Sabtu, 12 Jun 2021

Buaya Tersesat Di Pulau Gaya Berjaya Ditangkap Penduduk

Buaya Tersesat Di Pulau Gaya Berjaya Ditangkap Penduduk


KOTA KINABALU - Kehadiran seekor buaya disedari oleh penduduk Kampung Pondo, seawal jam 8 pagi sebelum rakaman video tular di media sosial mengenai penduduk kampung berusaha menangkap buaya terbabit.


Reptilia itu dianggarkan sepanjang empat meter dipercayai tersesat berhampiran perairan Pulau Gaya. Bagaimanapun buaya itu berjaya ditangkap penduduk kampung petang tadi.


Ketua Kampung Pulau Gaya, Rajit Serong, 60, berkata, dibimbangi mengancam keselamatan penduduk di kampung itu, penduduk mengekori reptilia terbabit dengan menggunakan bot.


Katanya, kelibat buaya berkenaan semakin jelas ketika air laut surut selain hanya berlegar-legar berhampiran pantai Kampung Lobong, sebelum penduduk bekerjasama menangkap reptilia berkenaan.


"Kami terus memasang jerat menggunakan tali sebelum akhirnya menangkapnya sekitar 5.30 petang. Kami kemudian menghubungi Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) untuk mendapatkan bantuan selanjutnya," katanya ketika dihubungi, hari ini.


Rajit berkata, ia adalah pengalaman pertama mereka menangkap reptilia berkenaan sejak tinggal di pulau berkenaan.


"Tujuan kami menangkap buaya berkenaan adalah kerana bimbang keselamatan penduduk di pulau ini terutamanya kanak-kanak. Ia juga boleh mendatangkan bahaya kepada nelayan di perkampungan sekitar pulau ini," katanya.


Buaya yang berjaya ditangkap penduduk di Kampung Lobong, Pulau Gaya.
Pengguna Peta Google Terkejut Menemui 'Makhluk Putih' Berdiri Dalam Lingkaran Seakan Melakukan Upacara Pelik

Pengguna Peta Google Terkejut Menemui 'Makhluk Putih' Berdiri Dalam Lingkaran Seakan Melakukan Upacara Pelik


Seorang pengguna aplikasi peta Google Earth menjadi tular apabila berkongsi rakaman menunjukkan sekumpulan individu berkelubung putih di sebuah bandar tidak berpenghuni di Nevada, Amerika Syarikat (AS).


Menurut lapor akhbar Daily Star 06 Jun 2021 lalu, seorang pengguna TikTok dikenali Jason Cline, menyedari penemuan pelik itu ketika sedang menggunakan aplikasi itu di beberapa negeri di AS.


Jason Cline berkata, ketika dia menukar mod peta menjadi pemandangan jalan, dia melihat sebuah rumah terbengkalai di sebelah ladang dengan tanda bulat di tanah.


Di suatu tempat yang tidak jauh dari rumah tersebut, kelihatan seorang 'lelaki menyeramkan serba putih' sedang memegang basikal. Dia juga mengatakan beberapa lagi 'makhluk' putih berada dalam lingkaran seakan melakukan upacara pelik.



"Kamu pernah melihat padang pasir, seperti ini? Cuba anda perhatikan klip ini dan anda akan menyedari satu lingkaran objek yang kelihatan seperti cap jari.


"Apabila saya menukar mod menjadi pemandangan jalan, saya ternampak sekumpulan manusia berkelubung putih sedang mengerumuni lingkaran cap jari itu," tulis Jason Cline.


Klip rakaman itu mendapat lebih 17 juta tontonan sebelum misteri itu akhirnya dirungkai. Salah seorang pengguna Google Earth memberitahu bahawa imej tersebut merupakan satu pameran seni di sebuah bandar tidak berpenghuni, Rhyolite di Death Valley.


Kumpulan individu berkelubung putih menyeramkan itu dikenali sebagai 'Jamuan Terakhir' yang dicipta oleh artis Belgium, Albert Szukalski. "Saya pernah ke sana. Ini adalah Muzium Udara Terbuka Goldwell," komen seorang pengguna media sosial.



Pekerja Hospital Kantoi Guna Kad Bank Pesakit Covid-19 Yang Baru Meninggal Dunia

Pekerja Hospital Kantoi Guna Kad Bank Pesakit Covid-19 Yang Baru Meninggal Dunia


BIRMINGHAM - Seorang pekerja kesihatan tergamak menggunakan kad bank seorang pesakit yang sudah meninggal dunia akibat Covid-19 untuk membeli makanan ringan di sebuah mesin layan diri.


Difahamkan, pesakit berusia 83 tahun itu baru meninggal dunia dalam tempoh 17 minit di Hospital Birmingham’s Heartlands. Petugas hospital itu mengaku menggunakan kad debit pesakit yang telah mati.


Disebabkan itu, Ayesha Basharat, 23, dihadapakn ke mahkamah Birmigham dan dihukum penjara kerana menyalahgunakan kad bank milik pesakit semasa bertugas di wad pesakit Covid-19. 


Tindakannya itu berjaya dirakam oleh kamera litar tertutup (CCTV) semasa membuat pembelian sebanyak enam pound (RM35). Dia kemudian membuat pembelian 1 pound (RM6) pada sebelah petang.


Seterusnya, Basharat cuba untuk menggunakannya lagi selepas kembali bekerja empat hari kemudian tetapi terbatal kerana kad itu sudah tidak aktif lagi. Kedai tersebut bertindak menghubungi polis dan kad tersebut masih bersama pelaku.


Wanita yang berasal dari Sparkbrook, Birmingham itu, pada mula mendakwa dia terjumpa kad bank itu di lantai dan menyatakan dia keliru dengan kad miliknya.


Bagaimanapun, pihak berkuasa menyatakan bahawa kedua-dua kad tersebut memiliki warna yang berbeza. Basharat telah ditahan atas tuduhan pencurian dan penipuan dengan pernyataan palsu. Rujukan: BBC News (7/6/2021), Jackie Salo/New York Post (10/6/2021).


Ayesha Basharat dihukum penjara selepas menyalahgunakan kad bank pesakit di Hospital Birmingham.
Siapa sangka, duit syiling ini berjaya dilelong RM80.2 juta

Siapa sangka, duit syiling ini berjaya dilelong RM80.2 juta


Peminat dan pengumpul syiling sudah pastinya tidak akan melepaskan peluang untuk memiliki duit syiling 'rare' untuk menambah koleksi simpanan mereka, lebih-lebih lagi jika ianya tiada pedua dan sudah berusia ratusan tahun yang pastinya menyimpan nilai sejarah dan kisahnya tersendiri.


Baru-baru ini, sekeping duit syiling dijual pada harga AS$19.5 juta (kira-kira RM80.2 juta) menerusi acara lelongan di pusat lelongan Sotheby's dan dikategorikan sebagai duit syiling emas terakhir dalam sistem kewangan.


Prajualan syiling itu bermula pada harga antara AS$10 juta hingga AS$15 juta (kira-kira RM41.1 juta hingga RM61.7 juta). Ia juga meleburkan rekod nilai jualan syiling perak Flowing Hair 1794 yang dijual dengan harga AS$10 juta (kira-kira RM41.1 juta) pada 2013.


Duit syiling emas Amerika Syarikat (AS) 1933 itu tidak lagi dikeluarkan selepas Presiden AS Franklin D Roosevelt mengeluarkannya dari standard emas AS. Duit syiling AS$20 (kira-kira RM82) itu direka oleh pengukir AS, Augustus Saint-Gaudens.


Menurut AFP, syiling emas berkenaan memaparkan imej Lady Liberty pada satu bahagian, manakala helang pada satu lagi bahagian. Ia juga dianggap sebagai duit syiling yang paling diingini dan tidak mengecewakan pemiliknya.


Syiling ini adalah duit syiling emas terakhir AS dalam edaran, tetapi tidak pernah digunakan secara sah. Pada tahun berkenaan, Roosevelt mengeluarkan AS daripada piawaian emas dalam usaha untuk meningkatkan semula ekonomi daripada kemelesetan teruk.


Duit syiling berkenaan diarahkan untuk dimusnahkan, namun dua daripadanya diserahkan kepada Institusi Smithsonian. Bagaimanapun, pada 1937, syiling itu berada di dalam pasaran.


Siasatan Perkhidmatan Rahsia pada 1944 mendapati ia dicuri daripada simpanan kerajaan AS dan disimpan secara haram.

Buaya Ganas Sudah Membaham 80 Orang Akhirnya Berjaya Ditangkap

Buaya Ganas Sudah Membaham 80 Orang Akhirnya Berjaya Ditangkap


Seekor buaya yang telah membaham 80 orang termasuk kanak-kanak akhirnya berjaya ditangkap di sebuah kampung di Luganga, Uganda. Ia ditangkap selepas reptilia itu memakan umpan paru-paru lembu.


Memetik lapor The Sun (11/6/2021), buaya yang diberikan nama 'Osama' itu dianggarkan berusia 75 tahun dipercayai telah melakukan sejumlah pembunuhan kejam, yang mula mengganas sejak 14 tahun lalu di kampung kecil Luganga.


Reptilia sepanjang lima meter itu sebelum ini menjadikan penduduk kampung termasuk kanak-kanak sebagai mangsa. Haiwan itu kebiasaannya muncul di Sungai Victoria untuk mencari mangsa.


Osama juga dikatakan akan berenang di bawah perahu nelayan sebelum menterbalikkannya dan membaham mangsa. Penduduk menganggap buaya ini memiliki 'kuasa' sehingga dapat hidup untuk tempoh yang panjang.


Dalam pada itu, seorang lelaki yang menyaksikan dan terselamat dari serangan buaya yang menakutkan itu, menceritakan mengenai rentetan saudaranya yang diserang buaya berkenaan.


Paul Kyewalyanga berkata, ketika kejadian, dia mendayung perahu untuk memancing, tiba-tiba buaya 'melompat' dan membaham saudaranya, Peter.


Berat reptilia itu menyebabkan perahu dinaiki mereka tenggelam ke dalam sungai dan buaya itu menggigit kaki mangsa. Peter kemudian ditarik ke dalam sungai sebelum hilang dari pandangan. Beberapa hari kemudian mereka menjumpai kepala dan lengannya.


Sekumpulan 50 lelaki yang terdiri daripada penduduk tempatan dan pegawai hidupan liar telah melakukan pengintipan selama tujuh hari siang dan malam, memikat reptilia itu ke dalam perangkap menggunakan paru-paru lembu sebagai umpan.


Ketika Osama dilaporkan melompat untuk mengambil paru-paru, dia secara tidak sengaja menggigit jerat yang disembunyikan dalam umpan tersebut, buaya kejam itu akhirnya ditangkap.


Buaya berusia 75 tahun dikenal sebagai 'Osama' di lihat sedang berjalan di sebuah perkampungan kecil Luganga, di luar Tasik Victoria. - Foto AFP.

Jumaat, 11 Jun 2021

Berang kereta dipinjam ditinggalkan tepi jalan, majikan bakar motosikal pekerjanya

Berang kereta dipinjam ditinggalkan tepi jalan, majikan bakar motosikal pekerjanya


TASEK GELUGOR - Kerana berang kepada seorang pekerjanya tidak menjaga dengan elok kereta yang dipinjamkannya dengan meninggalkan di tepi jalan, seorang majikan bertindak keterlaluan dengan membakar motosikal pekerjanya itu. 

Bagaimanapun, perbuatan khianat pengusaha kilang memproses ayam berusia 40 tahun itu menerima balasan selepas dia ditahan polis kira-kira pukul 1 petang semalam, susulan polis menerima laporan daripada mangsa.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd. Noor berkata, dalam kejadian pukul 6 petang Selasa lalu itu, suspek bertindak sedemikian kerana tidak berpuas hati dengan pekerjanya berusia 35 tahun tersebut. 

Kata beliau, suspek pada mulanya meminjamkan kereta kepada pekerjanya itu pada Isnin lalu yang mahu berjumpa kawannya di Kubang Menerong, dekat sini. Bagaimanapun jelas beliau, pekerjanya itu mendakwa kereta tersebut kehabisan minyak dan meninggalkannya di tepi jalan.

"Hasil siasatan mendapati punca kejadian adalah kerana suspek tidak berpuas hati terhadap mangsa yang menggunakan keretanya untuk bertemu rakan sehingga kehabisan minyak sebelum ditinggalkan di tepi jalan.

"Suspek dan mangsa keesokannya pergi semula ke lokasi kereta ditinggalkan namun selepas diisi minyak, kenderaan itu tidak boleh bergerak kerana rosak.

"Akibat itu, suspek berang dan tidak berpuas hati lalu membakar motosikal pekerjanya dan kejadian itu disaksikan ibu serta jiran suspek yang cuba menghalangnya, namun tidak dihiraukan bahkan suspek mengambil gambar motosikal dalam keadaan terbakar dan menghantar kepada mangsa," katanya.

Menurut Noorzainy, kejadian itu disedari mangsa selepas majikannya itu menghantar gambar motosikal tersebut yang sedang terbakar kepadanya lalu membuat laporan polis. Siasatan mendapati motosikal itu ditinggalkan mangsa di tempatnya bekerja sejak minggu lalu kerana mengalami kerosakan.

Beliau berkata, siasatan turut mendapati suspek tidak mempunyai sebarang rekod lampau dan ujian saringan air kencing juga mendapati dia negatif dadah. Kes disiasat mengikut Seksyen 435 Kanun Keseksaan.
'Saya Harap Naga Tasik Chini Bangun' Kata Sara Ali Terkejut Melihat Kemusnahan Tasik Itu

'Saya Harap Naga Tasik Chini Bangun' Kata Sara Ali Terkejut Melihat Kemusnahan Tasik Itu


Masa depan Tasik Chini yang terkenal dengan mitos kewujudan naga dan destinasi tarikan eko pelancongan semakin kelam apabila penerokaan tanah serta perlombongan berhampiran dikesan terus berleluasa.


Sebelum ini sebuah portal berita melaporkan kerajaan Pahang telah meluluskan kerja perlombongan di sekitar Tasik Chini di Pekan kepada sebuah syarikat di sebalik rancangan untuk memulihkannya.


Ia sekaligus menimbulkan masalah termasuk kerosakan kualiti air tasik semakin buruk, kehidupan marin dalam air bertambah kurang, gangguan ekologi dan kepupusan biodiversiti.


Kegiatan perlombongan berhampiran Tasik itu turut mendapat perhatian pelakon Sara Ali, akibat terkejut melihat kemusnahan alam yang berlaku terhadap sebuah lokasi pelancongan popular yang terletak di Pekan, Pahang itu.


Menerusi satu hantaran yang dimuat naik dalam Instagramnya, Sara Ali, 31, berkongsi kenangan lewat zaman kanak-kanaknya yang pernah menikmati keindahan lanskap Tasik Chini, namun kini telah musnah kerana sikap tamak manusia menggondol hasil hutan.


"Masa kecil ayah saya selalu bawa kami anak-beranak pergi Tasik Chini naik bot. Saya selalu ditakutkan dengan cerita ada naga di bawah tasik itu. Mungkin itu adalah salah satu cara supaya saya dengar cakap supaya tidak meletakkan jari di dalam air ketika bot sedang bergerak.


"Saya pernah melihat keindahan Tasik Chini ketika masih kecil. Tapi sekarang sudah tidak sama lagi. Kalau betul dalam Tasik Chini ada naga, saya harap naga itu bangun dan melihat sendiri kemusnahan yang berlaku kepada Tasik Chini," tulisnya.


Pelakon telemovie Split itu juga tidak menyangka dan berasa sangat terkilan dengan kemusnahan yang berlaku terhadap Tasik Chini yang dahulunya cukup indah. Walaubagaimanapun dia percaya akan kuasa Tuhan dan Alam.


"Saya tidak tahu sama ada generasi akan datang berpeluang untuk melihat keindahan Tasik Chini atau tidak. Kalau hendak dipulihkan semula akan mengambil masa yang lama," ujarnya yang juga seorang penggemar aktiviti kembara jalan kaki atau hiking.


Dia yang mempunyai susur galur keluarga berasal dari Kuala Lipis, Pahang ini percaya kemusnahan yang berlaku pada alam pada ketika ini perlu 'dibayar' oleh manusia sendiri pada masa akan datang.


"Sejujurnya saya tidak berniat untuk sakitkan hati atau menuduh sesiapa tentang apa yang berlaku. Cuma saya meluahkan rasa sedih melihat kemusnahan tersebut. Tidak mustahil Tasik Chini hanya tinggal pada nama sahaja suatu hari nanti jika kemusnahan terus berlaku," katanya. Sumber: Mohd Shahemy Azmi/Kosmo (10/6/2021).


Sara Ali berkongsi foto menunjukkan bentuk muka bumi sekitar Tasik Chini yang kini musnah akibat kerakusan manusia.
Kisah 'Pintu Neraka' Di Gurun Karakum, Apinya Terus Menyala Hingga Kini

Kisah 'Pintu Neraka' Di Gurun Karakum, Apinya Terus Menyala Hingga Kini


Di dunia ini terdapat banyak tempat yang mempunyai kisah misteri dan masa lalu menyeramkan. Tempat yang seram itu tidak semestinya soal hantu atau alien, tetapi apapun tempatnya pasti memberi kesan mengerikan.


Terletak di padang pasir Karakum, Turkmenistan tengah, ada satu kawah yang terbakar selama lebih dari 50 tahun tanpa henti, nampaknya tidak telalu berlebihan jika kita gelarnya sebagai 'Pintu Neraka' kan?


Tidak banyak yang diketahui oleh dunia sains mengenai asal usul Darvaza. Namun, kisah yang paling sering diceritakan adalah pada tahun 1971, ketika Turkmenistan masih menjadi sebahagian daripada Kesatuan Soviet.


Sekumpulan jurutera petrokimia mencari telaga minyak di sebuah gurun di Darwaza, Ashgabat di Turkmenistan ketika itu. Setelah mencari lokasi yang berpotensi, mereka mula menggerudian. Namun mereka kemudian menyedari kawasan berkenaan sebenarnya mengandungi simpanan gas asli lain iaitu metana.


Akibat kerja berkenaan, tanah di situ mula runtuh lalu membentuk kawah besar. Para penyelidik memutuskan untuk menyalakan api di kawah Darvaza dengan harapan semua gas di kawasan itu terbakar dan hilang dalam masa beberapa minggu.


Namun, anggaran mereka melesat apabila kawah itu terus menyala sehingga hari ini. Daripada tapak cari gali minyak, ia bertukar menjadi tarikan pelancong dari dalam dan luar negara kerana keunikan api di dalam kawah itu.



Terletak di Gurun Karakum, kawah itu terus menyala sehingga kini dan digelar sebagai 'Pintu Neraka' atau Door to Hell. Memetik web My Modern Met, kawah itu memiliki kedalaman 30 meter dan 69 meter lebar.


Kesannya, kawasan gurun yang sebelum ini tiada tarikan, menjadi topik bualan sehingga bertukar menjadi aset pelancongan. Sehinggakan terdapat poster besar yang menyambut kehadiran pelancong ke negara itu dengan kata-kata 'Pintu Neraka'.


Walaupun tiada pengangkutan terus ke situ, semua bas yang menuju ke utara dari Ashgabat ke Dashoguz akan melalui kawasan berkenaan. Biarpun tidak beracun, gas itu memberi masalah kerana banyak haiwan yang mati akibat terhidu metana.


Terpesona dengan suasana serta api yang membara, ia turut menarik minat labah-labah tempatan yang terjun ke lubang berkenaan. 


Pada 2010, Presiden Turkmenistan, Kurbanguly Berdymukhamedov menyatakan kebimbangan kawah terbabit akan memberi kesan kepada aktiviti berhampiran lokasi itu.



Restoran Unik Dihiasi Wang Kertas RM8.2 Juta Jadi Perhatian Ramai

Restoran Unik Dihiasi Wang Kertas RM8.2 Juta Jadi Perhatian Ramai


Sebuah restoran di Florida menggantung helaian wang kertas pada bahagian siling restoran menjadi perhatian ramai kerana keunikan hiasan dalamannya. Jumlah nilai wang kertas itu dianggarkan mencecah AS$2 juta (RM8.2 juta).


Sejarah hiasan unik di McGuire’s Irish Pub itu bermula pada tahun 1977 apabila pemiliknya, Martin McGuire dan isterinya, Molly McGuire memulakan perniagaan tersebut.


Apabila Molly mendapat wang tips pertamanya daripada pelanggan yang bernilai AS$1 (RM4.10), dia meraikan kejayaan tersebut dengan cara menulis tarikh pada wang kertas itu dan menggantungkannya di bahagian belakang kaunter bar untuk membawa tuah.


Bermula dari itu, para pelanggan restoran tersebut turut melakukan tindakan yang sama dengan melekat dan menggantung wang kertas dalam restoran tersebut.


"Restoran seluas 1,393.5 meter persegi ini mempunyai banyak wang kertas yang digantung di setiap sudut siling dan dinding. Kami mengira nilainya setiap tahun dan membayar cukai bagi setiap pertambahan jumlahnya," ujar Martin dalam satu temu bual dengan akhbar Chicago Tribune pada tahun 1999.



Ketika temu bual itu, Martin menganggarkan nilai wang kertas tersebut adalah kira-kira AS$175,000 (RM720,600), namun kini angka itu sudah meningkat sekitar hampir AS$2 juta (RM8.2 juta). Dalam pada itu, disebabkan hiasan wang kertas tersebut, banyak kejadian kecurian dan cubaan mencuri dilaporkan berlaku di McGuire’s Irish Pub.


Katanya, seorang pekerja pernah tertangkap kerana melakukan percubaan mengeluarkan kira-kira AS$5,000 (RM24K) wang kertas tesebut. Ada juga individu yang turut dilaporkan cuba menggunakan wang kertas yang dicuri untuk membayar bil di sekitar Pensacola.


Bagaimanapun, semua cubaan itu gagal kerana wang kertas yang digantung mempunyai tanda tangan di atasnya dengan lubang alat penebuk. Maka sukar untuk membelanjakannya tanpa ada yang menyedarinya.


Selain itu, ada juga cubaan menukar wang kertas yang dicuri itu di bank tempatan. Namun, juruwang menyedari bahawa wang itu dari McGuire’s Irish Pub dan memberitahu kepada pengurusnya, pada masa itu suspek menjadi bimbang dan bertindak meninggalkan bangunan itu. Sumber: Spooky/Oddity Central (9/6/2021).




Khamis, 10 Jun 2021

Kawanan Gajah 'Tertidur' Selepas Tempuh Pengembaraan 500 Kilometer Tanpa Destinasi

Kawanan Gajah 'Tertidur' Selepas Tempuh Pengembaraan 500 Kilometer Tanpa Destinasi


Sekumpulan gajah liar di barat daya China menarik perhatian jutaan penduduk negara itu kerana sepanjang pengembaraan kawanan 15 gajah setakat ini sudah menyebabkan kerosakan lebih dari AS$1 juta (RM4.13 juta).


Televisyen nasional China melancarkan siaran 24 jam secara langsung untuk memerhatikan setiap pergerakan haiwan tersebut, selepas kawanan gajah itu merempuh rumah dan tanaman sepanjang perjalanan mereka di wilayah Yunnan.


Rakaman stesen penyiar CCTV menunjukkan kawanan terbabit berehat di sebuah hutan di pinggir ibu kota wilayah Kunming, selepas kepenatan melakukan perjalanan sejauh 500 kilometer (km) merentasi laluan yang tidak pernah diguna sebelum ini.


Pengembaraan kawanan itu menarik perhatian seluruh negara sehingga ratusan juta netizen di media sosial membincangkan mengenainya. Gajah berkenaan diawasi dengan teliti oleh pihak berkuasa ketika mereka melewati kawasan perkampungan.



Lebih daripada 400 orang digerakkan untuk memastikan keselamatan awam dan puluhan dron kini mengikuti setiap langkah kawanan gajah itu. Konvoi trak ditempatkan bagi menghalang jalan untuk mengelakkan kawanan itu memasuki kawasan berpenduduk padat di Kunming, yang dihuni lebih daripada lapan juta orang.


Pihak berkuasa daerah mengingatkan penduduk kampung supaya jangan meninggalkan jagung atau garam di halaman rumah mereka kerana boleh menarik perhatian haiwan berkenaan. Penduduk di kawasan tertentu turut dipindahkan.


Sementara itu menurut SCMP, pihak berkuasa telah menyediakan lebih dua tan makanan untuk mengumpan gajah-gajah berkenaan bagi memastikan mereka berada pada laluannya.



Pakar tidak dapat memastikan kenapa kumpulan gajah berkenaan melakukan pengembaraan sebegitu jauh daripada habitat asalnya. Sebahagian individu percaya migrasi itu bertitik tolak daripada saiz hutan yang mengecil, memaksa gajah-gajah itu berpindah.


Sementara itu, sebahagian lain berpendapat kumpulan gajah berkenaan berkemungkinan sedang sesat. "Sedih, kita tak tahu bila mereka akan sampai ke destinasi," tulis salah seorang pengguna Weibo seperti dipetik CNN. Sumber: Berita Harian, CNN


Imej diedarkan CCTV menunjukkan kawanan 15 gajah sedang melakukan perjalanan merentasi laluan yang tidak pernah diguna sebelum ini.

Imej diedarkan CCTV menunjukkan sebahagian daripada kawanan gajah berehat di sebuah hutan berhampiran Kunming, China.

Imej diedarkan CCTV menunjukkan sebahagian daripada kawanan gajah berehat di sebuah hutan berhampiran Kunming, China.