Polis Thailand merampas 500 kilogram (kg) syabu bernilai RM12.52 juta yang cuba diseludup ke negara jiran (Malaysia) selepas menahan orang kanan kepada sindiket berkenaan dalam operasi bersepadu di Ban Kawa, Mukim Kawa, Sungai Padi, Narathiwat pada Isnin lalu (15 Jun).
Rampasan pukul 4.30 petang itu dilakukan Unit Siasatan Khas Narkotik Wilayah Narathiwat yang membawa kepada penahanan suspek berusia 38 tahun.
Jurucakap Polis Wilayah Narathiwat berkata, kejayaan itu dicapai hasil risikan dan siasatan susulan terhadap beberapa anggota sindiket yang ditahan sebelum ini.
"Sindiket terbabit adalah antara yang terbesar dan paling aktif di Selatan Thailand khususnya di daerah bersempadan dengan Malaysia. Mereka mempunyai rangkaian luas sehingga ke utara Thailand dan Malaysia.
"Hasil siasatan rapi dan maklumat risikan yang diperoleh, sepasukan anggota unit khas narkotik wilayah menahan orang kanan sindiket terbabit di Ban Kawa, Mukim Kawa, Sungai Padi," katanya ketika dihubungi.
Jurucakap polis berkata, susulan tangkapan itu, suspek kemudian membawa polis ke sebuah ladang kelapa sawit di Ban Kawa.
Katanya, pemeriksaan lanjut di kawasan ladang tersebut menemukan beberapa bungkusan mengandungi puluhan paket plastik berisi syabu yang disembunyikan di kawasan berumput tinggi.
"Penilaian awal menganggarkan syabu yang dirampas bernilai hampir RM12.52 juta. Ini adalah kejayaan penting dalam memintas penghantaran dadah terbesar sebelum ia sempat diedarkan ke pasaran tempatan dan diseludup ke negara jiran.
"Sindiket ini dipercayai mula aktif sejak akhir tahun lalu dan beroperasi di beberapa wilayah termasuk Narathiwat, Pattani, Yala dan Songkhla. Bagaimanapun, pangkalan utama mereka adalah di Wilayah Narathiwat yang bersempadan dengan Kelantan. Kawasan yang diserbu Isnin lalu merupakan lokasi simpanan terbesar sindiket itu," katanya.

EmoticonEmoticon