengorbankan empat nyawa termasuk seorang anggota polis, manakala dua anggota renjer cedera.


Menurut Pusat Penerangan Markas Operasi Keselamatan Dalam Negeri Wilayah 4 (ISOC-4), kejadian berlaku kira-kira jam 11.30 pagi waktu tempatan di Kampung Tengor, Mukim Sibonpot, ketika pasukan keselamatan menjalankan rondaan.


Pasukan keselamatan yang melakukan rondaan secara berjalan kaki mengesan sebuah rumah mencurigakan sebelum menghampirinya untuk pemeriksaan.


Bagaimanapun, mereka dipercayai diserang apabila sekumpulan lelaki tidak dikenali yang bersembunyi di dalam rumah melepaskan tembakan, sekali gus mencetuskan pertempuran.


Seorang anggota polis berusia 51 tahun yang bertugas di Balai Polis Si Sakhon disahkan maut di lokasi kejadian, manakala tiga lelaki disyaki anggota BRN turut terbunuh di dalam rumah berkenaan.


Dua anggota renjer berusia 34 dan 35 tahun pula cedera akibat terkena tembakan pada bahagian pinggang dan belakang sebelum diterbangkan menggunakan helikopter ke Hospital Narathiwat untuk mendapatkan rawatan lanjut.

Sangka isteri curang, lelaki mengamuk tembak lelaki rupa-rupanya anak sendiri

Sangka isteri curang, lelaki mengamuk tembak lelaki rupa-rupanya anak sendiri


PHNOM PENH - Tindakan seorang pegawai kanan Kementerian Galian dan Tenaga Kemboja melepaskan tembakan akibat mengesyaki isterinya menjalinkan hubungan sulit berakhir dengan kejutan apabila lelaki yang ditembaknya rupa-rupanya anak kandungnya sendiri.


Menurut laporan Khmer Times, kejadian berlaku di sebuah kampung di pinggir Phnom Penh pada Rabu lalu, selepas lelaki terbabit dipercayai bertindak agresif kerana dibelenggu syak wasangka terhadap isterinya.


Insiden tegang itu bermula apabila penduduk mendakwa melihat sebuah kereta Ford mengejar sebuah Toyota Prius sebelum merempuh bahagian belakang kenderaan berkenaan.


Aksi kejar-mengejar itu berakhir apabila kedua-dua kereta tiba di jalan mati, sekali gus mencetuskan pertengkaran yang semakin memuncak.


Dalam keadaan berang, lelaki berkenaan kemudian mengeluarkan sepucuk pistol dan melepaskan beberapa das tembakan ke arah lelaki yang disangkanya mempunyai hubungan sulit dengan isterinya.


Malangnya, satu daripada tembakan itu mengenai bahagian abdomen mangsa.


Keadaan bertukar mengejutkan apabila suspek menghampiri mangsa dan menyedari lelaki yang terbaring akibat tembakan itu sebenarnya anak kandungnya sendiri.


Mangsa segera dikejarkan ke hospital untuk mendapatkan rawatan, manakala suspek ditahan polis bagi membantu siasatan.


Kejadian itu mencetuskan perhatian kerana tindakan terburu-buru akibat syak wasangka bukan sahaja membawa kepada insiden berdarah, malah mengakibatkan seorang bapa menembak anaknya sendiri.

Koperal polis parah ditetak parang ketika serbuan antidadah di Tanah Merah

Koperal polis parah ditetak parang ketika serbuan antidadah di Tanah Merah


TANAH MERAH - Seorang anggota polis berpangkat koperal cedera parah selepas ditetak menggunakan parang oleh seorang suspek ketika operasi antidadah di Kampung Lalang Pepuyu, di sini, semalam.


Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd Yusoff Mamat, berkata kejadian berlaku kira-kira jam 1.35 tengah hari ketika sepasukan anggota Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Kelantan menyerbu sebuah rumah di kampung berkenaan.


Menurutnya, operasi itu turut dibantu anggota dari Balai Polis Bukit Bunga dan Balai Polis Lalang Pepuyu.


"Suspek lelaki tempatan berusia lingkungan 30-an cuba melarikan diri sambil membawa sebilah parang.


"Anggota polis mengejar suspek, namun lelaki itu melibas parang sehingga mencederakan seorang anggota sebelum berjaya ditahan," katanya.


Beliau berkata, anggota berusia 37 tahun itu mengalami keretakan pada tangan kiri dan kini menerima rawatan di Hospital Tanah Merah.


Dalam operasi berkenaan, polis merampas sebilah parang berukuran kira-kira 35 sentimeter, pil disyaki yaba seberat 0.1 gram serta sebotol cecair dipercayai air ketum.


Semakan mendapati suspek mempunyai enam rekod kesalahan lampau berkaitan dadah.


Mohd Yusoff berkata, kes itu disiasat mengikut Seksyen 307 dan Seksyen 324 Kanun Keseksaan, selain Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 serta Seksyen 30(3) Akta Racun 1952.


Suspek akan dibawa ke mahkamah bagi mendapatkan perintah reman untuk membantu siasatan lanjut.

Tangan kiri lumpuh akibat kemalangan, pemuda 21 tahun masih tunggang motosikal tanpa lesen

Tangan kiri lumpuh akibat kemalangan, pemuda 21 tahun masih tunggang motosikal tanpa lesen


KUALA LUMPUR - Mengalami kelumpuhan tangan kiri akibat kemalangan dua tahun lalu tidak menghalang seorang pemuda berusia 21 tahun daripada terus menunggang motosikal tanpa lesen.


Pemuda terbabit antara lebih 800 penunggang dan pengguna jalan raya yang diperiksa dalam Operasi Bersepadu Samseng Jalanan di Jalan Ampang, awal pagi tadi.


Ketika disoal polis, dia mengakui masih menunggang motosikal kerana minat, malah sering membantu rakannya membaiki motosikal walaupun belum mempunyai pekerjaan tetap.


Dalam operasi bermula jam 3 hingga 5.30 pagi itu, lebih 60 motosikal disita dan kira-kira 300 saman dikeluarkan atas pelbagai kesalahan.


Dua rakannya yang berusia 21 tahun turut berdepan tindakan selepas motosikal masing-masing didapati diubah suai, termasuk membuang brek belakang.


Seorang daripada mereka, Putra dari Nilai, Negeri Sembilan, mengakui membelanjakan kira-kira RM5,000 untuk mengubah suai motosikal Yamaha 125ZR miliknya bagi kepuasan diri dan menghasilkan kandungan media sosial.


Rakannya, Hakim, dari Bangi, Selangor pula mengaku menunggang motosikal tanpa lesen dan sengaja mencuba motosikal yang baru diubah suai tanpa brek belakang selepas terpengaruh dengan trend dalam kalangan peminat motosikal.


Hakim berkata, dia mula berasa takut apabila mendapati motosikal itu sukar dikendalikan seperti biasa dan berjanji tidak akan mengulangi perbuatannya.


Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Mohd Zamzuri Mohd Isa, berkata hampir 90 peratus kesalahan yang dikesan membabitkan pengubahsuaian motosikal tidak mengikut spesifikasi, termasuk sistem brek, enjin dan ekzos.


Beliau berkata, seorang individu turut ditahan mengikut Seksyen 108 Akta Pengangkutan Jalan 1987 berkaitan identiti motosikal.


Operasi itu melibatkan 80 pegawai dan anggota JSPT Kuala Lumpur dengan bantuan 12 anggota Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) serta lima anggota Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK).


Menurutnya, masih ramai penunggang memandang ringan risiko kemalangan maut, termasuk mereka yang tidak mempunyai lesen sah dan remaja bawah umur.


Beliau turut mengingatkan ibu bapa supaya lebih tegas memantau kegiatan anak-anak bagi mengelakkan mereka menunggang motosikal tanpa lesen atau melakukan pengubahsuaian berbahaya.


Semua motosikal yang disita dibawa ke Balai Polis Trafik Jalan Bandar untuk pemeriksaan lanjut, termasuk ujian bunyi oleh Jabatan Alam Sekitar (JAS).

Sabtu, 17 Oktober 2026

Polis bongkar makmal dadah sintetik bernilai RM18.19 juta di Masai dan Permas Jaya

Polis bongkar makmal dadah sintetik bernilai RM18.19 juta di Masai dan Permas Jaya


JOHOR BAHRU - Polis membongkar sebuah makmal pemprosesan dadah sintetik dan merampas pelbagai jenis dadah bernilai RM18.19 juta dalam serbuan di Masai dan Permas Jaya pada 1 Oktober lalu.


Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Hussein Omar Khan berkata, serbuan itu membawa kepada penahanan dua lelaki dan seorang wanita tempatan berusia antara 17 hingga 22 tahun.


Menurutnya, sindiket dipercayai menggunakan rumah kedai sebagai stor penyimpanan bahan kimia dan peralatan, manakala sebuah rumah teres dijadikan lokasi memproses dadah.


Berdasarkan peralatan yang ditemukan, polis percaya makmal itu masih dalam peringkat persediaan sebelum beroperasi sepenuhnya. Sindiket berkenaan juga disyaki mempunyai kaitan dengan rangkaian antarabangsa.


Antara rampasan ialah 106.84 kilogram serbuk MDMA, 14 liter cecair MDMA, 23 liter cecair ganja, 122.14 gram serbuk ekstasi dan 7.56 gram pil Eramin 5.


Hussein berkata, dua daripada tiga suspek didapati positif methamphetamine menerusi ujian saringan air kencing, manakala semakan mendapati mereka tidak mempunyai rekod kesalahan lampau.


Polis turut mengesan beberapa individu lain yang dipercayai terbabit dalam kegiatan itu. Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.