Rabu, 7 Mei 2025

Batu pengadang pintu rupa-rupanya objek bernilai lebih RM4 juta

Batu pengadang pintu rupa-rupanya objek bernilai lebih RM4 juta


Seorang wanita tidak menyedari batu pengadang pintu yang digunakan selama beberapa dekad rupa-rupanya objek berharga yang dianggarkan bernilai kira-kira AS$1.1 juta (RM4.86 juta).


Menurutnya, batu itu ditemui di dasar sungai di tenggara Bucharest yang merupakan kepingan batu ambar terbesar pernah dijumpai di dunia setakat ini.


Resin pokok fosil mempunyai nilai yang tinggi kerana warna tona hangat dan ia biasanya terdapat di sekitar perkampungan Colti yang merupakan tapak perlombongan sejak 1920-an.


Ambar milik wanita itu dikenal pasti sebagai jenis rumanite yang berwarna tona merah kaya.


El Pais melaporkan pihak berkuasa telah menyerahkan ketulan batu berharga itu yang diberikan waris keluarganya kepada pakar Muzium Sejarah di Poland yang mempunyai bahagian khusus untuk penyelidikan objek tersebut.


Warsaw turut mengesahkan ketulenan batu ambar tersebut dan dianggarkan berusia antara 38.5 dan 70 juta tahun.


"Penemuannya adalah bukti kepentingan besar di peringkat saintifik dan muzium," ujar Pengarah Muzium Wilayah Buzau, Daniel Costache.


Ia adalah batu ambar terbesar pernah ditemui di dunia setakat ini. - Foto Agensi.

Isnin, 5 Mei 2025

Wanita dipenjara 11 tahun, terbunuh suami pendera ketika melarikan diri

Wanita dipenjara 11 tahun, terbunuh suami pendera ketika melarikan diri


Seorang wanita di China yang menjadi mangsa keganasan rumah tangga dihukum penjara 11 tahun kerana membunuh suaminya ketika cuba melarikan diri daripada ancaman lelaki itu.


Hukuman ke atas Coa mencetuskan perdebatan hangat di negara berkenaan dengan ramai menyokong tindakan Cao dan mempersoalkan hukuman berat ke atas mangsa keganasan rumah tangga, lapor SCMP pada 3 Mei 2025.


Wanita dari wilayah Hebei di utara China itu bertemu suaminya, bernama Liu, pada 2015 selepas diperkenalkan ahli keluarga.


Selepas berkencan selama beberapa tahun, mereka berkahwin pada 2017 dan dikurniakan seorang anak lelaki.


Bagaimanapun, hubungan pasangan itu sentiasa bergolak sehingga Liu mula bertindak ganas dan kerap memukul Cao.


Menurut bapa Cao, sikap panas baran Liu bertambah buruk pada 2021.


Kejadian yang mendorong kematian Liu berlaku pada Mei 2024, apabila lelaki itu mengancam isterinya dengan pisau dan menyerangnya di luar rumah selepas mengesyaki wanita itu keluar makan malam dengan lelaki lain.


Bagaimanapun, siasatan pihak berkuasa kemudiannya mengesahkan bahawa Cao hanya bertemu dengan seorang rakan wanita pada hari berkenaan.


Ketika kejadian, Liu juga dikatakan mengheret Cao dan mengoyakkan pakaiannya, sebelum berhenti mengganas untuk menghisap rokok.


Mengambil kesempatan itu, Cao yang ketakutan cuba melarikan diri dengan memandu kereta tetapi Liu bertindak memanjat bonet, hingga kereta berkenaan terbabas di tepi jalan.


Kedua-duanya cedera, namun Liu meninggal dunia akibat kecederaan dalaman, manakala Cao patah tulang.


Pada 24 Mac, mahkamah mendapati Cao bersalah kerana berniat membunuh dan menjatuhkan hukuman penjara 11 tahun.


Menurut mahkamah, Cao sedar yang Liu bergayut pada bonet kereta, namun masih memandu laju yang mendorong kepada kemalangan maut.


"Tertuduh menunjukkan sikap acuh tak acuh terhadap keselamatan Liu, mengakibatkan maut," menurut keputusan itu. - Sumber SCMP.


Cao sering didera suaminya, Liu. - Foto Douyin.

Ahad, 4 Mei 2025

Isteri pertama buat laporan, lelaki ditangkap kerana beristeri 3

Isteri pertama buat laporan, lelaki ditangkap kerana beristeri 3


Seorang lelaki di negeri Florida ditahan kerana berkahwin dengan tiga wanita berbeza, lapor portal berita MSNews pada 3 Mei 2025.


Henry Betsey Jr. berdepan tuduhan poligami dengan pihak berkuasa mendakwa bahawa dia berkahwin dengan tiga wanita itu untuk keuntungan kewangan, menurut portal berita ABC Action News.


Henry bertemu dengan setiap wanita itu di platform janji temu berbeza iaitu Tinder, Match.com dan Stir.


Siasatan lanjut mendedahkan dia juga mempunyai profil di laman temu janji yang keempat.


Perkahwinan itu terbongkar selepas isteri pertama, Tonya mengesyaki suaminya curang.


Setelah melakukan siasatan, Tonya membuat laporan kepada pihak berkuasa yang menangkap Henry atas tuduhan poligami.


Sebelum tangkapan dilakukan, dua isterinya tidak tahu bahawa Henry sudah berumah tangga. - Sumber MSNews.


Hendry Betsey Jr. memiliki tiga isteri. - Foto ABC Action News.

Sabtu, 3 Mei 2025

Anggota bomba tolong padam duka lara, raikan hari jadi gadis putus cinta

Anggota bomba tolong padam duka lara, raikan hari jadi gadis putus cinta


Sekumpulan anggota bomba mengundang perhatian orang ramai kerana sanggup meluangkan masa untuk meraikan ulang tahun kelahiran seorang gadis yang baru saja putus cinta dengan teman lelakinya, lapor portal berita Tribunnews pada 2 Mei 2025.


Kejadian berlaku di Bogor, wilayah Jawa Barat pada Rabu (30/4/2025).


Rakaman dimuat naik di platform Instagram oleh akaun @bogor24update menunjukkan tiga anggota bomba membawa kek hari jadi dengan lilin dinyalakan.


Mereka membuat ucapan selamat hari lahir kepada gadis tersebut sebelum bersorak dan bertepuk tangan.


Seorang jurucakap Jabatan Bomba Cibinong berkata, gadis itu datang ke balai bomba dan meminta mereka mengubat hatinya yang luka.


"Dia baru saja putus cinta. Jadi, dia meminta kami bersama-sama menyambut ulang tahunnya yang ke-22," kata jurucakap berkenaan.


Rakaman itu mencatatkan 7 juta tontonan dan menimbulkan pelbagai reaksi netizen.


"Bomba bukan sahaja memadam kebakaran, tetapi merawat jiwa yang duka," kata seorang netizen. - Sumber Tribunnews.


Anggota-anggota bomba menyambut ulang tahun kelahiran seorang gadis yang baru saja putus cinta. - Foto TikTok.

Rabu, 30 April 2025

SPRM tahan reman Datuk Seri, 3 individu kemuka tuntutan palsu RM360 juta

SPRM tahan reman Datuk Seri, 3 individu kemuka tuntutan palsu RM360 juta


Seorang individu bergelar Datuk Seri antara empat individu ditahan reman Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kerana disyaki mengemukakan tuntutan mengandungi butiran palsu berjumlah kira-kira RM360 juta.


Perintah reman selama empat hari sehingga 3 Mei terhadap semua suspek dikeluarkan Majistret Irza Zulaikha Burhanuddin selepas permohonan dibuat SPRM di Mahkamah Majistret Putrajaya pagi tadi.


Menurut sumber, kesemua suspek yang terdiri daripada tiga lelaki dan seorang wanita berusia antara 50 dan 70-an itu ditahan antara pukul 4 hingga 6 petang semalam ketika hadir memberi keterangan di Ibu Pejabat SPRM, Putrajaya.


"Siasatan awal mendapati kesemua suspek dipercayai melakukan perbuatan tersebut sekitar tahun 2016 hingga 2017.


"Keempat-empat suspek disyaki mengemukakan tuntutan palsu bernilai kira-kira RM360 juta yang menggunakan dana sukuk dalam sebuah projek pembinaan lebuh raya di Lembah Klang yang bernilai kira-kira RM1.3 bilion," katanya.


Sementara itu, Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Seri Ahmad Khusairi Yahaya, ketika dihubungi mengesahkan tangkapan itu dan berkata, kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 18 Akta SPRM 2009.


Empat individu termasuk seorang Datuk Seri ketika hadir bagi proses permohonan reman di Mahkamah Majistret Putrajaya hari ini. - Foto Kosmo Online.

Selasa, 29 April 2025

Dua anggota polis direman disyaki minta rasuah RM6,000 di stesen minyak

Dua anggota polis direman disyaki minta rasuah RM6,000 di stesen minyak


Dua anggota polis direman lima hari bermula hari ini kerana disyaki meminta rasuah kira-kira RM6,000 daripada seorang pemilik syarikat yang ditahan dalam satu pemeriksaan kenderaan di sebuah stesen minyak di Seremban.


Perintah reman terhadap suspek lelaki berusia lingkungan 30-an itu dikeluarkan oleh Majistret, Nurul Saqinah Rosli selepas permohonan dibuat oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Mahkamah Majistret, Seremban hari ini.


Perintah reman itu berkuat kuasa dari 29 April hingga 3 Mei.


Menurut sumber, kedua-dua suspek ditahan antara jam 1 tengah hari hingga 3 petang pada Isnin (28/4/2025) di dua lokasi berbeza sekitar Seremban.


"Siasatan awal mendapati kedua-dua suspek dipercayai melakukan perbuatan tersebut pada Ahad lalu ketika mereka menjalankan tugas pemeriksaan ke atas kenderaan individu terbabit.


"Semasa pemeriksaan, kedua-dua suspek telah mengambil kad pengenalan individu tersebut dan meminta wang rasuah sekitar RM6,000 sekiranya mahu kad pengenalannya dipulangkan semula," katanya.


Sementara itu, Pengarah SPRM Negeri Sembilan, Awgkok Ahmad Taufik Putra Awg Ismail ketika dihubungi mengesahkan penahanan tersebut dan memaklumkan bahawa kes disiasat di bawah Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009.


Kedua-dua suspek diiring pegawai SPRM ketika hadir ke mahkamah untuk permohonan reman. - Foto Sinar Harian.

Isnin, 28 April 2025

Lelaki dedah rahsia mengejutkan untuk lebih sasa dan sihat

Lelaki dedah rahsia mengejutkan untuk lebih sasa dan sihat


Seorang lelaki menjadi sensasi internet apabila mendedahkan badannya berada dalam bentuk terbaik kerana mengamalkan minum susu badan, lapor akhbar Mirror UK pada 27 April 2025.


Jameson Ritenour, 39, mengamalkan gaya hidup itu selepas menonton sebuah klip video menceritakan manfaat pengambilan susu badan di laman YouTube.


Menurut bapa kepada tiga anak itu, dia minum susu itu buat pertama kali ketika isterinya, Melissa, menyusukan anak mereka.


"Badan saya berada dalam bentuk terbaik sepanjang dalam hidup saya. Susu ini membantu saya membina otot.


"Meskipun berat badan saya turun, saiz otot saya meningkat sebanyak lima peratus dalam masa lapan minggu," kata Ritenour.


Ritenour juga berkata, dia semakin sihat dan jarang sakit.


"Saya mahu membesar dan tidur nyenyak seperti bayi, jadi saya memutuskan untuk makan dan minum seperti bayi," tambah Ritenour.


Saintis-saintis bagaimanapun berkata, tiada bukti ilmiah membuktikan susu tersebut boleh memberi manfaat kepada orang dewasa. - Sumber Mirror UK.


Gambar menunjukkan badan Ritenour sebelum dan selepas mengamalkan susu badan. - Foto Netflix.

Ahad, 27 April 2025

Bos bayar gaji pekerja bermasalah guna duit syiling sebanyak RM938

Bos bayar gaji pekerja bermasalah guna duit syiling sebanyak RM938


Seorang bekas pekerja sebuah kedai minuman di Taiwan menerima gaji terakhir sebanyak NT$6,972 (RM938) dalam bentuk syiling kerana kerap membuat masalah di tempat kerja, lapor portal berita South China Morning Post.


Wanita dikenali sebagai Liu, 19, berkongsi perkara itu di media sosial selepas dia mengambil keputusan untuk berhenti.


Menurut Liu, gaji terakhirnya diserahkan dalam bentuk syiling yang diletakkan di dalam beg plastik.


Syiling itu berdominasi NT$1 (RM0.13), NT$5 (RM0.67) dan NT$10 (RM1.34). Ia juga mengambil masa selama sejam untuk dimasukkan ke dalam bank.


"Saya dapati syiling NT$20 (RM3) pula tidak cukup dan apabila saya bertanya kepada majikan, dia bergurau dengan orang lain 'ada pengemis datang, beri dia NT$20'," kata Liu.


Majikan itu mempertahankan tindakannya dengan menyatakan, tindakan itu sebagai pengajaran kepada Liu yang mempunyai sikap buruk terhadap rakan sekerja dan kerap ponteng kerja.


"Saya memberitahu Liu, apabila kita bekerja, kita perlu hormat orang lain dan berkomunikasi dengan baik. Tetapi dia menjawab bahawa sikap tidak sabarnya disebabkan baru bangun tidur.


"Liu turut meminta pendahuluan gaji meskipun baru bekerja selama sebulan. Dia juga pernah tidak hadir tanpa makluman selama tiga hari.


"Penggubal undang-undang perlu menyemak semula undang-undang di Taiwan. Saya menyokong mencegah eksploitasi buruh, tetapi mungkin saya bertanya mengapa tidak ada langkah yang sepadan untuk menangani pekerja yang tidak hadir tanpa cuti atau gagal hadir bekerja tanpa sebab?" kata majikannya.


Tambah majikan itu, dia telah menawarkan untuk menukar syiling dengan wang kertas jika Liu meminta maaf, tetapi tawarannya ditolak.


Li Xuanchang, pesuruhjaya Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan di Biro Hal Ehwal Buruh Kerajaan Bandaraya Tainan memberitahu TVBS News: "Majikan tidak menangguhkan pembayaran atau mengurangkan jumlah, jadi secara teknikalnya tidak ada pelanggaran undang-undang buruh. Bagaimanapun, pendekatan ini pastinya tidak bertimbang rasa atau beretika."


Kes itu telah mendapat kritikan meluas di Taiwan, dengan ramai yang mengutuk majikan tersebut. - Sumber South China Morning Post.


Liu menerima gaji terakhirnya dalam bentuk duit syiling yang diletakkan di dalam beg plastik. - Foto YouTube.

Jumaat, 25 April 2025

Intai wanita di tandas awam, penganggur dipenjara 5 bulan

Intai wanita di tandas awam, penganggur dipenjara 5 bulan


Seorang penganggur dipenjara lima bulan selepas gagal membayar denda RM2,800 yang dikenakan Mahkamah Majistret, Muar hari ini, atas pertuduhan mengintai wanita di sebuah tandas awam, pertengahan bulan ini.


Tertuduh, Muhammad Nazrullah Basir, 24, sebelum itu dijatuhi hukuman denda itu selepas membuat pengakuan bersalah di hadapan Majistret Fatin Dalilah Khalid.


Mengikut pertuduhan, tertuduh yang masih bujang didakwa mengaibkan kehormatan wanita berusia 26 tahun dengan mengintai melalui bawah pintu tandas awam Tanjung Emas, di Muar, pada jam 9.30 pagi 14 April lalu.


Susulan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan yang sabit kesalahan boleh dipenjara sehingga lima tahun atau denda atau kedua-duanya.


Berdasarkan fakta kes, mangsa yang berada dalam tandas awam wanita itu menjerit selepas menyedari seorang lelaki mengintainya melalui bawah pintu, menyebabkan tertuduh melarikan diri menaiki sebuah kereta jenis Perodua Kancil.


Bagaimanapun, penjaga tandas di situ ternampak tertuduh dan memaklumkan kepada polis yang kemudian menahan lelaki itu pada jam 12 tengah hari 21 April lalu bagi membantu siasatan kes itu.


Ketika disoal siasat, tertuduh mendakwa ada suara bisikan yang memintanya melakukan perbuatan itu.


Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nur Amieerah Alludin manakala tertuduh diwakili Tee Xi Ran daripada Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK).


Muhammad Nazrullah (tengah) dipenjara selepas gagal membayar denda selepas mengaku bersalah mengintai wanita dalam tandas awam Tanjung Emas, Muar. - Foto NSTP.

Khamis, 24 April 2025

Angkara berebut kawasan, peminta sedekah mati ditikam

Angkara berebut kawasan, peminta sedekah mati ditikam


Berebut tempat meminta sedekah menjadi motif seorang lelaki mati ditikam di hadapan sebuah bank di Seksyen 18, Shah Alam hari ini.


Mangsa berusia 40 tahun yang juga peminta sedekah mati di lokasi kejadian akibat ditikam beberapa kali di bahagian dada menggunakan pisau.


Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Mohd. Iqbal Ibrahim berkata, pihaknya bergegas ke lokasi kejadian selepas menerima panggilan pukul 12 tengah hari sebelum berjaya menahan suspek lelaki berusia 28 tahun kira-kira setengah jam kemudian di lokasi kejadian.


Katanya, hasil siasatan mendapati suspek ingin meminta sedekah di kawasan tersebut.


"Semasa kejadian telah berlaku pertengkaran mulut di antara kedua-dua mereka berkaitan isu perebutan tempat meminta sedekah. Suspek kemudiannya mengeluarkan sebilah pisau lalu menikam dada mangsa beberapa kali," katanya, hari ini.


Beliau menambah, tikaman tersebut telah menyebabkan mangsa jatuh terbaring berlumuran darah dan tidak sedarkan diri dan mayatnya dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah Klang untuk bedah siasat.


"Semakan mendapati suspek mempunyai sembilan rekod jenayah lampau. Hasil ujian saringan awal air kencing bagaimanapun mendapati saspek negatif sebarang penyalahgunaan dadah," jelasnya.


Kata beliau, permohonan reman terhadap suspek akan dibuat kira-kira pukul 10 pagi esok di Mahkamah Shah Alam dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.


"Mana-mana individu yang mempunyai maklumat lanjut boleh menghubungi Pegawai Penyiasat Asisten Superintendan Muhammad Abd Hafiz Sariee," katanya.


Anggota polis mengawal lokasi kejadian pembunuhan peminta sedekah berkenaan. - Foto Kosmo Online.