Rabu, 22 April 2026

Kebakaran Kampung Bahagia: PM umum RM1,500 untuk 300 keluarga terjejas, murid sekolah dapat RM300 seorang

Kebakaran Kampung Bahagia: PM umum RM1,500 untuk 300 keluarga terjejas, murid sekolah dapat RM300 seorang


Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan sumbangan ihsan RM1,500 daripada Kerajaan Persekutuan kepada 300 keluarga yang terbabit kebakaran di Kampung Bahagia, Sandakan.


Perdana Menteri berkata, sumbangan itu yang membabitkan jumlah keseluruhan RM450,000 akan disalurkan segera kepada keluarga dikenal pasti.


"Kita tahu ini bukan penyelesaian dan hanya langkah sementara dan saya mahu disampaikan segera.


"Saya tidak mahu tertangguh sebab keluarga itu harus mendapat jaminan," katanya selepas menyantuni mangsa kebakaran di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di Dewan Projek Perumahan Rakyat (PPR) Batu Sapi, Sandakan hari ini.


Mengiringi beliau Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor; Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Mustapha Sakmud dan Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek.


Perdana Menteri turut mengumumkan sumbangan RM300 untuk setiap murid sekolah yang terjejas dalam kebakaran itu.


Anwar berkata, bantuan disalurkan Kementerian Pendidikan (KPM) itu akan memberi manfaat kepada 454 anak warganegara daripada 12 sekolah.


Selain itu, katanya KPM juga bersetuju memberi kelonggaran kepada pelajar terjejas untuk tidak menggunakan pakaian seragam sekolah buat sementara waktu.


"Mulai esok, mereka harus pergi ke sekolah dan akan ada kelonggaran iaitu tidak perlu pakai uniform (seragam) sekolah buat sementara waktu.


"Kalau perlu beberapa bantuan dari segi kenderaan untuk ke sekolah dan sebagainya, kita nanti pastikan supaya ada bantuan tambahan supaya anak-anak ke sekolah.


"Saya tidak mahu beban ditampung anak-anak ketika ini dari segi kemudahan persekolahan mereka," katanya.


Terdahulu, Anwar meluangkan masa kira-kira 30 minit bersama mangsa kebakaran di PPS Dewan PPR Batu Sapi.


Kebakaran penempatan atas air Kampung Bahagia awal pagi Ahad lalu menyebabkan sekurang-kurangnya 9,000 orang hilang kediaman selepas 1,000 rumah musnah.

Indonesia pertimbang kenakan bayaran ke atas kapal lalu Selat Melaka - Laporan

Indonesia pertimbang kenakan bayaran ke atas kapal lalu Selat Melaka - Laporan


Indonesia sedang mempertimbangkan untuk memperkenalkan levi ke atas kapal komersial yang melalui Selat Melaka, lapor Anadolu Ajansi. Langkah berkenaan bertujuan menjadikan salah satu koridor perkapalan tersibuk di dunia itu sebagai sumber pendapatan negara yang baharu.


Menteri Kewangan, Purbaya Yudhi Sadewa berkata cadangan itu mencerminkan desakan Presiden Prabowo Subianto untuk meningkatkan peranan Indonesia dalam perdagangan global, menurut Jakarta Globe.


Bercakap dalam satu simposium di Jakarta, beliau berhujah bahawa walaupun negara itu terletak di lokasi yang strategik, kapal-kapal kini transit di laluan air berkenaan tanpa sebarang bayaran.


"Indonesia bukan negara terpinggir. Kita berada di sepanjang laluan perdagangan dan tenaga global yang penting, namun kapal yang melalui Selat Melaka tidak dikenakan bayaran," katanya.


Selat Melaka yang dikongsi oleh Indonesia, Malaysia dan Singapura ialah arteri maritim penting yang menghubungkan Lautan Hindi dan Pasifik dan sering dibandingkan dengan laluan strategik lain seperti Hormuz, Suez dan Panama.


Purbaya mencadangkan sebarang mekanisme mengenakan bayaran memerlukan penyelarasan dengan negara jiran sambil menekankan bahagian geografi Indonesia yang dominan bagi laluan itu.


Beliau turut merujuk pada perbincangan antarabangsa, termasuk cadangan yang dikaitkan dengan Iran mengenai tol di Selat Hormuz sebagai model rujukan.


Bagaimanapun, idea itu menghadapi tentangan serantau serta-merta susulan Menteri Luar Singapura, Vivian Balakrishnan yang menegaskan bahawa transit maritim di Selat Melaka dan Selat Singapura mesti kekal bebas dan tidak terhalang.


Beliau berkata Singapura tidak akan mengambil bahagian dalam sebarang percubaan untuk menutup atau menghalang atau mengenakan tol di kawasan kejiranan mereka.


Bulan lalu, Suruhanjaya Keselamatan Negara Parlimen Iran dilaporkan meluluskan rang undang-undang untuk mengenakan tol transit ke atas kapal yang melalui Selat Hormuz, yang sedang menunggu kelulusan perundangan selanjutnya, namun AS dan negara lain menentang sebarang tol ke atas kapal yang melalui Selat Hormuz. - Bernama.

Konflik Asia Barat: Krisis bekalan minyak kekal jadi tumpuan dunia

Konflik Asia Barat: Krisis bekalan minyak kekal jadi tumpuan dunia


Kebimbangan bekalan bahan api akan terus menjadi perhatian utama global, termasuk Malaysia, demikian menurut penganalisis. Walaupun rundingan AS dan Iran mencapai persetujuan atau jalan buntu, situasi bekalan minyak kekal menjadi perhatian utama dunia.


Justeru, harga bahan api dijangka kekal tinggi memandangkan keadaan bekalan mengambil masa untuk stabil semula jika perang tamat atau sebaliknya.


Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid, berkata senario yang paling diharapkan sudah pastinya adalah konflik berakhir di meja rundingan dan Selat Hormuz mula dibuka.


Namun, katanya, bekalan bahan api masih lagi terganggu berikutan infrastruktur sektor minyak dan gas di rantau itu terjejas teruk sambil proses pembinaan semula memerlukan masa yang agak panjang. Justeru, beliau berkata, harga bahan api dijangka kekal tinggi bagi tempoh terdekat.


"Sekiranya perang ini berakhir, sudah pasti kebimbangan utama adalah harga bahan api yang kekal tinggi dan kecukupan stok yang buat masa ini dijangka boleh bertahan sekitar dua bulan.


"Jika ini senarionya, ia menuntut suatu perubahan dalam cara satu-satu aktiviti ekonomi itu dilaksanakan. Yang utama, rakyat dan perniagaan perlu menjimatkan penggunaan bahan api," katanya.


Beliau berkata demikian mengulas mengenai persediaan Malaysia dalam mendepani kemungkinan yang timbul susulan tamatnya gencatan senjata dua minggu antara AS-Iran.


Mengulas lanjut, Mohd Afzanizam percaya kerajaan melalui Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) sudah melaksanakan pembinaan pelbagai senario bagi menghadapi sebarang bentuk kemungkinan susulan konflik di Asia Barat itu.


Beliau melihat pentingnya inisiatif bekerja dari rumah (BDR) buat masa ini meskipun tahap penerimaannya masih bercampur-campur berdasarkan trafik jalan raya semasa yang masih tidak berubah.


Di samping itu, katanya, kerajaan juga perlu menggalakkan penggunaan kenderaan elektrik (EV) dan solar bagi mengurangkan penggunaan bahan api fosil.


Beliau juga tidak menolak kemungkinan terdapat keperluan memperkenalkan insentif tambahan sekiranya krisis di Asia Barat berpanjangan.


Sementara itu, MBSB Research mengunjurkan pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia boleh menjadi sederhana kepada 3.8 peratus hingga 4.0 peratus jika harga minyak yang tinggi dan konflik terus berlarutan dengan langkah pembendungan yang terhad.


Menurutnya, jangkaan pertumbuhan itu lebih rendah berbanding unjuran asas pihaknya sekitar paras 4.2 peratus.


Jelasnya, pelarasan unjuran itu mencerminkan jangkaan penurunan dalam perbelanjaan penggunaan swasta, memandangkan tekanan inflasi yang berpunca daripada ketegangan Asia Barat melemahkan sentimen pengguna dan perniagaan.


Katanya, pasaran buruh menghadapi rintangan apabila aktiviti yang lebih perlahan dalam sektor perkhidmatan dan berorientasikan eksport, yang sensitif terhadap turun naik tidak menentu harga minyak dan kejutan harga tenaga, melemahkan permintaan keseluruhan.


"Walaupun aktiviti domestik mungkin mendapat sokongan daripada pasaran buruh yang stabil, pelarasan gaji dan pemindahan tunai kerajaan, sektor pelancongan kekal terdedah kepada peningkatan kos bahan api jet dan kapasiti penerbangan yang berkurangan," katanya.


MBSB Research berkata, sektor elektrik dan elektronik (E&E) mungkin memberikan daya tahan melalui kitaran peningkatan teknologi yang berterusan, dilengkapi dengan potensi pemulihan dalam eksport perlombongan.


Walaupun terdapat imbangan itu, ia menjelaskan bahawa prospek masih kabur oleh ketidaktentuan perdagangan global yang meningkat dan risiko tarif meluas sebanyak 15 peratus yang dikenakan oleh AS.


"Sekiranya siasatan yang sedang dijalankan (susulan dakwaan amalan perdagangan yang tidak adil dan 'kapasiti berlebihan struktur' dalam sektor perkilangan) menghasilkan penemuan buruk, pengenaan duti timbal balas akan menjejaskan prospek perindustrian Malaysia sepanjang tahun ini," katanya.

Selasa, 21 April 2026

Tapak masjid, surau seluruh Perak diwarta tanah rizab Melayu - Saarani

Tapak masjid, surau seluruh Perak diwarta tanah rizab Melayu - Saarani


Kerajaan Perak menetapkan semua tapak masjid dan surau di Perak dikeluarkan hak milik berdaftar selain diwartakan sebagai tanah rizab Melayu dalam usaha menjamin kelestarian aset umat Islam.


Menteri Besar, Datuk Seri Saarani Mohamad, berkata ia langkah proaktif bagi mengelakkan pertikaian sempadan atau pertindihan hak milik seperti pernah berlaku membabitkan Masjid Jamek Ar-Ridzuan di Alor Pongsu, Bagan Serai pada Mei 2025.


Beliau yang juga EXCO Agama Islam negeri, berkata bagi mempercepatkan urusan warta itu, kuasa meluluskan permohonan tapak rumah ibadat sedia ada sudah diwakilkan terus kepada pengarah Pejabat Tanah dan Galian (PTG) Perak.


Mengulas isu ditimbulkan Datuk Mohd Najmuddin Elias (PN-Batu Kurau) mengenai Masjid Al-Kurauwi di Batu Kurau, Saarani berkata, tapak berkenaan adalah tanah rizab masjid yang sudah diwartakan sejak 1908.


Menurutnya, bagi memperkemas status pemilikan masjid itu di bawah Kanun Tanah Negara, Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk) selaku pemegang amanah tunggal mengemukakan permohonan pemberimilikan kepada Pejabat Daerah dan Tanah (PDT) Larut, Matang & Selama pada 6 Oktober 2017.


Saarani yang menggulung perbahasan pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak, di Ipoh hari ini, berkata permohonan itu sudah diluluskan pada 8 Mac 2022 dan MAIPk sudah menjelaskan sepenuhnya bayaran premium melalui Notis 5A pada 25 Mac 2022 dalam tempoh yang ditetapkan.


"Mengenai kelewatan pengeluaran geran hak milik, ini berpunca proses teknikal penyempurnaan pewartaan kawasan terbabit sebagai kawasan rizab Melayu. Hak milik berdaftar hanya dapat dikeluarkan sebaik proses pengisytiharan dan pewartaan kawasan rizab Melayu berkenaan dimuktamadkan sepenuhnya.


"Proses ini memerlukan penyelarasan rapi antara beberapa agensi utama, iaitu pihak pentadbiran tanah, Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia (JUPEM) bagi tujuan ukuran halus serta Percetakan Nasional Malaysia Berhad (PNMB) untuk urusan warta rasmi," katanya.


Saarani berkata, beliau sangat menghargai keprihatinan Mohd Najmuddin yang melontarkan pandangan bernas mengenai keperluan pihak berkuasa agama untuk meneliti proses bancian tapak dalam pewartaan status pemilikan tanah setiap masjid dan surau bagi mengelak pertikaian seperti isu Masjid Jamek Ar-Ridzuan.


"Meskipun dokumen siar Warta Kerajaan sedia ada, iaitu bagi 1908 adalah sah untuk rujukan pembangunan, kerajaan tetap komited menyelesaikan proses pengeluaran geran hak milik Masjid Al-Kurauwi dan masjid-masjid lain di Perak. Ia bagi memastikan jaminan pemilikan yang lebih kukuh dan bersistematik," katanya.


Isu status tanah wakaf yang menjadi sebahagian tapak Masjid Jamek Ar-Ridzuan di Alor Pongsu mendapat tumpuan tahun lalu selepas tanah berkeluasan 0.61 hektar itu dijual waris pewakaf tanpa pengetahuan pihak masjid.


Pemilik baharu tanah wakaf itu yang juga bukan Islam menetapkan harga RM1.8 juta sebelum pihak masjid berjaya mendapatkan dana, antaranya melalui kutipan derma masyarakat.

Dua lori ditahan berhenti dalam gelap di Shah Alam, rupanya seleweng diesel

Dua lori ditahan berhenti dalam gelap di Shah Alam, rupanya seleweng diesel


Dua lori mencurigakan yang berhenti di Taman Perindustrian Shah Alam rupa-rupanya terlibat dalam kegiatan penyelewengan diesel sebelum ditahan pada Isnin.


Kegiatan itu ditumpaskan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Selangor dengan kerjasama strategik Pasukan Gerakan Am (PGA).


Ketua Pegawai Penguat Kuasa KPDN Selangor, Mohd Hanizam Kechek berkata, operasi kira-kira jam 1 pagi itu mendapati dua lori terbabit membawa tangki IBC berkapasiti 1,000 liter.


Menurutnya, terdapat lapan tangki IBC yang ditemui berisi disyaki bahan api jenis diesel dengan anggaran jumlah keseluruhan 2,300 liter..


"Dua lelaki tempatan dipercayai pemandu lori ditahan untuk diambil rakaman percakapan di bawah bidang kuasa Akta Kawalan Bekalan 1961.


"Hasil pemeriksaan, dua lelaki tersebut didapati tidak mempunyai dokumen sah memiliki dan membawa barang kawalan berjadual jenis bahan api diesel," katanya dalam kenyataan hari ini.


Beliau berkata, nilai keseluruhan rampasan mencecah RM60,000.


Tambahnya, maklumat awal mendapati aktiviti ini dipercayai melibatkan transaksi diesel mencurigakan dan kes disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961.


Jelas beliau lagi, KPDN Selangor konsisten mempergiat pemantauan serta penguatkuasaan dengan kerjasama merentasi badan penguat kuasa dan agensi kerajaan berkaitan dalam memastikan pelaksanaan Op Tiris 4.0 dilaksanakan secara teratur dan berkesan.


"Keperluan kerjasama strategik dan bersepadu ini adalah untuk memastikan aktiviti melibatkan bahan api bersubsidi dilaksanakan secara telus dan teratur serta sampai kepada golongan sasar, sekali gus menggagalkan cubaan penyelewengan atau manipulasi subsidi negara," ujarnya.




Isnin, 20 April 2026

Lelaki intai wanita dalam tandas LRT di Sentul didenda RM3,500

Lelaki intai wanita dalam tandas LRT di Sentul didenda RM3,500


Seorang lelaki yang tular ditangkap selepas mengintai seorang wanita di tandas di Stesen Transit Aliran Ringan (LRT) Sentul, didenda RM3,500 oleh Mahkamah Majistret Kuala Lumpur hari ini.


Majistret Aina Azhahra Arifin menjatuhkan hukuman denda itu terhadap tertuduh Abdul Samad Rosman, 23, selepas lelaki itu mengaku bersalah atas pertuduhan yang didakwa ke atasnya.


Sekiranya gagal membayar jumlah denda itu, tertuduh boleh dipenjara selama empat bulan dan tertuduh membayar jumlah berkenaan.


Mengikut pertuduhan, Abdul Samad didakwa telah mengaibkan kehormatan seorang wanita berusia 44 tahun.


Kesalahan itu dilakukan pukul di tandas di Stesen Transit Aliran Ringan (LRT) Sentul pukul 8 pagi pada 16 April lalu yang didakwa mengikut Seksyen Seksyen 509 Kanun Keseksaan.


Hukuman bagi seksyen itu memperuntukkan hukuman penjara lima tahun atau denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.


Terdahulu Timbalan Pendakwa Raya Shafika Azwa Fikri memohon mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal sebagai pengajaran terhadap tertuduh mengambil kira keselamatan dan kepentingan awam.


Bagaimanapun peguam CH Low dari Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK) yang mewakili tertuduh memohon hukuman ringan atas alasan anak guamnya tidak berkemampuan selain telah insaf dan kesal atas perbuatannya.


Sebelum ini, media melaporkan seorang wanita trauma apabila diintai ketika sedang menggunakan tandas di Stesen LRT Sentul menerusi Threads. Wanita itu berkata, dia terpaksa melepaskan hajat di tandas LRT itu selepas sakit perut.


Mangsa turut berkongsi rakaman wajah suspek yang berjaya ditahan oleh polis bantuan berdekatan LRT Sentul tersebut sebagai bukti dan amaran kepada orang ramai untuk berhati-hati.

Kerajaan diminta campur tangan bagi menyelesaikan isu catuan feri Langkawi

Kerajaan diminta campur tangan bagi menyelesaikan isu catuan feri Langkawi


Kerajaan diminta campur tangan bagi menyelesaikan isu catuan perjalanan feri ke Langkawi, yang didakwa memberikan kesan kepada industri pelancongan serta kehidupan harian penduduk setempat.


Perkara itu disuarakan oleh beberapa wakil badan bukan kerajaan pada perhimpunan aman yang disertai ratusan peserta di hadapan Terminal Jeti Penumpang Kuah, petang semalam.


Pengerusi Anak Muda MADANI Kedah, Datuk Zuraidi Rahim berkata, catuan feri daripada lima kepada tiga perjalanan sehari yang dilaksanakan pengusaha feri sejak 25 Mac lepas menyebabkan kedatangan pelancong ke Langkawi semakin merosot.


"Catuan feri ini memberikan kesan khususnya kepada penduduk Langkawi yang bergantung kepada industri pelancongan, terutamanya peniaga kecil. Jika keadaan ini berterusan untuk tempoh sebulan atau dua bulan lagi, ekonomi Langkawi akan terus merudum.


"Sebab itu, himpunan pada petang ini (semalam) yang diadakan mengikut prosedur ditetapkan pihak berkuasa bertujuan memberikan tekanan kepada pengusaha feri agar catuan ini dihentikan segera," katanya kepada media, semalam.


Beliau berkata, kerajaan telah bersetuju melaksanakan pengenaan surcaj bahan bakar bunker secara bersasar sebagai langkah mitigasi sementara yang berkuat kuasa hari ini bagi menampung sebahagian kecil peningkatan kos operasi akibat kenaikan harga diesel.


Sehubungan dengan itu, pengusaha feri seharusnya mengembalikan lapan perjalanan sehari ke Langkawi bagi menggalakkan kemasukan pelancong serta memudahkan orang ramai.


"Jika catuan feri masih dilakukan, selepas ini kami memohon kerajaan membuka ruang seluas-luasnya kepada pengusaha lain untuk menyediakan perkhidmatan feri ke Langkawi," katanya.


Sementara itu, Pengerusi Persatuan Pelancongan, Langkawi Zainudin Kadir mendakwa catuan perjalanan feri sejak hampir sebulan lepas menyaksikan penurunan jumlah kedatangan pelancong, khususnya domestik, ke Langkawi.


Beliau berkata, perkhidmatan feri merupakan pengangkutan utama ke Langkawi dengan kira-kira 70 peratus pelancong menggunakan perkhidmatan itu untuk ke pulau peranginan berkenaan.


"Apabila catuan perjalanan feri dilaksanakan, ia merencatkan kemasukan pelancong ke Langkawi. Jika dilihat di kaunter ejen pelancongan di sini banyak yang tidak beroperasi," dakwanya.


Pengerusi Persatuan Pemandu Bas Daerah Langkawi, Mohamad Syukri Saad pula mendakwa banyak tempahan pengangkutan bas pada bulan ini telah dibatalkan oleh pelancong berikutan catuan perjalanan feri.


"Apabila perjalanan feri berkurangan, pelancong sukar untuk masuk ke Langkawi, khususnya kumpulan besar yang ingin tiba pada waktu pagi kerana mahu lebih banyak masa melawat lokasi di Langkawi," katanya.


Bagi Timbalan Pengerusi Persatuan Warga Emas Daerah Langkawi, Ramli Ahmad, catuan perjalanan feri menyebabkan beliau sering tidak dapat membeli tiket untuk ke tanah besar kerana kehabisan.


"Jika sebelum ini saya bersama keluarga mudah mendapatkan tiket feri kerana perjalanan lebih kerap, tetapi sekarang sukar. Kadangkala, jika ada kecemasan, terpaksa menggunakan perkhidmatan RoRo," katanya.


Sebelum ini, Pengurus Besar Ferry Line Ventures Sdn Bhd (Ferry Line), Dr Baharin Baharom berkata catuan perjalanan feri daripada lima kepada tiga perjalanan sehari yang bermula 25 Mac lepas perlu dilaksanakan bagi memastikan kelangsungan operasi perkhidmatan itu dan mengelakkan ia dihentikan sepenuhnya. - Bernama.

Ahad, 19 April 2026

Banduan lolos Penjara Sungai Buloh: Siang sembunyi dalam hutan, malam tidur di tapak pembinaan

Banduan lolos Penjara Sungai Buloh: Siang sembunyi dalam hutan, malam tidur di tapak pembinaan


Banduan warga Pakistan yang meloloskan diri dari Penjara Sungai Buloh pada 9 April lalu bertahan hampir 10 hari dengan bersembunyi termasuk di kawasan hutan sebelum diberkas di di Batu 14, Jalan Gombak Lama, petang semalam.


Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Zakaria Shaaban, berkata suspek mengaku bersembunyi selama tujuh hari di kawasan hutan berhampiran tapak pembinaan sepanjang tempoh meloloskan diri.


Beliau berkata, pada waktu siang, suspek bersembunyi di dalam hutan di sekitar kawasan tapak pembinaan, manakala pada waktu malam, dia menyelinap masuk ke tapak pembinaan untuk berlindung dan bermalam berikutan risiko keselamatan serta ancaman binatang buas.


"Bagi mengelak dikesan pihak berkuasa, suspek turut memakai pakaian yang dicuri dari kawasan pembinaan," katanya dalam kenyataan, hari ini.


Zakaria berkata, tangkapan dibuat pada jam 5 petang oleh sepasukan pegawai Bahagian Perisikan dan Operasi Khas Jabatan Imigresen Malaysia (Imigresen) hasil risikan selama enam hari serta perkongsian maklumat daripada Kedutaan Pakistan.


"Pasukan operasi berjaya mengesan suspek di KM 24, Batu 14, Jalan Gombak Lama sebelum menahannya selepas dia gagal mengemukakan dokumen pengenalan diri yang sah.


"Suspek cuba melarikan diri ketika tangkapan dilakukan, namun tindakan itu berjaya digagalkan oleh pasukan operasi," katanya.


Beliau berkata, semakan mendapati suspek tiba di negara ini melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada 11 Januari 2025 dan diberikan Pas Lawatan Sosial selama 30 hari.


"Hasil proses temu bual dan pengecaman oleh wakil Kedutaan Pakistan mengesahkan identiti suspek sebagai lelaki yang meloloskan diri daripada tahanan polis pada 9 April lalu.


"Suspek disyaki melakukan kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63 dan kini ditempatkan di Depot Imigresen untuk tindakan lanjut," katanya.


Zakaria menegaskan, pihaknya akan terus melaksanakan operasi penguatkuasaan secara berterusan bagi mengesan, menangkap, mendakwa serta mengusir warga asing yang melanggar undang undang negara mengikut Akta Imigresen 1959/63, Akta Pasport 1966 dan Peraturan Peraturan Imigresen 1963.


Beliau turut mengingatkan orang ramai agar tidak melindungi atau menggaji warga asing tanpa dokumen kerana tindakan tegas boleh diambil di bawah undang undang sedia ada.


"Sebarang maklumat berkaitan aktiviti yang melanggar undang undang imigresen boleh disalurkan kepada pihak jabatan bagi membantu siasatan," katanya.


Terdahulu media melaporkan, polis giat memburu tahanan reman warga Pakistan yang melarikan diri dari Penjara Sungai Buloh, pada 9 April.


Lelaki itu menghadapi beberapa pertuduhan termasuk kes seksual terhadap kanak-kanak dan berkaitan imigresen.


Pada hari kejadian, tahanan reman itu dikatakan baru selesai menjalani prosiding perbicaraan di Mahkamah Shah Alam berkaitan kes seksual terhadap kanak-kanak, rompakan dan kesalahan imigresen.

Gadis 19 tahun dicekup tanpa seurat benang ketika berkhalwat bersama kekasih

Gadis 19 tahun dicekup tanpa seurat benang ketika berkhalwat bersama kekasih


Seorang remaja perempuan dicekup dalam keadaan tanpa seurat benang bersama teman lelakinya yang hanya berseluar dalam selepas disyaki berkhalwat di sebuah hotel di Kluang, semalam.


Remaja berusia 19 tahun dan teman lelakinya berusia 23 tahun itu ditahan sepasukan anggota penguat kuasa Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ) dalam operasi jam 1.30 pagi.


JAINJ dalam kenyataan, memaklumkan sebaik tiba di hotel penguat kuasa mengetuk pintu bilik dan kira-kira dua minit kemudian, seorang lelaki membukanya.


"Lelaki itu bagaimanapun cuba menutup semula pintu sebaik menyedari kehadiran penguat kuasa JAINJ yang berjaya menghalangnya. Sebaik memasuki bilik hotel, penguat kuasa mendapati lelaki hanya berseluar dalam.


"Di atas katil pula, terdapat individu bersembunyi dalam selimut dan apabila ditanya oleh penguat kuasa lelaki itu tergagap untuk menjawab.


"Pemeriksaan lanjut oleh penguat kuasa wanita mendapati remaja perempuan tidak berpakaian sebelum diminta ke bilik air dengan menutupi selimut bagi menyalin pakaian," katanya.


Menurut JAINJ, pasangan itu kelihatan ketakutan malah turut merayu simpati kepada penguat kuasa supaya tidak menahan mereka.


"Mereka juga mengaku hubungan sekadar pasangan kekasih. Lelaki itu sudah bekerja dan memberitahu datang dari daerah lain yang jaraknya 50 kilometer dengan menaiki kereta. Pada mulanya, mereka sekadar bersiar serta menikmati makanan sehinggalah berakhir di bilik hotel.


"Apabila ditanya kenapa bermalam di hotel, mereka memberitahu tidak sempat pulang kerana sudah lewat malam. Penguat kuasa kemudian merekodkan keterangan dan pada masa sama turut memanggil ibu bapa pasangan ini untuk menjamin mereka.


"Pasangan ini akan didakwa mengikut Seksyen 27 Enakmen Kesalahan-Kesalahan Jenayah Syariah Negeri Johor 1997 kerana berkhalwat," katanya.

Harga minyak dijangka kekal tinggi walaupun konflik AS-Iran reda

Harga minyak dijangka kekal tinggi walaupun konflik AS-Iran reda


Harga minyak mentah global diramal kekal tinggi walaupun resolusi peperangan antara Amerika Syarikat (AS) dan Iran dicapai dalam masa terdekat selepas mengambil kira keadaan bekalan di pasaran fizikal yang kekal meruncing.


Menurut nota penyelidikan terkini yang dikeluarkan oleh BIMB Securities Research, harga penanda aras Dated Brent terus didagangkan tinggi dan melepasi paras AS$120 setong. Situasi berkenaan mencatatkan harga premium sekitar AS$30 setong lebih tinggi berbanding kontrak hadapan Brent sejak awal bulan ini.


Gencatan senjata yang dipersetujui baru-baru ini sememangnya memberikan kelegaan sementara kepada sentimen pasaran kewangan. Walau bagaimanapun, perkembangan berkenaan dilihat tidak mengecilkan premium pasaran secara ketara, sekali gus membuktikan keadaan bekalan minyak fizikal masih berdepan dengan kekangan.


"Kami berpendapat bahawa premium berterusan yang dicatatkan oleh penanda aras Dated Brent berbanding kontrak hadapan mencerminkan premium risiko geopolitik serta keketatan dalam pasaran fizikal," kata Penganalisis BIMB Securities Research, Azim Faris Ab Rahim di dalam laporan berkenaan.


Laporan berkenaan turut mendedahkan bahawa gangguan fizikal masih jelas kelihatan merentasi sistem rantaian minyak dan gas. Sebanyak kira-kira empat hingga lima juta tong sehari bekalan telah terjejas melibatkan sektor huluan, penapisan, serta logistik.


Walaupun jumlah gangguan bekalan berkenaan dianggap tidak mendatangkan tahap kemusnahan yang teruk jika dibandingkan dengan purata permintaan global sebanyak 105 juta tong sehari, namun skop gangguan merentasi rantaian nilai terus mengekang sistem pasaran.


Sebahagian besar daripada kerosakan fasiliti diklasifikasikan sebagai tahap sederhana. Hal ini memberikan petunjuk bahawa proses pemulihan infrastruktur berkenaan masih boleh dilaksanakan, namun ia mengambil masa.


Rentetan daripada itu, aliran pengeluaran dan eksport minyak mentah dijangka mengambil masa untuk pulih sepenuhnya.


Bahagian penyelidikan berkenaan menjangkakan aktiviti khususnya yang melalui Selat Hormuz hanya akan kembali normal secara beransur-ansur bermula suku ketiga tahun ini dan ke atas.


"Kami percaya pelarasan ini diperlukan untuk mencerminkan dengan lebih baik impak ekonomi sebenar daripada keadaan bekalan fizikal yang ketat, daripada terlalu bergantung kepada harga hadapan sebagai penanda aras kewangan, yang mungkin kurang menyatakan tekanan jangka pendek dalam sistem," tegas Azim Faris.


Namun begitu, kebergantungan yang melampau terhadap pasaran hadapan dibimbangi boleh menyebabkan kelekaan dan mendedahkan kedudukan pelabur kepada risiko kelemahan pasaran sebenar.


Krisis ekonomi dan gangguan rantaian bekalan fizikal yang melanda dunia masa kini tidak akan selesai sekelip mata, walaupun resolusi peperangan antara AS dan Iran dicapai dalam masa terdekat.


Keadaan ini didorong oleh realiti kerosakan besar yang telah menimpa infrastruktur tenaga di wilayah bergolak berkenaan.


Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) baru-baru ini mendedahkan, tempoh yang panjang amat diperlukan bagi memastikan keadaan kembali ke paras normal seperti sebelum krisis meletus pada 28 Februari lalu.


Menurutnya, kesan kerosakan fasiliti di Asia Barat akan membelenggu pasaran untuk satu jangka masa yang amat membimbangkan.


"Ada kemusnahan loji dan ia mungkin mengambil masa sehingga mengambil lima tahun untuk dipulihkan. Dengan konservatif, lima tahun untuk kembali ke paras normal," katanya.


Kelewatan pemulihan ini berlaku kerana proses membaiki fasiliti pemprosesan bukanlah satu tugas yang mudah atau boleh disiapkan segera. Pemulihan tekanan telaga minyak serta pembinaan semula peralatan pemprosesan berteknologi tinggi memerlukan tempoh masa pembuatan dan pemasangan yang panjang.