Selasa, 22 September 2026

MSF desak Malaysia hentikan penghantaran pulang pelarian Myanmar

MSF desak Malaysia hentikan penghantaran pulang pelarian Myanmar


Pertubuhan perubatan, Doktor Tanpa Sempadan (MSF) menggesa Malaysia menghentikan penghantaran pulang 1,476 warga Myanmar yang dijadualkan pada 29 September ini berikutan risiko negara terbabit masih dilanda konflik dan keganasan.


MSF dalam satu kenyataan berkata, pihaknya juga menggesa Malaysia mendedahkan kewarganegaraan, umur dan risiko perlindungan yang dihadapi oleh individu yang dikenal pasti untuk dihantar pulang.


Katanya, ini memandangkan pelarian dan pemohon suaka yang berdepan dengan penganiayaan atau ancaman serius lain tidak boleh dihantar pulang.


"Selain itu, Malaysia juga perlu memastikan keperluan perlindungan setiap individu yang tertakluk pada proses penghantaran pulang dinilai secara menyeluruh berdasarkan piawaian antarabangsa.


"Meskipun bukan negara pihak kepada Konvensyen Pelarian 1951, Malaysia tetap terikat dengan prinsip undang-undang antarabangsa yang melarang pemulangan secara paksa iaitu kewajipan untuk tidak menghantar seseorang kembali ke negara yang boleh menyebabkan mereka berdepan dengan penganiayaan," katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.


Menurut Pejabat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Penyelarasan Hal Ehwal Kemanusiaan (UNOCHA), pada 2025, Myanmar menduduki tempat kedua di dunia dari segi keamatan konflik dan tempat keempat sebagai negara paling berbahaya bagi orang awam.


Lebih separuh daripada penduduk negara itu terdedah kepada keganasan dan berdepan dengan krisis kemanusiaan yang meruncing akibat konflik bersenjata, bencana alam dan ketidakstabilan ekonomi.


MSF sendiri sudah beroperasi di Myanmar sejak 1992 dan masih berada di Rakhine, Kachin, Shan Utara serta Yangon dengan menyediakan perkhidmatan kesihatan, di samping melaksanakan program bekalan air, sanitasi dan kebersihan.


Menjelaskan lebih lanjut, MSF berkata, pada 5 Ogos lalu, Malaysia menyatakan bahawa proses penghantaran pulang tidak akan diteruskan sekiranya pelarian terbabit berisiko dianiaya atau nyawa mereka terancam.


"Namun demikian, pengumuman terbaharu Kerajaan Malaysia memberikan gambaran bahawa jaminan itu mungkin tidak lagi terpakai. Perkembangan ini menimbulkan kebimbangan serius terhadap perlindungan hak asasi manusia.


"Pasukan kami menyaksikan sendiri bagaimana konflik dan ketidakamanan terus menjejaskan perkhidmatan kesihatan, bekalan makanan, pendidikan serta sumber mata pencarian masyarakat di pelbagai wilayah Myanmar," katanya.


MSF berkata, pelarian termasuk etnik Rohingya dan golongan minoriti lain yang dianiaya, sudah melalui dan masih menanggung penindasan serta keganasan selama berdekad-dekad.


Katanya, mereka terpaksa menjalani kehidupan yang serba terkekang dan terus berada dalam ketidakpastian sementara menunggu peluang penempatan semula dari Malaysia sekiranya peluang itu benar-benar tiba.


"Justeru MSF menggesa Malaysia menghentikan semua penghantaran pulang pelarian ke tempat yang masih dilanda keganasan dan bahaya yang memaksa mereka melarikan diri.


"Kerajaan juga perlu memastikan bahawa sebarang proses berkaitan dilaksanakan secara telus sepenuhnya serta mematuhi piawaian antarabangsa," katanya.

Pelancong jadi ‘Dr Gigi’: Wanita warga China ditahan dipercayai jalankan rawatan pergigian tanpa tauliah

Pelancong jadi ‘Dr Gigi’: Wanita warga China ditahan dipercayai jalankan rawatan pergigian tanpa tauliah


Menyamar kononnya pelancong asing yang datang untuk menikmati keindahan negara ini. Penyamaran beberapa wanita warga asing berusia awal 20-an terbongkar apabila dia ditahan ketika dipercayai menjalankan rawatan pergigian haram di sebuah klinik mewah di Subang Jaya, semalam.


Lebih mengejutkan apabila wanita terbabit mendakwa hanya bertindak sebagai perunding kesihatan ketika ditahan untuk soal siasat dalam bilik rawatan di premis itu.


Wanita itu adalah antara empat warga asing yang ditahan dalam serbuan dijalankan sepasukan pegawai penguatkuasa pergigian dari Bahagian Kesihatan Pergigian, Jabatan Kesihatan Negeri Selangor dan Program Kesihatan Pergigian Putrajaya, bersama lima pegawai Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) jam 12 tengah hari semalam.


Serbuan dilakukan selepas risikan mendapati klinik berkenaan yang dipercayai menjadi pilihan golongan berpendapatan tinggi menawarkan perkhidmatan pergigian mencurigakan, termasuk disyaki dikendalikan individu warga asing yang tidak mempunyai tauliah untuk menjalankan amalan pergigian.


Jurucakap Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) berkata, hasil semakan mendapati premis berkenaan berdaftar dan mendapat kebenaran untuk beroperasi sebagai klinik pergigian swasta.



"Ada juga doktor tempatan bertauliah di klinik itu yang menjalankan rawatan di bilik berasingan. Bagaimanapun, risikan mendapati ada beberapa warga asing berada dan menawarkan rawatan mencurigakan di premis sama.


"Mereka ini mendakwa mempunyai kelayakan profesional untuk menjalankan tugas berkaitan rawatan pergigian.


"Antaranya dua wanita warga asing berusia 20-an terbabit. Ketika disoal siasat, salah seorang daripada mereka mendakwa hanya bertindak sebagai perunding kesihatan dengan menawarkan nasihat dan pelan rawatan kepada pelanggan yang berminat mendapatkan rawatan implan atau penanaman gigi palsu," katanya.


Menurutnya, pemeriksaan di bilik berkenaan turut menemui paparan X-ray kedudukan gigi pesakit pada skrin komputer.


Lebih mencurigakan, wanita terbabit yang mendakwa memiliki kelulusan perubatan dari negara asalnya gagal memberikan penjelasan munasabah apabila disoal siasat pegawai penyiasat KKM.


"Dia juga mendakwa berada di Malaysia sebagai pelancong asing dan tidak dapat memberikan jawapan meyakinkan mengenai kaitannya dengan klinik berkenaan.


"Pegawai penguat kuasa KKM turut percaya seorang lagi lelaki warga asing yang dipercayai menjalankan rawatan pergigian tanpa tauliah sempat melarikan diri melalui pintu belakang premis sebaik menyedari kehadiran pasukan serbuan," katanya.



Dakwaan itu dikuatkan susulan penemuan beg peribadi dipercayai milik individu terbabit yang tertinggal dalam bilik rawatan.


Pemeriksaan lanjut turut menemui pelbagai ubat-ubatan dan peralatan pergigian dari luar negara yang penggunaannya serta status kelulusan meragukan.


Ada juga peralatan dan bahan pergigian dipercayai digunakan untuk prosedur rawatan implan di simpan bilik stor di premis berkenaan.


"Hasil soal siasat, kumpulan warga asing terbabit gagal mengemukakan Perakuan Pendaftaran dengan Majlis Pergigian Malaysia (MPM) dan Perakuan Pengamalan Tahunan (APC) ketika pemeriksaan dilakukan.


"Susulan itu, siasatan akan dijalankan mengikut peruntukan di bawah Akta Pergigian 2018 (Akta 804)," katanya.


KKM berkata, individu yang menjalankan amalan pergigian tanpa pendaftaran boleh dikenakan tindakan mengikut Seksyen 62(1) Akta Pergigian 2018 dan, jika disabitkan, boleh dihukum mengikut Seksyen 62(3).


"Individu terbabit turut disyaki melanggar Seksyen 63(1)(d) Akta Pergigian 2018 dan jika disabitkan boleh dihukum mengikut Seksyen 63(2) akta sama," katanya.


KKM sebelum ini menjelaskan hanya pengamal pergigian yang berkelayakan, berwibawa dan profesional serta berdaftar dibenarkan memberikan perkhidmatan pergigian di Malaysia.


Malah, doktor pergigian yang beramal juga perlu mempunyai Perakuan Pengamalan Tahunan (APC) yang sah dan diperbaharui setiap tahun.


Kes disiasat dan tindakan lanjut akan diambil terhadap pihak yang terbabit mengikut peruntukan undang-undang berkaitan.



Dakwaan peronda ‘escort’ kenderaan curi kabel tidak benar, kata polis

Dakwaan peronda ‘escort’ kenderaan curi kabel tidak benar, kata polis


Polis menafikan dakwaan tular kehadiran sebuah kenderaan polis dari Unit Kereta Peronda (MPV) yang melakukan 'escort' kenderaan curi kabel di Kampung Tasik Tambahan, Ampang, Sabtu lalu.


Pengarah Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (JPJKK) Bukit Aman, Datuk Noor Hisam Nordin berkata, tangkapan pencuri kabel telah dilaksanakan oleh pihak polis.


"Dakwaan (kenderaan polis) bersekongkol adalah tidak benar.


"MPV bertindak atas maklumat daripada Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ampang Jaya dan kenderaan pasukan juga membuka lampu beacon mengikut prosedur operasi standard (SOP) semasa menjalankan tugas," katanya ketika dihubungi semalam.


Noor Hisam berkata, tindakan anggota MPV terbabit merupakan tindak balas kepada aduan orang ramai.


Menurutnya, setakat ini seorang suspek curi kabel telah diberkas untuk tindakan lanjut.


Sebelum ini, rakaman kamera litar tertutup (CCTV) dari sebuah rumah berhampiran lokasi kejadian tular di beberapa platform media sosial, termasuk Facebook dan Threads.


Rakaman berkenaan mengundang pelbagai reaksi warganet, termasuk dakwaan bahawa kenderaan polis terbabit mengiringi kenderaan yang dipercayai membawa kabel curi.

Peniaga didakwa cederakan isteri dengan menindih leher wanita itu guna lutut

Peniaga didakwa cederakan isteri dengan menindih leher wanita itu guna lutut


Seorang peniaga kedai runcit didakwa di Mahkamah Majistret Batu Pahat, semalam kerana mencederakan isterinya dengan menindih leher wanita itu menggunakan lutut, pada 17 September lalu.


Tertuduh Mohd Anuar Mohd Sharif, 49, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Majistret Mustaqim Sukarno.


Mengikut pertuduhan, bapa kepada lima anak itu didakwa menyebabkan kecederaan terhadap isterinya berusia 45 tahun dengan menindih leher mangsa menggunakan lutut di sebuah rumah di Tongkang Pechah, Batu Pahat, kira-kira jam 12.45 tengah malam, 17 September lalu.


Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 326A kanun sama.


Seksyen 323 memperuntukkan hukuman penjara sehingga setahun atau denda maksimum RM2,000 atau kedua-duanya sekali, manakala Seksyen 326A memperuntukkan hukuman penjara dua kali ganda tempoh maksimum yang dikenakan bagi kesalahan di bawah Seksyen 323.


Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM4,000 dengan syarat tambahan perlu melapor diri setiap 22 haribulan di balai polis berhampiran serta tidak mengganggu mangsa sehingga kes selesai.


"Mahkamah boleh benarkan ikat jamin, tapi kamu tidak boleh duduk serumah dengan dia (isteri) sehingga kes selesai," kata Mustaqim.


Berdasarkan laporan, ketika mangsa sedang berbaring di atas katil, tertuduh didakwa menolaknya sebelum menindih leher menggunakan lutut menyebabkan mangsa sukar bernafas.


Akibat kejadian itu, mangsa mengalami kesakitan pada leher dan tangan sebelum mendapatkan rawatan di Hospital Sultanah Nora Ismail (HSNI).


Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nur Shahzleen Ibrahim, manakala tertuduh diwakili peguam Normaahani Rais daripada Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan.


Kes disebut semula pada 28 Oktober ini untuk serahan dokumen dan lantikan peguam tertuduh.

Isnin, 21 September 2026

Mahu putuskan percintaan, wanita disumbat ke bagasi & disimpan dalam peti sejuk pejabat kekasih

Mahu putuskan percintaan, wanita disumbat ke bagasi & disimpan dalam peti sejuk pejabat kekasih


Seorang wanita Thailand yang dilaporkan hilang sejak kira-kira seminggu lalu ditemukan mati dalam sebuah beg pakaian yang disimpan di dalam peti sejuk di sebuah pejabat di Taichung, Taiwan.


Mangsa dikenal pasti media Thailand sebagai Duangpon Arthan, dipercayai berasal dari Nakhon Ratchasima.


Menurut laporan Bangkok Post yang memetik Channel News Asia dan Taipei Times, teman lelaki mangsa yang dikenali sebagai Wu, 43, telah ditahan dan didakwa atas kesalahan membunuh.


Mangsa dilaporkan tiba di Taiwan pada 2 September sebelum Wu pergi menemuinya di sebuah hotel berhampiran Ximending, Taipei pada 12 September.


Rakaman kamera pengawasan kemudian menunjukkan Wu meninggalkan hotel pada hari berikutnya sambil membawa sebuah beg pakaian besar. Selepas itu, mangsa tidak lagi dilihat atau dapat dihubungi.


Polis yang menjejaki pergerakan suspek menerusi rakaman kamera keselamatan kemudian menahannya pada Sabtu.


Menurut laporan, Wu memberitahu polis bahawa mangsa mahu menamatkan hubungan mereka sebelum berlaku pertengkaran.


Suspek didakwa hilang kawalan lalu mencekik mangsa sebelum memasukkan mayatnya ke dalam beg pakaian dan membawanya ke pejabatnya di Taichung.


Beg berkenaan kemudian disimpan dalam peti sejuk di premis itu selama kira-kira seminggu sebelum ditemukan polis.


Hubungan antara mangsa dan suspek dipercayai bermula kira-kira setahun lalu selepas mereka berkenalan ketika Wu berkunjung ke Thailand. Siasatan lanjut masih dijalankan pihak berkuasa Taiwan.

Lelaki didakwa amuk dengan parang, campak budak dalam sungai hingga maut ditahan

Lelaki didakwa amuk dengan parang, campak budak dalam sungai hingga maut ditahan


Seorang kanak-kanak perempuan berusia lima tahun maut dipercayai lemas selepas dicampakkan ke sungai oleh bapa saudaranya yang mengamuk sambil bersenjatakan parang di Kampung Padang, Tanjung Sedili, Kota Tinggi hari ini.


Dalam kejadian kira-kira jam 9.30 pagi itu, suspek berusia 37 tahun dipercayai mencampakkan mangsa ke sungai sebelum kanak-kanak berkenaan ditemukan dalam keadaan tidak sedarkan diri.


Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintenden Yusof Othman berkata, suspek turut mengejar bapa mangsa berusia 40 tahun dan mengugut mahu mencederakannya.


"Bertindak atas maklumat, sepasukan polis dari Balai Polis Kuala Sedili pergi ke lokasi kejadian dan berjaya menangkap suspek.


"Bagaimanapun, seorang anggota polis cedera disebabkan berlaku pergelutan ketika cuba menangkapnya," katanya menerusi kenyataan, hari ini.


Menurut Yusof, pembantu pegawai perubatan yang tiba di lokasi kemudian mengesahkan kematian kanak-kanak itu.


"Mayat kanak-kanak perempuan itu kemudian dibawa ke Hospital Kota Tinggi sebelum dihantar ke Hospital Pasir Gudang untuk dibedah siasat," ujarnya.


Tambahnya, punca kejadian masih dalam siasatan dan suspek dipercayai mengalami masalah mental. Kes disiasat mengikut Seksyen 302 kanun keseksaan kerana membunuh.


Suspek yang mengamuk dan mencampak seorang budak dalam sungai hingga maut di Kampung Padang, Tanjung Sedili, Kota Tinggi ditahan hari ini.
Kerugian RM100,000, tujuh individu geng curi kabel ditahan

Kerugian RM100,000, tujuh individu geng curi kabel ditahan


Polis membongkar kegiatan tiga kumpulan disyaki terbabit mencuri kabel utiliti dengan kerugian dianggarkan RM100,000 selepas menahan tujuh individu dalam beberapa serbuan di Temerloh dan Mentakab.


Tiga kumpulan itu dikenali sebagai Geng Mat Elektrik, Geng Nista dan Geng Sasi, manakala tujuh lagi suspek masih diburu.


Ketua Polis Daerah Temerloh, Asisten Komisioner Mohd Nasyim Bahron berkata, tangkapan dibuat pasukan task force khas antara 15 hingga 19 September lalu hasil risikan susulan kes kecurian kabel Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan Telekom Malaysia (TM).


Beliau berkata, tujuh suspek berusia 16 hingga 40 tahun itu terdiri enam lelaki dan seorang wanita.


"Daripada tujuh yang ditangkap, tiga dipercayai terbabit secara langsung mencuri kabel manakala dua lagi membantu memproses kabel termasuk membakar dan melapah getahnya.


"Empat suspek mempunyai rekod lalu berkaitan jenayah dan dadah, manakala seorang daripada Geng Nista positif metamfetamin," katanya pada sidang media hari ini.


Mohd Nasyim berkata, polis turut merampas kabel dipercayai milik TNB dan TM, kabel tembaga, sebuah kereta, lori serta alat digunakan untuk membuka penutup 'manhole.'


Katanya, Geng Mat Elektrik membabitkan dua suspek, Geng Nista seorang suspek dengan empat lagi masih bebas.


"Geng Sasi membabitkan empat tangkapan dan tiga lagi sedang dikesan," katanya.


Sepanjang Jun hingga September lalu, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Temerloh menerima empat laporan kecurian kabel TNB dan empat kes kabel TM.


Antara lokasi terbabit Jalan Gantok menghala Bukit Cermin, Taman Seri Bukit Bendera, Taman Keramat Indah, Lanchang dan Jalan Temerloh-Jerantut.


Mohd Nasyim berkata, kabel tembaga curi dipercayai dijual kepada peniaga besi buruk pada harga sekitar RM30 sekilogram.


"Kecurian kabel bukan lagi jenayah kecil kerana ia boleh menjejaskan rangkaian internet, hospital, sekolah, perkhidmatan kecemasan dan bekalan elektrik.


"Polis akan mengambil tindakan tegas terhadap mereka yang terbabit. Kes disiasat mengikut Seksyen 379 dan Seksyen 431A Kanun Keseksaan serta Seksyen 235(2) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998," katanya.

Lelaki ditahan rakam video isteri orang dalam tandas kedai serbaneka

Lelaki ditahan rakam video isteri orang dalam tandas kedai serbaneka


Seorang wanita berusia 26 tahun berdepan detik mencemaskan apabila menyedari dirinya dipercayai sedang dirakam menggunakan telefon ketika berada dalam tandas wanita sebuah kedai serbaneka di Bandar Inderapura, Jerantut pada Sabtu.


Kejadian kira-kira jam 10.30 pagi itu terbongkar selepas mangsa yang juga pelanggan kedai berkenaan terlihat perbuatan mencurigakan dari tandas bersebelahan.


Ketua Polis Daerah Jerantut, Superintendan Nor Azman Yusof berkata, berdasarkan aduan diterima, mangsa mendakwa terlihat seseorang di tandas bersebelahan sedang merakam dirinya menggunakan telefon menerusi bahagian atas pemisah tandas.


"Suami mangsa turut menghubungi Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Jerantut untuk mendapatkan bantuan.


"Anggota Unit Rondaan Bermotosikal (URB) Balai Polis Jerantut yang tiba di lokasi berjaya menahan seorang lelaki berusia 23 tahun," katanya dalam kenyataan, semalam.


Nor Azman berkata, polis turut merampas sebuah telefon jenis iPhone 16 Plus yang dipercayai digunakan dalam kejadian berkenaan.


Katanya, suspek kemudian direman selama tiga hari sehingga 22 September ini mengikut Seksyen 117 Kanun Tatacara Jenayah bagi membantu siasatan.


"Kes disiasat mengikut Seksyen 509/377D Kanun Keseksaan, manakala telefon yang dirampas akan dihantar ke Bahagian Forensik Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk dianalisis," katanya.


Maut ditikam 13 kali: Bekas juruteknik didakwa bunuh isteri

Maut ditikam 13 kali: Bekas juruteknik didakwa bunuh isteri


Bekas juruteknik didakwa di Mahkamah Majistret Kulim, hari ini, atas pertuduhan membunuh isterinya dengan menikam mangsa di rumah mereka, minggu lalu.


Tertuduh, G Vikneswaran, 43, hanya mengangguk faham selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa di hadapan Majistret Nur Hamizah Mat Shah.



Tiada pengakuan direkodkan bagi kes berkenaan kerana ia terletak di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.


Mengikut pertuduhan, bapa kepada seorang anak lelaki itu didakwa menyebabkan kematian S Sila, 39, di sebuah rumah di Taman Tiram, Kulim.


Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu antara jam 6.30 petang hingga 9.04 malam pada 14 September lalu.


Berikutan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman gantung sampai mati atau penjara maksimum 40 tahun dan sebatan minimum 12 kali jika tidak dihukum mati.


Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, S Preeyaa, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.


Pihak pendakwaan memaklumkan tiada jaminan ditawarkan terhadap tertuduh berikutan kes terbabit adalah di bawah 302 Kanun Keseksaan.


Mahkamah menetapkan 8 Disember depan sebagai tarikh sebutan semula kes bagi mendapatkan laporan bedah siasat dan laporan kimia.


Sebelum ini, media melaporkan seorang wanita maut selepas ditikam 13 kali oleh suaminya di rumah mereka.


Ketua Polis Daerah Kulim, Superintendan Syamsul Sinring, dilaporkan berkata hasil siasatan mendapati kejadian disyaki berpunca perasaan cemburu.


Katanya, suspek menyerah diri di Balai Polis Lunas dan mengaku menikam isterinya selain turut menyerahkan pisau lipat dipercayai digunakan dalam kejadian itu.

Pemandu Proton Wira tular himpit Axia di lebuhraya ditahan polis

Pemandu Proton Wira tular himpit Axia di lebuhraya ditahan polis


Pemandu Proton Wira yang dirakam memandu secara melulu sehingga menyebabkan kemalangan dekat Kilometer (KM) 278.3 Lebuhraya Utara- Selatan (PLUS), Nilai semalam, sudah ditahan polis.


Ketua Polis Daerah Nilai, Superintenden Johari Yahya berkata, suspek berusia 35 tahun itu ditahan di Selangor, kira-kira 12.30 tengah malam tadi.


"Susulan kemalangan membabitkan Proton Wira dan Perodua Axia yang berlaku pagi semalam dan video kejadiannya tular di media sosial, Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Daerah (BSPTD) Nilai menjalankan siasatan dan memburu suspek terbabit.


"Pihak kami berjaya mengesan pemandu Proton Wira dan menahannya di rumahnya di Puchong, Selangor, tengah malam tadi, sebelum dibawa ke BSPTD Nilai untuk tindakan lanjut," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.


Beliau berkata, semakan rekod mendapati lelaki yang bekerja sebagai penghantar barang itu tidak mempunyai rekod jenayah.


"Lesen memandunya juga masih aktif, namun cukai dan perlindungan insurans kenderaan yang digunakan didapati sudah tamat tempoh pada Mei lalu. Bagaimanapun, suspek bukan pemilik kereta itu.


"Kes ini disiasat mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. Suspek dibawa ke Mahkamah Majistret Seremban pagi ini untuk direman bagi siasatan lanjut," katanya.


Media semalam melaporkan polis mengesan pemandu Proton Wira yang didapati memandu dalam keadaan berbahaya sehingga menyebabkan kemalangan, yang videonya tular di media sosial.


Kejadian dipercayai berlaku 9.10 pagi semalam dan Proton Wira terbabit dipercayai seolah bersaing dengan sebuah lagi kereta sebelum dilihat menghimpit Perodua Axia.


Johari dilaporkan berkata, ia menyebabkan Perodua Axia berpusing dan terbabas ke bahu jalan, namun pemandunya tidak mengalami sebarang kecederaan.