Ahad, 26 Januari 2025

Lelaki berdepan detik cemas, ular gigit kemaluan enggan melepaskan gigitannya

Lelaki berdepan detik cemas, ular gigit kemaluan enggan melepaskan gigitannya


Seorang lelaki berdepan detik cemas apabila kemaluannya digigit seekor ular berbisa dalam kejadian di sebuah kawasan hutan di Indonesia, lapor portal berita Must Share News semalam.


Rakaman dimuat naik di platform Instagram oleh akaun @jejeksiaden memaparkan seluar lelaki bernama Anggara Shoji itu digigit ular katam belang.


Gigitan kuat menyebabkan Anggara terduduk di lantai hutan sambil menarik ular itu daripada seluarnya.


Meskipun ditarik beberapa kali, reptilia tersebut enggan melepaskan gigitannya.


Video tular itu telah mendapat komen yang tidak terkira banyaknya daripada netizen, sesetengah daripada mereka mengenal pasti reptilia itu sebagai ular bakau yang berbisa ringan.


Rakaman itu mencatatkan lebih 25.6 juta tontonan dan menimbulkan pelbagai reaksi netizen.


"Ini pertarungan ular lawan 'ular'," kata seorang pengguna media sosial mungkin merujuk kemaluan lelaki itu.


Sementara itu, pengulas lain mengambil langkah lebih jauh dengan menunjukkan betapa ironisnya jika toksin ular itu menyebabkan bengkak. - Sumber Must Share News.


Tangkap layar menunjukkan kemaluan lelaki digigit seekor ular katam belang. - Foto Instagram.

Sabtu, 25 Januari 2025

5 kes keracunan makan ikan buntal di Sabah, 2 masih dirawat di hospital

5 kes keracunan makan ikan buntal di Sabah, 2 masih dirawat di hospital


Lima kes keracunan makanan disyaki berpunca daripada toksin ikan buntal dilaporkan di Sabah bulan ini, dengan dua mangsa masih menerima rawatan di hospital.


Pengarah Kesihatan Negeri Sabah Dr Maria Suleiman berkata daripada jumlah itu, satu kes dilaporkan di daerah Kota Kinabalu pada 10 Januari lepas, manakala empat kes lagi membabitkan satu keluarga di daerah Kota Marudu semalam.


Beliau berkata kesemua mangsa berusia antara 15 hingga 48 tahun mengalami gejala pening, muntah, cirit-birit, kebas pada tangan dan kaki, serta kesukaran bernafas selepas memakan ikan buntal yang dibeli dari pasar setempat.


"Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS) mengambil maklum mesej tular di media sosial mengenai kejadian itu. Tiga daripada mangsa dibenarkan pulang setelah mendapatkan rawatan, manakala dua lagi masih dirawat di hospital dan berada dalam keadaan stabil," katanya dalam kenyataan hari ini.


Dr Maria berkata ikan buntal atau pufferfish mengandungi racun tetrodotoksin (TTX), sejenis toksin yang tergolong dalam kumpulan neurotoksin (toksin yang menyerang sistem saraf), yang boleh menyebabkan gejala keracunan seawal 10 hingga 45 minit selepas pengambilan.


Beliau berkata tanda-tanda keracunan itu termasuk kebas pada bibir, lidah dan muka, sakit kepala, pedih ulu hati, loya, cirit-birit dan muntah, serta kelumpuhan otot penting seperti otot pernafasan.


"Dalam kes yang teruk, kematian boleh berlaku dalam tempoh enam hingga 24 jam," katanya.


Dr Maria menambah, selain ikan buntal, TTX juga terdapat dalam beberapa spesies laut seperti belangkas dan siput laut, serta haiwan amfibia lain seperti katak beracun.


"JKNS telah melaksanakan tindakan kawalan dan pencegahan termasuk pendidikan kesihatan kepada individu terlibat dan komuniti setempat," katanya.


Orang ramai dinasihatkan supaya mengelak daripada mengambil makanan yang disyaki mengandungi TTX dan mendapatkan rawatan segera sekiranya mengalami gejala keracunan. - Sumber Harian Metro.


Seekor ikan buntal mempunyai toksin yang boleh membunuh sehingga 30 orang dewasa. Racun TTX ini dikatakan 1,200 kali lebih kuat daripada racun sianida. TTX dihasilkan oleh bakteria yang hidup dalam ikan beracun ini yang biasa ditemui dalam telur, hempu, hati, usus dan kulitnya. - Foto The Guardian.
Ribuan peminat terkejut lihat wajah sebenar penstrim kesayangan mereka

Ribuan peminat terkejut lihat wajah sebenar penstrim kesayangan mereka


Seorang penstrim permainan dalam talian popular di China mengejutkan ribuan peminatnya apabila tampil secara langsung untuk menerima anugerah dengan penampilan agak berbeza daripada gambar profil digunakan.


The Straits Times pada 24 Januari melaporkan, You Chong menerima Anugerah 12 Penstrim Paling Popular daripada pencipta permainan lumba dalam talian, QQ Speed.


Dia yang terkenal dengan kandungan menarik dan penjelasan teratur mengenai teknik perlumbaan, bertukar menjadi pempengaruh selepas mengumpul peminat yang ramai.


Peminatnya gembira apabila wanita itu diberi penghargaan itu, namun mereka terkejut apabila melihat wajah sebenar You Chong pada majlis yang berlangsung di Taicang, Wilayah Jiangsu, 19 Januari lalu.


Wanita itu sempat berucap ringkas selepas menerima anugerah dengan berterima kasih kepada penganjur, namun suasana dikatakan senyap selepas dia mengakhiri ucapan, sama ada di dewan majlis mahupun dalam talian.


Dikatakan, itu adalah kali pertama peminatnya menatap wajah sebenar You Chong, memandangkan selama ini hanya melihat gambar profil yang jauh berbeza.


Perkara itu mencetuskan pelbagai reaksi di media sosial, dengan ada yang menuduh You Chong menipu mereka menerusi gambar palsu.


Manakala, sebahagian peminat lain mempertahankannya dengan berkata, teknik perlumbaan dan pendekatan interaksi wanita itu yang sepatutnya dihargai, berbanding penampilan. - Sumber The Straits Times.


Wajah sebenar You Chong (kanan) berbanding gambar profil yang mengejutkan peminatnya. - Foto Douyin.

Jumaat, 24 Januari 2025

Pengasas produk kecantikan suka tayang, pakai emas di seluruh tubuhnya telah ditahan

Pengasas produk kecantikan suka tayang, pakai emas di seluruh tubuhnya telah ditahan


Seorang pengusaha produk kecantikan dari Indonesia yang gemar memakai barang kemas di seluruh tubuhnya ditahan, selepas produknya didapati mengandungi merkuri, lapor portal berita Tribunnews pada 22 Januari 2025.


Wanita itu dikenali sebagai Mira Hayari dan berasal dari Makassar, wilayah Sulawesi Selatan.


Imej yang tular di media sosial memaparkan Mira memakai baju lokap dengan tudung berwarna perang. Wajahnya polos tanpa sebarang solekan.


Selain terkenal dengan gaya hidup mewah, dia juga dikenali kerana gemar menayangkan perhiasan emas bernilai 553 juta rupiah (RM151,254) dari kepala hingga ke kaki.


Mira ditahan selepas produk kecantikannya didapati mengandungi merkuri yang boleh membawa kesan buruk kepada kesihatan.


Polis Wilayah Sulawesi Selatan mengesahkan telah menahan tiga suspek berkaitan kes produk penjagaan kulit berbahaya di Kota Makassar.


Ketiga-tiga mereka iaitu Mira Hayati, Mustadir Dg Sila yang merupakan suami kepada Fenny Frans dan Agus Salim dinamakan suspek pada November 2024.


Ketua Sub Bahagian Perhubungan Awam Polis Wilayah Sulawesi Selatan, Yerlin Tanding Kate berkata, ketiga-tiga mereka ditahan selepas fail kes mereka lengkap atau P21.


"Fail sudah lengkap, sudah P21 dan delegasi peringkat kedua akan dijalankan iaitu menghantar suspek dan bukti kepada pihak pendakwa," katanya ketika ditemui wartawan di Ibu Pejabat Polis Daerah Sulawesi Selatan pada Selasa (21/1/2025). - Sumber Tribunnews.


Tangkap layar menunjukkan Mira ditahan di balai polis Makassar, Indonesia kelmarin. - Foto Tribunnews.

Khamis, 23 Januari 2025

Gara-gara kucing, wanita hilang kerja dan bonus akhir tahun

Gara-gara kucing, wanita hilang kerja dan bonus akhir tahun


Seorang wanita di China hilang pekerjaan dan tidak mendapat bonus akhir tahun kerana diberhentikan kerja, selepas kucing peliharaannya tertekan butang hantar pada e-mel komputer ribanya yang mengandungi surat peletakan jawatan kepada majikannya.


South China Morning Post (SCMP) pada 20 Januari melaporkan, wanita berusia 25 tahun itu berasal dari perbandaran Chongqing di barat daya China.


Dia menulis surat peletakan jawatan yang tidak dihantar menerusi e-melnya pada 5 Januari lalu.


Wanita enggan menghantarnya kerana memerlukan wang daripada pekerjaan itu. Ia kerana dia perlu menampung keperluan sembilan ekor kucing peliharaannya.


Bagaimanapun, rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di rumahnya sempat merakam saat seekor kucingnya melompat ke atas mejanya dan menekan 'enter' pada komputer riba menghantar e-mel.


Wanita itu segera menghubungi majikannya untuk menyalahkan kucing peliharaannya, namun tidak diendahkan apabila dia diberhentikan.


Wanita itu merancang untuk mencari pekerjaan baharu selepas Festival Musim Bunga yang akan datang kerana perlu memberi makan kepada kucingnya.


"Dengar cakap tuan kamu," tulis seorang netizen.


"Kedengarannya lebih seperti kucing anda membantu bos anda, menjimatkan sejumlah besar wang bonus," tulis netizen lain. - Sumber South China Morning Post.

Selasa, 21 Januari 2025

Gadis maut, motosikal dibonceng langgar jentera pengorek kaut tukar haluan

Gadis maut, motosikal dibonceng langgar jentera pengorek kaut tukar haluan


Seorang remaja perempuan maut selepas motosikal ditunggang teman lelakinya melanggar tayar kanan hadapan jentera pengorek kaut (backhoe) yang dipercayai mengubah laluan di Kilometer (km) 41 Jalan Johor Bahru- Ayer Hitam, Kulai, pada Selasa (21/1/2025).


Ketua Polis Daerah Kulai, Asisten Komisioner Tan Seng Lee berkata, siasatan awal mendapati kemalangan pada kira-kira jam 10.20 pagi itu berlaku apabila jentera pengorek kaut dalam perjalanan ke arah Johor Bahru telah mengubah haluan dari lorong kiri ke lorong kanan.


"Akibatnya motosikal ditunggang lelaki berusia 20 tahun bersama pembonceng remaja perempuan berusia 18 tahun yang berada di lorong kanan telah hilang kawalan sebelum melanggar tayar kanan hadapan jentera pengorek kaut.


"Penunggang dan pembonceng motosikal telah tercampak ke laluan bertentangan dan menyebabkan pembonceng mengalami kecederaan parah di bahagian kepala dan disahkan meninggal dunia.


"Penunggang motosikal mengalami kecederaan di bahagian tangan kiri manakala pemandu jentera pengorek kaut iaitu lelaki tempatan berusia 48 tahun tidak mengalami kecederaan," ujarnya dalam kenyataan hari ini.


Menurut Seng Lee, kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987, sabit kesalahan boleh dihukum penjara sehingga 10 tahun dan denda maksimum sebanyak RM50,000. - Sumber Sinar Harian.


Seorang remaja perempuan maut selepas motosikal ditunggang teman lelakinya melanggar backhoe di KM 41 Jalan Johor Bahru- Ayer Hitam pada Selasa. - Foto IPD Kulai.

Isnin, 20 Januari 2025

Bomba berjaya tangkap hantu ganggu wanita di rumah sewa

Bomba berjaya tangkap hantu ganggu wanita di rumah sewa


Pasukan bomba dan penyelamat di Indonesia berdepan detik menyeramkan apabila mereka menerima panggilan kecemasan untuk menangkap hantu, lapor portal berita Tribunnews pada 20 Januari 2025.


Kejadian berlaku di bandar Pekanbaru, wilayah Riau, baru-baru ini.


Ketua Agensi Bomba dan Penyelamat Pekanbaru, Hendro Putra Gautama berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan sekitar pukul 9.30 malam (waktu tempatan) daripada seorang wanita.


"Wanita itu meminta kami menangkap hantu di rumah sewanya kerana rimas sering diganggu.


"Kami memutuskan untuk membantu wanita berkenaan kerana salah seorang anggota kami mampu menghalau hantu," kata Hendro.


Tambah Hendro, proses 'penangkapan' itu mengambil masa yang sangat lama.


"Ia mengambil masa selama dua jam. Hantu itu kemudian dipindahkan pada sebatang pokok," tambahnya.


Selepas selesai hantu itu dipindahkan, Hendro mendedahkan anggota pasukan itu tidak membuat laporan seperti biasa.


"Kita tak buat laporan. Lagipun macam mana nak buat laporan kononnya orang yang dipindahkan itu tidak kelihatan," katanya sambil ketawa. - Sumber Tribun News.


Hendro menjelaskan, terdapat seorang ahli pasukan mereka iaitu Rahmat yang mempunyai kebolehan istimewa untuk menghalau makhluk ghaib. - (Gambar hiasan) Foto Istimewa.

Ahad, 19 Januari 2025

7 maut, lebih 400 cedera dalam sukan jinakkan lembu di India

7 maut, lebih 400 cedera dalam sukan jinakkan lembu di India


Sekurang-kurangnya tujuh orang, kebanyakannya penonton maut manakala lebih 400 lagi cedera akibat serangan lembu semasa acara sukan jinakkan lembu jantan di selatan India, lapor Xinhua memetik media tempatan pada Jumaat (17/1/2025).


Kematian dan kecederaan itu dilaporkan pada Khamis semasa acara yang diadakan di beberapa kawasan di negeri Tamil Nadu, selatan India.


Laporan menyatakan dua ekor lembu jantan turut mati dalam insiden berasingan.


Seekor lembu mati ketika acara di Pudukkottai, manakala seorang pemilik lembu dan lembunya maut di Kampung Siravayal, Daerah Sivaganga, dalam acara menjinakkan lembu.


Pegawai berkata, kebanyakan kematian dan kecederaan berlaku di luar gelanggang, tempat pemilik lembu biasanya mengumpulkan lembu mereka selepas acara berlangsung di hadapan ribuan penonton. - Sumber Xinhua.


Penduduk kampung dihimpit oleh seekor lembu semasa cuba mengawal lembu tersebut dalam satu festival menundukkan lembu semasa acara sukan jinakkan lembu jantan di selatan India. - Foto Reuters.

Sabtu, 18 Januari 2025

3 suspek pukul OKU di pasar tani sudah ditahan polis

3 suspek pukul OKU di pasar tani sudah ditahan polis


Polis menahan tiga lelaki berhubung kejadian lelaki Orang Kurang Upaya (OKU) dipukul di tapak jualan pasar tani di Chukai, malam tadi.


Pemangku Ketua Polis Daerah Kemaman, Deputi Superintenden Wan Muhammad Wan Jaafar berkata, kesemua suspek ditahan bagi membantu siasatan berhubung kejadian itu.


Menurutnya, ketiga-tiga suspek datang ke Ibu Pejabat Polis daerah Kemaman sebelum mereka ditahan kira-kira 8 malam tadi.


"Kesemua suspek yang ditahan berusia diantara 18 hingga 60 tahun dan polis sedang mengumpul maklumat daripada mereka.


"Kes ini kita akan siasat mengikut seksyen 147 Kanun Keseksaan kerana merusuh," katanya.



Akhbar semalam melaporkan, mangsa lelaki OKU yang menunggang motosikal dikatakan melanggar gerai jualan di situ pada 9.30 pagi, menyebabkan barang jualan termasuk makanan bertebaran di atas jalan raya.


Sekumpulan individu kemudian melepaskan kemarahan mereka ke atas lelaki tersebut dengan bertindak ganas.


Lelaki OKU itu telah dibelasah dan diseret oleh beberapa lelaki lain. Dia malah disepak, dipijak dan ditendang di bahagian kepala.


Mangsa meronta ronta meminta bantuan dalam keadaan hujan yang turun. Namun tiada siapa yang membantunya.


Dia malah didatangi oleh beberapa lagi individu lain yang melepaskan kemarahan mereka dengan cara yang sangat ganas.


Kemudian tular lagi di media sosial menunjukkan kad pengenalan OKU milik mangsa yang mengesahkan bahawa mangsa adalah OKU Mental dan tinggal di Kemaman.


Mangsa kemudian dibawa ke Hospital Kemaman untuk mendapatkan rawatan pesakit luar.

Jumaat, 17 Januari 2025

Phuket bakal jadi 'pulau sampah' sisa buangan menimbun, botol plastik dan tin bir kosong bergolek di dasar laut

Phuket bakal jadi 'pulau sampah' sisa buangan menimbun, botol plastik dan tin bir kosong bergolek di dasar laut


Botol plastik dan tin bir kosong bergolek di dasar laut di perairan sekitar Phuket di selatan Thailand, manakala lebih banyak sampah menimbun di pulau itu sendiri, kawasan tumpuan pelancong yang lebih terkenal dengan pantai yang bersih dan matahari terbenam yang menakjubkan.


Di satu sudut pulau itu, trak dan traktor berpusing ke sana ke mari mengalihkan timbunan sampah di sekitar tapak pelupusan sampah yang luas, destinasi terakhir untuk kebanyakan lebih daripada 1,000 tan sisa yang dikutip di Phuket setiap hari.


Dalam beberapa bulan, tapak pelupusan telah berkembang dengan begitu besar dan telah menggantikan pemandangan gunung yang tenang sebelum ini dari rumah Vassana Toyou.


"Tiada kehidupan di luar rumah, (kami) hanya duduk di rumah. Baunya sangat kuat, anda perlu memakai topeng," katanya.


Untuk mengatasi bau busuk itu, Vassana berkata dia memastikan penyaman udara dan penapis udaranya dihidupkan sepanjang masa, sekali gus menggandakan bil elektriknya.


Phuket, pulau terbesar di Thailand, telah mengalami pembangunan pesat kerana sektor pelancongannya, pemacu utama ekonomi Thailand secara keseluruhan. Daripada 35.5 juta ketibaan asing di negara itu pada 2024, kira-kira 13 juta menuju ke pulau itu.


"Pertumbuhan bandar (Phuket) jauh lebih pesat daripada yang sepatutnya," kata Suppachoke Laongphet, timbalan datuk bandar perbandaran utama pulau itu, menjelaskan bagaimana ledakan pelancongan dan pembinaan telah meningkatkan jumlah sampah melebihi paras sebelum Covid-19.


Menjelang akhir tahun, pulau itu boleh menghasilkan sehingga 1,400 tan sampah sehari, mengatasi tapak pelupusan sampah tunggalnya, katanya.


Pihak berkuasa meneruskan rancangan untuk mengurangkan penjanaan sisa sebanyak 15 peratus dalam tempoh enam bulan, mengembangkan tapak pelupusan sampah dan membina insinerator baharu, ketika pulau itu berusaha untuk menjadi destinasi pelancongan yang lebih mampan.


Tetapi peningkatan kapasiti dan insinerator hanyalah sebahagian daripada penyelesaian, kata pakar.


"Jika anda terus mengembangkan lebih banyak insinerator sisa, saya tidak fikir itu hanya penyelesaiannya," kata Panate Manomaivibool, penolong profesor dalam pengurusan sisa di Burapha University.


"Mereka perlu memberi tumpuan kepada pengurangan dan pengasingan sisa."


Imej dron menunjukkan tapak pelupusan sampah bersebelahan Saphan Hin di Phuket, Thailand. - Foto Reuters.


Seorang pekerja memunggah sampah di tapak pelupusan. - Foto Reuters.