Sabtu, 20 Jun 2026

Polis Thailand rampas 500kg syabu bernilai RM12.52 juta, disyaki untuk pasaran Malaysia

Polis Thailand rampas 500kg syabu bernilai RM12.52 juta, disyaki untuk pasaran Malaysia


Polis Thailand merampas 500 kilogram (kg) syabu bernilai RM12.52 juta yang cuba diseludup ke negara jiran (Malaysia) selepas menahan orang kanan kepada sindiket berkenaan dalam operasi bersepadu di Ban Kawa, Mukim Kawa, Sungai Padi, Narathiwat pada Isnin lalu (15 Jun).


Rampasan pukul 4.30 petang itu dilakukan Unit Siasatan Khas Narkotik Wilayah Narathiwat yang membawa kepada penahanan suspek berusia 38 tahun.


Jurucakap Polis Wilayah Narathiwat berkata, kejayaan itu dicapai hasil risikan dan siasatan susulan terhadap beberapa anggota sindiket yang ditahan sebelum ini.


"Sindiket terbabit adalah an­tara yang terbesar dan paling aktif di Selatan Thailand khususnya di daerah bersempadan dengan Malaysia. Mereka mempunyai rangkaian luas sehingga ke utara Thailand dan Malaysia.


"Hasil siasatan rapi dan maklumat risikan yang diperoleh, sepasukan anggota unit khas narkotik wilayah menahan orang kanan sindiket terbabit di Ban Kawa, Mukim Kawa, Sungai Padi," katanya ketika dihubungi.


Jurucakap polis berkata, susulan tangkapan itu, suspek kemudian membawa polis ke sebuah ladang kelapa sawit di Ban Kawa.


Katanya, pemeriksaan lanjut di kawasan ladang tersebut menemukan beberapa bungkusan mengandungi puluhan paket plastik berisi syabu yang disembunyikan di kawasan berumput tinggi.


"Penilaian awal menganggarkan syabu yang dirampas bernilai hampir RM12.52 juta. Ini adalah kejayaan penting dalam memintas penghantaran dadah terbesar sebelum ia sempat diedarkan ke pasaran tempatan dan diseludup ke negara jiran.


"Sindiket ini dipercayai mula aktif sejak akhir tahun lalu dan beroperasi di beberapa wilayah termasuk Narathiwat, Pattani, Yala dan Songkhla. Bagaimanapun, pangkalan utama mereka adalah di Wilayah Narathiwat yang bersempadan dengan Kelantan. Kawasan yang diserbu Isnin lalu merupakan lokasi simpanan terbesar sindiket itu," katanya.

Terdesak lunas hutang keluarga antara alasan PATI masuk negara secara haram

Terdesak lunas hutang keluarga antara alasan PATI masuk negara secara haram


Terdesak melunaskan hutang keluarga sehingga mencecah puluhan ribu ringgit menyebabkan seorang wanita warga asing sanggup memasuki negara ini secara haram sebelum ditahan dalam Ops Kutip di sekitar Pasar Pudu, tengah malam tadi.


Wanita berusia lingkungan 30-an yang hanya mahu dikenali sebagai Lili itu antara warga asing yang diperiksa dalam operasi bersepadu dijalankan Jabatan Imigresen (JIM) Kuala Lumpur bagi mengesan pendatang asing tanpa izin (PATI) dan individu melakukan pelbagai kesalahan imigresen.


Lili yang bekerja di sebuah pusat urut tradisional mendakwa keluarganya terpaksa membuat pinjaman bagi menampung kos sara hidup sehingga dibelenggu hutang yang besar.


Menurutnya, keadaan itu mendorongnya mengambil risiko memasuki negara ini tanpa dokumen sah bagi mencari pekerjaan dan membantu keluarganya.


"Saya tahu apa yang saya lakukan adalah salah, tetapi saya tiada pilihan. Keluarga saya menanggung hutang yang banyak dan saya perlu bekerja untuk membantu mereka.


"Setiap bulan saya menghantar wang kepada keluarga di kampung. Jika saya tidak bekerja, mereka akan terus dibelenggu hutang," katanya ketika ditemui selepas ditahan dalam operasi itu kerana gagal mengemukakan dokumen perjalanan yang sah kepada pihak berkuasa.


Sementara itu, seorang lelaki warga asing yang hanya mahu dikenali sebagai Rahman mengakui cuba melarikan diri sebaik menyedari kehadiran anggota penguat kuasa kerana bimbang ditahan.


Lelaki yang mendakwa berada di Malaysia sejak 10 tahun lalu itu berkata, pasport miliknya sudah tamat tempoh dan belum diperbaharui kerana kekangan kewangan.


"Saya bekerja menjual sayur-sayuran dan memperoleh kira-kira RM1,500 sebulan. Saya tinggal menyewa bersama beberapa rakan.


"Saya memang mahu memperbaharui pasport, tetapi belum mempunyai wang yang mencukupi. Apabila nampak operasi dijalankan, saya panik dan cuba melarikan diri," katanya.


Operasi terbabit dipecahkan kepada tiga zon iaitu Zon 1, Zon 2 dan Zon 3 bagi memudahkan pemeriksaan dilakukan terhadap individu yang berada di sekitar kawasan pasar berkenaan.


Kebanyakan individu yang diperiksa dipercayai bekerja di pasar berhampiran sebagai pembantu kedai, pekerja am dan penjaja.


Dalam pada itu, JIM Kuala Lumpur mengingatkan warga asing supaya sentiasa mematuhi undang-undang imigresen negara serta memastikan dokumen perjalanan dan pas kerja dimiliki berada dalam tempoh sah.


Menurut jabatan itu, tindakan tegas akan terus diambil terhadap mana-mana warga asing yang memasuki negara ini secara tidak sah, tinggal melebihi tempoh dibenarkan atau menyalahgunakan kemudahan pas yang diberikan.


JIM turut menasihatkan majikan supaya tidak menggaji atau melindungi PATI kerana perbuatan itu merupakan satu kesalahan di bawah undang-undang imigresen negara.

Jumaat, 19 Jun 2026

DBKL kompaun, 13 tindakan sita peniaga warga asing di Selayang

DBKL kompaun, 13 tindakan sita peniaga warga asing di Selayang


Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menyita 13 premis dan peralatan perniagaan milik warga asing dalam operasi penguatkuasaan di sekitar Jalan Selayang Baru, Pasar Harian Selayang, semalam.


DBKL dalam satu kenyataan memaklumkan, pemeriksaan dijalankan terhadap aktiviti penjualan barangan am, runcit, barangan basah, buah-buahan serta sayur-sayuran yang dikendalikan warga asing tanpa lesen yang sah.


Menurutnya, sebanyak empat notis kompaun dikeluarkan atas kesalahan menjalankan perniagaan tanpa lesen, manakala 13 tindakan sita dan pindah barangan turut dilaksanakan.


"Tindakan diambil ke atas peniaga warga asing termasuk individu yang menggunakan kad pelarian dikeluarkan Pesuruhjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) sebagai dokumen pengenalan," katanya.


Kesemua barangan dan peralatan yang disita telah dipindahkan ke Stor Sitaan DBKL untuk tujuan dokumentasi serta tindakan lanjut.


Operasi tersebut dijalankan mengikut peruntukan Undang-Undang Kecil (UUK) Pelesenan Penjaja (Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur) 2016 dan UUK Pelesenan Pasar (Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur) 2016.


DBKL berkata, pihaknya akan meneruskan pemantauan dan penguatkuasaan secara berterusan di lokasi yang dikenal pasti sebagai tumpuan aktiviti perniagaan tanpa lesen.


Orang ramai turut digalakkan menyalurkan maklumat atau aduan kepada DBKL bagi membantu usaha membanteras aktiviti perniagaan yang melanggar peraturan.


Anggota penguat kuasa DBKL menyita barangan perniagaan warga asing di Pasar Harian Selayang. - Foto DBKL.
Lelaki disyaki curi wang RM10,000 ditahan, rakaman video tular bantu polis kesan suspek

Lelaki disyaki curi wang RM10,000 ditahan, rakaman video tular bantu polis kesan suspek


Tindakan seorang penghantar barang dipercayai mencuri wang tunai daripada dompet yang ditemukan di sebuah pasar raya membawa padah apabila dia ditahan polis selepas rakaman kejadian itu tular di media sosial.


Dalam rakaman video tular itu, seorang wanita warga China mendakwa kehilangan dompet yang mengandungi wang tunai RM10,000 ketika berada di sebuah pasar raya di Semenyih.


Wanita berkenaan bertemu seorang lelaki yang mendakwa menemukan dompet terbabit dan memulangkannya, namun lelaki berkenaan menafikan mengambil wang tunai yang dilaporkan hilang.


Ketua Polis Daerah Kajang Asisten Komisioner Naazron Abdul Yusof berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu pada jam 9.37 malam kelmarin.


Menurutnya, kejadian dipercayai berlaku kira-kira jam 3 petang di sebuah pasar raya di Semenyih sebelum rakaman video berdurasi tujuh minit 11 saat berkaitan insiden itu dikesan tular di TikTok.


"Susulan siasatan dijalankan, Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang menahan seorang lelaki berusia 37 tahun pada jam 1 pagi semalam.


"Suspek yang bekerja sebagai penghantar barang direman selama empat hari bagi membantu siasatan," katanya dalam kenyataannya, hari ini.


Naazron berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan kerana mencuri dalam bangunan.


Beliau turut menggesa orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan jenayah supaya menghubungi talian kecemasan 999 atau Pusat Kawalan IPD Kajang di talian 03-89114243.

58 suspek judi haram Piala Dunia ditahan, pertaruhan hampir RM500,000

58 suspek judi haram Piala Dunia ditahan, pertaruhan hampir RM500,000


Seramai 58 individu ditahan polis dalam serbuan Op Soga XI kerana disyaki terlibat dalam aktiviti pertaruhan haram dan perjudian dalam talian di seluruh negara sejak 11 Jun lalu.


Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk M Kumar berkata, operasi bersepadu itu dilaksanakan bagi membanteras kegiatan pertaruhan sukan tanpa lesen sempena kejohanan Piala Dunia FIFA 2026.


"Sepanjang tempoh operasi, sebanyak 52 serbuan telah dijalankan di seluruh negara dengan seramai 58 suspek terdiri daripada 54 lelaki dan empat wanita berjaya ditahan kerana disyaki terlibat dalam aktiviti pertaruhan haram dan perjudian dalam talian.


"Turut dirampas wang tunai berjumlah RM25,684.65 dan nilai pertaruhan dianggarkan berjumlah RM488,582.47," katanya dalam kenyataan pada Khamis.


Kumar berkata, operasi berkenaan turut melibatkan kerjasama strategik dengan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) bagi memantau aktiviti promosi serta pengiklanan perjudian menerusi laman sesawang dan platform media sosial.


"Polis turut mengesan sebanyak 42 platform yang digunakan bagi menjalankan aktiviti pertaruhan bola sepak dan promosi perjudian, melibatkan laman web, aplikasi serta media sosial.


"Tindakan menyekat laman sesawang dan menurunkan kandungan berkaitan akan dilaksanakan dengan kerjasama MCMC bagi mengekang penyebaran aktiviti perjudian dalam talian," katanya.


Beliau berkata, kesemua suspek telah dibawa ke ibu pejabat polis daerah berkaitan untuk proses dokumentasi dan siasatan lanjut mengikut Seksyen 6(1) dan Seksyen 6(3) Akta Pertaruhan 1953 serta Seksyen 4(1)(c) Akta Rumah Perjudian Terbuka 1953.


"Siasatan turut dijalankan di bawah Akta Pencegahan Penggubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA)," katanya.


Kumar berkata, polis akan terus mempergiatkan operasi dan tindakan penguatkuasaan secara berterusan selain memperkukuh kerjasama dengan agensi berkaitan bagi membanteras kegiatan perjudian haram di negara ini.


Sehubungan itu, beliau menggesa orang ramai supaya menyalurkan maklumat kepada pihak berkuasa bagi membantu usaha membanteras kegiatan berkenaan.

Khamis, 18 Jun 2026

PM arah segera laksanakan perjalanan tanpa visa pelancong Russia ke Malaysia

PM arah segera laksanakan perjalanan tanpa visa pelancong Russia ke Malaysia


Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan pelaksanaan aturan perjalanan tanpa visa bagi pelancong Russia ke Malaysia perlu disegerakan dalam usaha merancakkan lagi sektor pelancongan negara.


Perdana Menteri berkata, Malaysia perlu berani mengetepikan amalan birokrasi lapuk dan tidak sepatutnya terlalu bimbang dengan sekatan satu pihak (unilateral) yang dikenakan oleh negara tertentu.


Beliau berkata, jurang perbezaan ketara apabila Russia merekodkan lima juta pelancong setahun ke Turkiye dan dua juta ke Thailand, namun hanya sekitar 100,000 pelancong dari negara itu yang memilih Malaysia sebagai destinasi percutian.


"Ada lima juta pelancong (Russia) setiap tahun ke Turkiye, dua juta ke Thailand. Itu dua negara yang dekat dengan kita. Tapi kenapa cuma 100,000 ke Malaysia? Isu penerbangan, isu pembayaran, bentuk pembayaran yang menjadikannya sangat sukar. Jadi kadangkala kita terlalu taksub dengan prosedur lama, yang kuno dan terlalu bimbang bagaimana sesetengah negara lain akan bertindak balas atau memberi reaksi negatif.


"Sekarang, kenapa perkara ini berlaku (tetapi) tidak berlaku kepada Turkiye? Mereka adalah anggota NATO, dan mereka juga mempunyai hubungan yang baik dengan Eropah dan Amerika Syarikat.


"Thailand pula terus dapat mengekalkan hubungan yang baik. Kenapa perkara ini tidak berlaku (kepada Malaysia), dan kita pula tidak memberikan kemudahan yang sewajarnya kepada Russia atau Iran, dalam hal ini," katanya dalam sidang media penutup selepas lawatan kerja dua hari ke Sidang Kemuncak Peringatan ASEAN-Russia di Kazan, hari ini.


Beliau mempersoalkan kesukaran akses ke Malaysia sedangkan rangkaian penerbangan terus dari Russia ke Thailand tersedia tanpa sebarang masalah.


"Kita adalah sebuah negara merdeka, dan kita bercakap mengenai kepusatan (centrality) dalam ASEAN. Sudah tentu kita tahu sensitiviti itu. Kita tidak akan melanggar apa yang dinyatakan atau apa yang telah dipersetujui. Semestinya kita ada rasa hormat. Jika ia adalah sekatan antarabangsa yang diputuskan oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), ya (kita patuh).


"Tetapi kita tidak sepatutnya terlalu bimbang terhadap sekatan unilateral (satu pihak) yang dikenakan oleh sesetengah negara," katanya.


Anwar berkata, bagi menyelesaikan kekangan itu, beliau sudah berbincang dengan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Datuk Seri Johari Abdul Ghani serta Menteri Ekonomi, Akmal Nasrullah Mohd Nasir untuk menerajui tindakan drastik dalam mesyuarat Kabinet akan datang.


"Saya dah bawa perkara ini ke Kabinet beberapa tahun lalu tapi kita masih tersekat dengan hal ini. Jadi saya dah berbincang dengan Johari dan Akmal, mungkin kita akan ambil langkah awal dalam mesyuarat Kabinet akan datang untuk kita tengok dan jalan terus. Kita beri masa beberapa minggu dan selesaikan terus hal ini," katanya.

Bukan lagi rahsia, sikap 'kuku besi' PAS semakin terserlah - Tun Faisal

Bukan lagi rahsia, sikap 'kuku besi' PAS semakin terserlah - Tun Faisal


PAS didakwa tanpa berselindung berusaha menguasai Perikatan Nasional (PN) sepenuhnya dengan langkah terbaharu menggugurkan Datuk Dr Mohd Radzi Md Jidin dan Datuk Seri Mohamed Azmin Ali daripada jawatan utama dalam gabungan itu.


Ketua Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU), Datuk Tun Faisal Ismail Aziz berkata, sikap autoritarian dan politik kasar parti itu bertujuan melemahkan kedudukan partinya dalam struktur kepimpinan gabungan itu.


"Bukan lagi rahsia bahawa terdapat pihak dalam PAS yang berhasrat untuk menguasai PN sepenuhnya dan menyingkirkan BERSATU daripada gabungan tersebut.


"Kenyataan anggota Lajnah Undang-Undang PAS serta jentera parti juga memberi gambaran ke arah itu, termasuk usaha menyulitkan pengeluaran watikah calon, memanfaatkan dominasi dalam Majlis Tertinggi untuk menekan BERSATU serta mengetepikan peranan Majlis Presiden dalam proses membuat keputusan," katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.


Tambah beliau, susunan baharu yang diumumkan Pengerusi PN, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar itu juga mengubah keseimbangan undi dalam Majlis Tertinggi PN berikutan BERSATU memiliki empat wakil berbanding enam sebelum ini.


"Sekiranya berlaku pengundian, misalnya Parti Rakyat India Malaysia (MIPP) menyokong BERSATU sekalipun, undi hanya tinggal tujuh sahaja.


"Sebaliknya jika Gerakan mempunyai tiga undi menyokong PAS, sudah tentu keputusan akan berpihak kepada mereka dengan menjadi 10 undi (tidak termasuk undi Pengerusi)," katanya.


Tun Faisal turut mempersoalkan mengadakan mesyuarat tergempar Majlis Tertinggi PN dalam masa terdekat selepas sekian lama tidak memanggil mesyuarat penting berkaitan persiapan pilihan raya dan penyelesaian konflik dalaman gabungan itu.


Pada masa sama, beliau menegaskan bahawa BERSATU akan terus mempertahankan kedudukannya dalam PN selain mengharapkan pihak dalam PAS sendiri membantu menghentikan permainan politik kluster publika itu.

Remaja 15 tahun disyaki dirompak, dirogol semasa berjoging di Tumpat

Remaja 15 tahun disyaki dirompak, dirogol semasa berjoging di Tumpat


Seorang remaja perempuan dipercayai disamun dan dirogol oleh lelaki tidak dikenali di Tumpat semalam.


Mangsa, 15, ditemui dalam keadaan cedera berhampiran kawasan semak oleh orang awam kira-kira 11 pagi sebelum dikejarkan ke hospital untuk mendapatkan rawatan.


Nenek mangsa berkata, cucunya keluar dari rumah bersama adik lelakinya, 10, untuk bersenam pada awal pagi.


Katanya, kanak-kanak lelaki itu terpisah daripada kakaknya ketika berjoging sebelum pulang ke rumah selepas gagal menemuinya.


"Cucu lelaki saya beritahu dia penat lalu tertinggal di belakang ketika berjoging. Dia mencari kakaknya tetapi tidak jumpa. Menyangka kakaknya sudah pulang ke rumah, dia balik bersendirian," katanya ketika ditemui hari ini.


Rokiah berkata, dia kemudian menerima panggilan daripada bapa mangsa kira-kira tengah hari yang memaklumkan remaja itu ditemui berhampiran kawasan semak.


"Berita itu benar-benar mengejutkan kami sekeluarga. Saya tidak dapat membayangkan apa yang berlaku kepada cucu saya.


"Dia seorang anak yang baik dan sangat taat kepada ibu bapanya. Saya berharap pihak yang bertanggungjawab akan dibawa ke muka pengadilan," katanya.


Katanya, keluarga menyerahkan sepenuhnya kes tersebut kepada pihak berkuasa dan berharap suspek dapat ditahan dalam masa terdekat.


Sementara itu, Ketua Polis Daerah Tumpat Asisten Komisioner Mohd Khairi Shafie mengesahkan kes berkenaan. Kes itu disiasat mengikut Seksyen 376 dan Seksyen 394 Kanun Keseksaan.

Rabu, 17 Jun 2026

Dakwaan 30,000 pelajar masuk universiti awam ikut 'pintu belakang' tuduhan berat - Zambry

Dakwaan 30,000 pelajar masuk universiti awam ikut 'pintu belakang' tuduhan berat - Zambry


Dakwaan 30,000 hingga 60,000 pelajar memasuki universiti awam (UA) melalui pintu belakang adalah tuduhan berat yang boleh menjejaskan keyakinan rakyat terhadap integriti sistem pendidikan tinggi negara, kata Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir.


Beliau berkata, dakwaan tidak berasas itu bukan sahaja mencemarkan imej UA, malah mewujudkan persepsi buruk seolah-olah peluang pelajar yang layak telah dirampas demi kepentingan kewangan.


Zambry berkata, naratif sedemikian memberikan implikasi besar terhadap kepercayaan masyarakat, khususnya ibu bapa dan pelajar yang sedang mengikuti proses kemasukan ke institusi pengajian tinggi (IPT).


"Sistem kemasukan ke universiti awam di negara ini dilaksanakan melalui mekanisme jelas, telus dan berasaskan merit serta syarat kelayakan yang ditetapkan," katanya dalam kenyataan hari ini.


Beliau berkata, sekiranya benar terdapat puluhan ribu pelajar memasuki universiti melalui saluran tidak sah, pihak yang membuat tuduhan berkenaan perlu mengemukakan bukti dan fakta bagi menyokong dakwaan mereka.


Menurut beliau, tuduhan sebesar itu tidak boleh dibuat secara sewenang-wenangnya kerana dalam dunia akademik, setiap angka disebut mesti mempunyai sumber, metodologi serta asas yang boleh diuji kebenarannya.


"Atas pertimbangan tersebut, beberapa universiti awam telah mengambil langkah membuat laporan polis bagi membolehkan siasatan dijalankan.


"Tindakan ini bukan bertujuan menutup ruang kritikan atau menyekat kebebasan bersuara, sebaliknya memastikan setiap tuduhan yang dilemparkan dapat dibuktikan dan dipertanggungjawabkan mengikut proses undang-undang yang sewajarnya," katanya.


Beliau turut mengingatkan bahawa kebebasan bersuara bukan lesen untuk menyebarkan tuduhan tanpa asas kerana dalam dunia akademik, hujah mestilah dijawab dengan fakta, manakala analisis disokong data selain bukti yang kukuh.


Katanya pihak yang melemparkan tuduhan perlu bertanggungjawab sekiranya gagal mengemukakan bukti kukuh bagi menyokong kenyataan yang telah dikeluarkan.


Zambry berkata, Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) sentiasa bersikap terbuka terhadap teguran membina demi memperbaiki kelemahan sistem pendidikan negara, namun ia tidak bermakna tuduhan keterlaluan boleh dibiarkan tanpa sebarang asas.


"KPT akan terus mempertahankan integriti institusi pendidikan tinggi negara dan memastikan keyakinan rakyat terhadap sistem pendidikan tinggi Malaysia tidak dicemarkan oleh dakwaan yang tidak berasas," katanya. - BERNAMA.

Wanita ditemui maut dalam bilik sewa, dibunuh suami gara-gara sering dimaki hamun

Wanita ditemui maut dalam bilik sewa, dibunuh suami gara-gara sering dimaki hamun


Polis Indonesia menahan seorang lelaki selepas dipercayai menikam isterinya sehingga maut dalam kejadian di sebuah rumah sewa di Kecamatan Tamalate, Kota Makassar, Sulawesi Selatan.


Suspek dikenali sebagai SH, 21, ditahan dan didakwa membunuh isterinya, AN, 24, yang ditemukan tidak bernyawa di bilik sewa pasangan itu pada malam Ahad.


Ketua Unit Siasatan Jenayah (Kanit Reskrim) Balai Polis Tamalate, Iptu Abdul Latif berkata, siasatan awal mendapati suspek bertindak kerana menyimpan perasaan sakit hati selepas mendakwa sering menerima kata-kata kesat daripada mangsa.


Menurutnya, pertelingkahan rumah tangga pasangan berkenaan dipercayai berpunca daripada masalah kewangan apabila mangsa dikatakan kerap mendesak suaminya mendapatkan pekerjaan dengan pendapatan lebih tinggi.


"Motif pembunuhan ini adalah sakit hati. Menurut keterangan suspek, dia sering dimarahi dan dimaki oleh isterinya.


"Punca awalnya berkaitan masalah ekonomi kerana mangsa sering menuntut suaminya mencari pekerjaan dengan gaji lebih tinggi," katanya kepada wartawan pada Selasa.


Abdul Latif berkata, hubungan pasangan itu juga dilaporkan sering bergolak, termasuk akibat rasa cemburu mangsa selepas mendapati terdapat kesan seperti ciuman pada leher suspek yang menimbulkan syak wasangka berlaku kecurangan.


Insiden pembunuhan itu dipercayai berlaku ketika kedua-duanya bertengkar di dalam bilik sewa mereka sebelum suspek bertindak menyerang mangsa menggunakan sebilah senjata tajam jenis badik (senjata tradisional masyarakat Bugis-Makassar).


"Suspek tidak dapat menerima kata-kata kesat yang dilemparkan isterinya sebelum bertindak menikam mangsa. Setakat ini, kecederaan yang dikenal pasti pada mangsa ialah di bahagian leher," katanya.


Polis turut merampas senjata tajam dipercayai digunakan dalam kejadian tersebut sebagai barang bukti. Ketika ditahan, suspek pada awalnya mendakwa berlaku pergelutan dan kejadian tikam-menikam antara mereka.


Bagaimanapun, selepas disoal siasat secara mendalam, dia mengaku kecederaan pada dirinya dilakukan sendiri bagi mengelirukan siasatan.


Berdasarkan siasatan awal, polis menetapkan SH sebagai suspek utama kes berkenaan dan mendakwanya mengikut Pasal 458 ayat (2) Undang-Undang Nombor 1 Tahun 2023 Kanun Keseksaan Indonesia yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun jika sabit kesalahan.


Sebelum ini, penduduk setempat digemparkan dengan penemuan mayat AN di dalam bilik sewa pasangan itu sebelum kejadian dilaporkan kepada pihak berkuasa.


"Kami menerima maklumat daripada orang awam mengenai kejadian yang disyaki pembunuhan dan mendapati mangsa sudah terbaring di atas lantai dengan kecederaan pada leher," kata Abdul Latif.


Ketika mangsa ditemukan, suaminya tidak berada di lokasi, sekali gus mendorong polis melancarkan siasatan yang akhirnya membawa kepada penahanan suspek.


Mangsa dipercayai dibunuh oleh suaminya dengan kesan kecederaan pada bahagian leher. - Foto TribunMakassar.