Sabtu, 10 Mei 2025

Dua wanita Thailand tawar khidmat seks ditahan di Penampang

Dua wanita Thailand tawar khidmat seks ditahan di Penampang


Dua wanita warga Thailand ditahan selepas disyaki terlibat dalam aktiviti persundalan di sebuah hotel di Jalan Bundusan, Penampang pada tengah malam tadi.


Tangkapan dibuat kira-kira jam 12.40 tengah malam menerusi Operasi Bersepadu Mencegah Jenayah Op Noda yang dijalankan oleh sepasukan anggota dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Penampang.


Ketua Polis Daerah Penampang, Superintenden Sammy Newton berkata, hasil pemeriksaan terdapat dua wanita berusia 30-an berada di bilik hotel.


"Siasatan lanjut mendapati, kedua-dua wanita melakukan aktiviti persundalan dengan menggunakan platform dalam talian untuk mendapatkan pelanggan.


"Turut dirampas ialah telefon bimbit, tablet, kondom dan wang pelbagai mata wang yang dipercayai digunakan dalam aktiviti tersebut," katanya dalam kenyataan hari ini.


Susulan tangkapan tersebut, Sammy berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 372B Kanun Keseksaan kerana terlibat dalam aktiviti persundalan.


"Jika disabit kesalahan boleh dihukum penjara tidak melebihi satu tahun atau denda atau kedua-duanya sekali," katanya.


Sammy dalam pada itu menegaskan bahawa IPD Penampang sentiasa komited dalam usaha membanteras aktiviti tidak bermoral di daerah itu.


"Orang ramai juga diminta terus menyalurkan maklumat sebarang kegiatan jenayah di kawasan masing-masing," katanya.


Wanita warga Thailand antara ditahan dalam operasi yang dijalankan di bilik hotel Jalan Bundusan, Penampang di Sabah. - Foto Sinar Harian.

Khamis, 8 Mei 2025

Wanita maut terjun dari van di Lebuhraya Kesas selepas bertengkar dengan suami

Wanita maut terjun dari van di Lebuhraya Kesas selepas bertengkar dengan suami


Siasatan polis mendapati wanita yang maut di Lebuhraya Shah Alam (Kesas) berhampiran Hentian Rehat dan Rawat Awan Besar pada Selasa lalu, bertindak terjun dari van yang dinaikinya.


Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Rusdi Mohd Isa berkata, ia berdasarkan hasil soal siasat yang dijalankan terhadap suami wanita berkenaan.


"Siasatan mendapati sebelum kejadian, berlaku pertengkaran antara pasangan itu mengenai penggunaan van oleh isterinya yang tidak memiliki lesen memandu.


"Semasa pertengkaran, wanita itu memberitahu mahu terjun sebelum benar-benar melakukannya, dan suami meneruskan perjalanan pulang ke rumah," katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur, hari ini.


Rusdi berkata, lelaki berusia 50 tahun itu ditahan di rumahnya di Taman Kinrara, Puchong, Selangor, pada hari kejadian.


"Suspek kini direman selama empat hari sehingga Sabtu ini bagi membantu siasatan lanjut mengikut Seksyen 304A Kanun Keseksaan."


Dalam kejadian pada jam 2.35 petang Selasa, polis menerima maklumat daripada seorang lelaki yang melihat wanita tercampak dari sebuah van, sebelum kenderaan itu terus meninggalkan lokasi kejadian di Lebuhraya Kesas.


Siasatan di lokasi kejadian mengesahkan wanita berusia 44 tahun itu telah meninggal dunia. Susulan itu, polis menahan suami wanita terbabit kira-kira jam 6 petang pada hari yang sama.


Suspek yang bekerja sebagai penghantar barangan penghawa dingin mempunyai satu rekod jenayah lampau dan dua rekod berkaitan dadah.


Siasatan polis mendapati wanita yang maut di Lebuhraya Shah Alam (Kesas) berhampiran Hentian Rehat dan Rawat Awan Besar di Kuala Lumpur pada Selasa lalu, bertindak terjun dari van yang dinaiki. - Foto ihsan pembaca.

Rabu, 7 Mei 2025

Batu pengadang pintu rupa-rupanya objek bernilai lebih RM4 juta

Batu pengadang pintu rupa-rupanya objek bernilai lebih RM4 juta


Seorang wanita tidak menyedari batu pengadang pintu yang digunakan selama beberapa dekad rupa-rupanya objek berharga yang dianggarkan bernilai kira-kira AS$1.1 juta (RM4.86 juta).


Menurutnya, batu itu ditemui di dasar sungai di tenggara Bucharest yang merupakan kepingan batu ambar terbesar pernah dijumpai di dunia setakat ini.


Resin pokok fosil mempunyai nilai yang tinggi kerana warna tona hangat dan ia biasanya terdapat di sekitar perkampungan Colti yang merupakan tapak perlombongan sejak 1920-an.


Ambar milik wanita itu dikenal pasti sebagai jenis rumanite yang berwarna tona merah kaya.


El Pais melaporkan pihak berkuasa telah menyerahkan ketulan batu berharga itu yang diberikan waris keluarganya kepada pakar Muzium Sejarah di Poland yang mempunyai bahagian khusus untuk penyelidikan objek tersebut.


Warsaw turut mengesahkan ketulenan batu ambar tersebut dan dianggarkan berusia antara 38.5 dan 70 juta tahun.


"Penemuannya adalah bukti kepentingan besar di peringkat saintifik dan muzium," ujar Pengarah Muzium Wilayah Buzau, Daniel Costache.


Ia adalah batu ambar terbesar pernah ditemui di dunia setakat ini. - Foto Agensi.

Isnin, 5 Mei 2025

Wanita dipenjara 11 tahun, terbunuh suami pendera ketika melarikan diri

Wanita dipenjara 11 tahun, terbunuh suami pendera ketika melarikan diri


Seorang wanita di China yang menjadi mangsa keganasan rumah tangga dihukum penjara 11 tahun kerana membunuh suaminya ketika cuba melarikan diri daripada ancaman lelaki itu.


Hukuman ke atas Coa mencetuskan perdebatan hangat di negara berkenaan dengan ramai menyokong tindakan Cao dan mempersoalkan hukuman berat ke atas mangsa keganasan rumah tangga, lapor SCMP pada 3 Mei 2025.


Wanita dari wilayah Hebei di utara China itu bertemu suaminya, bernama Liu, pada 2015 selepas diperkenalkan ahli keluarga.


Selepas berkencan selama beberapa tahun, mereka berkahwin pada 2017 dan dikurniakan seorang anak lelaki.


Bagaimanapun, hubungan pasangan itu sentiasa bergolak sehingga Liu mula bertindak ganas dan kerap memukul Cao.


Menurut bapa Cao, sikap panas baran Liu bertambah buruk pada 2021.


Kejadian yang mendorong kematian Liu berlaku pada Mei 2024, apabila lelaki itu mengancam isterinya dengan pisau dan menyerangnya di luar rumah selepas mengesyaki wanita itu keluar makan malam dengan lelaki lain.


Bagaimanapun, siasatan pihak berkuasa kemudiannya mengesahkan bahawa Cao hanya bertemu dengan seorang rakan wanita pada hari berkenaan.


Ketika kejadian, Liu juga dikatakan mengheret Cao dan mengoyakkan pakaiannya, sebelum berhenti mengganas untuk menghisap rokok.


Mengambil kesempatan itu, Cao yang ketakutan cuba melarikan diri dengan memandu kereta tetapi Liu bertindak memanjat bonet, hingga kereta berkenaan terbabas di tepi jalan.


Kedua-duanya cedera, namun Liu meninggal dunia akibat kecederaan dalaman, manakala Cao patah tulang.


Pada 24 Mac, mahkamah mendapati Cao bersalah kerana berniat membunuh dan menjatuhkan hukuman penjara 11 tahun.


Menurut mahkamah, Cao sedar yang Liu bergayut pada bonet kereta, namun masih memandu laju yang mendorong kepada kemalangan maut.


"Tertuduh menunjukkan sikap acuh tak acuh terhadap keselamatan Liu, mengakibatkan maut," menurut keputusan itu. - Sumber SCMP.


Cao sering didera suaminya, Liu. - Foto Douyin.

Ahad, 4 Mei 2025

Isteri pertama buat laporan, lelaki ditangkap kerana beristeri 3

Isteri pertama buat laporan, lelaki ditangkap kerana beristeri 3


Seorang lelaki di negeri Florida ditahan kerana berkahwin dengan tiga wanita berbeza, lapor portal berita MSNews pada 3 Mei 2025.


Henry Betsey Jr. berdepan tuduhan poligami dengan pihak berkuasa mendakwa bahawa dia berkahwin dengan tiga wanita itu untuk keuntungan kewangan, menurut portal berita ABC Action News.


Henry bertemu dengan setiap wanita itu di platform janji temu berbeza iaitu Tinder, Match.com dan Stir.


Siasatan lanjut mendedahkan dia juga mempunyai profil di laman temu janji yang keempat.


Perkahwinan itu terbongkar selepas isteri pertama, Tonya mengesyaki suaminya curang.


Setelah melakukan siasatan, Tonya membuat laporan kepada pihak berkuasa yang menangkap Henry atas tuduhan poligami.


Sebelum tangkapan dilakukan, dua isterinya tidak tahu bahawa Henry sudah berumah tangga. - Sumber MSNews.


Hendry Betsey Jr. memiliki tiga isteri. - Foto ABC Action News.

Sabtu, 3 Mei 2025

Anggota bomba tolong padam duka lara, raikan hari jadi gadis putus cinta

Anggota bomba tolong padam duka lara, raikan hari jadi gadis putus cinta


Sekumpulan anggota bomba mengundang perhatian orang ramai kerana sanggup meluangkan masa untuk meraikan ulang tahun kelahiran seorang gadis yang baru saja putus cinta dengan teman lelakinya, lapor portal berita Tribunnews pada 2 Mei 2025.


Kejadian berlaku di Bogor, wilayah Jawa Barat pada Rabu (30/4/2025).


Rakaman dimuat naik di platform Instagram oleh akaun @bogor24update menunjukkan tiga anggota bomba membawa kek hari jadi dengan lilin dinyalakan.


Mereka membuat ucapan selamat hari lahir kepada gadis tersebut sebelum bersorak dan bertepuk tangan.


Seorang jurucakap Jabatan Bomba Cibinong berkata, gadis itu datang ke balai bomba dan meminta mereka mengubat hatinya yang luka.


"Dia baru saja putus cinta. Jadi, dia meminta kami bersama-sama menyambut ulang tahunnya yang ke-22," kata jurucakap berkenaan.


Rakaman itu mencatatkan 7 juta tontonan dan menimbulkan pelbagai reaksi netizen.


"Bomba bukan sahaja memadam kebakaran, tetapi merawat jiwa yang duka," kata seorang netizen. - Sumber Tribunnews.


Anggota-anggota bomba menyambut ulang tahun kelahiran seorang gadis yang baru saja putus cinta. - Foto TikTok.

Rabu, 30 April 2025

SPRM tahan reman Datuk Seri, 3 individu kemuka tuntutan palsu RM360 juta

SPRM tahan reman Datuk Seri, 3 individu kemuka tuntutan palsu RM360 juta


Seorang individu bergelar Datuk Seri antara empat individu ditahan reman Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kerana disyaki mengemukakan tuntutan mengandungi butiran palsu berjumlah kira-kira RM360 juta.


Perintah reman selama empat hari sehingga 3 Mei terhadap semua suspek dikeluarkan Majistret Irza Zulaikha Burhanuddin selepas permohonan dibuat SPRM di Mahkamah Majistret Putrajaya pagi tadi.


Menurut sumber, kesemua suspek yang terdiri daripada tiga lelaki dan seorang wanita berusia antara 50 dan 70-an itu ditahan antara pukul 4 hingga 6 petang semalam ketika hadir memberi keterangan di Ibu Pejabat SPRM, Putrajaya.


"Siasatan awal mendapati kesemua suspek dipercayai melakukan perbuatan tersebut sekitar tahun 2016 hingga 2017.


"Keempat-empat suspek disyaki mengemukakan tuntutan palsu bernilai kira-kira RM360 juta yang menggunakan dana sukuk dalam sebuah projek pembinaan lebuh raya di Lembah Klang yang bernilai kira-kira RM1.3 bilion," katanya.


Sementara itu, Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Seri Ahmad Khusairi Yahaya, ketika dihubungi mengesahkan tangkapan itu dan berkata, kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 18 Akta SPRM 2009.


Empat individu termasuk seorang Datuk Seri ketika hadir bagi proses permohonan reman di Mahkamah Majistret Putrajaya hari ini. - Foto Kosmo Online.

Selasa, 29 April 2025

Dua anggota polis direman disyaki minta rasuah RM6,000 di stesen minyak

Dua anggota polis direman disyaki minta rasuah RM6,000 di stesen minyak


Dua anggota polis direman lima hari bermula hari ini kerana disyaki meminta rasuah kira-kira RM6,000 daripada seorang pemilik syarikat yang ditahan dalam satu pemeriksaan kenderaan di sebuah stesen minyak di Seremban.


Perintah reman terhadap suspek lelaki berusia lingkungan 30-an itu dikeluarkan oleh Majistret, Nurul Saqinah Rosli selepas permohonan dibuat oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Mahkamah Majistret, Seremban hari ini.


Perintah reman itu berkuat kuasa dari 29 April hingga 3 Mei.


Menurut sumber, kedua-dua suspek ditahan antara jam 1 tengah hari hingga 3 petang pada Isnin (28/4/2025) di dua lokasi berbeza sekitar Seremban.


"Siasatan awal mendapati kedua-dua suspek dipercayai melakukan perbuatan tersebut pada Ahad lalu ketika mereka menjalankan tugas pemeriksaan ke atas kenderaan individu terbabit.


"Semasa pemeriksaan, kedua-dua suspek telah mengambil kad pengenalan individu tersebut dan meminta wang rasuah sekitar RM6,000 sekiranya mahu kad pengenalannya dipulangkan semula," katanya.


Sementara itu, Pengarah SPRM Negeri Sembilan, Awgkok Ahmad Taufik Putra Awg Ismail ketika dihubungi mengesahkan penahanan tersebut dan memaklumkan bahawa kes disiasat di bawah Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009.


Kedua-dua suspek diiring pegawai SPRM ketika hadir ke mahkamah untuk permohonan reman. - Foto Sinar Harian.

Isnin, 28 April 2025

Lelaki dedah rahsia mengejutkan untuk lebih sasa dan sihat

Lelaki dedah rahsia mengejutkan untuk lebih sasa dan sihat


Seorang lelaki menjadi sensasi internet apabila mendedahkan badannya berada dalam bentuk terbaik kerana mengamalkan minum susu badan, lapor akhbar Mirror UK pada 27 April 2025.


Jameson Ritenour, 39, mengamalkan gaya hidup itu selepas menonton sebuah klip video menceritakan manfaat pengambilan susu badan di laman YouTube.


Menurut bapa kepada tiga anak itu, dia minum susu itu buat pertama kali ketika isterinya, Melissa, menyusukan anak mereka.


"Badan saya berada dalam bentuk terbaik sepanjang dalam hidup saya. Susu ini membantu saya membina otot.


"Meskipun berat badan saya turun, saiz otot saya meningkat sebanyak lima peratus dalam masa lapan minggu," kata Ritenour.


Ritenour juga berkata, dia semakin sihat dan jarang sakit.


"Saya mahu membesar dan tidur nyenyak seperti bayi, jadi saya memutuskan untuk makan dan minum seperti bayi," tambah Ritenour.


Saintis-saintis bagaimanapun berkata, tiada bukti ilmiah membuktikan susu tersebut boleh memberi manfaat kepada orang dewasa. - Sumber Mirror UK.


Gambar menunjukkan badan Ritenour sebelum dan selepas mengamalkan susu badan. - Foto Netflix.

Ahad, 27 April 2025

Bos bayar gaji pekerja bermasalah guna duit syiling sebanyak RM938

Bos bayar gaji pekerja bermasalah guna duit syiling sebanyak RM938


Seorang bekas pekerja sebuah kedai minuman di Taiwan menerima gaji terakhir sebanyak NT$6,972 (RM938) dalam bentuk syiling kerana kerap membuat masalah di tempat kerja, lapor portal berita South China Morning Post.


Wanita dikenali sebagai Liu, 19, berkongsi perkara itu di media sosial selepas dia mengambil keputusan untuk berhenti.


Menurut Liu, gaji terakhirnya diserahkan dalam bentuk syiling yang diletakkan di dalam beg plastik.


Syiling itu berdominasi NT$1 (RM0.13), NT$5 (RM0.67) dan NT$10 (RM1.34). Ia juga mengambil masa selama sejam untuk dimasukkan ke dalam bank.


"Saya dapati syiling NT$20 (RM3) pula tidak cukup dan apabila saya bertanya kepada majikan, dia bergurau dengan orang lain 'ada pengemis datang, beri dia NT$20'," kata Liu.


Majikan itu mempertahankan tindakannya dengan menyatakan, tindakan itu sebagai pengajaran kepada Liu yang mempunyai sikap buruk terhadap rakan sekerja dan kerap ponteng kerja.


"Saya memberitahu Liu, apabila kita bekerja, kita perlu hormat orang lain dan berkomunikasi dengan baik. Tetapi dia menjawab bahawa sikap tidak sabarnya disebabkan baru bangun tidur.


"Liu turut meminta pendahuluan gaji meskipun baru bekerja selama sebulan. Dia juga pernah tidak hadir tanpa makluman selama tiga hari.


"Penggubal undang-undang perlu menyemak semula undang-undang di Taiwan. Saya menyokong mencegah eksploitasi buruh, tetapi mungkin saya bertanya mengapa tidak ada langkah yang sepadan untuk menangani pekerja yang tidak hadir tanpa cuti atau gagal hadir bekerja tanpa sebab?" kata majikannya.


Tambah majikan itu, dia telah menawarkan untuk menukar syiling dengan wang kertas jika Liu meminta maaf, tetapi tawarannya ditolak.


Li Xuanchang, pesuruhjaya Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan di Biro Hal Ehwal Buruh Kerajaan Bandaraya Tainan memberitahu TVBS News: "Majikan tidak menangguhkan pembayaran atau mengurangkan jumlah, jadi secara teknikalnya tidak ada pelanggaran undang-undang buruh. Bagaimanapun, pendekatan ini pastinya tidak bertimbang rasa atau beretika."


Kes itu telah mendapat kritikan meluas di Taiwan, dengan ramai yang mengutuk majikan tersebut. - Sumber South China Morning Post.


Liu menerima gaji terakhirnya dalam bentuk duit syiling yang diletakkan di dalam beg plastik. - Foto YouTube.