Khamis, 10 Jun 2021

Kawanan Gajah 'Tertidur' Selepas Tempuh Pengembaraan 500 Kilometer Tanpa Destinasi


Sekumpulan gajah liar di barat daya China menarik perhatian jutaan penduduk negara itu kerana sepanjang pengembaraan kawanan 15 gajah setakat ini sudah menyebabkan kerosakan lebih dari AS$1 juta (RM4.13 juta).


Televisyen nasional China melancarkan siaran 24 jam secara langsung untuk memerhatikan setiap pergerakan haiwan tersebut, selepas kawanan gajah itu merempuh rumah dan tanaman sepanjang perjalanan mereka di wilayah Yunnan.


Rakaman stesen penyiar CCTV menunjukkan kawanan terbabit berehat di sebuah hutan di pinggir ibu kota wilayah Kunming, selepas kepenatan melakukan perjalanan sejauh 500 kilometer (km) merentasi laluan yang tidak pernah diguna sebelum ini.


Pengembaraan kawanan itu menarik perhatian seluruh negara sehingga ratusan juta netizen di media sosial membincangkan mengenainya. Gajah berkenaan diawasi dengan teliti oleh pihak berkuasa ketika mereka melewati kawasan perkampungan.



Lebih daripada 400 orang digerakkan untuk memastikan keselamatan awam dan puluhan dron kini mengikuti setiap langkah kawanan gajah itu. Konvoi trak ditempatkan bagi menghalang jalan untuk mengelakkan kawanan itu memasuki kawasan berpenduduk padat di Kunming, yang dihuni lebih daripada lapan juta orang.


Pihak berkuasa daerah mengingatkan penduduk kampung supaya jangan meninggalkan jagung atau garam di halaman rumah mereka kerana boleh menarik perhatian haiwan berkenaan. Penduduk di kawasan tertentu turut dipindahkan.


Sementara itu menurut SCMP, pihak berkuasa telah menyediakan lebih dua tan makanan untuk mengumpan gajah-gajah berkenaan bagi memastikan mereka berada pada laluannya.



Pakar tidak dapat memastikan kenapa kumpulan gajah berkenaan melakukan pengembaraan sebegitu jauh daripada habitat asalnya. Sebahagian individu percaya migrasi itu bertitik tolak daripada saiz hutan yang mengecil, memaksa gajah-gajah itu berpindah.


Sementara itu, sebahagian lain berpendapat kumpulan gajah berkenaan berkemungkinan sedang sesat. "Sedih, kita tak tahu bila mereka akan sampai ke destinasi," tulis salah seorang pengguna Weibo seperti dipetik CNN. Sumber: Berita Harian, CNN


Imej diedarkan CCTV menunjukkan kawanan 15 gajah sedang melakukan perjalanan merentasi laluan yang tidak pernah diguna sebelum ini.

Imej diedarkan CCTV menunjukkan sebahagian daripada kawanan gajah berehat di sebuah hutan berhampiran Kunming, China.

Imej diedarkan CCTV menunjukkan sebahagian daripada kawanan gajah berehat di sebuah hutan berhampiran Kunming, China.


EmoticonEmoticon