Jumaat, 11 Jun 2021

Berang kereta dipinjam ditinggalkan tepi jalan, majikan bakar motosikal pekerjanya


TASEK GELUGOR - Kerana berang kepada seorang pekerjanya tidak menjaga dengan elok kereta yang dipinjamkannya dengan meninggalkan di tepi jalan, seorang majikan bertindak keterlaluan dengan membakar motosikal pekerjanya itu. 

Bagaimanapun, perbuatan khianat pengusaha kilang memproses ayam berusia 40 tahun itu menerima balasan selepas dia ditahan polis kira-kira pukul 1 petang semalam, susulan polis menerima laporan daripada mangsa.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd. Noor berkata, dalam kejadian pukul 6 petang Selasa lalu itu, suspek bertindak sedemikian kerana tidak berpuas hati dengan pekerjanya berusia 35 tahun tersebut. 

Kata beliau, suspek pada mulanya meminjamkan kereta kepada pekerjanya itu pada Isnin lalu yang mahu berjumpa kawannya di Kubang Menerong, dekat sini. Bagaimanapun jelas beliau, pekerjanya itu mendakwa kereta tersebut kehabisan minyak dan meninggalkannya di tepi jalan.

"Hasil siasatan mendapati punca kejadian adalah kerana suspek tidak berpuas hati terhadap mangsa yang menggunakan keretanya untuk bertemu rakan sehingga kehabisan minyak sebelum ditinggalkan di tepi jalan.

"Suspek dan mangsa keesokannya pergi semula ke lokasi kereta ditinggalkan namun selepas diisi minyak, kenderaan itu tidak boleh bergerak kerana rosak.

"Akibat itu, suspek berang dan tidak berpuas hati lalu membakar motosikal pekerjanya dan kejadian itu disaksikan ibu serta jiran suspek yang cuba menghalangnya, namun tidak dihiraukan bahkan suspek mengambil gambar motosikal dalam keadaan terbakar dan menghantar kepada mangsa," katanya.

Menurut Noorzainy, kejadian itu disedari mangsa selepas majikannya itu menghantar gambar motosikal tersebut yang sedang terbakar kepadanya lalu membuat laporan polis. Siasatan mendapati motosikal itu ditinggalkan mangsa di tempatnya bekerja sejak minggu lalu kerana mengalami kerosakan.

Beliau berkata, siasatan turut mendapati suspek tidak mempunyai sebarang rekod lampau dan ujian saringan air kencing juga mendapati dia negatif dadah. Kes disiasat mengikut Seksyen 435 Kanun Keseksaan.


EmoticonEmoticon