Sabtu, 25 April 2026

Seleweng dana NGO: SPRM jangka akan ada tangkapan susulan berkait pengubahan wang haram - Azam Baki

Seleweng dana NGO: SPRM jangka akan ada tangkapan susulan berkait pengubahan wang haram - Azam Baki


Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) tidak menolak kemungkinan akan ada tangkapan lanjut berkait kes penyelewengan dana badan bukan kerajaan (NGO), khususnya di bawah peruntukan pengubahan wang haram.


Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata selain penyelewengan dana RM230 juta di Selangor, tangkapan susulan juga mungkin diadakan berkait satu lagi kes membabitkan NGO di Negeri Sembilan.


Bagaimanapun, beliau berkata sebarang perkembangan termasuk tangkapan lanjut akan dibuat seiring perkembangan siasatan.


"Jika terdapat individu yang didapati terbabit atau bersubahat, kami mungkin akan memanggil atau menahan mereka bagi membantu siasatan," katanya kepada media pada Majlis Penyerahan Masjid Kariah Kampung Terentang Padang Lebar di Batu Kikir, dekat Kuala Pilah di Negeri Sembilan.


Mengulas perkembangan kes di Selangor, beliau berkata seorang daripada tiga suspek yang ditahan berhubung kes penyelewengan dana awam itu dibebaskan dengan jaminan, dengan tempoh reman bagi dua lagi suspek yang akan tamat esok dijangka dilanjutkan.


"Kami akan memohon lanjutan reman kerana memerlukan lebih masa untuk mendapatkan dokumen bank serta merakam keterangan saksi-saksi berkaitan," katanya.


Tambah Azam lagi, siasatan untuk kes berkenaan yang membawa kepada penemuan aset dan dana dianggarkan kira-kira RM230 juta, kini mencapai tahap 85 peratus.


"Aset berkenaan termasuk empat bidang tanah, tujuh rumah, tiga unit pejabat, 18 kenderaan dan barangan berharga lain.


"Kami sedang menjalankan siasatan dan kira-kira 40 saksi dikenal pasti untuk dipanggil membantu siasatan," katanya.


Mengulangi kenyataan bahawa kes ini tidak membabitkan penyalahgunaan dana zakat, Azam berkata ia sebaliknya tertumpu kepada sebuah NGO yang mengumpul sumbangan awam di bawah konsep fisabilillah.


"NGO itu menerima komisen daripada kutipan dengan mengekalkan 60 peratus, manakala 40 peratus lagi disalurkan kepada negeri-negeri berkaitan.


"Namun, dana itu disalahgunakan untuk tujuan peribadi serta bagi kepentingan ahli keluarga," katanya.


Tambahnya lagi, SPRM akan terus menyita aset dan dana dipercayai berkaitan kes ini bagi menentukan sama ada ia diperoleh secara sah.


Untuk kes di Negeri Sembilan pula, Azam mengesahkan SPRM menyita wang tunai dan akaun bank membabitkan nilai lebih RM18 juta yang dikaitkan dengan sebuah NGO yang disyaki menyalahgunakan sumbangan awam.


Setakat ini, katanya keterangan 15 saksi sudah pun dirakam dan pihaknya menjangkakan akan memanggil 14 hingga 15 individu lain untuk membantu siasatan.


Sementara itu, Azam memaklumkan untuk kedua-dua kes dia atas, siasatan mungkin menghadapi kelewatan berikutan keperluan mendapatkan dokumen perbankan, khususnya bagi rekod antara 2018 hingga 2022.


"Bagi rekod lebih terkini iaitu dari 2023 hingga 2025, ia lebih mudah diperoleh. Namun, dokumen lama mengambil masa lebih lama kerana bank memerlukan tempoh pemprosesan lebih panjang.


"Bagaimanapun, kami menjangkakan kerjasama daripada pihak bank dan dokumen terbabit biasanya dapat disediakan dalam tempoh dua minggu," katanya.

Calon MCA perlu fasih berbahasa Melayu, Inggeris dan Cina

Calon MCA perlu fasih berbahasa Melayu, Inggeris dan Cina


MCA meletakkan kefasihan berbahasa Melayu, Inggeris dan Cina sebagai kriteria calon-calon parti berkenaan yang akan bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) dan Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.


Ketua Penerangan Pemuda MCA, Neow Choo Seong berkata, ketetapan itu diputuskan oleh barisan kepimpinan parti tersebut yang melihat kriteria berkenaan wajib dimiliki oleh wakil rakyat MCA.


"Kita nak persiapkan supaya calon MCA yang akan datang boleh membawa aspirasi rakyat dan paling penting sekali penguasaan bahasa mereka.


"Kita mahu wakil-wakil MCA akan datang bukan sahaja boleh berkhidmat kepada masyarakat setempat tetapi juga mempunyai kebolehan dan keberanian membawa suara mereka sama ada di Dewan Undangan Negeri (DUN) ataupun Parlimen" katanya pada sidang akhbar di Ipoh semalam.


Terdahulu, beliau meluangkan masa menghadiri program Santai Media Perak dengan wakil-wakil media negeri di Restoran Pakeeza di Ipoh.


Sehubungan itu, Choo Seong berkata, pihak kepimpinan MCA telah menetapkan calon-calon mereka yang akan datang mesti mempunyai kefasihan tiga bahasa utama khususnya bahasa kebangsaan.


"Ini kerana kamu nak menjadi seorang wakil rakyat, kamu harus boleh berbahasa kebangsaan, itu penting. Pada masa sama, (menggunakan) bahasa Cina atau Inggeris mengikut kesesuaian setempat.


"Ini antara kriteria yang kita sudah tetapkan dan sedang melatih bakal-bakal calon yang kita rasa ada potensi untuk tampilkan (pada PRN Johor dan Melaka selain PRU)," katanya.


Pada masa sama, beliau berkata, kepimpinan MCA juga melihat keperluan untuk meremajakan parti menerusi calon-calon berusia 40 tahun ke bawah.


"Sebab itu kita tampilkan banyak muka baharu yang lebih progresif dan artikulatif, yang boleh faham aspirasi rakyat dan lebih dekat dengan mereka," katanya.


Bagaimanapun, Choo Seong berkata, mereka tidak mengenepikan ahli-ahli lama yang banyak berjasa kepada parti tetapi mereka akan memainkan peranan berbeza bagi membantu calon baharu MCA.


"Frontliner adalah mereka yang lebih progresif dan bertenaga, maka mereka yang berpengalaman ini memainkan peranan sebagai lapisan kedua supaya boleh membantu anak-anak muda ini, dengan menjadi jentera di peringkat akar umbi," katanya.

Jumaat, 24 April 2026

Krisis bekalan global: Kerajaan pertimbang hadkan pergerakan jemaah menteri - Anwar

Krisis bekalan global: Kerajaan pertimbang hadkan pergerakan jemaah menteri - Anwar


Kerajaan sedang memperhalusi langkah lebih drastik bagi mengurangkan penggunaan tenaga susulan krisis bekalan global termasuk mempertimbangkan untuk mengehadkan pergerakan Jemaah Menteri serta kementerian.


Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata tindakan segera itu perlu diambil bagi memastikan Malaysia tidak terjerumus ke dalam situasi catuan tenaga seperti yang sedang dihadapi beberapa negara lain.


Beliau berkata keputusan muktamad mengenai perkara itu akan ditentukan dalam mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN).


"Kita nak elak (isu kekurangan bekalan) itu. Jadi kita perlu cari jalan untuk kurangkan penggunaan tenaga, seperti kerja dari rumah serta langkah-langkah lain yang dirasakan perlu.


"Kita bersyukur kepada Allah SWT setakat ini bekalan minyak masih mencukupi sehingga penghujung Jun, namun bekalan diesel sudah mula menghadapi masalah. Justeru, beberapa langkah akan diumumkan dari semasa ke semasa," katanya kepada pemberita selepas menunaikan solat Jumaat di Masjid Bandar Permas Jaya, Johor Bahru hari ini.


Mengulas lanjut, Perdana Menteri berkata MTEN kini bermesyuarat setiap dua hari bersama kementerian serta pihak berkaitan bagi memantau situasi bekalan tenaga secara menyeluruh.


Beliau menegaskan keadaan semasa tidak lagi memberi ruang untuk sebarang kelewatan dalam membuat keputusan.


"Langkah ini sudah sampai ke tahap kritikal. Kita tidak boleh tangguh lagi kerana sebarang kelewatan akan menjejaskan ekonomi dan kehidupan harian rakyat sekiranya berlaku kekurangan bekalan," katanya.


Ditanya sama ada krisis tenaga global akan memberi kesan terhadap jadual Pilihan Raya Negeri (PRN), Perdana Menteri berkata perkara itu belum dibincangkan setakat ini.

Khamis, 23 April 2026

Tiada asas pihak luar ambil alih kawalan keselamatan Selat Melaka

Tiada asas pihak luar ambil alih kawalan keselamatan Selat Melaka


Negara serantau mempunyai keupayaan penuh untuk mengawal dan menjaga keselamatan di perairan Selat Melaka.


Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, laluan perkapalan strategik berkenaan kini berada dalam keadaan yang aman tanpa sebarang ancaman yang menghalang kelancaran navigasi.


Berikutan itu, beliau menyifatkan tiada asas yang munasabah untuk mana-mana pihak luar menyatakan hasrat mengambil alih kawalan keselamatan di situ.


"Apapun, Selat Melaka ini keadaannya aman, tiada halangan terhadap kapal untuk lalu-lalang. Tidak ada sebab untuk mana-mana negara, kuasa kecil ke kuasa besar, untuk menyatakan hasrat untuk mengawal.


"Negara-negara yang ada di sini semua mampu untuk mengawal," katanya ketika diminta mengulas mengenai dakwaan hasrat Amerika Syarikat untuk mengambil alih kawalan di kawasan berkenaan.


Dalam pada itu, Mohamed Khaled turut menyatakan pendirian yang selari dengan Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan, bahawa hak kedaulatan perairan itu adalah tertakluk kepada negara yang berkongsi laluan berkenaan.


Katanya, sebarang ketetapan, keputusan atau tindakan yang ingin dilaksanakan di Selat Melaka tidak boleh dibuat secara bersendirian, sebaliknya menuntut konsensus mutlak daripada negara jiran.


"Apa-apa yang nak dibuat untuk Selat Melaka mesti dapat keputusan bersama daripada negara yang ada di kawasan ini iaitu Indonesia, Singapura, Malaysia dan Thailand," katanya.

Pegawai tentera disyaki mabuk punca nahas maut di Lebuh Raya MEX

Pegawai tentera disyaki mabuk punca nahas maut di Lebuh Raya MEX


Tindakan seorang pegawai tentera yang disyaki memandu di bawah pengaruh alkohol hingga melawan arus menyebabkan seorang lelaki warga asing maut dalam kemalangan di KM 1.9 Lebuh Raya MEX, Kuala Lumpur hari ini.


Kejadian kira-kira pukul 5.38 pagi itu melibatkan sebuah MPV Perodua Alza (e-hailing) dan sebuah Ford Fiesta dari arah Salak Selatan menghala ke Jalan Tun Razak.


Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Mohd Zamzuri Mohd Isa berkata, siasatan awal mendapati Ford Fiesta dipandu lelaki tempatan berusia 31 tahun dipercayai memasuki laluan bertentangan sebelum merempuh MPV tersebut.


"MPV itu dipandu lelaki tempatan berusia 41 tahun dan sedang bergerak lurus di lorong kiri ketika kejadian.


"Kenderaan tersebut membawa dua penumpang warga Bangladesh berusia 22 dan 20 tahun yang baharu tiba dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA)," katanya dalam kenyataan hari ini.


Menurutnya, pelanggaran itu mengakibatkan penumpang lelaki berusia 22 tahun maut di lokasi akibat kecederaan parah di kepala.


"Mangsa duduk di bahagian tengah tempat duduk penumpang. Seorang lagi penumpang wanita berusia 20 tahun cedera dan kini dirawat di Hospital Kuala Lumpur," katanya.


Tambah beliau, pemandu MPV turut mengalami kecederaan di kepala, manakala pemandu Ford Fiesta hanya cedera ringan.


"Seorang penumpang wanita tempatan berusia 36 tahun yang berada dalam Ford Fiesta turut cedera dan menerima rawatan di hospital sama," ujarnya.


Dalam pada itu, ujian pernafasan alkohol mendapati pemandu Ford Fiesta melebihi had dibenarkan, manakala ujian saringan air kencing adalah negatif.


"Pemandu terbabit telah ditahan dan kes disiasat di bawah Seksyen 44(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Pindaan 2020) kerana memandu di bawah pengaruh alkohol hingga menyebabkan kematian," jelasnya.


Orang ramai yang mempunyai maklumat diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi mana-mana balai polis berhampiran.

Pandikar Amin letak jawatan, bawa USNO keluar GRS

Pandikar Amin letak jawatan, bawa USNO keluar GRS


Presiden Pertubuhan Kebangsaan Sabah Bersatu (USNO), Tan Sri Pandikar Amin Mulia meletak jawatan sebagai Timbalan Pengerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS), sekali gus membawa keluar USNO daripada gabungan itu.


Peletakan jawatan termasuk semua jawatan berkaitan kerajaan, dinyatakan sendiri Pandikar Amin kepada Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor selaku Pengerusi GRS dalam pertemuan semalam.


Perkembangan itu diumumkan menerusi satu kenyataan bertajuk 'Salam Terakhir: USNO Ucap Selamat Tinggal GRS' yang dimuat naik di akaun Facebook Warta USNO, malam tadi.


Kenyataan itu menyebut keputusan dibuat bekas Yang Dipertua Dewan Rakyat itu disahut secara sebulat suara dalam Mesyuarat Ahli Majlis Eksekutif Tertinggi (AMET) USNO pada Rabu.


"Antara justifikasi awal keputusan USNO ini ialah disebabkan sudah tidak wujudnya keserasian dalam aspek pentadbiran dan dasar kerajaan khususnya selepas Pilihan Raya Negeri Ke-17 (PRN17) Sabah.


"USNO juga mengambil pendirian untuk kekal sebagai parti politik yang berteraskan perjuangan pribumi lokal Sabah dan akan komited dalam proses semak dan imbang," kata kenyataan itu.


Dalam kenyataan yang sama, USNO turut mengucapkan terima kasih kepada Hajiji selaku Pengerusi GRS dan rakan komponen GRS atas kebersamaan sebelum ini.


"USNO berjanji akan terus memperjuangkan aspirasi rakyat yang termarginalisasi," katanya.


USNO antara parti pengasas GRS bersama Parti Bersatu Sabah (PBS), Parti Solidariti Tanah Airku (STAR), Parti Maju Sabah (SAPP) dan BERSATU Sabah selepas berjaya menubuhkan kerajaan pada September 2020 menerusi kerjasama dengan Barisan Nasional (BN).


BERSATU Sabah kemudian digantikan Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) selepas semua pemimpinnya yang diketuai Hajiji meninggalkan BERSATU dan mengambil alih Gagasan Rakyat pada awal 2023.


GRS kemudian berkembang menjadi gabungan politik tempatan Sabah sepenuhnya dan turut menerima penyertaan beberapa lagi parti iaitu Parti Cinta Sabah (PCS), Parti Liberal Demokratik (LDP) dan Parti Harapan Rakyat Sabah (PHRS), menjadikan keseluruhan lapan parti dalam gabungan itu.


Bagaimanapun, menjelang PRN17 pada November tahun lalu, STAR dan SAPP keluar daripada gabungan kerana mahu bertanding atas logo sendiri dan kini USNO yang terbaharu mengikut langkah mereka.


Berikutan itu, GRS kini hanya dianggotai lima parti iaitu Gagasan Rakyat, PBS, PCS, LDP dan PHRS.

Rabu, 22 April 2026

Kebakaran Kampung Bahagia: PM umum RM1,500 untuk 300 keluarga terjejas, murid sekolah dapat RM300 seorang

Kebakaran Kampung Bahagia: PM umum RM1,500 untuk 300 keluarga terjejas, murid sekolah dapat RM300 seorang


Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan sumbangan ihsan RM1,500 daripada Kerajaan Persekutuan kepada 300 keluarga yang terbabit kebakaran di Kampung Bahagia, Sandakan.


Perdana Menteri berkata, sumbangan itu yang membabitkan jumlah keseluruhan RM450,000 akan disalurkan segera kepada keluarga dikenal pasti.


"Kita tahu ini bukan penyelesaian dan hanya langkah sementara dan saya mahu disampaikan segera.


"Saya tidak mahu tertangguh sebab keluarga itu harus mendapat jaminan," katanya selepas menyantuni mangsa kebakaran di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di Dewan Projek Perumahan Rakyat (PPR) Batu Sapi, Sandakan hari ini.


Mengiringi beliau Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor; Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Mustapha Sakmud dan Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek.


Perdana Menteri turut mengumumkan sumbangan RM300 untuk setiap murid sekolah yang terjejas dalam kebakaran itu.


Anwar berkata, bantuan disalurkan Kementerian Pendidikan (KPM) itu akan memberi manfaat kepada 454 anak warganegara daripada 12 sekolah.


Selain itu, katanya KPM juga bersetuju memberi kelonggaran kepada pelajar terjejas untuk tidak menggunakan pakaian seragam sekolah buat sementara waktu.


"Mulai esok, mereka harus pergi ke sekolah dan akan ada kelonggaran iaitu tidak perlu pakai uniform (seragam) sekolah buat sementara waktu.


"Kalau perlu beberapa bantuan dari segi kenderaan untuk ke sekolah dan sebagainya, kita nanti pastikan supaya ada bantuan tambahan supaya anak-anak ke sekolah.


"Saya tidak mahu beban ditampung anak-anak ketika ini dari segi kemudahan persekolahan mereka," katanya.


Terdahulu, Anwar meluangkan masa kira-kira 30 minit bersama mangsa kebakaran di PPS Dewan PPR Batu Sapi.


Kebakaran penempatan atas air Kampung Bahagia awal pagi Ahad lalu menyebabkan sekurang-kurangnya 9,000 orang hilang kediaman selepas 1,000 rumah musnah.

Indonesia pertimbang kenakan bayaran ke atas kapal lalu Selat Melaka - Laporan

Indonesia pertimbang kenakan bayaran ke atas kapal lalu Selat Melaka - Laporan


Indonesia sedang mempertimbangkan untuk memperkenalkan levi ke atas kapal komersial yang melalui Selat Melaka, lapor Anadolu Ajansi. Langkah berkenaan bertujuan menjadikan salah satu koridor perkapalan tersibuk di dunia itu sebagai sumber pendapatan negara yang baharu.


Menteri Kewangan, Purbaya Yudhi Sadewa berkata cadangan itu mencerminkan desakan Presiden Prabowo Subianto untuk meningkatkan peranan Indonesia dalam perdagangan global, menurut Jakarta Globe.


Bercakap dalam satu simposium di Jakarta, beliau berhujah bahawa walaupun negara itu terletak di lokasi yang strategik, kapal-kapal kini transit di laluan air berkenaan tanpa sebarang bayaran.


"Indonesia bukan negara terpinggir. Kita berada di sepanjang laluan perdagangan dan tenaga global yang penting, namun kapal yang melalui Selat Melaka tidak dikenakan bayaran," katanya.


Selat Melaka yang dikongsi oleh Indonesia, Malaysia dan Singapura ialah arteri maritim penting yang menghubungkan Lautan Hindi dan Pasifik dan sering dibandingkan dengan laluan strategik lain seperti Hormuz, Suez dan Panama.


Purbaya mencadangkan sebarang mekanisme mengenakan bayaran memerlukan penyelarasan dengan negara jiran sambil menekankan bahagian geografi Indonesia yang dominan bagi laluan itu.


Beliau turut merujuk pada perbincangan antarabangsa, termasuk cadangan yang dikaitkan dengan Iran mengenai tol di Selat Hormuz sebagai model rujukan.


Bagaimanapun, idea itu menghadapi tentangan serantau serta-merta susulan Menteri Luar Singapura, Vivian Balakrishnan yang menegaskan bahawa transit maritim di Selat Melaka dan Selat Singapura mesti kekal bebas dan tidak terhalang.


Beliau berkata Singapura tidak akan mengambil bahagian dalam sebarang percubaan untuk menutup atau menghalang atau mengenakan tol di kawasan kejiranan mereka.


Bulan lalu, Suruhanjaya Keselamatan Negara Parlimen Iran dilaporkan meluluskan rang undang-undang untuk mengenakan tol transit ke atas kapal yang melalui Selat Hormuz, yang sedang menunggu kelulusan perundangan selanjutnya, namun AS dan negara lain menentang sebarang tol ke atas kapal yang melalui Selat Hormuz. - Bernama.

Konflik Asia Barat: Krisis bekalan minyak kekal jadi tumpuan dunia

Konflik Asia Barat: Krisis bekalan minyak kekal jadi tumpuan dunia


Kebimbangan bekalan bahan api akan terus menjadi perhatian utama global, termasuk Malaysia, demikian menurut penganalisis. Walaupun rundingan AS dan Iran mencapai persetujuan atau jalan buntu, situasi bekalan minyak kekal menjadi perhatian utama dunia.


Justeru, harga bahan api dijangka kekal tinggi memandangkan keadaan bekalan mengambil masa untuk stabil semula jika perang tamat atau sebaliknya.


Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid, berkata senario yang paling diharapkan sudah pastinya adalah konflik berakhir di meja rundingan dan Selat Hormuz mula dibuka.


Namun, katanya, bekalan bahan api masih lagi terganggu berikutan infrastruktur sektor minyak dan gas di rantau itu terjejas teruk sambil proses pembinaan semula memerlukan masa yang agak panjang. Justeru, beliau berkata, harga bahan api dijangka kekal tinggi bagi tempoh terdekat.


"Sekiranya perang ini berakhir, sudah pasti kebimbangan utama adalah harga bahan api yang kekal tinggi dan kecukupan stok yang buat masa ini dijangka boleh bertahan sekitar dua bulan.


"Jika ini senarionya, ia menuntut suatu perubahan dalam cara satu-satu aktiviti ekonomi itu dilaksanakan. Yang utama, rakyat dan perniagaan perlu menjimatkan penggunaan bahan api," katanya.


Beliau berkata demikian mengulas mengenai persediaan Malaysia dalam mendepani kemungkinan yang timbul susulan tamatnya gencatan senjata dua minggu antara AS-Iran.


Mengulas lanjut, Mohd Afzanizam percaya kerajaan melalui Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) sudah melaksanakan pembinaan pelbagai senario bagi menghadapi sebarang bentuk kemungkinan susulan konflik di Asia Barat itu.


Beliau melihat pentingnya inisiatif bekerja dari rumah (BDR) buat masa ini meskipun tahap penerimaannya masih bercampur-campur berdasarkan trafik jalan raya semasa yang masih tidak berubah.


Di samping itu, katanya, kerajaan juga perlu menggalakkan penggunaan kenderaan elektrik (EV) dan solar bagi mengurangkan penggunaan bahan api fosil.


Beliau juga tidak menolak kemungkinan terdapat keperluan memperkenalkan insentif tambahan sekiranya krisis di Asia Barat berpanjangan.


Sementara itu, MBSB Research mengunjurkan pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia boleh menjadi sederhana kepada 3.8 peratus hingga 4.0 peratus jika harga minyak yang tinggi dan konflik terus berlarutan dengan langkah pembendungan yang terhad.


Menurutnya, jangkaan pertumbuhan itu lebih rendah berbanding unjuran asas pihaknya sekitar paras 4.2 peratus.


Jelasnya, pelarasan unjuran itu mencerminkan jangkaan penurunan dalam perbelanjaan penggunaan swasta, memandangkan tekanan inflasi yang berpunca daripada ketegangan Asia Barat melemahkan sentimen pengguna dan perniagaan.


Katanya, pasaran buruh menghadapi rintangan apabila aktiviti yang lebih perlahan dalam sektor perkhidmatan dan berorientasikan eksport, yang sensitif terhadap turun naik tidak menentu harga minyak dan kejutan harga tenaga, melemahkan permintaan keseluruhan.


"Walaupun aktiviti domestik mungkin mendapat sokongan daripada pasaran buruh yang stabil, pelarasan gaji dan pemindahan tunai kerajaan, sektor pelancongan kekal terdedah kepada peningkatan kos bahan api jet dan kapasiti penerbangan yang berkurangan," katanya.


MBSB Research berkata, sektor elektrik dan elektronik (E&E) mungkin memberikan daya tahan melalui kitaran peningkatan teknologi yang berterusan, dilengkapi dengan potensi pemulihan dalam eksport perlombongan.


Walaupun terdapat imbangan itu, ia menjelaskan bahawa prospek masih kabur oleh ketidaktentuan perdagangan global yang meningkat dan risiko tarif meluas sebanyak 15 peratus yang dikenakan oleh AS.


"Sekiranya siasatan yang sedang dijalankan (susulan dakwaan amalan perdagangan yang tidak adil dan 'kapasiti berlebihan struktur' dalam sektor perkilangan) menghasilkan penemuan buruk, pengenaan duti timbal balas akan menjejaskan prospek perindustrian Malaysia sepanjang tahun ini," katanya.

Selasa, 21 April 2026

Tapak masjid, surau seluruh Perak diwarta tanah rizab Melayu - Saarani

Tapak masjid, surau seluruh Perak diwarta tanah rizab Melayu - Saarani


Kerajaan Perak menetapkan semua tapak masjid dan surau di Perak dikeluarkan hak milik berdaftar selain diwartakan sebagai tanah rizab Melayu dalam usaha menjamin kelestarian aset umat Islam.


Menteri Besar, Datuk Seri Saarani Mohamad, berkata ia langkah proaktif bagi mengelakkan pertikaian sempadan atau pertindihan hak milik seperti pernah berlaku membabitkan Masjid Jamek Ar-Ridzuan di Alor Pongsu, Bagan Serai pada Mei 2025.


Beliau yang juga EXCO Agama Islam negeri, berkata bagi mempercepatkan urusan warta itu, kuasa meluluskan permohonan tapak rumah ibadat sedia ada sudah diwakilkan terus kepada pengarah Pejabat Tanah dan Galian (PTG) Perak.


Mengulas isu ditimbulkan Datuk Mohd Najmuddin Elias (PN-Batu Kurau) mengenai Masjid Al-Kurauwi di Batu Kurau, Saarani berkata, tapak berkenaan adalah tanah rizab masjid yang sudah diwartakan sejak 1908.


Menurutnya, bagi memperkemas status pemilikan masjid itu di bawah Kanun Tanah Negara, Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk) selaku pemegang amanah tunggal mengemukakan permohonan pemberimilikan kepada Pejabat Daerah dan Tanah (PDT) Larut, Matang & Selama pada 6 Oktober 2017.


Saarani yang menggulung perbahasan pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak, di Ipoh hari ini, berkata permohonan itu sudah diluluskan pada 8 Mac 2022 dan MAIPk sudah menjelaskan sepenuhnya bayaran premium melalui Notis 5A pada 25 Mac 2022 dalam tempoh yang ditetapkan.


"Mengenai kelewatan pengeluaran geran hak milik, ini berpunca proses teknikal penyempurnaan pewartaan kawasan terbabit sebagai kawasan rizab Melayu. Hak milik berdaftar hanya dapat dikeluarkan sebaik proses pengisytiharan dan pewartaan kawasan rizab Melayu berkenaan dimuktamadkan sepenuhnya.


"Proses ini memerlukan penyelarasan rapi antara beberapa agensi utama, iaitu pihak pentadbiran tanah, Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia (JUPEM) bagi tujuan ukuran halus serta Percetakan Nasional Malaysia Berhad (PNMB) untuk urusan warta rasmi," katanya.


Saarani berkata, beliau sangat menghargai keprihatinan Mohd Najmuddin yang melontarkan pandangan bernas mengenai keperluan pihak berkuasa agama untuk meneliti proses bancian tapak dalam pewartaan status pemilikan tanah setiap masjid dan surau bagi mengelak pertikaian seperti isu Masjid Jamek Ar-Ridzuan.


"Meskipun dokumen siar Warta Kerajaan sedia ada, iaitu bagi 1908 adalah sah untuk rujukan pembangunan, kerajaan tetap komited menyelesaikan proses pengeluaran geran hak milik Masjid Al-Kurauwi dan masjid-masjid lain di Perak. Ia bagi memastikan jaminan pemilikan yang lebih kukuh dan bersistematik," katanya.


Isu status tanah wakaf yang menjadi sebahagian tapak Masjid Jamek Ar-Ridzuan di Alor Pongsu mendapat tumpuan tahun lalu selepas tanah berkeluasan 0.61 hektar itu dijual waris pewakaf tanpa pengetahuan pihak masjid.


Pemilik baharu tanah wakaf itu yang juga bukan Islam menetapkan harga RM1.8 juta sebelum pihak masjid berjaya mendapatkan dana, antaranya melalui kutipan derma masyarakat.