Sabtu, 15 Ogos 2026

Kampung Fatimah berpotensi jadi model Perkampungan Warisan Budaya India pertama di Malaysia

Kampung Fatimah berpotensi jadi model Perkampungan Warisan Budaya India pertama di Malaysia


Kampung Fatimah yang terletak di Kuala Langat dilihat sesuai dijadikan projek perintis Perkampungan Warisan Budaya India pertama di Malaysia berikutan keunikan kehidupan masyarakat estet yang masih dapat diketengahkan.


Hasrat itu disuarakan Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kampung Fatimah, M Kunasikaran, yang mahu warisan kehidupan masyarakat estet dipelihara dan diperkenalkan kepada generasi akan datang.


Beliau berkata inisiatif yang dicadangkan menerusi pelan pembangunan Kampung Fatimah 2030 itu perlu dilaksanakan segera memandangkan gaya hidup tradisional masyarakat estet semakin terhakis akibat arus pemodenan.


"Gaya hidup warisan ini perlahan-lahan makin menghilang kerana ramai penduduk kini bekerja di kilang-kilang berdekatan, manakala generasi muda pula semakin terpisah daripada akar umbi, pekerjaan tradisional, adat resam, makanan warisan serta kisah sejarah nenek moyang mereka.


"Jika tiada konsep 'Mari Kita Kenang Semula Kehidupan di Estet' yang dirancang ini, warisan berkenaan mungkin lenyap dalam tempoh satu generasi, maka kita mesti memeliharanya sewaktu estet ini masih 'bernyawa'," katanya ketika berucap pada Program Pembangunan Kampung Fatimah, Banting sebagai Perkampungan Warisan Budaya India, hari ini.


Turut hadir, Pengerusi Lembaga Penggalakan Pelancongan Malaysia (Tourism Malaysia) Datuk P. Manoharan serta wakil Tourism Selangor, Persatuan Ejen Pelancongan dan Pengembaraan India Malaysia (MITTA) serta Pejabat Tanah dan Galian Selangor.



Kunasikaran berkata, pelan pembangunan Kampung Fatimah 2030 akan memberikan peluang kepada pelawat merasai kehidupan masyarakat estet menerusi pelbagai aktiviti seperti memetik bunga, festival makanan, permainan tradisional, memerah susu lembu, aktiviti sungai serta pengalaman bermalam di inap desa dan sesi unggun api.


"Kampung Fatimah yang kini telah berusia lebih 40 tahun akan memanfaatkan keunikan persekitaran semula jadi serta aktiviti kemasyarakatan bagi menawarkan modul pelancongan berasaskan penglibatan secara langsung kepada pengunjung tempatan dan luar negara," katanya.


Beliau berkata kerjasama antara jawatankuasa kampung, agensi pelancongan kerajaan dan pengusaha swasta akan terus dipergiat bagi membangunkan produk pelancongan berkenaan.


Sementara itu, Manoharan menyifatkan usaha menjadikan Kampung Fatimah sebagai perkampungan warisan budaya India itu, satu inisiatif yang mempunyai potensi besar dalam mengetengahkan keunikan kehidupan masyarakat estet sebagai produk pelancongan.


"Selama saya berkhidmat dengan Tourism Malaysia, kali pertama saya mendengar inisiatif rintis seumpama ini bagi kampung estet. Pengalaman hidup di estet ini sangat unik dan tiada di mana-mana kerana saya sendiri berasal daripada kehidupan di estet.


"Tourism Malaysia sedia bekerjasama rapat dengan Tourism Selangor dan pihak berkepentingan industri pelancongan untuk mempakejkan produk berasaskan penglibatan komuniti itu secara komprehensif," katanya.


Beliau berkata laluan perhubungan ke Kampung Fatimah juga mudah dicapai kenderaan pelancong seperti bas dan van, manakala sungai berdekatan dikenal pasti untuk dibangunkan semula sebagai tarikan aktiviti air.


Pembangunan itu, katanya, dijangka membuka peluang ekonomi kepada penduduk setempat menerusi perkhidmatan inap desa dan keusahawanan budaya.


"Menerusi sokongan padu daripada agensi pelancongan negeri dan Persekutuan, Kampung Fatimah kini berada di landasan tepat untuk muncul sebagai model Perkampungan Warisan Budaya India yang unggul di Malaysia menjelang 2030," katanya.

Jumaat, 14 Ogos 2026

1,240 alat mainan seks antara rampasan rm42.99 juta kastam selangor

1,240 alat mainan seks antara rampasan rm42.99 juta kastam selangor


Sebanyak 1,240 alat mainan seks bernilai RM52,500 cuba diseludup masuk ke negara ini dari China tumpas apabila dikesan oleh Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) di Zon Bebas Utara dekat Pelabuhan Klang, pada Mei lalu.


Pengarah Kastam Selangor, Noraidah Ishak berkata, barangan tersebut di kesan dalam sebuah kontena di pelabuhan berkenaan pada 26 Mei yang didapati dalam keadaan mencurigakan ketika pemeriksaan dijalankan oleh JKDM di sana.


"Hasil pemeriksaan menemukan pelbagai jenis barangan yang diikrarkan sebagai kerusi, beg, bekas minuman dan pakaian dalam. Namun, terdapat ribuan pelbagai jenis ‘sex toys’ turut berada di dalam kontena itu dan dirampas bagi tindakan lanjut," katanya pada sidang akhbar di Klang, hari ini.


Jelasnya, kontena tersebut tiba di Pelabuhan Klang antara 15 dan 19 Mei lalu dan ia merupakan kali pertama direkodkan di Selangor pada tahun dan mengesyaki barangan terbabit adalah untuk pasaran tempatan.


Tambah Noraidah, bagaimanapun, pihaknya masih menjalankan siasatan di bawah Seksyen 135 (1) (a) dan Seksyen 133 (1) (a) Akta Kastam 1967 iaitu mengimport barang larangan serta membuat pengikraran tidak sah.


Dalam pada itu, beliau berkata, JKDM negeri turut merampas 1,578.43 liter minuman keras yang dianggarkan bernilai RM409,917 termasuk cukai di pelabuhan sama, 4 Mei lalu.


"Kesemua minuman pelbagai jenama itu ditemukan dalam sebuah kontena yang disembunyikan bersama alat ganti terpakai. Siasatan mendapati kontena itu tiba di pelabuhan itu pada 27 April lalu dan berasal dari sebuah negara di Asia," ujarnya.


Jumlah keseluruhan rampasan 63 kontena pelbagai komoditi bernilai RM42.99 juta termasuk duti dan cukai, menerusi empat siri serbuan berasingan di Pelabuhan Klang.


Warga Pakistan dalang sindiket lerai, jual komponen kenderaan lusuh serta kenderaan curi tumpas

Warga Pakistan dalang sindiket lerai, jual komponen kenderaan lusuh serta kenderaan curi tumpas



Sindiket didalangi warga Pakistan yang aktif menjalankan kegiatan melerai serta menjual komponen kenderaan lusuh serta kenderaan curi yang di sekitar Jalan Kapar, Klang tumpas pada Rabu.


Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Zakaria Shaaban berkata, tindakan penguatkuasaan telah digerakkan pada jam 4.30 petang hasil maklumat dan risikan.


Menurutnya, operasi membawa kepada tangkapan 20 warga asing terdiri daripada 17 lelaki warga Pakistan serta dua lelaki dan seorang wanita Indonesia.


"Penahanan warga Indonesia ini juga telah membawa kepada keterlibatan sindiket ini dalam pengurusan penyediaan rumah penampungan bagi pendatang asing tanpa izin (PATI) yang menunggu untuk dihantar pulang ke negara asal dengan bayaran yang dikenakan sekitar RM5,000 ke RM10,000 seorang.


"Siasatan awal mendapati, sindiket dipercayai turut terlibat dalam kes kehilangan sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) milik sebuah syarikat pengurusan jenazah di Kapar baru-baru ini," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.



Beliau berkata, Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) memandang serius sebarang penglibatan warga asing dalam kegiatan jenayah terancang yang boleh menjejaskan keselamatan dan ketenteraman awam.


Tambahnya, JIM akan terus memperkukuh kerjasama strategik dengan agensi penguatkuasaan berkaitan bagi mengesan dan mengambil tindakan tegas terhadap warga asing serta rangkaian sindiket yang terlibat.


"Tindakan tegas tanpa kompromi akan terus diambil terhadap mana-mana pihak yang terlibat melindungi, menggaji atau bersubahat dengan warga asing tanpa dokumen sah," ujarnya.


Kata Zakaria, pihaknya juga komited mempertingkatkan operasi penguatkuasaan di seluruh negara bagi memastikan keselamatan dan kedaulatan negara terus terpelihara.


Kes disiasat di bawah Akta Imigresen 1959/63, Akta Pasport 1966, Peraturan-peraturan Imigresen 1963 serta Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran 2007 (ATIPSOM).

22 warga Indonesia dipenjara 2 bulan guna kad pengenalan palsu

22 warga Indonesia dipenjara 2 bulan guna kad pengenalan palsu


Seramai 22 warga Indonesia dijatuhi hukuman penjara dua bulan selepas mengaku bersalah atas pertuduhan menggunakan kad pengenalan palsu sebagai dokumen pengenalan diri di Mahkamah Majistret Klang pada Jumaat (7 Ogos).


Kesemua tertuduh terdiri daripada 21 wanita dan seorang lelaki berusia antara 28 hingga 51 tahun didapati melakukan suatu kesalahan di bawah Peraturan 25(1)(e) Peraturan-Peraturan Pendaftaran Negara 1990 (Pindaan 2007).


Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) dalam kenyataan di Facebook rasminya memaklumkan, kesemua tertuduh ditahan pada Khamis di sebuah kilang di Pelabuhan Klang menerusi satu operasi bersepadu Op Getah yang dijalankan oleh pihaknya bersama Jabatan Imigresen Malaysia dan Jabatan Tenaga Kerja Negeri Selangor.


"Selepas pertuduhan dibacakan di hadapan mahkamah, kesemua tertuduh mengaku bersalah.


"Mahkamah kemudiannya menjatuhkan hukuman penjara selama dua bulan bermula dari tarikh tangkapan iaitu pada 6 Ogos (Khamis) terhadap kesemua tertuduh," katanya.



Prosiding didengar di hadapan Majistret Nor Azilah Mat dan A Khartiyayini.


Tambah JPN, pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa JPN, Md Shahedan Md Taib, Zulkarnain Ahmad dan Mohd Ramzi Adnan, manakala arahan pertuduhan dikeluarkan oleh Timbalan Pendakwa Raya JPN, Sufi Aiman Azmi.


Tegas JPN, tindakan penguatkuasaan akan terus dipergiat bagi membanteras penyalahgunaan dokumen pengenalan diri serta memastikan integriti sistem pendaftaran negara sentiasa terpelihara.


Sebelum itu, media melaporkan lebih 70 orang diperiksa membabitkan warga tempatan dan asing dalam Op Getah terbabit yang dilaksanakan bermula jam 3 petang.


Antara warga Indonesia yang ditahan dalam operasi JPN di sebuah kilang di Klang pada Khamis (6 Ogos). - Foto JPN.
Lelaki tunjuk kemaluan kepada warga emas dipenjara sebulan, denda RM2,500

Lelaki tunjuk kemaluan kepada warga emas dipenjara sebulan, denda RM2,500


Padah menunjukkan kemaluan kepada wanita warga emas, seorang lelaki dijatuhi hukuman penjara sebulan dan denda RM2,500 oleh Mahkamah Majistret Seremban, hari ini.


Majistret, Nurul Saqinah Rosli menjatuhkan hukuman berkenaan terhadap Muhammad Syahmi Mohad Md Jalel, 30, selepas dia mengaku bersalah atas pertuduhan dibacakan.


Tertuduh turut berdepan hukuman penjara tambahan empat bulan sekiranya gagal menjelaskan denda.


Mengikut pertuduhan, tertuduh telah melakukan perbuatan tersebut kepada seorang wanita berusia 75 tahun di Kampung Baru Mambau, Seremban pada 31 Julai 2026.


Berikutan itu, tertuduh telah melakukan satu kesalahan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 509 Kanun Keseksaan. Sabit kesalahan, boleh dihukum penjara maksimum lima tahun atau dengan denda atau kedua-duanya.


Peguam Zaiful Bahrin Kamde dalam rayuannya memaklumkan anak guamnya sudah berkahwin dan mempunyai tanggungan dua anak berusia empat tahun dan 12 bulan selain bekerja di syarikat cuci kenderaan dengan pendapatan RM1,800.


Jelasnya, pengakuan salah tertuduh telah menjimatkan masa mahkamah, malah dia turut mengaku menyesal dan memohon maaf atas kesalahan dilakukan serta berjanji tidak akan mengulanginya lagi.


"Mohon hukuman denda diberikan dan saya mencadangkan tidak melebihi RM3,000 memandangkan pendapatannya hanya RM1,800,"katanya


Timbalan Pendakwa Raya, Nurnadiahani Ideris memohon hukuman penjara atau denda maksimum dengan mengambil kira faktor kepentingan awam berbanding kepentingan individu, selain kesan perbuatan tertuduh terhadap mangsa.


Beliau berkata, hukuman maksimum juga sebagai memberi pengajaran dan pencegahan bukan saja terhadap tertuduh tetapi juga masyarakat. Mahkamah kemudian menetapkan hukuman penjara bermula daripada tarikh tangkapan.


Selain itu, tertuduh mengaku tidak bersalah atas perbuatan sama terhadap seorang wanita berusia 71 tahun di tepi jalan Kampung Baru Mambau 1, pada 3 Ogos 2026.


Pihak pendakwaan menawarkan jaminan RM9,000 dan mahkamah membenarkan jaminan RM3,000 dengan seorang penjamin serta syarat tambahan tidak menganggu mangsa dan saksi pendakwaan sehingga kes selesai

Menyamar pegawai KKM untuk peras wang, dua lelaki didenda RM7,000 setiap seorang

Menyamar pegawai KKM untuk peras wang, dua lelaki didenda RM7,000 setiap seorang


Seorang bekas penolong pegawai kesihatan dan rakannya masing-masing didenda RM7,000 oleh Mahkamah Majistret Kuala Kangsar, hari ini, selepas mengaku bersalah atas dua tuduhan melakukan pemerasan semasa menyamar sebagai kakitangan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), bulan lalu.


Tertuduh, Mohamad Ridzuan Dahalan, 34, dan Khairul Alamin Mohamed Daud, 35, membuat pengakuan bersalah atas kedua-dua pertuduhan itu di hadapan Majistret Azlin Zeti Zainal Abidin.


Berdasarkan pertuduhan pertama, kedua-dua mereka secara bersama dengan niat melakukan pemerasan terhadap Mohamad Pandak, 59, secara tidak jujur bagi mendorongnya menyerahkan wang RM2,000.


Bagi pertuduhan kedua, kedua-dua tertuduh didakwa menyamar dengan memegang jawatan sebagai penjawat awam iaitu Penolong Kesihatan KKM.


Kedua-dua perbuatan itu dilakukan di sebuah kawasan chalet di Kampung Kenang Baru Jalong Tinggi, Sungai Siput, 9 pagi, 30 Julai lalu.


Bagi pertuduhan melakukan pemerasan, ia boleh dihukum mengikut Seksyen 384 Kanun Keseksaan (KK), dibaca bersama Seksyen 34KK yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun atau dengan denda atau dengan sebat atau dengan mana-mana dua daripadanya.


Bagi tuduhan menyamar penjawat awam, ia dibaca mengikut Seksyen 170KK yang dibaca bersama Seksyen 34KK, memperuntukkan hukuman penjara boleh sampai dua tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.


Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Nur Mirza Zulaikha Mohd Fadzly manakala kedua-dua tertuduh diwakili peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Canice Chan Hong Yan.


Berdasarkan fakta kes, tertuduh secara paksa meminta pengadu yang juga pengusaha chalet supaya menyerahkan RM2,000 kononnya sebagai imbalan untuk tidak mengambil tindakan terhadap penguatkuasaan perundangan berkaitan kes wabak kencing tikus yang dikatakan berlaku di kawasan chalet itu.


Semakan bagaimanapun mendapati, kedua-dua tertuduh bukan kakitangan KKM Negeri Perak dan tidak mempunyai kuasa menjalankan pemeriksaan penguatkuasaan bagi pihak KKM, yang mana Mohamad Ridzuan juga didapati sudah ditamatkan kontrak perkhidmatan dengan KKM pada 4 November 2025.


Ketika mitigasi hukuman, Hong Yan menyatakan bahawa kedua-dua tertuduh menanggung seorang isteri serta tiga orang anak, dengan Mohamad Ridzuan kini tidak bekerja manakala Khairul Alamin merupakan pekerja kontrak dengan pendapatan RM1,800 sebulan.


Azlin Zeti menetapkan kedua-dua tertuduh didenda RM5,000 atau enam bulan penjara jika gagal membayar denda bagi pertuduhan pertama; serta denda RM2,000 atau tiga bulan penjara jika gagal membayar denda bagi pertuduhan kedua.

Khamis, 13 Ogos 2026

Pintu berkunci sejam, anggota polis berstatus isteri orang mengaku khalwat dengan Inspektor dalam bilik sewa

Pintu berkunci sejam, anggota polis berstatus isteri orang mengaku khalwat dengan Inspektor dalam bilik sewa


Seorang Inspektor polis dan anggota polis wanita yang sudah berkahwin mengaku bersalah di Mahkamah Tinggi Syariah Melaka, hari ini, atas pertuduhan berkhalwat selepas didakwa berkurung dalam sebuah bilik sewa, Mei lalu.


Tertuduh, Mohd Shukri Hamzah, 40, dan Intan Suriani Abdul Kadir, 33, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi Syariah Melaka, Mawardi Che Man.


Berdasarkan pertuduhan, kedua-dua tertuduh didapati berkurung di dalam sebuah bilik sewa yang boleh mendatangkan syak bersama individu yang bukan pasangan atau mahram yang sah di sisi hukum syarak.


Kesalahan itu didakwa berlaku di bilik sewa sebuah rumah di Jalan Murni 1, Taman Mas Merah, Batu Berendam, Melaka Tengah, kira-kira jam 11.57 malam, pada 14 Mei lalu.


Berdasarkan fakta kes, pemeriksaan dilakukan Pegawai Syarak bersama Imam Masjid Nurul Hidayah, Kariah Kampung Pulau Samak, Batu Berendam selepas menerima maklumat awam.


Ketika tiba di lokasi, pintu bilik didapati berkunci dan tiada respons selepas diketuk. Pintu hanya dibuka kira-kira sejam kemudian selepas kedua-dua tertuduh dipujuk sebelum pemeriksaan dijalankan. Hasil semakan mendapati kedua-dua tertuduh bukan suami isteri dan bukan mahram.


Mohd Shukri yang bertugas sebagai pegawai polis berpangkat Inspektor di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Melaka Tengah didakwa mengikut Seksyen 53(1) Enakmen Kesalahan Syariah (Negeri Melaka) 1991.


Jika sabit kesalahan, dia boleh dikenakan denda tidak melebihi RM3,000 atau penjara sehingga 24 bulan atau kedua-duanya sekali.


Sementara itu, Intan Suriani yang berstatus isteri orang dan bertugas sebagai anggota polis di IPD berlainan turut mengaku bersalah atas pertuduhan mengikut Seksyen 53(2) enakmen sama kerana berkurung yang mendatangkan syak bersama lelaki bukan suaminya atau mahram yang sah di sisi hukum syarak.


Jika sabit kesalahan, dia boleh dikenakan denda tidak melebihi RM2,000 atau penjara sehingga 24 bulan atau kedua-duanya sekali. Kedua-dua tertuduh yang tidak diwakili peguam bagaimanapun merayu mahkamah menjatuhkan hukuman ringan terhadap mereka.


Kes dikendalikan Ketua Pendakwa Syarie Jabatan Pendakwaan Syariah Melaka, Wan Mahyuddin Wan Muhammad dibantu Radzwan Abdullah.


Dalam hujahnya, pendakwaan memohon mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal mengambil kira kedudukan kedua-dua tertuduh sebagai anggota badan penguat kuasa.


Pendakwaan berkata, kes itu serius kerana tangkapan dilakukan Pegawai Syarak bersama imam masjid selain kedua-dua tertuduh didakwa enggan memberikan kerjasama pada peringkat awal pemeriksaan.


Menurut pendakwaan, kedua-dua tertuduh sepatutnya menunjukkan tahap integriti tinggi sebagai anggota polis kerana perbuatan itu boleh menjejaskan kepercayaan masyarakat terhadap badan penguat kuasa.


Mahkamah kemudian menjatuhkan hukuman denda RM3,000 terhadap Mohd Shukri atau penjara enam bulan jika gagal membayar denda. Manakala Intan Suriani pula didenda RM2,000 atau penjara empat bulan jika gagal membayar denda.


Sebelum menjatuhkan hukuman, Mawardi meluahkan kekecewaan terhadap pembabitan anggota badan penguat kuasa dalam kesalahan syariah.


Beliau turut menyifatkan kes berkenaan sebagai sesuatu yang mengecewakan kerana individu yang diharapkan menjaga masyarakat sendiri terlibat dalam perbuatan yang melanggar undang-undang.


Mawardi berkata perbuatan bersekedudukan tanpa nikah atau hubungan mahram di tempat tertutup boleh menimbulkan syak dan termasuk dalam perbuatan yang dilarang oleh hukum syarak.


Beliau turut mengingatkan kedua-dua tertuduh supaya mengambil iktibar daripada hukuman yang dijatuhkan serta tidak mengulangi perbuatan sedemikian.


Dalam nada tegas, Mawardi menegaskan bahawa kedudukan sebagai anggota polis tidak seharusnya menjadi alasan untuk mengenepikan undang-undang, sebaliknya mereka perlu menjadi contoh kepada masyarakat.

Anggota tentera tertembak rakan setugas di lapang sasar direman tiga hari

Anggota tentera tertembak rakan setugas di lapang sasar direman tiga hari


Anggota tentera yang dikatakan melepaskan tembakan sehingga terkena rakan setugas di lapang sasar dekat Hutan Menyala, Port Dickson, petang semalam direman tiga hari.


Timbalan Ketua Polis Negeri Sembilan, Senior Asisten Komisioner Mohd Nasharudin Mohd Shariff berkata, permohonan reman dibuat pagi ini di Mahkamah Majistret Seremban.


"Permohonan terhadap suspek dibuat di hadapan Penolong Kanan Pendaftar Mahkamah Majistret Seremban, Noor Shazziera Safaruddin.


"Reman terhadap suspek yang berusia 20-an itu dibenarkan selama tiga hari bermula hari ini sehingga 15 Ogos depan bagi melengkapkan siasatan," katanya ketika dihubungi, hari ini.


Mengulas mengenai keadaan mangsa yang juga berusia 20-an, Mohd Nasharudin berkata, anggota tentera itu berada dalam keadaan stabil dan sedang dirawat di Hospital Tuanku Jaafar (HTJ), Seremban.


"Keadaan kecederaan sebenar mangsa belum dapat dipastikan kerana masih menunggu laporan rasmi pemeriksaan daripada doktor yang merawatnya," katanya.


Dalam pada itu beliau berkata, pihaknya turut merampas satu senjata api yang disyaki mempunyai kaitan dengan kejadian itu.


"Kes disiasat mengikut Seksyen 37 Akta Senjata Api 1960 dan Seksyen 337 Kanun Keseksaan. Siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian ini," katanya.


Terdahulu, media melaporkan seorang anggota tentera cedera selepas dikatakan terkena tembakan yang dilepaskan rakannya ketika berada di lapang sasar dekat Sungai Menyala, kira-kira jam 2.15 petang Rabu.


Mohd Nasharudin dilaporkan berkata, mangsa mengalami kecederaan di muka selepas terkena tembakan yang dilepaskan seorang rakan sepasukan ketika mangsa bersama beberapa anggota lain berada di lokasi berkenaan.

Padah memandu mabuk, ahli perniagaan dipenjara sehari dan didenda RM13,500

Padah memandu mabuk, ahli perniagaan dipenjara sehari dan didenda RM13,500


Seorang ahli perniagaan didenda RM13,500 dan dipenjara sehari selepas mengaku bersalah di Mahkamah Majistret Batu Pahat, hari ini, atas tuduhan memandu dalam keadaan mabuk, Sabtu lalu.


Tertuduh, Edwin Lim Teng Guo, 26, yang didakwa mengikut Seksyen 45A (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Pindaan 2020) membuat pengakuan itu sebaik pertuduhan dikemukakan di hadapan Majistret Mustaqim Sukarno.


Mahkamah turut memerintahkan tertuduh dipenjara enam bulan sekiranya gagal menjelaskan denda dikenakan. Tertuduh membayar denda itu.


Selain itu, mahkamah membuat keputusan bahawa lesen memandu tertuduh digantung selama dua tahun bermula hari sabitan, hari ini.


Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa memandu kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Toyota Alphard dalam keadaan mabuk dengan kandungan alkohol dalam darah sebanyak 89 mg/100ml melebihi had ditetapkan 50 mg/100ml.


Perbuatan itu dilakukan di Jalan Seluang, Batu Pahat pada jam 1.05 pagi, 8 Ogos lalu. Seksyen 45A (1) memperuntukkan hukuman denda maksimum sehingga RM30,000 dan penjara sehingga dua tahun serta hilang kelayakan lesen memandu.


Berdasarkan fakta kes, sepasukan polis menjalankan penugasan Op Mabuk, menahan MPV dipandu tertuduh selepas didapati dalam keadaan mencurigakan.


Polis kemudiannya menjalankan pemeriksaan ke atas tertuduh sebelum terhidu bau alkohol. Ujian penafasan dijalankan mendapati bacaan kandungan alkohol pada ketika itu adalah 121 mg/100 ml.


Tertuduh dibawa ke balai polis untuk tindakan lanjut. Ujian penafasan sekali lagi dijalankan di Balai Polis Batu Pahat dan bacaannya ialah 89 mg/100 ml.


Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nur Shahzleen Ibrahim, manakala tertuduh diwakili peguam, Tan Song Yan.

'Nasib baik tak jadi jenazah' - Hakim tegur tok siak, ‘cleaner’ mengaku cuba zina dalam bilik jenazah

'Nasib baik tak jadi jenazah' - Hakim tegur tok siak, ‘cleaner’ mengaku cuba zina dalam bilik jenazah


"Nasib baik tidak jadi jenazah semasa melakukan perbuatan itu, kalau tidak terus dimandikan di situ."


Teguran itu dilontarkan Hakim Mahkamah Tinggi Syariah Melaka, Mawardi Che Man terhadap bekas siak masjid dan seorang wanita berstatus isteri orang yang didakwa melakukan percubaan persetubuhan haram di bilik pengurusan jenazah sebuah masjid di Bukit Piatu, Melaka.


Tertuduh lelaki berusia 48 dan wanita 51 tahun itu mengaku bersalah atas pertuduhan berkenaan sebelum dijatuhi hukuman denda RM5,000 atau penjara 18 bulan jika gagal membayar denda.


Berdasarkan pertuduhan, mereka didakwa cuba melakukan persetubuhan haram dengan individu yang bukan suami atau isteri yang sah di sisi hukum syarak.


Kesalahan itu didakwa berlaku antara jam 8 pagi hingga 12 tengah hari di lokasi berkenaan dan didakwa mengikut Seksyen 52 Enakmen Kesalahan Syariah (Negeri Melaka) 1991.


Berdasarkan fakta kes, kedua-dua tertuduh didakwa melakukan perbuatan itu berulang kali di bilik pengurusan jenazah masjid berkenaan antara Januari hingga April 2026.


Mereka kemudian tahan dan dibawa ke Bahagian Penguatkuasaan Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) pada 4 Jun 2026 selepas satu laporan polis diterima berkaitan dakwaan rogol. Bagaimanapun, hasil siasatan mendapati perbuatan itu dipercayai berlaku secara sukarela dan dilakukan berulang kali.


Dalam tegurannya, Mawardi berkata, kes berkenaan begitu serius kerana berlaku di kawasan masjid yang mempunyai fungsi khusus dalam pengurusan jenazah umat Islam.


"Di sinilah tempat penyucian akhir orang yang mati. Tetapi apa yang berlaku di tempat kejadian ini mendatangkan dosa besar kerana persetubuhan haram dilakukan di tempat berkenaan" katanya.


Jelas beliau, perbuatan itu lebih mengecewakan kerana tertuduh lelaki yang juga bekas siak bertanggungjawab menguruskan persiapan jenazah, manakala tertuduh wanita pula membantu kerja pembersihan di masjid sebagai sukarelawan di bawah Majlis Agama Islam Melaka (MAIM).


Mawardi berkata, kesalahan itu bukan sahaja pelanggaran hukum syarak, malah mencemarkan amanah yang diberikan kepada individu yang sepatutnya menjaga kesucian rumah ibadat.


Pendakwaan dikendalikan Ketua Pendakwa Syarie Melaka, Wan Mahyuddin Wan Muhammad bersama Pendakwa Syarie, Radzwan Abdullah memohon hukuman setimpal dengan mengambil kira keseriusan kesalahan, lokasi kejadian serta kedudukan kedua-dua tertuduh sebagai petugas masjid.


Pendakwaan berkata, kedua-dua tertuduh sepatutnya menjadi contoh kepada masyarakat serta membantu mengimarahkan masjid, namun amanah itu disalahgunakan.


Sementara itu, peguam syarie daripada Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Muhammad Ammar Yaser Ahmad Nazri memohon mahkamah tidak menjatuhkan hukuman penjara terhadap kedua-dua tertuduh.


Menurutnya, tertuduh lelaki adalah duda yang mempunyai empat anak dan bekerja sebagai siak masjid manakala tertuduh wanita yang masih berstatus isteri dan hampir 29 tahun melayari perkahwinan serta mempunyai lapan anak.


Mahkamah kemudian menjatuhkan hukuman denda RM5,000 terhadap setiap tertuduh atau penjara 18 bulan jika gagal membayar denda.


Bekas siak dan seorang wanita berstatus isteri orang didakwa melakukan percubaan persetubuhan haram di bilik pengurusan jenazah Masjid Al-Ibadah, Kampung Bukit Piatu, Melaka. - Foto Harian Metro.