Seorang individu bergelar Datuk Seri antara empat individu ditahan reman Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kerana disyaki mengemukakan tuntutan mengandungi butiran palsu berjumlah kira-kira RM360 juta.
Perintah reman selama empat hari sehingga 3 Mei terhadap semua suspek dikeluarkan Majistret Irza Zulaikha Burhanuddin selepas permohonan dibuat SPRM di Mahkamah Majistret Putrajaya pagi tadi.
Menurut sumber, kesemua suspek yang terdiri daripada tiga lelaki dan seorang wanita berusia antara 50 dan 70-an itu ditahan antara pukul 4 hingga 6 petang semalam ketika hadir memberi keterangan di Ibu Pejabat SPRM, Putrajaya.
"Siasatan awal mendapati kesemua suspek dipercayai melakukan perbuatan tersebut sekitar tahun 2016 hingga 2017.
"Keempat-empat suspek disyaki mengemukakan tuntutan palsu bernilai kira-kira RM360 juta yang menggunakan dana sukuk dalam sebuah projek pembinaan lebuh raya di Lembah Klang yang bernilai kira-kira RM1.3 bilion," katanya.
Sementara itu, Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Seri Ahmad Khusairi Yahaya, ketika dihubungi mengesahkan tangkapan itu dan berkata, kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 18 Akta SPRM 2009.
EmoticonEmoticon