Rabu, 24 Disember 2025

Hannah Yeoh komited pastikan isu kampung tradisi terpelihara

Hannah Yeoh komited pastikan isu kampung tradisi terpelihara


Hannah Yeoh komited memastikan isu kampung tradisi termasuk Kampung Baru dan Kampung Sungai Baru kekal dipelihara biarpun pembangunan di Ibu Negara sedang pesat dijalankan.


Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) itu berkata, tumpuannya sentiasa kekal kepada dasar dan pelaksanaan serta hasil kerja, tanpa mengira latar belakang dan warna kulit.


Menurutnya yang juga Ahli Parlimen Segambut itu, selepas menukar portfolio semasa rombakan kabinet pihaknya telah mengadakan perbincangan dengan Ahli Parlimen Titiwangsa, Datuk Seri Johari Abdul Ghani bagi memastikan kepentingan di kampung tradisi terus terjamin.


"Saya juga telah berbincang dengan Ahli Parlimen Titiwangsa, Datuk Seri Johari Ghani. Dan dalam hal ini, saya yakin semua urusan yang telah dilakukan oleh mantan menteri, iaitu Datuk Seri Dr Zaliha, akan kita teruskan.


"Dan saya tak nak komen, saya tunggu update dulu untuk pastikan semua itu ada perbincangan yang mendalam sebelum kita buat apa-apa keputusan.


"Untuk pilihan raya tempatan, yang itu jangan risau kerana yang itu bukan satu parti boleh bergerak sendiri. Ini adalah Kerajaan Perpaduan.


"Kerajaan Perpaduan bermaksud kita kena bincang bersama dengan semua parti yang mentadbir bersama. Yang itu jangan risau," ujarnya.


Beliau berkata demikian semasa sidang media selepas mengimbas perakam waktu pada jam 8.00 pagi sebagai simbolik memulakan tugas secara rasmi selaku Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) di Menara Seri Wilayah pada Isnin bersama Timbalannya, Datuk Lo Su Fui.


Ditanya mengenai pelantikkannya yang dikaitkan dengan isu perkauman, menurut Hannah, perkara itu tidak mematahkan semangatnya untuk berkhidmat untuk rakyat.


"Kaum ataupun warna kulit tidak pernah mendefinisikan atau mengehadkan kerja kami. Sejak 2008, sama ada sebagai ADUN Subang Jaya, Speaker Dewan Negeri Selangor, Ahli Parlimen Segambut, ataupun Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Menteri Belia dan Sukan; tumpuan saya sentiasa kekal kepada dasar dan pelaksanaan serta hasil kerja, dan bukan terhadap warna kulit saya.


"Akal dan hati saya sentiasa komited untuk berkhidmat kepada rakyat dan saya bersedia untuk bekerja dengan segera dan membiarkan rekod pencapaian menjadi bukti.


"Berbekalkan pengalaman ini, pentadbiran kami akan memberi keutamaan dan kerjasama erat kepada semua Ahli Parlimen Wilayah Persekutuan. Sebagai wakil rakyat, mereka memahami denyut nadi kawasan masing-masing dan itu adalah suara demokrasi yang wajar didengari dan suara rakyat diwakilkan oleh Ahli-Ahli Parlimen kita," katanya.


Sebelum ini pelantikan Hannah sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) mendapat reaksi pelbagai pihak.


Untuk rekod, beliau mencipta sejarah apabila menjadi pemimpin berbangsa Cina dan bukan Islam pertama yang memegang portfolio Wilayah Persekutuan sejak jawatan itu diwujudkan pada 1976.

Suami mabuk pukul isteri guna penyapu hingga maut

Suami mabuk pukul isteri guna penyapu hingga maut


Seorang wanita berusia 51 tahun maut selepas didakwa dipukul suaminya menggunakan penyapu ketika berlaku pertengkaran dalam keadaan mabuk di sebuah rumah sewa di daerah Rasada, Phuket, Thailand.


Menurut laporan, pada malam kejadian 16 Disember, mangsa dan suaminya, 54 tahun minum arak bersama sebelum pertengkaran tercetus.


Dalam keadaan marah, suami mangsa mengambil penyapu dan memukul isterinya sehingga wanita itu tidak sedarkan diri. Keesokan paginya, suspek mendapati isterinya terbaring dengan lebam di badan.


Dia kemudian menghubungi talian kecemasan untuk membawa isterinya ke Hospital Mission Phuket sebelum pergi bekerja seperti biasa. Bagaimanapun mangsa disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan.


Polis yang menerima laporan daripada pihak hospital kemudian pergi ke rumah sewa pasangan itu dan menemui suami mangsa dalam keadaan mabuk.


Pemeriksaan di lokasi kejadian menemukan sebatang penyapu patah yang dipercayai digunakan untuk memukul mangsa dan ia dirampas sebagai bahan bukti.


Suspek mengaku memukul isterinya tetapi mendakwa tidak mengetahui mangsa meninggal dunia sehingga dimaklumkan oleh polis.


Pihak berkuasa menahan lelaki itu untuk siasatan lanjut di bawah kesalahan menyebabkan kecederaan parah hingga membawa kepada kematian.

Pemuda Umno Selangor anjur sambutan 'raikan' ahli parlimen DAP

Pemuda Umno Selangor anjur sambutan 'raikan' ahli parlimen DAP


Sekumpulan Pemuda Umno Selangor bersama kira-kira 100 penyokong semalam mengadakan satu "sambutan" akhir tahun di luar pusat khidmat Ahli Parlimen Puchong, Yeo Bee Yin berhubung sindirannya terhadap keputusan mahkamah yang menolak semakan kehakiman titah adendum Najib Razak.


Kumpulan tersebut, yang diketuai oleh Ketua Pemuda Umno Selangor, Imran Thamrin, mensasarkan Yeo susulan kenyataannya yang menyifatkan kegagalan permohonan Najib untuk tahanan rumah sebagai sesuatu yang patut diraikan.


Imran berkata Pengerusi Jawatankuasa Publisiti DAP itu sepatutnya "merai" sabitan bersalah terakhir kes rogol membabitkan bekas Adun Tronoh, Paul Yong Choo Kiong.


"Ini adalah peringatan untuk beliau berhenti campur tangan dalam urusan parti lain dan sebaliknya fokus kepada parti sendiri (DAP)," kata Imran.


Sebagai sebahagian daripada "sambutan" simbolik itu, kumpulan tersebut menaikkan kain rentang yang menonjolkan sabitan hukuman Yong, yang berakhir dengan keputusan mahkamah pada 1 Oktober lalu menolak rayuan akhirnya dalam kes rogol pembantu rumahnya pada 2019.



Turut dipaparkan adalah karikatur wajah Yeo dengan perkataan "BiaDAP", manakala seorang lelaki yang berpakaian baju banduan hitam-putih serta topeng 'Joker' dikatakan mewakili Yong.


Kumpulan itu kemudiannya menyediakan meja dan mengedarkan bungkusan nasi lemak percuma - satu idea "sambutan" yang menurut Imran pada asalnya dirancang untuk menandakan jangkaan "pembebasan" Najib kelmarin.


Selepas meja disediakan oleh kumpulan Pemuda Umno itu, beberapa kakitangan dari pusat khidmat Yeo turut membawa turun makanan ringan dan air botol untuk dikongsi bersama.


Selain ahli dan penyokong Umno, beberapa pegawai polis berpakaian seragam dan berpakaian preman turut kelihatan di lokasi kejadian, dipercayai bagi mengawal perhimpunan daripada menjadi lebih tegang.


Terdahulu, dalam satu memorandum bantahan yang diterima oleh salah seorang pegawai Yeo, Pemuda Umno Selangor secara kolektif menuntut permohonan maaf secara terbuka kepada Najib, keluarganya, serta seluruh ahli dan penyokong Umno.


"Kami, Pemuda Umno Selangor, ingin menyatakan bantahan keras kami terhadap kenyataan dan hantaran media sosial oleh YB Puan yang bersifat sinis, tidak sopan, dan merosakkan keharmonian politik, terutamanya berkaitan isu undang-undang melibatkan Najib Razak.


"Sebagai seorang Ahli Parlimen dan pemimpin dalam kerajaan, tindakan sedemikian adalah tidak bertanggungjawab, melanggar etika kepimpinan, dan mencetuskan ketegangan politik yang tidak sihat," menurut memorandum berkenaan.



Mereka turut memberi tempoh 24 jam kepada Yeo untuk memohon maaf dan menurunkan hantaran asalnya.


Ketua Pemuda Umno Puchong, Khairul Azmil Bashir Mohamed, berkata jika gagal berbuat demikian pihaknya akan memutuskan hubungan dengan rakan sejawat mereka dalam DAP Puchong.


Terdahulu pemimpin Umno, serta PKR dan DAP, telah menegur Yeo berhubung kenyataannya yang turut mencetuskan gesaan agar BN menarik balik sokongan terhadap kerajaan perpaduan.


Semalam, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur memutuskan bahawa titah adendum Yang di-Pertuan Agong ke-16 yang memberikan tahanan rumah kepada Najib adalah tidak sah kerana tidak melalui Lembaga Pengampunan.


Paul Yong Choo Kiong adalah Adun DAP selama dua penggal dan bekas Exco Perak antara 2018 dan 2020. Bagaimanapun, karier politiknya terjejas pada 2019 apabila dia dituduh merogol pembantu rumahnya.


Pada 27 Julai lalu, Mahkamah Tinggi Ipoh mendapati dia bersalah dan menjatuhkan hukuman penjara 13 tahun dan dua sebatan. Dia kemudiannya dipecat daripada partinya.

Selasa, 23 Disember 2025

 China jumpa deposit emas bawah laut terbesar di Asia

China jumpa deposit emas bawah laut terbesar di Asia


China baru-baru ini mengumumkan penemuan deposit emas dasar laut yang dikatakan terbesar di Asia, susulan beberapa penemuan sumber logam berharga di lokasi lain tahun ini.


Memetik laporan VnExpress, penemuan di luar pantai Laizhou, wilayah Shandong itu meningkatkan rizab emas yang disahkan di kawasan berkenaan kepada lebih 3,900 tan.


Jumlah itu merangkumi kira-kira 26 peratus daripada keseluruhan rizab emas China, menurut laporan South China Morning Post.


Bagaimanapun, pihak berkuasa tidak mendedahkan saiz sebenar deposit dasar laut itu secara terperinci kepada umum.


Bulan lalu, pihak berkuasa turut mengumumkan penemuan deposit emas gred rendah bersaiz besar di wilayah Liaoning dengan rizab disahkan sebanyak 1,444.49 tan.


Kementerian Sumber Asli menyifatkan ia sebagai deposit emas tunggal terbesar yang ditemukan sejak penubuhan Republik Rakyat China pada 1949.


November lalu, pihak berkuasa melaporkan penemuan deposit emas di Pergunungan Kunlun berhampiran sempadan wilayah autonomi Xinjiang dengan anggaran rizab lebih 1,000 tan.


China kini pengeluar emas terbesar di dunia dengan pengeluaran mencecah 377 tan, pada tahun lalu mengikut data Persatuan Emas China.


Walaupun mendahului pengeluaran global, rizab terbukti negara itu masih di belakang Afrika Selatan, Australia dan Rusia.


China membelanjakan 115.99 bilion yuan (kira-kira RM71.64 bilion) untuk eksplorasi geologi tahun lalu. Ia menjadikan jumlah pelaburan keseluruhan sejak 2021 mencecah hampir 450 bilion yuan (kira-kira RM278.1 bilion).


Pelaburan besar itu membawa kepada penemuan 150 deposit mineral di seluruh negara, menurut kenyataan Kementerian Sumber Asli.


Harga emas semasa didagangkan pada harga AS$4,407 (kira-kira RM19,435) setiap auns ketika berita ini diterbitkan, meningkat 68 peratus berbanding awal tahun ini.

Guru mengaku tidak bersalah 11 pertuduhan seksual terhadap murid lelaki

Guru mengaku tidak bersalah 11 pertuduhan seksual terhadap murid lelaki


Seorang guru didakwa di Mahkamah Sesyen Kota Bharu hari ini, terhadap 11 pertuduhan melakukan amang seksual fizikal, meliwat dan melakukan persetubuhan bertentangan aturan tabii terhadap sembilan murid lelaki, pada April 2024 hingga Julai lalu.


Tertuduh, Mohamad Sulong, 52, yang masih bujang mengaku tidak bersalah selepas kesemua pertuduhan dibacakan jurubahasa di hadapan Hakim Tengku Shahrizan Tuan Lah.


Mengikut tujuh pertuduhan, tertuduh didakwa melakukan amang seksual fizikal terhadap tujuh kanak-kanak lelaki berusia lingkungan lapan hingga 12 tahun di sebuah rumah di Kampung Beris Panchor, Tawang dekat Bachok, di bilik koperasi, bilik pengurusan sukan dan bilik makmal komputer sebuah sekolah di Kota Bharu pada April 2024 hingga 1 Julai lalu.


Bagi pertuduhan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 14 akta sama dibaca bersama Seksyen 16(1) akta itu.


Dua lagi pertuduhan, Mohamad didakwa melakukan amang seksual fizikal dengan meliwat dua kanak-kanak lelaki berusia sembilan dan 11 tahun di kedai koperasi sebuah sekolah di Kota Bharu, kira-kira jam 9.45 pagi pertengahan 2024 dan 4.30 petang pada Julai 2024.


Kedua-dua pertuduhan itu didakwa mengikut Seksyen 14(d) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 dan boleh dihukum di bawah seksyen 14 akta sama dibaca bersama Seksyen 16(1) akta itu.


Lelaki itu juga didakwa atas dua pertuduhan melakukan persetubuhan bertentangan dengan aturan tabii terhadap seorang kanak-kanak lelaki berusia 11 tahun empat bulan di bilik pengurusan sukan sebuah sekolah di Kota Bharu, kira-kira 5 petang pada Februari dan Mei lalu.


Bagi kedua-dua pertuduhan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 377A Kanun Keseksaan (KK) dan boleh dihukum di bawah seksyen 377B KK dibaca bersama Seksyen 16(1) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017.


Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Siti Hajar Mazlan, manakala tertuduh diwakili peguam bela Mohd Firdaus Zainal Abidin.


Terdahulu, Siti Hajar tidak mencadangkan jaminan kerana 11 pertuduhan membabitkan sembilan mangsa yang berusia lapan hingga 12 tahun.


Mohd Firdaus memohon jaminan yang munasabah dengan syarat-syarat yang ketat supaya tertuduh dapat kembali bertugas sebagai penjawat awam tanpa sebarang kekangan.


"Anak guam saya masih bujang dan sudah berkhidmat sebagai guru selama 17 tahun. Tertuduh juga sudah dipindahkan ke sebuah jabatan di Kota Bharu selepas menjalani tempoh reman selama 14 hari pada Julai lalu," katanya.


Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM55,000 dengan seorang penjamin bagi kesemua pertuduhan dan syarat tambahan iaitu menyerahkan pasport kepada mahkamah, dilarang mengganggu mangsa atau saksi pendakwaan serta perlu melapor diri sebulan sekali di balai polis terdekat.

Kalau selalu sangat ugut keluar, lama-lama jadi tumpul - Rafizi

Kalau selalu sangat ugut keluar, lama-lama jadi tumpul - Rafizi


UMNO mempunyai pilihan dan hak untuk menarik diri daripada Kerajaan Madani sekiranya merasakan isu pengampunan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak merupakan satu garis merah.


Ahli Parlimen Pandan, Datuk Seri Rafizi Ramli berkata, ugutan untuk menarik diri daripada kerajaan ini bukanlah perkara yang baharu dan itu hak setiap parti.


Menurutnya, sebelum ini DAP telah memberi bayangan jika reformasi pentadbiran tidak berlaku dengan lebih cepat, dalam tempoh enam bulan DAP boleh menarik diri dari Jemaah Menteri dan pentadbiran kerajaan.


"Bagaimanapun, kalau selalu sangat mengugut untuk keluar tetapi tidak keluar pun, lama-lama ugutan demi ugutan pada masa hadapan akan menjadi tumpul.


"Pengalaman saya sendiri, saya tidak gemar mengugut. Saya buat keputusan awal-awal, saya letakkan garis merah awal-awal.


"Kalau garis merah itu dilanggar, saya letak jawatan. Tidak perlu ugut, tidak perlu kerah penyokong, kalau garis merah dilanggar, letaklah jawatan," katanya menerusi Facebook pada Isnin.


Semalam, Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh secara terbuka menggesa parti itu menarik sokongan daripada Kerajaan Madani pimpinan Perdana Menteri, Anwar Ibrahim.


Menurut beliau, Umno lebih baik menjadi pembangkang yang bermaruah daripada terus berada dalam kerajaan yang disifatkannya sebagai menghina parti tersebut.


Kenyataan Dr Akmal itu dipercayai merujuk kepada hantaran Ahli Parlimen Puchong, Yeo Bee Yin yang menyifatkan keputusan mahkamah berkenaan sebagai "satu lagi sebab untuk diraikan" menjelang hujung tahun.


Tambah Rafizi, begitu juga kepimpinan UMNO yang akan diperhatikan rakyat sama ada pengampunan Najib sebagai garis merah atau bukan.


"Sebab kalau ugutan keluar Kerajaan Madani terus dibuat tetapi sampai ke sudah tidak keluar, maksudnya isu pengampunan Najib ini bukanlah satu garis merah," ujarnya.


Beliau percaya kebebasan institusi di negara ini masih ada selagi Najib dilayan seadilnya sebagai seorang rakyat.


Selepas ini katanya, Najib boleh merayu ke Mahkamah Rayuan hingga ke Mahkamah Persekutuan.


"Kita bukan sahaja akan ikuti keputusan, kita akan teliti hujah penghakiman hakim-hakim, kerana rakyat membuat kesimpulan sama ada berlaku tekanan, atau campur tangan, berdasarkan kekuatan hujah penghakiman yang dibuat.


"Maka terpulang kepada pimpinan politik.Boleh ugut untuk keluar, boleh saling hentam menghentam," ujarnya.

Isnin, 22 Disember 2025

Yeo Bee Yin tak sensitif, gagal faham realiti politik dan emosi masyarakat – UMNO Perak

Yeo Bee Yin tak sensitif, gagal faham realiti politik dan emosi masyarakat – UMNO Perak


Badan Perhubungan UMNO Perak mengecam sekeras-kerasnya kenyataan yang dimuat naik oleh Ahli Parlimen Puchong, Yeo Bee Yin yang secara terbuka meraikan keputusan mahkamah yang tidak memihak kepada Datuk Seri Najib Razak.


Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, kenyataan Setiausaha Publisiti DAP Kebangsaan itu bukan sahaja tidak sensitif, malah memperlihatkan kegagalan pemimpin berkenaan memahami realiti politik dan emosi masyarakat.


Beliau berkata, ia lebih-lebih lagi melibatkan seorang bekas pemimpin yang banyak berjasa kepada negara.


"Meskipun semua pihak sewajarnya menjunjung prinsip demokrasi dan menjunjung kedaulatan undang-undang, namun ia bukan alasan untuk mana-mana individu termasuk ahli politik bersikap biadab dengan mengejek meraikan penderitaan orang lain.


"Ketika rakyat mengharapkan kerajaan ini menjadi payung kestabilan dan ketenangan politik, kenyataan pemimpin tersebut hanya memercik api permusuhan sekali gus mengundang prasangka yang mampu menggoncang keharmonian dalam Kerajaan Perpaduan," katanya hari ini.


Saarani menegaskan bahawa politik bukan medan untuk menzahirkan dendam atau meraikan kejatuhan pihak lain, sebaliknya wadah menjunjung tanggungjawab, empati dan kebijaksanaan, bukannya mencipta naratif yang menyimbah minyak ke atas api yang masih membara.


"Oleh itu, UMNO Perak mengingatkan bahawa sensitiviti politik bukan perkara yang patut diremehkan.


"Kenyataan-kenyataan provokatif seperti ini hanya akan mencederakan usaha membina kestabilan politik serta mengguris perasaan sebahagian besar rakyat yang percaya dan menghargai jasa pemimpin.


"Ia juga merosakkan kepercayaan awam terhadap kematangan dan adab pemimpin politik," katanya.


Beliau berkata, UMNO Perak tegas dengan pendirian bahawa perbezaan pandangan politik tidak pernah menghalalkan sikap tidak berperikemanusiaan.


Saarani berkata, mereka juga menolak sekeras-kerasnya budaya politik yang menjadikan penderitaan orang lain sebagai bahan ejekan atau modal politik murahan.

Abang mengaku sumbang mahram dengan adik kandung

Abang mengaku sumbang mahram dengan adik kandung


Seorang abang berusia 41 tahun mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen Kota Bharu hari ini atas pertuduhan melakukan sumbang mahram terhadap adik perempuannya yang berusia 25 tahun, minggu lalu.


Tertuduh yang sudah beristeri dan juga bapa kepada seorang anak tersebut membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim, Tengku Shahrizan Tuan Lah.


Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa melakukan persetubuhan dengan adik kandungnya itu di sebuah rumah di Labok, Machang pada jam 10.30 pagi, 17 Disember lalu.


Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 376B Kanun Keseksaan kerana perhubungan yang tidak dibenarkan mengikut undang-undang dan hukum agama untuk berkahwin.


Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dihukum penjara minimum 10 tahun dan maksimum 30 tahun serta hendaklah dikenakan sebat.


Pada prosiding itu, Timbalan Pendakwa Raya negeri, Nur Syafiqah Mohamad tidak menawarkan jaminan kerana kesalahan tersebut adalah kesalahan tidak boleh dijamin.


Hakim Tengku Shahrizan kemudian menegaskan mahkamah mengutamakan kepentingan keselamatan mangsa memandangkan hubungan kekeluargaan antara mereka.


"Saya perlu memastikan ada jarak yang jauh antara kamu kerana mangsa adalah adik kandung," katanya.


Tertuduh berkerja sebagai pemotong rumput tersebut tidak diwakili peguam dan mengemukakan sebarang rayuan. Mahkamah menetapkan 21 Januari tahun depan untuk pendengaran fakta kes dan hukuman.


Seorang pemotong rumput mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen atas pertuduhan melakukan perbuatan sumbang mahram terhadap adik kandung yang berusia 25 tahun di dalam bilik tidur di rumahnya dekat Machang. - Foto NSTP.
Ahmad Zahid ingatkan 'jangan simbah minyak pada api yang sedang marak'

Ahmad Zahid ingatkan 'jangan simbah minyak pada api yang sedang marak'


"Jangan menyimbah minyak pada api yang sedang marak," demikian kenyataan tegas daripada Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.


Meskipun hanya hantaran ringkas di Facebook hari ini (Isnin), kenyataan itu dipercayai ditujukan kepada pemimpin DAP yang didakwa bersorak 'meraikan' keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menolak permohonan semakan kehakiman bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak berhubung Titah Adendum.


Setiausaha Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir turut menegur sikap ahli Parlimen Puchong, Yeo Bee Yin dengan mengatakan tindakan wakil rakyat DAP itu tidak wajar kerana keputusan mahkamah melibatkan penderitaan dan kesan besar terhadap individu serta keluarga terlibat.


Dalam pada itu, Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh juga secara lantang menggesa supaya parti menarik balik sokongan daripada kerajaan sekarang.


Tegasnya, lebih baik UMNO menjadi pembangkang yang bermaruah daripada dihina rakan sekutu dalam kerajaan.


Sebelum ini, media melaporkan, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menolak permohonan Najib untuk mendesak kerajaan melaksanakan Titah Adendum bagi membolehkannya menjalani baki hukuman penjara secara tahanan di rumah.


Hakim, Alice Loke Yee Ching memutuskan demikian selepas mendapati titah itu tidak pernah dibincangkan dalam mesyuarat Lembaga Pengampunan ke-61 untuk membenarkan Najib, 72, menjalani hukuman penjara di kediaman sendiri.


Menurutnya, titah tersebut tidak dibuat mengikut tatacara Perkara 42 Perlembagaan Persekutuan kerana isu tahanan rumah tidak diputuskan dalam mesyuarat berkenaan.


Kata beliau, perintah tambahan hanya menyentuh saranan mempertimbangkan permintaan Najib selaku pemohon untuk mendapat pengampunan penuh dan pengurangan hukuman penjaranya.


Anak kelahiran Pahang itu telah menjalani hukuman di Penjara Kajang lebih tiga tahun bermula 23 Ogos 2022 kerana bersalah atas kes penyelewengan dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd.


Jika bekas pemimpin UMNO itu berjaya dalam permohonannya, maka beliau akan menjalani hukuman penjara di rumah sendiri.


Bagaimanapun, sekiranya mahkamah menolak permohonan tersebut, maka Najib perlu kekal di penjara yang sama dan dibebaskan pada 23 Ogos 2028.


Walau apa sahaja keputusannya kelak, kedua-dua pihak masih berpeluang untuk memfailkan rayuan bagi keputusan berkenaan di Mahkamah Rayuan di Putrajaya.

Ahad, 21 Disember 2025

Elaun sara hidup RM2.40 sehari untuk mangsa banjir Indonesia

Elaun sara hidup RM2.40 sehari untuk mangsa banjir Indonesia


Mangsa banjir dahsyat di Pulau Sumatera, Indonesia bakal menerima bantuan pemerintah selepas ia menolak penglibatan pihak asing kerana yakin mampu menguruskan sendiri krisis pasca bencana tersebut.


Menteri Sosial, Saifullah Yusuf berkata, pemerintah sedang mempertimbangkan skim elaun sara hidup harian untuk penduduk terjejas.


Ketika ini, kira-kira 577,600 penduduk hilang tempat tinggal manakala lebih 147,000 kediaman musnah setelah angka kematian mencecah hampir 1,070 orang dan 190 dilaporkan masih hilang di wilayah Aceh, Sumatera Barat dan Sumatera Utara.


"Elaun sara hidup selama tiga bulan akan diberikan kepada setiap keluarga sebaik sahaja ada perumahan sementara atau tetap sudah tersedia. Setiap ahli keluarga bakal menerima bantuan kewangan berjumlah 10,000 rupiah (RM2.40) sehari," jelasnya.


Jumlah elaun dicadangkan itu masih dalam perbincangan dengan Menteri Penyelaras Pembangunan Manusia dan Hal Ehwal Kebudayaan Pratikno bagi memastikan ia memenuhi taraf hidup semasa.


Pemerintah juga merancang untuk mengagihkan 3 juta rupiah (RM730) kepada isi rumah terkesan membeli perabot baharu dan keperluan penting lain yang musnah dibawa arus banjir.


Selain itu, pampasan berjumlah 15 juta rupiah (RM3,652) akan diberikan kepada waris keluarga yang terkorban dan 5 juta rupiah (RM1,217) untuk mereka yang cedera parah akibat bencana tersebut.


Setakat ini, Kementerian Sosial sudah menyerahkan bantuan berjumlah lebih 100 bilion rupiah (RM24.3 juta) ke ketiga-tiga wilayah tersebut.


"Saya meminta maaf kerana logistik kami amat terhad dan ada bantuan yang masih tidak dapat dihantar ke beberapa kawasan terpencil. Kami cuba mengagihkan semua sumber yang ada dengan sebaik mungkin," kata Saifullah lagi.


Media tempatan mendakwa pemerintah berdepan kesukaran untuk tiba di beberapa lokasi.


Di sebahagian kawasan di Aceh, penduduk terpaksa mengibarkan bendera putih sebagai isyarat kecemasan kerana sudah kehabisan sumber bekalan makanan dan kini hidup dalam kelaparan.


Bendera putih dipacakkan di tepi jalan di kawasan yang memerlukan bantuan segera. - Foto Agensi.