Jumaat, 26 September 2025

'Kapal hantu' bawa dadah diserbu, tentera rampas kokain hampir 10 tan bernilai RM2.6 bilion

'Kapal hantu' bawa dadah diserbu, tentera rampas kokain hampir 10 tan bernilai RM2.6 bilion


Tentera Laut Perancis merampas hampir 10 tan kokain bernilai hampir AS$609 juta (RM2.6 bilion) daripada sebuah kapal nelayan di luar pantai Afrika Barat, lapor saluran berita CBS memetik kenyataan pihak berkuasa negara berkenaan semalam.


Rampasan oleh dua kapal tentera laut pada Isnin itu dilakukan selepas menerima maklumat daripada pihak berkuasa perisikan dadah, maritim dan polis Britain.


Operasi itu merupakan sebahagian daripada misi tentera laut Perancis, Corymbe yang dikerahkan di Teluk Guinea sejak 1990 bagi memastikan keselamatan di kawasan tersebut.



Ini kerana rantau itu menyaksikan sering berlakunya aktiviti lanun.


"Secara keseluruhan, sebanyak 9.6 tan kokain dengan nilai pasaran hampir AS$609 juta (RM2.6 bilion) dirampas daripada sebuah kapal (nelayan)," kata Jabatan Maritim Atlantik, sambil menambah, kapal tersebut tidak didaftarkan di mana-mana negara.


Pihak berkuasa turut mengeluarkan imej operasi berkenaan yang menunjukkan sebuah kapal tentera laut, helikopter tentera dan anggota-anggota keselamatan memunggah bungkusan dadah tersebut.


Menjelang akhir Ogos lalu, tentera laut Perancis telah pun merampas hampir enam tan kokain di luar pantai Afrika Barat.


Tentera Laut Perancis melakukan operasi membanteras dadah di luar pantai barat Afrika. - Foto Tentera Laut Perancis.

Khamis, 25 September 2025

Penduduk panik, bau durian disangka kebocoran gas, mereka lapor polis dan jurutera gas

Penduduk panik, bau durian disangka kebocoran gas, mereka lapor polis dan jurutera gas


Raja buah mencetuskan panik dalam kalangan penduduk tempatan di bandar Lytham St Annes di England, baru-baru ini, selepas baunya disalah anggap sebagai kebocoran gas, lapor The Straits Times.


Durian yang terkenal dengan bau yang kuat serta tekstur berkrim menimbulkan kebimbangan di bandar tepi laut itu apabila seorang jurutera gas muncul di deretan kedai untuk menyiasat aduan mengenai "bau gas yang kuat" dari kawasan itu pada 16 September lalu.


Dua pembantu kedai buah-buahan dan sayur-sayuran, Wai Peng Cheng, 51, dan pasangannya Candy Pooi Kuan Lam, 46, memberitahu akhbar harian British, The Times, bahawa mereka tidak tahu apa yang berlaku apabila melihat seorang jurutera gas dari syarikat gas Cadent memasuki sebuah kedai amal berdekatan.


"Kira-kira sejam kemudian, dia memeriksa kedai penjagaan badan di sebelah sebelum masuk ke dalam kedai Strongs," kata Cheng yang bekerja di kedai Strongs Fruit and Veg.


Katanya, jurutera itu memberitahunya bahawa dia mencari kebocoran gas dan kedai amal di sebelah melaporkan "kebocoran" itu selepas seorang pelanggan memberitahu mereka tentang "bau seperti gas yang kuat".


Cheng kemudian menyedari bahawa bau busuk itu datangnya daripada durian yang diterima oleh kedai itu pada awal hari sama.


"Apabila dia menyebut tentang bau itu, saya beritahu dia ia adalah durian tetapi pada mulanya dia tidak percaya. Hanya selepas saya membawanya ke luar dan memberinya sebiji, barulah dia sedar. Kami semua mula ketawa. Ia sangat melucukan," kata Cheng kepada The Times.


Cheng dan Lam melihat buah itu semasa lawatan ke Malaysia baru-baru ini dan mencadangkan kepada pemilik kedai, Andrew Simpkins untuk mengimportnya untuk jualan.


Durian itu dihantar pada awal 16 September lalu dan dijual pada harga 22 pound sterling (kira-kira RM125) untuk 500 gram.


"Saya tahu baunya busuk tetapi saya tidak sangka ia akan menyebabkan kehadiran pasukan teknikal gas. Mereka memberitahu saya ada beberapa anggota polis di sana juga," kata Simpkins.


Beliau menambah, di sebalik insiden itu, buah itu "laris dijual".


Ketua penghantaran operasi di cawangan barat laut syarikat gas Cadent mengesahkan bahawa tiada sebarang kesan gas di kawasan itu.

Dua kali gagal sogok PGA sehingga RM7,000, lima warga asing ditahan

Dua kali gagal sogok PGA sehingga RM7,000, lima warga asing ditahan


Cubaan seorang lelaki Bangladesh menyogok anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) sebanyak dua kali dengan jumlah mencecah RM7,000 gagal apabila ditahan di Taman Perindustrian Pulau Indah, Klang malam tadi.


Dalam kejadian kira-kira pukul 10 malam itu turut menahan empat penumpangnya termasuk dua beranak yang juga warga Bangladesh berusia setahun hingga 30-an ketika operasi bersepadu Jabatan Imigresen Selangor.


Anggota PGA Batalion 19 berpangkat Lans Koperal yang melakukan pemeriksaan berkata, semasa kejadian kesemua mereka menaiki kenderaan pelbagai guna jenis (MPV) Toyota Avanza dalam keadaan mencurigakan.


Katanya, pemeriksaan mendapati dua penumpang lelaki didapati tidak mempunyai dokumen pengenalan diri yang sah.


"Pemandu MPV itu kemudiannya didapati cuba menyogok sebanyak RM5,000 kepada saya dan dua rakan setugas di lokasi tersebut.


"Apabila saya mencari pegawai Imigresen, didapati lelaki itu cuba melakukan sogokan sekali lagi sebanyak RM7,000 kepada dua rakan saya," katanya.


Kelima-lima warga Bangladesh itu kemudian ditahan pegawai Imigresen untuk pemeriksaan lanjut.


Sementara itu, lelaki terbabit mendakwa hanya bekerja di sebuah kedai runcit dan diminta menghantar rakan-rakannya ke rumah kedai sekitar kawasan berkenaan.


"Ini kereta bos, saya cuma pandu. Saya sudah 10 tahun berada di negara ini," katanya.


Lelaki Bangladesh (baju putih) yang cuba menyogok sehingga RM7,000 bagi melepaskan dua rakan senegaranya. - Foto Sinar Harian.

Rabu, 24 September 2025

Pintu hotel pecah dibadai Taufan Super Ragasa di Hong Kong

Pintu hotel pecah dibadai Taufan Super Ragasa di Hong Kong


Gelombang ombak yang disebabkan oleh Taufan Super Ragasa memecahkan pintu kaca sebuah hotel tepi laut di Taman Laut Hong Kong dan membanjiri kawasan lobinya, ketika ribut membadai bandar raya itu, lapor laman berita Hong Kong Free Press (HKFP).


Video tular di media sosial menunjukkan seorang lelaki dihanyutkan oleh air banjir yang menderu masuk ke dalam lobi Hotel Fullerton Ocean Park Hong Kong. 


Paras air dilihat mencecah paras lutut lelaki dewasa, manakala kakitangan hotel didengari menggesa orang ramai meninggalkan lobi.


Sebagai respons kepada pertanyaan HKFP, pengurusan hotel tersebut berkata, tiada kecederaan dilaporkan.


"Kami telah menggunakan sumber tambahan dan sedang melakukan semua yang termampu untuk mengurangkan kesan yang dibawa oleh taufan ini bagi menjaga keselamatan dan kesejahteraan tetamu kami," katanya.


Taufan Super Ragasa menyebabkan kenaikan ketara paras laut dan banjir di sepanjang pantai timur Hong Kong awal hari ini.


Kawasan seperti Heng Fa Chuen dibadai teruk, dengan ombak mencecah setinggi tiang lampu di tepi pantai.


Tangkap layar video menunjukkan detik seorang lelaki dihanyutkan oleh air banjir yang menderu masuk ke dalam lobi Hotel Fullerton Ocean Park Hong Kong. - Foto HKFP/Threads.
Lubang benam gergasi sedalam 50 meter gemparkan penduduk Bangkok

Lubang benam gergasi sedalam 50 meter gemparkan penduduk Bangkok


Sebahagian Jalan Samsen di hadapan Hospital Vajira, Bangkok mendap pagi ini, membentuk sebuah lubang benam besar sedalam kira-kira 50 meter, lapor laman berita Bangkok Post.


Namun, tiada kecederaan dilaporkan dalam kejadian itu.


Kejadian berlaku sekitar pukul 7.13 pagi (waktu tempatan) dengan lubang benam dianggarkan berukuran 30 meter lebar dan 30 meter panjang.


Ia terbentuk betul-betul di atas permukaan stesen kereta api bawah tanah Hospital Vajira.



Laluan trafik antara persimpangan Vajira dan Sanghi ditutup atas faktor keselamatan, demikian menurut Pejabat Daerah Dusit.


Perkhidmatan pesakit luar di hospital kerajaan itu digantung, manakala kira-kira 3,500 pesakit telah dipindahkan dari bangunan berdekatan.


Laporan awal menunjukkan struktur hospital tidak mengalami kerosakan. Penduduk di bangunan apartmen berdekatan juga diarahkan untuk berpindah.


Dua tiang elektrik dan sebuah kenderaan polis jatuh ke dalam lubang benam itu selepas kejadian tersebut.


Pegawai-pegawai daripada Pihak Berkuasa Elektrik Metropolitan (MEA) berada di lokasi untuk menjalankan kerja-kerja pemulihan.


Kawasan tersebut sebelum ini ditutup kerana pembinaan Laluan Ungu Transit Rapid Massa (MRT) sambungan Tao Poon ke Rat Burana.


Pihak berkuasa masih belum mengesahkan punca kejadian mendap itu.


Gabenor Bangkok, Chadchart Sittipunt bersama pasukan pegawai sedang melakukan pemeriksaan di lokasi.


Jalan berlubang sedalam 50 meter terbentuk di Bangkok. - Foto Pentadbiran Metropolitan Bangkok.

Selasa, 23 September 2025

Lelaki penagih dadah tinggalkan anak, terjun lumpur elak dicekup AADK

Lelaki penagih dadah tinggalkan anak, terjun lumpur elak dicekup AADK


Seorang lelaki sanggup terjun ke dalam lumpur dan meninggalkan anak berusia 10 tahun bagi mengelak dicekup Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) dalam Ops Cegah Khas 3.0 dekat Jeti Pasar Bisik, Kuala Muda di Sungai Petani semalam.


Dalam kejadian kira-kira pukul 10 pagi itu, lelaki dipercayai warga tempatan itu bertindak sedemikian selepas dikejar anggota AADK.


Lelaki terbabit merangkak di kawasan berlumpur sejauh kira-kira 150 meter sebelum berenang di Sungai Muda dan lolos di sempadan negeri Pulau Pinang.


Difahamkan lelaki berkenaan sering membawa anaknya untuk menagih dadah di sarang penagihan di tepi jeti pendaratan ikan di kawasan berkenaan sejak sebulan lalu.


Kanak-kanak itu kemudiannya diserahkan kepada ahli keluarganya oleh AADK.


Pengarah AADK Kedah, Khairul Anuar Ahmad berkata, seramai 35 orang didapati positif pelbagai jenis dadah dan ditahan untuk tindakan lanjut.


"Kesemua mereka berusia antara 19 hingga 61 tahun termasuk dua daripadanya merupakan wanita ditahan mengikut Seksyen 3(1)(a) Akta Penagih Dadah (Rawatan dan Pemulihan) 1983," katanya.


Seorang lelaki melarikan diri dalam Ops Cegah Khas 3.0 di kawasan jeti Pasar Bisik di Kuala Muda, semalam. - Foto Kosmo Online.
Polis kesan dua penunggang motosikal 'bertumbuk' di simpang lampu isyarat

Polis kesan dua penunggang motosikal 'bertumbuk' di simpang lampu isyarat


Polis giat mengesan suspek terlibat dalam insiden pergaduhan di persimpangan lampu isyarat di Jalan Haji Abdul Manan menghala ke Jalan Kapar, semalam (Isnin).


Ketua Polis Daerah Klang Utara, Asisten Komisioner S Vijaya Rao berkata, siasatan mendapati pergaduhan itu melibatkan dua penunggang motosikal di lokasi kejadian.


"Polis sebelum itu menerima laporan daripada Ketua Polis Balai Bukit Raja berhubung rakaman video tular di media sosial melibatkan pergaduhan antara dua penunggang motosikal di persimpangan lampu isyarat.


"Selain itu, satu laporan lagi dibuat mangsa dalam kejadian tersebut," katanya dalam kenyataan hari ini (Selasa).


Katanya, semakan mendapati kejadian berlaku antara jam 8 pagi hingga 9 pagi, di simpang tiga lampu isyarat Jalan Haji Abdul Manan menghala ke Jalan Kapar.


"Siasatan awal mendapati pergaduhan dipercayai berpunca akibat salah faham melibatkan situasi lalu lintas. Kes disiasat di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan," katanya.


Menurutnya, orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan diminta tampil membantu siasatan.


Tular insiden pergaduhan membabitkan dua penunggang motosikal di persimpangan lampu isyarat di Kapar pada Isnin.

Isnin, 22 September 2025

Penyasaran subsidi RON95, golongan berada tetap nikmati lebih banyak subsidi petrol - Rafizi

Penyasaran subsidi RON95, golongan berada tetap nikmati lebih banyak subsidi petrol - Rafizi


Bekas Menteri Ekonomi, Datuk Seri Rafizi Ramli mendakwa bahawa pelaksanaan penyasaran subsidi RON95 yang menawarkan harga RM1.99 seliter kepada warganegara tidak menjamin agihan subsidi petrol berlaku secara adil.


Menurutnya, keadaan itu berlaku kerana isi rumah berpendapatan tinggi kebiasaannya memiliki lebih banyak kenderaan dan hampir setiap orang dewasa mempunyai lesen serta kenderaan sendiri.


"Pandangan saya, tidak (adil) kerana golongan lebih berada mempunyai lebih banyak kenderaan dan setiap orang dewasa dalam isi rumah itu kemungkinan mempunyai lesen serta kenderaan sendiri.


"Jumlah subsidi yang pergi kepada isi rumah kumpulan berada itu adalah lebih besar daripada jumlah subsidi yang akan pergi kepada kumpulan kurang berada seperti isi rumah kumpulan bawah B40 dan pertengahan M40," katanya dalam hantaran di Facebook hari ini.


Jelas Rafizi, keadaan itu menunjukkan bahawa pelaksanaan penyasaran subsidi petrol RON95 lebih bersifat mengehadkan kuota subsidi berbanding benar-benar menyasarkan kepada golongan yang memerlukan.


"Dari perspektif menyasarkan semula subsidi, pendekatan yang diambil itu pada pandangan saya bukanlah dikira menyasarkan subsidi, tetapi menghadkan subsidi kepada setiap isi rumah," katanya.


Dalam pada itu, Rafizi berkata, kesan pelaksanaan tersebut berbeza mengikut kategori isi rumah dan kawasan sama ada di luar bandar ataupun bandar.


Jelasnya, penduduk luar bandar, tidak kira sama ada berada ataupun kurang berada, dijangka menikmati sedikit penjimatan kerana berlaku penurunan harga sekitar enam sen seliter, manakala pola penggunaan petrol mereka dijangka tidak banyak berubah.


"Kesan yang lebih besar adalah kepada penduduk kawasan bandar yang menggunakan jumlah petrol lebih banyak untuk berulang-alik ke tempat kerja," katanya.


Menurut beliau, sebagai contoh, keluarga M40 yang tinggal di bandar dan mempunyai dua kenderaan akan mengalami peningkatan kos petrol bulanan sekiranya penggunaan melebihi 300 liter sebulan.


"Bagi isi rumah T20, juga akan berlaku kenaikan, tetapi kesannya kepada kewangan isi rumah golongan berada tidaklah seperti kesan kepada kelas M40," katanya.

Puting beliung berapi bakar ladang tebu berjaya dirakam

Puting beliung berapi bakar ladang tebu berjaya dirakam


Kejadian puting beliung api berjaya dirakam di sebuah ladang tebu yang terbakar di Brazil, lapor portal berita Fox News.


Kebakaran itu tercetus pada 11 September lalu di antara bandar Florida Paulista dan Adamantina di negeri Sao Paulo, demikian menurut Pasukan Pertahanan Awam Brazil di laman Facebook.


Klip Video kejadian menunjukkan asap hitam tebal menutupi langit ketika sebuah jentera bomba memandu melalui ladang tersebut sambil menyembur air.


Puting beliung api itu seperti sedang menari di tengah ladang, kata pihak bomba.


Menurut Pertahanan Awam Brazil, tiada siapa cedera dalam kebakaran tersebut.


Ia terbentuk daripada udara dan gas panas yang naik daripada kebakaran, demikian menurut Kumpulan Penyelarasan Kebakaran Hutan Kebangsaan.


Apabila udara dan gas itu naik, ia turut membawa asap, serpihan, malah api seperti yang kelihatan dalam puting beliung api.


Anggota-anggota Pasukan Pertahanan Awam dan bomba akhirnya berjaya memadamkan kebakaran itu, kata agensi berkenaan.


Sebuah trak bomba bergerak dekat puting beliung api di ladang tebu. - Foto Pertahanan Awam/Facebook/Fox Weather.

Ahad, 21 September 2025

Lelaki cedera kaki dan tangan ditetak individu mabuk tidak dikenali

Lelaki cedera kaki dan tangan ditetak individu mabuk tidak dikenali


Seorang lelaki cedera di tangan dan kaki akibat ditetak individu tidak dikenalinya ketika sedang menunggu abangnya di bawah blok Flat Paya Nahu, Sungai Petani hari ini.


Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Hanyan Ramlan berkata, mangsa berusia 30-an dikatakan pergi ke rumah abangnya di Blok A5 di flat itu jam 3 petang.


Beliau berkata, ketika sampai di rumah abangnya, mangsa dimaklumkan oleh kakak iparnya bahawa abangnya tiada di rumah.


"Berikutan itu mangsa turun untuk menunggu abangnya di bawah blok itu namun secara tiba-tiba suspek iaitu lelaki berusia 20-an datang dan terus menetak mangsa.


"Hasil siasatan mendapati, mangsa tidak mengenali suspek dan berdasarkan keterangan saksi kejadian, suspek dalam keadaan mabuk sejak dari awal pagi tadi," katanya dalam kenyataan hari ini.


Hanyan berkata, anggotanya di Pusat Kawalan Daerah (DCC) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Muda menerima maklumat pada jam 3.55 petang berhubung kejadian itu daripada orang awam memaklumkan ada pergaduhan di bawah flat berkenaan.


Beliau berkata, mangsa kini sedang menerima rawatan di Zon Merah Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH).


"Siasatan lanjut akan dilakukan selepas permohonan reman terhadap suspek esok. Kes disiasat mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan," katanya.