Isnin, 7 September 2026

Polis tahan lelaki pukul, kurung isteri bersama empat anak dalam rumah

Polis tahan lelaki pukul, kurung isteri bersama empat anak dalam rumah


Seorang lelaki ditahan selepas disyaki mengurung serta mendera isteri dan empat anak lelakinya di sebuah rumah di Desa Mutiara, Jalan Gong Badak, Kuala Nerus pada Ahad.


Tindakan suspek berusia 36 tahun itu bagaimanapun terbongkar selepas mangsa sempat menghubungi talian MERS 999 bagi meminta bantuan polis.


Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Azli Mohd Noor berkata, pihak polis menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu sebelum sepasukan anggota dari Balai Polis Gong Badak digerakkan ke lokasi berkenaan.


Menurutnya, sebaik tiba di lokasi, polis mendapati seorang wanita tempatan bersama empat anak lelakinya di dalam rumah dalam keadaan pintu dikunci menggunakan mangga dari luar.


"Pihak polis terpaksa memotong kunci mangga untuk membuka pintu berkenaan. Hasil pemeriksaan mendapati mangsa mengalami kecederaan pada bahagian mata kanan serta kesakitan di kepala dan lutut kiri akibat dipukul suspek.


"Siasatan awal mendapati suspek bertindak sedemikian berpunca daripada perasaan cemburu terhadap isterinya. Ini merupakan laporan polis ketiga dibuat berhubung tindakan suspek," katanya hari ini.


Mengulas lanjut, Azli berkata, suspek kemudian ditahan di pekarangan Balai Polis Gong Badak jam 3 petang hari yang sama bagi membantu siasatan.


Beliau berkata, semakan mendapati suspek mempunyai tiga rekod jenayah lampau berkaitan kes dadah dan curi kenderaan, namun ujian saringan air kencing menunjukkan keputusan negatif.


"Lelaki berkenaan kini direman selama empat hari bermula Isnin selepas perintah reman dikeluarkan oleh Mahkamah Majistret Kuala Nerus. Kes disiasat mengikut Seksyen 324 dan Seksyen 326A Kanun Keseksaan," katanya.

Ketua sindiket dadah ditembak mati, RM27.5 juta dadah dirampas

Ketua sindiket dadah ditembak mati, RM27.5 juta dadah dirampas


Lelaki yang ditembak mati dalam kejadian di sebuah rumah di Taman Garden Homes di Seremban 2, Seremban pada Ahad mempunyai enam rekod jenayah selain dikehendaki polis berhubung kes penculikan.


Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN), Datuk Hussien Omar Khan berkata, suspek berusia 52 tahun itu ditembak polis kerana bertindak agresif dengan terlebih dahulu melepaskan tembakan ke arah pihak berkuasa.


"Pada jam lebih kurang 1.30 petang semalam, berdasarkan maklumat risikan, JSJN Bukit Aman telah melaksanakan dan menyerbu lokasi di sebuah rumah teres di Taman Garden Homes, yang disyaki menjalankan aktiviti memproses dadah.


"Semasa serbuan dibuat, suspek telah bertindak agresif dengan melepaskan tembakan ke arah pasukan serbuan dan bagi mempertahankan diri, tembakan terhadap suspek telah dilepaskan," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Negeri Sembilan, hari ini.


Menurutnya, suspek kemudian didapati tidak sedarkan diri dan telah disahkan meninggal dunia di lokasi.


Ujarnya, pemeriksaan lanjut mendapati, rumah tersebut telah disewa sejak setahun lalu dan dijadikan makmal mini untuk memproses dadah jenis MDMA.


"Suspek yang ditembak mati ini merupakan ketua sindiket yang sangat aktif dan berbahaya kerana memiliki senjata api.


"Dia juga memiliki kepakaran dalam bidang kimia yang boleh memproses dadah jenis MDMA, malah terlibat dengan bahan terlarang itu sejak tahun 90-an serta pernah ditangkap tiga kali di bawah Seksyen 39B ADB," katanya.


Tambah Hussien, dalam serbuan di rumah terbabit, sebanyak 182.39 kilogram(kg) dadah MDMA telah dirampas serta pelbagai peralatan memproses dadah termasuk tiga kereta.


"Sepucuk senjata api jenis revolver telah dijumpai di tempat kejadian telah dirampas," katanya.


Susulan itu katanya, polis telah melakukan dua lagi serbuan iaitu di sebuah rumah di Seremban 2 dan Residensi di Kuchai Lama, Kuala Lumpur dan telah berjaya menahan dua warga tempatan termasuk seorang wanita berusia 32 dan 35 tahun.


Jelasnya, hasil semakan mendapati, suspek wanita terbabit mempunyai 12 rekod jenayah manakala suspek lelaki, 10 rekod jenayah


"Mereka dipercayai merupakan ahli sindiket dan tiada sebarang hubungan kekeluargaan. Kedua-duanya direman tujuh hari bermula 7 September hingga 13 September ini.


"Kita percaya ada lagi beberapa lagi suspek dalam sindiket ini, malah ada yang dipercayai telah pun melarikan diri ke luar negara," katanya.


Selain itu jelasnya, sindeket tersebut dipercayai aktif sejak bulan Januari tahun ini dan modus operandi adalah dengan menjadikan kawasan perumahan yang berkepadatan penduduk yang rendah sebagai lokasi pemprosesan Dan pengedaran dadah.


Kata Hussien, kesemua prekursor (bahan kimia) yang dijumpai telah dibawa masuk dari luar negara untuk pasaran antarabangsa.


"Nilai keseluruhan dadah yang dirampas dilanggarkan bernilai RM27.5 juta dan kes disiasat di bawah Seksyen 307 Kanun Keseksaan dan Seksyen 39B ADB 1952," katanya.


Hussien (dua dari kanan) menunjukkan pistol dan dadah yang dirampas ketika sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Negeri Sembilan, Seremban pada Isnin.
Dakwa motosikal dilanggar, lelaki ugut minta ganti rugi ditahan polis

Dakwa motosikal dilanggar, lelaki ugut minta ganti rugi ditahan polis


Tindakan seorang lelaki mendakwa motosikalnya dilanggar sebelum mengugut seorang wanita untuk mendapatkan ganti rugi membawa padah apabila dia ditahan polis awal pagi Sabtu.


Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara, Asisten Komisioner Radin Ramlan Radin Taha berkata, suspek berusia 38 tahun itu ditahan kira-kira jam 1.20 pagi di Taman Universiti, Skudai.


Menurutnya, suspek kini direman selama empat hari sehingga Selasa bagi membantu siasatan.


"Polis menerima laporan daripada wanita tempatan berusia 30 tahun jam 12.49 tengah hari pada Jumaat," katanya dalam satu kenyataan.


Sebelum ini, tular video di media sosial memaparkan seorang lelaki mengekori mangsa dengan menunggang motosikal sebelum didatangi seorang lagi lelaki.


Radin Ramlan berkata, kejadian berlaku jam 11.30 pagi selepas mangsa diekori lelaki bermotosikal di kawasan Taman Universiti, Skudai.


"Suspek meminta pengadu berhenti dan kemudiannya bertengkar sebelum seorang lagi lelaki tiba di lokasi berkenaan.


"Wanita tersebut kemudiannya membunyikan hon kenderaan yang menyebabkan kedua-dua suspek melarikan diri," katanya.


Beliau berkata, suspek mempunyai sembilan rekod lampau berkait kes jenayah dan dadah. Polis turut merampas beberapa barangan bagi membantu siasatan.


"Kes disiasat mengikut Seksyen 384 kerana melakukan pemerasan dan Seksyen 341 kerana melakukan halangan salah," katanya lagi.


Beliau berkata, usaha mengesan seorang lagi suspek yang masih bebas sedang dipergiatkan.


Rohingya pemegang kad UNHCR bukan PATI, ada 'imuniti' perlindungan

Rohingya pemegang kad UNHCR bukan PATI, ada 'imuniti' perlindungan


Pelarian etnik Rohingya yang memegang kad Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) tidak tergolong sebagai Pendatang Tanpa Izin (PATI) dan di luar bidang kuasa Jabatan Imigresen Malaysia (Imigresen).


Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Zakaria Shaaban menjelaskan, pemegang kad UNHCR mempunyai 'imuniti' perlindungan daripada diambil tindakan berhubung kesalahan dokumen perjalanan atau pas tidak sah.


"Rohingya tidak sama dengan PATI. Mereka yang memiliki kad UNHCR tidak boleh diambil tindakan atas kesalahan imigresen seperti tinggal lebih masa atau tidak memiliki dokumen perjalanan dan pas yang sah.


"Bagaimanapun, mereka tetap tertakluk kepada undang-undang lain yang dikuatkuasakan oleh agensi penguatkuasaan lain," katanya dihubungi bagi mengulas kedudukan status pelarian Rohingya.


Berhubung penguatkuasaan terhadap PATI secara umum, Zakaria mengalu-alukan maklumat dan aduan daripada orang awam bagi membolehkan Imigresen menyiasat dan menjalankan operasi di mana-mana kawasan disyaki.


"Penguatkuasaan Imigresen adalah berasaskan aduan, risikan dan maklumat awam. Semua maklumat dan aduan yang diterima akan disiasat.


"Namun begitu, orang ramai dinasihatkan supaya tidak mengambil tindakan sendiri, sebaliknya menyerahkan sebarang maklumat kepada pihak berkuasa," katanya.


Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Zakaria Shaaban.
Adik sahkan legenda Harimau Malaya, Abdah berusia 72 tahun nikah gadis 20 tahun

Adik sahkan legenda Harimau Malaya, Abdah berusia 72 tahun nikah gadis 20 tahun


Teka-teki mengenai status legenda bola sepak negara, Datuk Abdah Alif akhirnya terjawab apabila adiknya, Datuk Yunus Alif mengesahkan abangnya itu baru sahaja melangsungkan perkahwinan.


Yunus yang juga bekas pemain kebangsaan dan jurulatih berkata, Abdah, 72, melangsungkan pernikahan pada 27 Ogos lalu di Kuala Terengganu, dengan kedua-dua keluarga merestui perkahwinan berkenaan.


"Mungkin sekarang tengah berbulan madu. Sebab itu tak angkat (Datuk Abdah Alif) panggilan. Betul mereka dah nikah, dan kita doakan terbaik buat mereka berdua," katanya ketika dihubungi hari ini.


"Alhamdulillah mereka baru saja nikah pada 27 Ogos lalu. Kedua-dua keluarga bersetuju jadi tak ada masalah. Kita doakan agar mereka berdua berbahagia.


Pengesahan itu sekali gus menjawab persoalan selepas gambar Abdah bersama pasangannya yang difahamkan berusia 20 tahun tersebar di media sosial dan mencetuskan perhatian peminat bola sepak tempatan.


Yunus pada masa sama mendoakan agar perkahwinan abangnya bersama pasangan pilihan hati itu terus berkekalan dan dikurniakan kebahagiaan hingga ke akhir hayat.


"Semoga mereka bahagia dan kekal hingga ke Jannah," katanya.


Sebelum ini, meja sukan cuba mendapatkan pengesahan daripada Abdah berhubung gambar perkahwinan berkenaan, namun bekas pemain handalan Harimau Malaya itu gagal dihubungi.


Abdah bukanlah nama asing dalam lipatan sejarah bola sepak negara apabila menjadi antara tonggak penting skuad kebangsaan ketika era kegemilangan Harimau Malaya pada penghujung 1970-an dan awal 1980-an.


Malah, beliau antara pemain yang membantu Malaysia melayakkan diri secara merit ke Sukan Olimpik Moscow 1980 selepas skuad negara menewaskan Korea Selatan 2-1 dalam aksi penentuan.


Abdah ketika itu berada dalam satu generasi yang cukup disegani dan beraksi bersama barisan legenda seperti Datuk Soh Chin Aun, Datuk Santokh Singh, Datuk Jamal Nasir Ismail dan ramai lagi.


Bagaimanapun, Abdah dan rakan-rakan sepasukan tidak berpeluang beraksi di pentas Olimpik apabila Malaysia mengambil keputusan memboikot temasya Moscow 1980 sebagai tanda bantahan terhadap pencerobohan Soviet Union ke atas Afghanistan.


Kini, selepas sekian lama meninggalkan pentas persaingan bola sepak, nama Abdah kembali menjadi perhatian peminat selepas berita perkahwinan terbaharunya disahkan oleh adiknya sendiri.


Dengan restu kedua-dua keluarga, Yunus berharap perkahwinan legenda Harimau Malaya itu terus dilimpahi kebahagiaan dan berkekalan hingga ke Jannah.


Ahad, 6 September 2026

Dua konco along diberkas, polis rampas emas, wang tunai dan kad ATM

Dua konco along diberkas, polis rampas emas, wang tunai dan kad ATM


Polis menahan dua lelaki tempatan bagi membantu siasatan kegiatan pemberi pinjaman wang tanpa lesen (along) serta pemilikan dan penggunaan kad mesin juruwang automatik (ATM) milik orang lain melalui operasi Ops Vulture di Teluk Intan pada Jumaat.


Ketua Polis Daerah Hilir Perak Asisten Komisioner Chua Kok Lian berkata, suspek pertama ditahan di mesin ATM sebuah bank semasa melakukan pengeluaran wang.


Menurutnya, pemeriksaan lanjut menemui dua kad ATM dipercayai milik orang lain serta wang tunai RM300.


"Siasatan awal terhadap suspek membawa kepada pemeriksaan di sebuah premis pinjaman wang di Jalan Ah Cheong, Teluk Intan. Seorang lagi lelaki turut ditahan," katanya semalam.


Chua berkata, rampasan membabitkan wang tunai RM300, lima kad ATM pelbagai bank, rantai emas seberat 0.6 gram dan 3.2 gram serta sekeping loket disyaki emas seberat 0.5 gram dengan nilai keseluruhan dianggarkan RM2,050.


Beliau berkata, polis memperoleh perintah reman terhadap dua suspek itu hingga hari ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 420 dan Seksyen 424 Kanun Keseksaan.


Selain itu, Chua menasihatkan orang ramai supaya tidak sewenang-wenangnya menyerah atau membenarkan kad ATM digunakan individu lain walaupun ditawarkan ganjaran.


"Penyalahgunaan akaun dan kemudahan perbankan bagi tujuan jenayah menyebabkan individu yang terlibat boleh dikenakan tindakan undang-undang," katanya.

Nenek jadi mangsa hendak 'bank in' RM10,000 kepada scammer, nasib baik pemandu e-hailing sempat tahan

Nenek jadi mangsa hendak 'bank in' RM10,000 kepada scammer, nasib baik pemandu e-hailing sempat tahan


Rasa curiga pemandu e-hailing terhadap seorang pelanggan warga emas yang mahu ke sebuah bank berjaya menyelamatkan wanita itu memindahkan wang RM10,000 kepada individu yang disyaki love scam pada Khamis lalu.


Kata Noraini Othman, 61, selepas menghantar wanita itu ke sebuah bank, dia berada terlalu lama dalam premis itu membuatkan dia curiga dan mencarinya dalam premis itu sebelum dia sempat memindahkan sejumlah wang.


"Saya ambil dia dari rumah pukul 4.30 petang dia ada cakap hendak buat pemindahan wang, jadi saya tunggu di luar bank tetapi pelik kenapa lama sangat,” jelasnya.


Kata Noraini, ketika jumpa warga emas itu dalam bank, ada orang lain yang cuba membantunya memindahkan sejumlah wang berkenaan dan perkara itu sempat dihalangnya.


"Individu itu juga pelik warga emas itu mahu pindahkan sejumlah wang kepada akaun lain, jadi saya terus panggil polis dekat bank itu. Rupa-rupanya warga emas itu cakap ada peguam tampan (scammer) suruh dia masukkan wang berkenaan," jelasnya.


Tambahnya, warga emas itu mendakwa mengenali individu yang didakwa tampan berkenaan menerusi aplikasi WhatsApp, tetapi tidak pernah berjumpa dengannya secara bersemuka.


"Dia tidak kenal orang itu pun. Tiba-tiba terima WhatsApp. Gambar profilnya pakai baju kot segak macam peguam," ujarnya.


Jelasnya, rupanya mangsa sudah pun mengeluarkan wang simpanannya dalam Tabung Haji terlebih dahulu untuk dipindahkan kepada individu menyamar peguam segak berkenaan.


Dalam pada itu Ketua Polis Daerah Rembau, Superintendan Ngiam Ooi Ming berkata, kejadian berlaku kira-kira pukul 5.30 petang ketika wanita Melayu berusia 71 tahun itu dihantar oleh pemandu e-hailing ke Bank Simpanan Nasional di Rembau.


"Pemandu wanita itu mengesyaki transaksi tersebut ada kaitan dengan love scam yang kemudian menghubungi Balai Polis Rembau," katanya.


Ooi Ming berkata, susulan maklumat itu, Timbalan Ketua Polis Balai Rembau bersama beberapa anggota polis bergegas ke bank berkenaan untuk pemeriksaan.


"Setibanya di lokasi, mangsa sedang cuba memasukkan wang sebanyak RM10,000 ke dalam akaun berkenaan. Transaksi tersebut berjaya dihentikan dan wang RM10,000 itu dimasukkan semula ke dalam akaun BSN milik mangsa," jelasnya.

Dua beradik maut selepas keluarga pilih rawatan mistik untuk rawat demam panas

Dua beradik maut selepas keluarga pilih rawatan mistik untuk rawat demam panas

(Foto Ilustrasi)

Dua beradik lelaki meninggal dunia selepas keluarga mereka dipercayai memilih rawatan mistik bagi mengubati demam panas yang dialami sebelum keadaan mereka semakin kritikal dan dikejarkan ke hospital.


India Today melaporkan kedua-dua mangsa masing-masing berusia 15 dan 10 tahun mengalami demam bersama ibu mereka, Sangeeta Devi, kira-kira tiga hingga empat hari lalu.


Bagaimanapun, keluarga berkenaan dipercayai menganggap penyakit itu berpunca daripada kuasa ghaib dan mendapatkan khidmat seorang pengamal ritual tantrik untuk menjalankan upacara serta bacaan mantera di rumah.


Rawatan berkenaan dilaporkan dilakukan selama tiga hari, namun keadaan ketiga-tiga mereka terus merosot.


Apabila dua beradik itu tidak sedarkan diri, keluarga segera membawa mereka ke Hospital Sadar Ramgarh sebelum doktor mengesahkan kedua-duanya meninggal dunia.


Sementara itu, keadaan ibu mereka turut kritikal dan Sangeeta dirujuk ke Rajendra Institute of Medical Sciences (RIMS), Ranchi untuk mendapatkan rawatan lanjut.


Punca sebenar penyakit yang menyebabkan tiga anggota keluarga itu jatuh sakit masih belum dikenal pasti.


Susulan kejadian itu, Pegawai Pembangunan Blok Patratu, Manoj Gupta, mengunjungi kampung berkenaan dan menemui keluarga mangsa.


Beliau memberi jaminan bantuan kepada keluarga berkenaan selain memaklumkan usaha akan dilakukan bagi menyediakan pampasan mengikut peraturan kerajaan.


Dalam pada itu, pasukan Jabatan Kejuruteraan Kesihatan Awam turut mengambil sampel air daripada pam tangan berhampiran selepas tiga anggota keluarga itu jatuh sakit pada waktu hampir sama.


Sampel berkenaan akan diperiksa bagi menentukan sama ada pencemaran air atau jangkitan mempunyai kaitan dengan kejadian itu.

Budak dua tahun parah diserang lima anjing liar di hadapan rumah

Budak dua tahun parah diserang lima anjing liar di hadapan rumah


"Saya hanya mampu menjerit lihat cucu terbaring dan dikelilingi lima ekor anjing dengan kepala dan mukanya dipenuhi darah," kata Darlinda Darlis.


Cucunya, Nur Haira Watikah Mohammad Hamizi, 2, parah dipercayai digigit anjing liar di hadapan rumahnya di Kampung Tambak, Sungai Kelambu, Peserai, Batu Pahat, pagi semalam.


Kejadian dipercayai berlaku pada 7 pagi selepas kanak-kanak itu dihantar ibu bapanya ke rumahnya.


Menurut Darlina, 57, ia kali pertama Nur Haira tinggal bersamanya memandangkan cucunya itu lebih banyak bersama datuk sebelah bapanya yang tinggal tidak jauh dari situ.


"Ibu bapa Nur Haira mahu ke Johor Bahru kerana urusan kerja, biasanya dia tinggal di sana (rumah datuk bapa) namun disebabkan abang dan kakaknya sudah lama di sini, dia mahu ikut sekali.


"Sebelum kejadian, Nur Haira baring di sebelah abang dan kakaknya sambil minum susu, manakala saya bersiap untuk mandi.


"Selesai mandi, saya cari Nur Haira dan ternampak pintu rumah terbuka. Saya keluar dan terkejut melihat lima ekor anjing sedang menggigitnya.


"Anak saya terdengar jeritan itu lalu keluar menyelamatkan Nur Haira. Keadaan cucu cedera di kepala dan muka," katanya ketika ditemui, hari ini.


Darlinda berkata, dia bersama anaknya segera membawa Nur Haira ke Hospital Sultanah Nora Ismail (HSNI) sebelum dirawat di zon merah dan terpaksa ditidurkan.


"Saya tak boleh bayangkan keadaannya ketika itu, saya nampak mata dia terbuka namun tidak bercakap apa-apa. Saya hanya menangis sepanjang perjalanan ke hospital kerana tidak sanggup melihat keadaannya.


"Tidak lama selepas itu, Nur Haira dipindahkan ke Hospital Sultanah Aminah (HSA) Johor Bahru memandang kecederaan dialaminya," katanya.


Sementara itu, Darlinda berkata, anjing liar yang menyerang Nur Haira adalah haiwan ditinggalkan pemburu ketika memburu babi di kebun sawit berhampiran rumahnya.


"Mereka (pemburu) menggunakan anjing ini, bila selesai memburu, mereka tinggalkan anjing di sini. Kami sudah lama risau dengan anjing liar ini kerana ia semakin membiak," katanya.


Sementara itu, Ketua Polis Daerah Batu Pahat Asisten Komisioner Shahrulanuar Mushaddat Abdullah Sani ketika dihubungi mengesahkan pihaknya ada menerima laporan kejadian itu dan setakat ini siasatan dijalankan mengikut Akta Kanak-Kanak 2001.

Sebab audio TV terlalu kuat, suami mabuk tetak isteri guna parang

Sebab audio TV terlalu kuat, suami mabuk tetak isteri guna parang


Gara-gara memasang audio televisyen terlalu kuat, seorang wanita menjadi mangsa amukan suaminya yang mabuk apabila ditetak dengan parang dalam kejadian di Taman Desa Sejahtera, Kota Tinggi, semalam.


Dalam kejadian kira-kira jam 9.30 malam itu, wanita tempatan berusia 70-an itu luka kira-kira satu sentimeter di tangan kanan, bagaimanapun dilaporkan berada dalam keadaan stabil selepas menerima rawatan di Hospital Kota Tinggi (HKT).


Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintendan Yusof Othman berkata, polis menerima maklumat daripada orang awam berhubung kejadian wanita cedera akibat ditetak suaminya.


"Susulan maklumat itu, polis bergegas ke lokasi kejadian dan berjaya menangkap suspek yang juga suami mangsa berusia 70-an itu.


"Siasatan mendapati kejadian berlaku akibat perselisihan faham selepas mangsa memasang audio televisyen dengan kuat.


"Suspek yang berada dalam keadaan mabuk kemudiannya bertindak menetak mangsa sebanyak satu kali di tangan kanan menggunakan parang," katanya menerusi kenyataan media, hari ini.


Beliau berkata, satu kertas siasatan telah dibuka di bawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja menyebabkan cedera menggunakan senjata.