Ahad, 4 Julai 2021

Dua Individu Dikenal Pasti, Sanggup Meniarap Redah Kawat Berduri Mahu Loloskan Diri

Dua Individu Dikenal Pasti, Sanggup Meniarap Redah Kawat Berduri Mahu Loloskan Diri


Polis sedang giat memburu dua individu lelaki yang melarikan diri dari kawasan Projek Perumahan Rakyat (PPR) Pantai Ria, Pantai Dalam di ibu negara, petang tadi, yang kini di bawah Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD).


Identiti dua lelaki itu sudah dikenal pasti sementara seorang lagi belum diketahui identitinya. Kedua-dua mereka telah melarikan diri menerusi laluan belakang sungai PPR tersebut apabila berjaya melepasi halangan kawat duri.


Ketua Polis Daerah Brickfields Asisten Komisioner Anuar Omar berkata, individu pertama berusia 34 tahun di mana semakan mendapati dia memiliki enam rekod kesalahan dadah dan jenayah lain seperti samun, curi dan lain-lain.


Menurutnya, suspek kedua pula berusia 46 tahun dan mempunyai sembilan rekod jenayah lampau kes pecah rumah dan dadah. Laporan polis sudah dibuat jam 4.51 petang selepas tular video membabitkan tiga individu dilihat keluar dari kawasan PKPD.


"Hasil siasatan dua lelaki terbabit warga tempatan manakala seorang lagi tidak dapat dipastikan melarikan diri menerusi pagar berduri jenis dawai besi yang diletakkan di sekeliling blok berkenaan.


"Pemeriksaan polis di lokasi kejadian mendapati terdapat dawai besi rosak dan dipercayai digunakan tiga individu berkenaan untuk melarikan diri," katanya dalam kenyataan malam ini.


Anuar berkata, orang awam dinasihatkan untuk tidak membuat sebarang spekulasi berkaitan video tular itu dan hendaklah mematuhi semua peraturan ditetapkan kerajaan.


"Usaha mengesan individu terbabit sedang giat dijalankan. Kes ini disiasat mengikut Seksyen 22(b) Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988," katanya.


Sebelum ini, kerajaan telah memutuskan pelaksanaan PKPD di beberapa lokaliti di Kuala Lumpur bermula Sabtu sehingga 14 Julai.


Terdahulu, tular satu rakaman video di media sosial berdurasi 2 minit 4 saat itu menyaksikan cubaan kedua-dua lelaki berkenaan melepasi kawat duri dalam keadaan meniarap.


Kedua-dua mereka melarikan diri menerusi laluan belakang sungai PPR tersebut apabila berjaya melepasi halangan kawat duri. - Foto ihsan pembaca.

Dua daripada tiga suspek yang berjaya meloloskan diri. - Foto ihsan PDRM.
45 Terbunuh, Pesawat Tentera Filipina Membawa Lebih 100 Penumpang Terhempas

45 Terbunuh, Pesawat Tentera Filipina Membawa Lebih 100 Penumpang Terhempas


Setakat ini, seramai 45 orang dilaporkan terbunuh selepas pesawat tentera yang membawa lebih 100 penumpang terhempas di selatan Filipina hari ini.


Menteri Pertahanan, Delfin Lorenzana, dalam satu kenyataan, berkata setakat ini, 45 mayat ditemui dan 40 mangsa berjaya dibawa keluar dari bangkai pesawat pengangkut Lockheed C-130 yang terbakar.


Jurucakap tentera, Cirilito Sobejana, berkata, pesawat malang itu terbabas dari landasan dan gagal mengawal keadaan sebelum terhempas di sebuah perkampungan pergunungan di kota Patikul di wilayah Sulu.


"Pesawat itu membawa pasukan tentera dari Cagayan de Oro City di Mindanao apabila terhempas sekitar jam 11:30 pagi, waktu tempatan di Patikul, Sulu.


"Kita sudah mengeluarkan 45 mayat dan berjaya menyelamatkan 40 penumpang setakat ini. Pasukan keselamatan kini berada di lokasi kejadian dan kami berharap dapat selamatkan lebih ramai mangsa," katanya.


Setiausaha Kementerian Pertahanan, Delfin Lorenzana berkata, angka kematian boleh meningkat dalam tempoh terdekat.


Pesawat C-130 digunakan untuk mengangkut pasukan tentera dan bekalan. Pesawat itu juga digunakan untuk menyampaikan bantuan kemanusiaan dan bantuan bencana.


Kebanyakan penumpang dalam pesawat itu adalah pelajar akademi penerbangan yang sudah tamat pengajian dan akan ditempatkan di Jolo untuk membantu tentera Filipina menangani kegiatan pengganas.


Pasukan kerajaan Filipina sudah beberapa dekad berperang dengan kumpulan militan Abu Sayyaf yang menguasai sebahagian besar wilayah Sulu.


Pesawat tentera yang membawa lebih 100 penumpang terhempas di Filipina hari ini. - Foto Twitter.

Gambar fail menunjukkan pesawat pengangkut Lockheed C-130. - Foto Agensi.
Penemuan Artifak Ganjil Cetus Teori Makhluk Asing Pernah Jajah China

Penemuan Artifak Ganjil Cetus Teori Makhluk Asing Pernah Jajah China


Beberapa relik ganjil berusia ribuan tahun di China menyumbang kepada teori konspirasi bahawa makhluk asing purba pernah menjajah negara tersebut, lapor akhbar The Sun semalam.


Tumpuan kepada relik di Sanxingdui apabila China memulakan penyiasatan sendiri berhubung objek terbang tidak dikenali (UFO). Peninggalan bersejarah itu ditemui di wilayah Sichuan, barat daya China oleh seorang penduduk kampung pada 1929 dan berusia 3,000 tahun lalu semasa Zaman Gangsa.


Namun, penemuan artifak bermuka aneh dan bertelinga besar lagi runcing seperti wajah makhluk asing itu, telah mencetuskan teori bahawa makhluk angkasa lepas itu telah datang ke China.


"Beberapa patung dewi yang artistik tidak boleh didakwa sebagai makhluk asing," kata Lei Yu yang merupakan ahli arkeologi Institut Penyelidikan Peninggalan dan Arkeologi Wilayah Sichuan.


Ahli arkeologi China baru-baru ini menemui lebih daripada 500 relik di enam lubang korban purba yang diperbuat daripada batu zamrud yang serupa dengan relik asal yang ditemui. Ahli arkeologi percaya bahawa tapak itu adalah bekas ibu kota akhir Dinasti Xia yang memerintah dari tahun 2070 hingga 1600 Sebelum Masihi (SM).


Relik yang ditemui dipercayai berusia lebih 3,000 tahun. - Foto Getty Images.

Laporan Pentagon Amerika Syarikat (AS) yang ditunggu-tunggu tentang UFO diterbitkan bulan lalu. Dalam dokumen itu, pegawai-pegawai Pentagon berkata, biarpun tidak menemui apa-apa bukti tentang rakaman UFO oleh anggota tentera laut AS yang menunjukkan kehadiran makhluk asing, teori itu tidak boleh disingkirkan.


Luis Elizondo yang mengetuai Program Pengenalan Ancaman Aeroangkasa Lanjutan (AATIP) berkata, China mungkin berusaha untuk menerajui bidang siasatan mengenai UFO.


Namun, dia mengakui harus bersikap 'realistik' dan AS memerlukan banyak kepercayaan kepada China dan Rusia dalam isu yang begitu penting. Katanya, telah diketahui bahawa China telah menubuhkan pasukan untuk mengesan objek misteri dari luar angkasa itu.


Luis Elizondo, mengatakan bahawa dia percaya China mungkin cuba membawa perbincangan mengenai UFO ke PBB. Katanya, walaupun dia tidak berapa suka berkerja dengan musuh konvensional, dia tetap mengajak semua orang ke meja perbincangan.


"Saya percaya ini adalah topik yang melibatkan seluruh umat manusia. Saya rasa ia mempengaruhi kita semua walaupun berbeza fahaman, bergantung pada sistem kepercayaan falsafah, sosiologi dan teologi kita," katanya.


Penemuan relik berbentuk aneh di China mewujudkan teori penjajahan makhluk asing di negara itu. - Foto Barcroft Media via Getty Images.


Penemuan relik berbentuk aneh di China mewujudkan teori penjajahan makhluk asing di negara itu. - Foto Barcroft Media via Getty Images.
Syarat sertai gangster 'bakar' atau 'potong kaki', lelaki hampir maut

Syarat sertai gangster 'bakar' atau 'potong kaki', lelaki hampir maut


SYDNEY - Impian seorang lelaki untuk menyertai kumpulan gengster di Australia berakhir dengan tragedi apabila dia hampir maut berikutan syarat tidak masuk akal yang perlu dihadapinya.


Lapor Daliy Star pada 2 Julai 2021, Brodie McDougal, 22, disuruh memilih tiga syarat sebelum dibenarkan memasuki kumpulan gengster bermotosikal oleh seorang lelaki yang dikenali sebagai Callan Stuart Murray, 28.


McDougal percaya Murray boleh membantunya menyertai kumpulan tersebut. Antara tiga pilihan yang diberi oleh Murray untuk dipilih oleh McDougal termasuk dibakar dengan api, kesemua tulangnya dipatahkan atau kedua-dua kakinya dipotong.


Berdasarkan dokumen mahkamah, Murray mengajak McDougal pergi ke rumahnya di Mandurah, Perth pada 16 September 2019 sebelum memukul lelaki itu menggunakan kayu besbol.


McDougal menghabiskan tiga minggu di ICU dengan luka terbakar yang teruk. - Foto 7News.

Kemudian, Murray menuang petrol pada tubuh McDougal dan menyalakan api. Serangan tidak berperikemanusiaan itu berlangsung selama tiga jam.


Susulan insiden itu, Murray ditahan polis dan dihadapkan ke mahkamah. Pada Khamis lalu mahkamah di Australia Barat menjatuhkan hukuman penjara selama 10 tahun terhadap Murray, setelah mengaku bersalah atas tuduhan mencederakan dengan niat.


Mahkamah turut mengatakan bahawa Murray bukan anggota sepenuhnya dari mana-mana kumpulan bermotosikal, walaupun dia mengaku sebagai anggota kanan Bandidos MC yang terkenal.


Hakim Wendy Gillan menyifatkan jenayah itu sebagai 'menjijikkan', 'tidak masuk akal' dan 'tanpa belas kasihan.' Ketika kejadian itu, McDougal mengalami kecederaan serius akibat melecur dan dimasukkan ke hospital selama hampir sebulan.


Brodie McDougal di luar mahkamah pada Khamis lalu. Dia dijatuhkan hukuman penjara selama 10 tahun selepas dibicarakan sejak 2 tahun lalu. - Foto 7News.

Sabtu, 3 Julai 2021

Mahu Yang 'Garang' Dapat Yang 'Pemalu', 54 Anjing Polis Dilelong

Mahu Yang 'Garang' Dapat Yang 'Pemalu', 54 Anjing Polis Dilelong


Sebuah akademi polis di China akan melelong 54 ekor anjing kerana gagal memenuhi syarat ketika program latihan anjing polis. Haiwan itu dikatakan terlalu jinak untuk berkhidmat dalam tugas penguatkuasaan undang-undang.


Lapor laman berita United Press International semalam, Universiti Polis China yang terletak wilayah Liaoning mengumumkan bahawa anjing jenis German Sherpherd, Dutch Sherperd dan malinois Belgium itu akan dilelong pada 7 Julai ini. 


Semua haiwan itu didapati tidak layak untuk meneruskan latihan sebagai anjing polis atas pelbagai sebab termasuk mempunyai personaliti pemalu, kelemahan fizikal, kegagalan untuk mematuhi arahan dan tidak menggigit ketika diarah.


Setiap anjing itu akan dilelong pada harga bermula sekitar AS$30 (RM125). Pembeli perlu menandatangani surat perjanjian bagi mematuhi peraturan pemerintah dan memelihara anjing-anjing tersebut sebaik mungkin.


Mereka juga dilarang menjual anjing-anjing itu atau menyerahkannya kepada pemilik baharu. Kata seorang pegawai polis di Biro Polis Jiangning, anjing-anjing itu bukanlah anjing yang 'disingkirkan', ia cuma tidak mencapai tahap untuk menjadi anjing polis.


Pengumuman mengenai lelongan anjing tersebut mendapat perhatian netizen dengan hantaran mengenainya di platform media sosial Weibo mencatat 160 juta tontonan.


Sebahagian netizen bersimpati kepada anjing-anjing yang ditolak itu, tidak kurang juga yang berseloroh mengatakan pembeli yang bakal memenangi lelong tersebut harus merahsiakan asal anjing itu.


"Semasa membawa anjing pulang, pastikan untuk tidak memberitahu jiran anda bahawa mereka gagal dalam ujian," tulis seorang di Weibo.


"Bayangkan bagaimana rasanya apabila ibu bapa memberitahu orang lain bahawa anda gagal dalam ujian di sekolah," tulis seorang netizen lagi.


Seorang jurulatih sedang melatih seekor anjing polis di briged polis peronda di bandar Zhoushan. - Foto CNN.
Bomba Datang Selamatkan 'Si Bulus' Terperangkap Atas Pokok Mangga

Bomba Datang Selamatkan 'Si Bulus' Terperangkap Atas Pokok Mangga

Foto Nazri Abu Bakar.

Kebanyakan daripada kita hanya tahu bomba bertanggungjawab untuk memadamkan kebakaran sahaja. Namun, sebenarnya anggota bomba menggalas tugas lebih dari itu.


Kes-kes lain seperti menangkap haiwan berbisa di dalam rumah, menyelamatkan haiwan terperangkap, membaiki paip saluran, memotong besi dan sebagainya menjadi salah satu tugas yang mereka galas.


Terbaru, khidmat pasukan Bomba dan Penyelamat terpaksa dipanggil untuk menyelamatkan seekor kucing yang terperangkap di atas pokok mangga setinggi lima meter di Taman Paya Rumput Indah di Melaka.


Penduduk, Suria Ramli, 47 berkata, kejadian berlaku petang semalam apabila seekor anjing liar dilihat mengejar seekor kucing berdekatan kediamannya.


Menurutnya, penduduk bertindak menghalau anjing itu namun kucing itu didapati terperangkap di atas pokok dan gagal turun.


"Pelbagai usaha dilakukan penduduk untuk menurunkan kucing itu menggunakan tangga dan kayu namun gagal. Lebih panik apabila pokok itu dipenuhi kerengga menyebabkan kucing itu sukar untuk turun," katanya.


Sehubungan itu, pihak bomba Melaka Tengah Jalan Kubu dihubungi bagi membantu menyelamatkan kucing itu.


Sementara itu, Pegawai Bomba Kanan II,Khairudin Atan berkata, pihaknya menerima panggilan kira-kira jam 6.53 petang sebelum enam anggota dengan sebuah jentera dihantar ke lokasi.


Menurutnya, anggota bomba yang memanjat pokok itu bagaimanapun gagal menangkapnya apabila kucing berkenaan tiba-tiba terjun melarikan diri.

RM10,000 'Lesap' Gara-Gara Anak Beli Permainan Video Dalam Talian, Zarina Zainuddin Menggigil Satu Badan

RM10,000 'Lesap' Gara-Gara Anak Beli Permainan Video Dalam Talian, Zarina Zainuddin Menggigil Satu Badan


Demi jaminan masa depan anak-anak, lazimnya sebagai ibu bapa akan membuat perancangan kewangan seawal usia anak-anak mereka sebagai persediaan bagi pendidikan tinggi. Walaupun bermula dengan sedikit, lama-lama apabila terus menabung akan berganda jumlahnya.


Pun begitu, bukanlah suatu yang pelik bila jumlah tabungan yang sudah capai puluhan ribu ringgit habis dibelanjakan sekelip mata sahaja. Tetapi bila wang itu dibelanjakan pada benda yang tidak sepatutnya, pasti ibu bapa akan marah pada anak-anak mereka.


Ini sepertimana kisah yang dikongsikan oleh pelakon Zarina Zainuddin terkejut apabila anak bongsunya, Adam, 15, membelanjakan lebih RM10,000 untuk membeli tiga permainan video dalam talian sehingga wang simpanannya hanya berbaki RM3.


Zarina ketika dihubungi berkata, dia hilang kata-kata apabila wang simpanan sebanyak RM23,000 untuk kegunaan masa depan pendidikan anaknya itu kini hanya berbaki RM3.


"Selama ini, saya memang beri dia kad bank untuk mudahkan dia membeli data internet atau makanan dalam talian. Saya tak terfikir langsung yang dia akan menggunakan wang yang saya kumpul dalam akaun peribadinya untuk membeli permainan video itu.


"Menggigil satu badan apabila dapat tahu wang itu 'lesap'. Adam mengaku dia membeli tiga permainan video dalam talian yang setiap satunya berharga RM3,000 hingga RM5,000," katanya.


Terdahulu, Zarina berkongsi video di Instagram yang memperlihatkan Adam mengaku kesilapan yang dibuat dan berasa kesal dengan tindakannya itu. Bagaimanapun, Zarina sudah memadam video itu kerana dikecam netizen yang mendakwa pelakon itu menjatuhkan air muka dan membuka aib anaknya.


Zarina berkata, dia tidak berniat untuk mengaibkan anak bongsunya itu, sebaliknya mahu perkara ini menjadi iktibar dan teladan kepada ibu bapa lain. Dia sangat tegas dengan anak-anak dan jika buat salah kena mengaku kesilapan yang dibuat dan kena tanggung kesan kesalahan itu.


"Saya muat naik video itu bukan suka-suka atau nak aibkan anak. Saya cuma nak bagi teladan supaya ibu bapa di luar sana mengawasi pergerakan anak-anak di rumah, lagi-lagi dalam keadaan sekarang ini macam-macam boleh berlaku.



"Saya sudah memadam hantaran itu dan saya beritahu Adam yang saya nak dia menghargai apa yang saya lakukan untuknya selama ini. Sebagai ibu saya sangat terkesan dengan benda ini tapi orang luar tak faham perasaan saya. Mereka ingat saya muat naik video untuk tujuan nak malukan dia.


"Nak malu apa? Dia bukan mencuri atau merogol anak orang. Dia cuma beli permainan video menggunakan duit dia sendiri dengan jumlah yang begitu besar. Dia mencalarkan kepercayaan saya. Jadi apa yang malunya? Mereka yang kata macam ini tiada fikiran ke?


"Takkanlah nak simpan keburukan anak. Saya kongsi supaya orang luar juga ambil langkah sama dengan memantau pergerakan anak masing-masing. Saya dah terkena, jadi saya tak mahu orang lain pun sama," katanya. Sumber: Najiy Jefri/Harian Metro (01 July 2021).

Jumaat, 2 Julai 2021

Wanita warga emas acu sabit kerana berang ditegur pandu lawan arus

Wanita warga emas acu sabit kerana berang ditegur pandu lawan arus


CHERAS - Berang ditegur memandu lawan arus dipercayai menjadi punca wanita warga emas bertindak mengacukan sabit dan cuba memukul seorang lelaki dalam kejadian di sebuah kawasan perumahan Taman Bukit Segar, di sini, semalam.


Ketua Polis Daerah Kajang Asisten Komisioner Mohd Zaid Hassan berkata, satu laporan diterima pihaknya yang dibuat oleh lelaki terlibat mengenai tindakan wanita berusia 66 tahun itu.


"Siasatan awal mendapati kejadian berlaku apabila mangsa menegur wanita terbabit kerana memandu bertentangan di jalan sehala menyebabkan mengganggu pengguna yang lain di kawasan itu.


"Suspek kemudian keluar dan menunjukkan kad orang kurang upaya (OKU) sambil mengangkat tongkat diikat sabit serta cuba memukul mangsa," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.


Beliau berkata, bertindak atas laporan polis tersebut, wanita terbabit ditahan hari ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan. Orang ramai yang melihat kejadian terbabit diminta supaya tampil membantu siasatan.


Terdahulu, video berdurasi 1 minit 45 saat itu tular di media sosial sejak semalam, yang di muat turun berserta gambar di akaun Facebook AB Yong. Hantaran itu telah mendapat pelbagai reaksi netizen dan telah dikongsi lebih 16 ribu kali.


Seorang wanita OKU ditahan polis kerana mengacukan sabit dan cuba memukul seorang lelaki yang menegurnya memandu lawan arus di Taman Bukit Segar, Cheras.

Cuaca Panas Melampau Ancam Dunia, Hanya 2 Hari Hampir 500 Maut Di Kanada

Cuaca Panas Melampau Ancam Dunia, Hanya 2 Hari Hampir 500 Maut Di Kanada


Gelombang haba yang melanda Kanada dan Amerika Syarikat (AS) ketika ini dilaporkan meragut sejumlah nyawa dengan angka itu meningkat dua kali ganda hanya dalam tempoh sejam.


Dipetik dari lapor Utusan Malaysia 02 Julai 2021, hari ini, Perkhidmatan Koroner British Columbia memaklumkan, sebanyak 486 kematian berlaku hanya dua hari antara hari Khamis hingga Jumaat, berbanding 165 pada kebiasaannya.


"Masih terlalu awal untuk kaitkan berapa jumlah kematian dengan gelombang haba yang berlaku sekarang, namun kami tidak menolak kemungkinan peningkatan ini disebabkan oleh keadaan cuaca melampau di British Columbia," jelas agensi itu dalam kenyataan.


Wilayah utara Kanada berdepan dengan cuaca panas melampau sejak beberapa hari lalu sehingga ada hari merekodkan suhu setinggi 49.5 darjah Celsius di Lytton. Pakar meteorologi juga memberi amaran bahawa suhu lebih panas dijangka berlaku dalam tempoh beberapa hari akan datang.


Antara penduduk yang berkabung adalah Tara Moriarty apabila ibu mentuanya meninggal dunia akibat strok haba. "Situasi ketika ini amat teruk. Ibu mentua saya yang sihat tiba-tiba meninggal dunia akibat terkena strok haba di British Columbia," katanya.


Sebahagian kawasan hutan terbakar susulan cuaca panas melampau melanda British Columbia di Kanada. - Foto AFP.

Menurut perkongsian Moriarty dalam Twitternya lagi, "Strok haba boleh membunuh anda dengan begitu pantas. Sekiranya anda takut untuk pergi ke pusat penyejukan susulan pandemik Covid-19, anda perlu sentiasa memeriksa suhu apabila keadaan menjadi sangat panas," tulisnya.


Seorang anggota polis di Vancouver, Steve Addison berkata, mereka tidak pernah berdepan dengan situasi seperti ini dan amat sedih apabila ramai maut akibat gelombang haba.


Semua sekolah di Vancouver ditutup akibat keadaan cuaca ketika ini, selain pasukan bomba akan datang di rumah sekiranya penduduk memerlukan rumah mereka 'disejukkan'.


Gelombang haba turut dilaporkan melanda di India. Duhu waktu siang direkodkan atas 40 darjah Celsius untuk empat hari berturut-turut di beberapa negeri seperti Rajasthan, Haryana dan New Delhi.


Sebahagian besar kawasan di Punjab, Uttar Predesh dan Madhya Pradesh turut terkesan dengan gelombang haba tersebut. New Delhi mencatat suhu setinggi 43.1 darjah Celsius semalam.


Menurut rekod, fenomena cuaca panas melampau itu sudah meragut lebih 6,500 nyawa di negara ini sejak 2010 dan para saintis mendakwa perubahan iklim memburukkan lagi keadaan.

Khamis, 1 Julai 2021

Lelaki bawa durian lepaskan tembakan kerana dihalang masuk hotel

Lelaki bawa durian lepaskan tembakan kerana dihalang masuk hotel

Gambar Hiasan.

Seorang lelaki melepaskan tembakan selepas berang kerana dihalang untuk melawat isteri dan anak lelakinya berusia sembilan tahun di sebuah hotel kuarantin alternatif (ASQ) di Ao Nang di Krabi, Thailand.


Selepas melepaskan tembakan lelaki itu melulu ke bilik tempat keluarganya di kuarantin dan ketiga-tiganya mereka melarikan diri.


Menurut laporan The Nation, kejadian itu berlaku pada 7 pagi Selasa (waktu tempatan) di hotel, yang digunakan sebagai ASQ untuk individu yang berisiko dijangkiti Covid-19.


Lelaki itu dikatakan membawa buah tangan iaitu durian untuk isteri dan anaknya, tetapi dihalang oleh seorang pengawal keselamatan kerana semua pelawat dan durian tidak dibenarkan di premis hotel.


Dia yang berang, meninggalkan lobi hotel dan kembali kira-kira 15 minit kemudian dan cuba memasuki lif tetapi dihalang seorang pekerja hotel. Lelaki itu terus mengacukan pistol dan melepaskan tembakan ke arah tingkap.


Selepas kejadian itu suspek membawa isteri dan anaknya meninggalkan hotel tersebut. Bagaimanapun, polis berjaya mengesan lelaki itu di sebuah ladang ternakan ayam dan dia ditangkap pada petang Selasa.


Suspek dikatakan turut menembak seorang pekerja di ladang itu sebelum ditahan. Pekerja itu dikejarkan ke hospital dan dilaporkan dalam keadaan stabil.


Polis turut merampas sepucuk revolver 38 dengan lima butir peluru dan pistol 11mm yang mengandungi enam peluru.