Terdesak melunaskan hutang keluarga sehingga mencecah puluhan ribu ringgit menyebabkan seorang wanita warga asing sanggup memasuki negara ini secara haram sebelum ditahan dalam Ops Kutip di sekitar Pasar Pudu, tengah malam tadi.
Wanita berusia lingkungan 30-an yang hanya mahu dikenali sebagai Lili itu antara warga asing yang diperiksa dalam operasi bersepadu dijalankan Jabatan Imigresen (JIM) Kuala Lumpur bagi mengesan pendatang asing tanpa izin (PATI) dan individu melakukan pelbagai kesalahan imigresen.
Lili yang bekerja di sebuah pusat urut tradisional mendakwa keluarganya terpaksa membuat pinjaman bagi menampung kos sara hidup sehingga dibelenggu hutang yang besar.
Menurutnya, keadaan itu mendorongnya mengambil risiko memasuki negara ini tanpa dokumen sah bagi mencari pekerjaan dan membantu keluarganya.
"Saya tahu apa yang saya lakukan adalah salah, tetapi saya tiada pilihan. Keluarga saya menanggung hutang yang banyak dan saya perlu bekerja untuk membantu mereka.
"Setiap bulan saya menghantar wang kepada keluarga di kampung. Jika saya tidak bekerja, mereka akan terus dibelenggu hutang," katanya ketika ditemui selepas ditahan dalam operasi itu kerana gagal mengemukakan dokumen perjalanan yang sah kepada pihak berkuasa.
Sementara itu, seorang lelaki warga asing yang hanya mahu dikenali sebagai Rahman mengakui cuba melarikan diri sebaik menyedari kehadiran anggota penguat kuasa kerana bimbang ditahan.
Lelaki yang mendakwa berada di Malaysia sejak 10 tahun lalu itu berkata, pasport miliknya sudah tamat tempoh dan belum diperbaharui kerana kekangan kewangan.
"Saya bekerja menjual sayur-sayuran dan memperoleh kira-kira RM1,500 sebulan. Saya tinggal menyewa bersama beberapa rakan.
"Saya memang mahu memperbaharui pasport, tetapi belum mempunyai wang yang mencukupi. Apabila nampak operasi dijalankan, saya panik dan cuba melarikan diri," katanya.
Operasi terbabit dipecahkan kepada tiga zon iaitu Zon 1, Zon 2 dan Zon 3 bagi memudahkan pemeriksaan dilakukan terhadap individu yang berada di sekitar kawasan pasar berkenaan.
Kebanyakan individu yang diperiksa dipercayai bekerja di pasar berhampiran sebagai pembantu kedai, pekerja am dan penjaja.
Dalam pada itu, JIM Kuala Lumpur mengingatkan warga asing supaya sentiasa mematuhi undang-undang imigresen negara serta memastikan dokumen perjalanan dan pas kerja dimiliki berada dalam tempoh sah.
Menurut jabatan itu, tindakan tegas akan terus diambil terhadap mana-mana warga asing yang memasuki negara ini secara tidak sah, tinggal melebihi tempoh dibenarkan atau menyalahgunakan kemudahan pas yang diberikan.
JIM turut menasihatkan majikan supaya tidak menggaji atau melindungi PATI kerana perbuatan itu merupakan satu kesalahan di bawah undang-undang imigresen negara.

EmoticonEmoticon